Sahabat Sejati

Wednesday 25 March 2015

Adakah sama Saka dengan Qareen?

Soalan:

Saya banyak mendengar perkataan saka yang dirujuk kepada gangguan makhluk harus atas seseorang yang berpunca daripada keturunan seseorang yang mendampinginya sentiasa meminta berbagai permintaan atau mengenakan berbagai keburukan. Adakah ini sama dengan istilah qareen yang pernah Dato' sentuh dalam jawapan terdahulu. Samakah antara saka dengan qareen? Bagaimana hendak mengatasi hal ini apabila ianya berlaku? 

Jawapan: 

Saka adalah suatu istilah yang biasanya digunakan oleh tukang ubat atau bomoh tradisional yang merujuk kepada suatu fenomena gangguan spiritual yang berlaku ke atas manusia kebanyakannya kaum wanita dan ada juga lelaki, yang mengaitkannnya dengan makhluk yang kononnya diamanahkan menjaga seseorang. Bagi tujuan menjaga tersebut maka berbagai-bagai gangguan spiritual berlaku. Gangguan seperti ini dikenali sebagai gangguan makhluk halus. 

Saka dikaitkan dengan kononnya ada makhluk yang berdampingan dengan keturunan bapa, ibu, datuk atau nenek seseorang yang menjaga atau bersahabat dengan makhluk ini dan dipesan kepada makhluk tersebut selepas kematiannya untuk menjaga dan mengawal anak cucu mereka. 

Hasil daripada itu maka berlaku kawalan, sebenarnya gangguan ke atas orang berkenaan sehingga menimbulkan masalah yang diistilahkan sebagai saka. 

Saya tidak dapat menentukan apa sebenarnya saka. Betul atau tidak ia makhluk yang mendampingi manusia dan keturunan mereka diganggu sehingga mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Jika benar ianya (makhluk halus) sebagai sahabat, kawan atau dampingan orang-orang terdahulu, maka sepatutnya ia tidak berubah sekadar hanya menjaga dan melindungi anak cucu seseorang, tiba-tiba berlaku sebaliknya sehingga menyakiti dan menganggu sampai menjadi separuh gila atau separuh sedar. 

Saya tidak nampak hal ini sebagai saka yang digunakan untuk menjaga dan mengawal seseorang untuk kebaikan. Jika berlaku begini, maka tidaklah menimbulkan masalah walaupun hukum asalnya bersahabat, berbuat baik, berdampingan dengan makhluk halus dilarang oleh syariat Islam. 

Banyak ayat-ayat al-Quran yang menggesa manusia menjauhi dan berlindung diri daripada syaitan. Malah manusia wajib menjadikan syaitan sebagai musuh dan sebagainya. 

Berbalik kepada seseorang yang diganggu oleh makhluk halus, maka jelas ia adalah musuh kerana ia menyakiti manusia, menganggu manusia dan melakukan perkara yang tidak dingini oleh manusia, ianya memberikan kesan negatif. 

Kita mesti menjauhi mereka, benda yang dinamakan saka ini tidak menjadi sesuatu yang baik kepada manusia. Dirawatlah dengan cara-cara yang diharuskan oleh syarak bagi mengelakkan saka ini terus menerus menganggu manusia. 

Adapun Qareen adalah istilah al-Quranul karim yang jelas Allah S.W.T menyebut dalam beberapa ayat seperti dalam Surah Qaf (ayat 23), Surah al-Fussilat (ayat 25) dan lain-lain. 

Di antara makna-maknanya, Allah menyebut (mafhumnya), "Dan kami tetapkan bagi mereka, teman-teman yang menjadikan mereka memandang bagus apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka. Dan tetaplah atas mereka keputusan azab pada umat yang terdahulu dari jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang meragui." 

Istilah teman-teman dalam al-Quran adalah pada asal perkataan Qurana atau kawan-kawan setia. Maksudnya adalah dari suku sakat syaitan atau iblis ini menjadikan manusia sebagai teman mereka. 

Firman Allah (mafhumnya), "Dan berkatalah Qareennya, inilah catatan amalan yang tersedia pada sisiku." (Surah Qaf, ayat 23). 

Dan Surah Qaf, ayat 27 bermaksud, "Yang menyertai dia, Qarennya berkata pula,"Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya, tapi dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh." 

Ini merujuk kepada perkataan Qareen. Allah SWT menyifatkannya sebagai kawan rapat bukan kerana manusia hendak sangat berkawan dengan mereka, tetapi pada pandangan sesetengah ulama, sejak manusia dilahirkan ada makhluk halus yang mendampinginya, mengajak, memandu serta mempengaruhinya melakukan kejahatan. Itulah yang dimaksudkan sebagai Qareen. 

Dalam hadis daripada Ibnu Mas'ud ra, bahawasanya Nabi Muhammad saw bersabda (maksudnya), "Setiap orang daripada kamu, ada bersama dengannya qareen (syaitan) daripada jin. Sahabat bertanya, apakah Rasulullah juga mempunyai qareen, baginda menjawab, ya, saya pun ada qareen itu, cuma Allah SWT membantu saya, dapat mempengaruhi qareen itu sehingga dia telah pun Islam dan dia berdamping dengan saya, dia tidak mendorong saya membuat sesuatu melainkan semuanya untuk kebaikan." (Riwayat Muslim). 

Hadis daripada Ai'shah r.ha berkata, "Suatu ketika Rasulullah saw berada bersama dengan saya, lalu keluar meninggalkan saya kerana ada suatu urusan pada malam hari, tiba-tiba timbul cemburu dalam diri saya, apabila Rasulullah saw kembali menemui saya, baginda mengetahui perasaan saya itu, maka baginda bertanya, apakah gerangan mu wahai Ai'shah? Apakah kamu cemburu? Maka saya menjawab, manalah orang seperti saya ini tidak cemburu ke atas mu wahai Rasulullah saw. Maka Nabi menyebut kepada saya, apakah kamu telah dikuasai oleh syaitanmu wahai Ai'shah. Maka saya menjawab, ya Rasulullah, apakah bersama saya ada syaitan? Rasulullah menjawab, ya, malah pada tiap-tiap insan ada syaitannya. Saya bertanya kepada Rasulullah, apakah kamu juga ada syaitan? Jawab baginda, ya, tetapi Allah SWT telah membantuku, aku Islamkan dia dan tidak menyuruhku melainkan untuk kebaikan." 

Hadis-hadis sebegini adalah hadis sahih, ia menunjukkan memang berlaku bahawa qareen, ia adalah syaitan, mendampingi semua manusia. Kalau Rasulullah saw pun didampingi oleh qareen ini, inikan pula insan biasa. 

Oleh yang demikian, jelas bahawa qareen ini ada pada setiap orang dan bergantung kepada seseorang insan itu, jika ia belum boleh menguasai dirinya dengan kerja-kerja ketaatan sehingga tidak ada ruang untuk melakukan kemaksiatan maka qareen ini seolah-olahnya putus asa untuk mengajaknya melakukan kejahatan, melainkan sekali sekala sahaja. 

Adapun orang-orang yang mudah mendedahkan dirinya kepada melakukan perkara yang tidak baik, khasnya melakukan kemaksiatan, maka qareen inilah yang menjadi pendorong utama. Pada pandangan saya qareen adalah makhluk halus yang jahat. 

Jika hendak dikatakan saka, hanya sekadar mengatakan ianya wujud ada, maka tidak salah mengatakan kita semuanya ada saka, tetapi saka yang saya maksudkan adalah saya yang sedia ada, bukan kerana dipelihara oleh keturunan, bukan disuruh oleh seseorang melakukannya tetapi kerana tabiat makhluk ini memang sentiasa berusaha menjerumuskan manusia kepada kejahatan. Wallahua'lam. 

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

4 comments:

paridah said...

ASSALAM...MOGA SAKA QARIN YG BERSAMA KITA SEJAK LAHIR WALAU MENGGANGGU TAPI DGN MENTAL YG SEMPURNA MAMPU DIURUSI SEBAIKNYA BERBANDING SAKA YG SENGAJA DIPELIHARA..TQ PERKONGSIANNYA.

Kakzakie Purvit said...

Kakak rasa kalau dengar cerita dongeng yg biasa, saka tu ikut keturunan yg diturunkan atau dituntut seseorg tapi qareen ini adalah pendamping sejak kita dilahirnya. Oleh itu rasanya mungkin seorg itu boleh ada saka dan qareen tapi utk ada saka tak semua org ada macam kita ni. Mana ada saka kan.. tapi kita ni ada qareen (wallahu'alam)..

Apa pun kita kena kawal iman kita jgn sampai qareen yg mengawal keimanan kita. Wallahu'alam.

iryantyismail said...

asalamualaikum saudara...terima kasih ats perkongsian...ilmu yang baru hari ini yan dapat :-))

Yaya Mohd said...

As'salam...
Alhamdulillah.thanks share info...
yg penting kat sini,kita kena pndai kawal diri.kata hawa nafsu yg jahat itu adlh qarin yang berdamping dgn kita,kan.moga Allah sentiasa pelihara iman kita..AMIN..

Post a Comment