Sahabat Sejati

Tuesday 10 March 2015

Perihal Nabi Ayub sakit teruk

Soalan:

Ada seorang penceramah di masjid tempat saya, dalam satu ceramahnya beliau menceritakan perihal Nabi Allah Ayub as. yang mendapat penyakit ganjil kerana perbuatan jin-jin kafir ke atasnya. Seluruh badan Nabi Ayub as. berkudis dan bernanah, sehingga dagingnya reput, berbau busuk serta berulat. Kami jemaah masjid tertanya-tanya tentang peristiwa itu, bagaimana Nabi Ayub as. boleh mengajak orang mempercayai seruannya dan kerasulannya, jika keadaan beliau seperti sedemikian. Mohon jelaskan?

Jawapan:

Kisah Nabi Ayub as. terkena penyakit kerana perbuatan syaitan adalah kisah benar, wajib dipercayai kerana dipaparkan di dalam al-Quranul Karim dengan Firman Allah SWT (mafhumnya): 

"Dan ingatlah akan hamba Kami, Ayub, ketika ia menyeru kepada Tuhannya, dengan rintihan; "Sesungguhnya ya Allah, saya diganggu syaitan dengan kesusahan dan keazaban." (Surah Shaad, ayat 41) 

Dengan ayat ini, amat jelas bahawa Nabi Ayub as.terkena kesusahan dan keazaban. Cuma perbezaannya apakah jenis penyakit yang baginda alami? Apakah sehingga yang anda sebut tadi, sehingga bernanah dan berkudis serta hancur daging dan sebagainya. 

Apa yang disebut penceramah itu memang ada sandarannya, seperti yang pernah kita lihat dalam tafsir-tafsir yang muktabar. Antara lain disebut dalam Tafsir al-Qurtubi, badan Nabi Ayub as., gatal dan berkudis, digaru dengan kukunya hingga berdarah. Ditambah lagi dengan digaru dengan tembikar (jenis batu bata) hingga daging-dagingnya berkecai. 

Bagaimanapun, perlu disedari bahawa dalam kita-kitab tafsir, walaupun yang muktabar, memang pengarangnya telah memasukkan kisah-kisah yang diistilahkan sebagai israiliyaat (cerita-cerita kaum Bani Israil). Kisah-kisah seperti ini memang menembusi (dicatat) dalam kitab-kitab, bagaimanapun tidak ada sandarannya dan tiada hadis yang benar-benar sahih menceritakannya. 

Malah dalam kitab Tafsir al-Qurtubi, juzuk ke 15, di halaman 208, selepas mencatat cerita seperti yang saya sebutkan tadi, penulisnya menghuraikan bahawa cerita-cerita Israiliyaat ditolak oleh ulama muktabar secara keseluruhannya. 

Pada hemat saya, setelah melihat banyak tafsir yang menceritakan kisah Nabi Ayub as. terkena ibtilak, bahawa memang benar iblis laknatullah berjaya mengenakan Nabi Ayub as. dengan gangguan fizikal. 

Dengan kejahatan iblis itu baginda terganggu dan susah untuk beribadah dan berasa kesengsaraan kerana gatal-gatal badan yang tidak henti-henti. 

Hal ini juga menyebabkan emosi Nabi Ayub a.s.terganggu, yang kenali dengan waswasah, fikiran berkecamuk atau bercelaru bila mengenangkan gangguan ke atas dirinya itu. 

Penyakit tersebut, tidaklah sampai badannya hampir luluh, berkudis bernanah sehingga sesiapa yang melihatnya berasa jijik, loya dan hampir termuntah. 

Jika ini berlaku, kenabian atau kerasulan Nabi Ayub a.s. akan terjejas kerana tidak ada orang yang mahu menghampirnya, orang melihatnya sebagai mencelarukan fikiran mereka. 

Menurut Ibnu Abbas, Nabi Ayub as. terkena penyakit itu selama tujuh tahun, tujuh bulan, tujuh hari, akhirnya Nabi Ayub as. mengadu kepada Allah, seperti yang terpapar dalam al-Quran mafhumnya: 

"Dan ingatlah kisah Nabi Ayub ketika ia menyeru Tuhannya, "Sesungguhnya saya telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang lebih mengasihi daripada segala yang mengasihi. 

"Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya.....(hingga akhir ayat)" (Surah al-Anbiya ayat 83-84) 

Cara Allah hendak menyembuhkan penyakitnya adalah, pertama, dengan doa (rayuan) Nabi Ayub as. seperti di atas. Kedua, Allah mewahyukan kepada Ayub as. hentakkan kaki ke bumi yang dipijaknya beberapa kali, sehingga air terpancar dari bumi itu. Ketiga, ambil air itu untuk diminum dan dimandi dengannya. 

Dengan berbuat demikian, Allah menyembuhkan Nabi Ayub as. dari penderitaannya, untuk menyambung semula tugas kerasulan baginda. 

Walau apa pun yang diulas orang dari cerita ini, hendaklah kita mengambil iktibar bahawa Allah SWT memberikan contoh kepada kita, perihal kesabaran seorang Nabi yang terseksa hidupnya akibat gangguan syaitan. 

Akhirnya, setelah begitu lama menanggung kesusahan barulah Nabi Ayub a.s. berdoa ke hadrat Allah memohon kesembuhan, lalu Allah SWT memperkenankan doanya. Wallahua'lam.

(Sumber: Bersama Dato` Dr Harun Din)

4 comments:

paridah said...

assalam..tiada seorang pun yang terlepas drpd ujian-Nya lbh2 lagi seorang nabi Allah yg perlu dicontohi sifat kesabarannya menghadapi apa saja rintangan hidup, penyakit n sbgnya...doa nabi Ayub elok diamalkn utk mngubat penyakit..insyaAllah.

Sham said...

Salam perkenalan...sala ukhwah...

Mmg baginda antara manusia pilihan yang sgt2 tabah mhadapi ujian dariNya...selalu jadikan kisah ini sebagai pedoman utk mhadapi ujian kesakitan yg dilalui sekarang...

iryantyismail said...

tabah nya nabi Ayub....moga kita semua setabah nabi Ayub..amin

Anonymous said...

Assalaamu'alaikum wr.wb, Abu Ikhwan... jika Nabi Ayub sanggup bersabar selama 7 tahun dengan peyakit kulit yang dideritai, maka kita juga berusaha menjadi sesabar Ayub a.s dalam menghadapi penyakit zaman moden ini. pening kepala sahaja, kita sudah mengeluh. Allahu Akbar. Mudahan kisah ini mampu menyedarkan nikmat yang sedang kita eluti ini. Salam sejahtera dari Sarikei, Sarawak.

Post a Comment