Sahabat Sejati

Tuesday 16 February 2016

Debaran menanti 14 April...

Cover majalah Majnun-Majnun (Gila-Gila) edisi Februari 2016, menarik!
 
Assalamualaikum warahmatullah.

Sudah lama tidak bercerita perihal bauksit. Maklumlah, sekarang sudah mendapat semula 'kedamaian' yang sekian lama didambakan (baca: diperjuangkan). Yalah, kalau boleh sudah tidak mahu lagi mengingati igauan ngeri tersebut. Selama dua tahun lebih menanggung keperitan yang teramat. Tetapi, ingatan ini kembali menerjah tatkala terlihat foto cover majalah Majnun-Majnun edisi Februari di dalam FB. Wah, terujanya! Sampai majalah kartun ini pun terkesan dengan isu bauksit. Ini satu perkembangan yang sangat baik.

Jika diikutkan pada arahan Putrajaya, moratorium atau pemberhentian sementara selama 3 bulan akan tamat pada 14 April 2016. Selepas itu, samada aktiviti perlombongan beroperasi semula dengan mengikut SOP yang telah digariskan, atau sebaliknya (seperti dulu), sama-samalah rakyat Kuantan tunggu. Tetapi jika moratorium ini dilanjutkan lagi, itu yang terbaik (senyum). Rasanya jika ditanya kepada rakyat Kuantan, ramai yang bersetuju ia dilanjutkan lagi.   

Penjagaan alam sekitar adalah soal iman dan peranan manusia sebagai khalifah. Setiap manusia bertanggungjawab memelihara alam ini kerana ia adalah amanah. Saya rasa semua bersetuju dengannya. Tidakkah jika kita melihat bahawa di dalam al-Quran dan al-Sunnah penuh dengan arahan memelihara alam sekitar? 

Teringat saya kata-kata ustaz Hasrizal di dalam satu kuliah, kaedah membina rumah pun diperincikan oleh syariat. Ketinggian bangunan juga jangan sampai menyekat cahaya matahari dari rumah jiran. Begitu juga bagaimana air longkang patut dialirkan dalam hal penggunaan tanah jiran dan tanah awam. Lihat betapa Islam amat menitikberatkan hal pemeliharaan alam sekitar.

Manusia memerlukan air yang bersih, manusia juga memerlukan udara yang bersih. Tetapi bagaimana jika hanya ada segelintir yang menjaga amanah ini, sedangkan sebahagian pihak melalaikannya, bahkan dengan rakus merosakkannya atas nama perniagaan. Tidakkah ia satu proses kehidupan yang sangat tidak seimbang. 

Dalam isu bauksit ini pun, berulang kali telah ditegaskan, rakyat Kuantan tidak membantah aktiviti perlombongan bauksit kerana ia sememangnya dapat menjana ekonomi negeri. Namun, biarlah ia diuruskan dengan sebaiknya dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Kami tidak membantah aktiviti perlombongan bauksit tetapi membantah pencemaran akibat daripada perlombongan bauksit. Tidak timbul isu mahu menutup periuk nasi sesiapa.    

Lebih kuat iman di dada, lebih kuat kita menjaga alam persekitaran yang ada, setuju?

##Menanti 14 April dalam debaran..

4 comments:

Kakzakie Purvit said...

Kalau ikut gerak hati kakak pisang akan berbuah dua kali AI. Mereka yg melakukan semua ini rakus. Memula aje ketika mendapat liputan media dia akan ikut SOP. Tapi kena 2 minggu aje back to square. Pada kakaklah sebaiknya biar dilanjutkan terus lebih baik. Cari cara terbaik bagaimana agar rakyat benar-benar terjamin selamat.

paridah said...

Assalam sesuatu yg dinanti penuh tanda tanya n kita doakan kesilapan lalu berjaya diperbaiki. kalau masih berulang kisah lama xtau nk kata apa lagi n perjuangaannya belum selesai...

saniahibrahim said...

Tengok majalah gila2 tu teringat kakak waktu takde ank dulu setiap bulan tak pernah mis membeli....
Walaupun kakak tak faham sangat pasal bauksit ni tapi bila dah selalu tengok di media2 pasal isu ini...simpati pada yang terlibat akibat kerakusan manusia menimba keuntungan.Mudah2an tak kan berulang masalah yg dihadapi.

Normala Saad said...

Ada lagi rupanya majalah ini....buku kartun zaman remaja...zaman pelukis rejabhad..zainal buang hussein, don, kerennge..nan..fatah..dan lain2 tu...

Post a Comment