Sahabat Sejati

Saturday, 29 March 2014

Kami cuma nak tolong!


"Kertas apa pula ni?" saya berkata seorang diri seraya mengambil kertas putih bersaiz A4 di dalam raga motosikal. 

 Kebetulan saya ke bandar Kuantan atas suatu urusan, jadi alang-alang sudah di bandar, saya terus lajak ke Terminal Sentral Kuantan untuk membeli tiket bas anak saya yang mahu balik ke sekolahnya pada hari Ahad ini. Seusai membeli tiket, saya menapak ke motosikal dan mendapati ada sekeping kertas di dalam raga motosikal. 

Saya amati kertas tersebut. Rupa-rupanya ia adalah iklan membantu menyelesaikan masalah kewangan oleh seseorang yang digelar "tok guru." Tersenyum sinis saya membaca tajuk besar yang tertera. Ada lagi rupanya iklan sebegini setelah sekian lama saya tidak melihatnya. Saya dapati kesemua raga motosikal yang ditempatkan di tempat meletak motosikal Terminal Sentral Kuantan juga terdapat kertas yang sama seperti di tangan saya. 

Saya melihat-lihat di sekeliling mencari siapa yang meletakkannya. Hendak juga saya memulangkannya semula dan katakan kepadanya, "orang Islam haram beli nombor ekor." Tetapi, saya tidak melihat kelibat siapa-siapa.


"WAT XXXX. Nasib yang malang bukannya pilihan kita, tetapi nasib boleh diubah! 

Segala masalah tidak akan selesai dengan berfikir sahaja. Peluang dan tuah tidak akan datang bergolek, tetapi kita harus berusaha merebutnya sendiri. Perlukan bantuan dan nasihat, anda boleh hubungi atau SMS ................. 

Risalah ini bertujuan hanya untuk orang yang perlu ditolong, tidak ada sebarang paksaan atau bermaksud untuk menyinggung mana-mana pihak atau agama.” 

Wah, cantik sungguh ayat pujukannya. Disertakan juga testimoni seseorang yang telah pun berjaya. Disebutkan orang ini mengalami masalah kewangan yang kritikal. Sama seperti saya, dia mendapat risalah yang diletakkan di atas motosikalnya. Lalu dia pun menghubungi "tok guru" lalu nasibnya disemak dan "tok guru" memberinya nombor ekor. Tak disangka nombor tersebut mendapat hadiah pertama. Dengan hadiah tersebut dia tidak lagi dibelenggu masalah kewangan dan telah pun menderma sebahagian wang hadiah itu kepada Wat xxx tersebut. 

Begitulah pengakuannya. 

Ohh, rupa-rupanya nak menolong dengan memenangi hadiah nombor ekor. Tetapi pelik juga, mengapa tidak "tok guru" sendiri yang membeli nombor tersebut atau bagi nombor itu kepada kaum keluarganya atau kawan-kawan rapatnya. Bukankah itu lebih menguntungkan, betul tak? 

Sebenarnya, sebelum ini sudah tiga kali saya memperolehi risalah seperti ini. Tiada kelainan dari segi isi kandungannya dengan yang ini. Cuma, bezanya dulu ia dihantar melalui perkhidmatan pos. Masa itu saya masih tinggal di rumah lama, di kampung. Terkejut juga apabila menerima surat yang dialamatkan dari negeri Perlis. Jauh tu... Hairan, dari mana alamat saya diperolehi. "Takkan ada sindiket jual alamat pula..." 

Risalah di tangan saya ini pula beralamat di Kelantan, maknanya tentu ada agen yang menguruskannya di sini. Tidak mustahil agen tersebut wujud di seluruh negara. 

Saya tiada masalah dengan risalah ini. Tetapi saya terfikir, bagaimana pula dengannya individu yang sedang terdesak menghadapi masalah kewangan. Tentu sedikit sebanyak boleh menjejaskan pendiriannya. Saya tidak kata semua begitu tetapi perkiraannya mudah biasanya orang yang sedang lemas tentu akan dicapai apa sahaja yang boleh dijadikan pelampung. Itulah yang amat dibimbangkan. Manalah tahu.

Pray4#MH370

0 comments:

Post a Comment