Kebakaran di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan
Tempohari kita dikejutkan dengan cuaca sejuk yang melanda kebanyakan tempat di seluruh negara. Masa itu fenomena suhu sejuk yang melanda Malaysia menjadi topik perbincangan di kalangan pengguna media sosial yang memaklumkan rasa sejuk di kawasan tempat tinggal masing-masing.
Dek kerana sejuk yang di luar kebiasaan ini, hinggakan ada yang berkata: “Tidak mustahil salji turun di Malaysia.”
Namun, hakikatnya salji tidak turun di negara Malaysia. Allah SWT mentaqdirkan salji tidak sesuai di sini.
Hari ini lain pula jadinya. Cuaca panas dan kering pula mengambil tempat. Disebabkan keadaan ini, beberapa buah negeri telah membuat catuan bekalan air ekoran paras air di empangan yang semakin menurun. Di tempat saya belum lagi dibuat tindakan sedemikian, tetapi saya perasan tekanan air paip sekarang ini tidak kuat seperti dulu.
Sungai Pahang di Jerantut
Kelmarin saya ke Jerantut atas suatu urusan. Sepanjang perjalanan saya melihat beberapa kawasan semak belukar dengan kesan terbakar. Dengan cuaca yang panas kering sekarang memang mudah kebakaran berlaku. Cukuplah dengan pembuangan puntung rokok yang masih berbara sudah mampu mencetuskan api. Minggu lepas berlaku kebakaran hutan berhampiran tempat saya. Kebakaran ini menyebabkan jerebu yang menghadkan pandangan selama beberapa hari.
Ketika di Jerantut, saya agak terkejut melihat paras air sungai Pahang yang gah itu. Jelas kelihatan paras air yang berbeza ketika saya ke situ pada bulan lepas. Tempat yang dulu dipenuhi air sudah nampak pasir. Rumah rakit yang dulunya sentiasa teroleng-oleng dilanggar riak-riak air, hari ini berada di atas beting pasir. Pemandangan yang sama sewaktu saya singgah di Temerloh dalam perjalanan balik ke Kuantan. Tampak pulau pasir yang timbul di tengah-tengah sungai. Kalau lama lagi hujan tidak turun, makin keringlah Sungai Pahang nampaknya.
Sungai Pahang di Temerloh
Sebelum ini pihak kerajaan mengumumkan untuk melakukan pembenihan awan agar hujan dapat dihasilkan. Alhamdulillah, ia satu usaha yang baik. Namun, saya sangat memuji usaha sesetengah negeri yang melakukan solat sunat istisqa. Sepatutnya inilah yang dahulu sebelum membuat pembenihan awan. Alangkah bagusnya jika solat sunat istisqa dilakukan di seluruh negara. Para pemimpin bersama rakyat melakukannya dan sebaiknya setiap pemimpin menjadi imam bagi solat tersebut. Rasanya tidak terlampau cadangan saya ini. Allah SWT yang Maha Berkuasa menahan dan menurunkan hujan.
Firman-Nya:
“Bahkan siapakah yang telah mencipta langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit untuk kamu? Lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman kebun-kebun (yang menghijau subur) dengan indahnya, yang kamu tidak dapat dan tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya. Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan mereka (yang musyrik itu) adalah kaum yang menyeleweng dari kebenaran (tauhid).” (an-Naml: 60)
“Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; lalu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan.” (an-Nuur: 43)
Teringat dialog bersama sahabat sewaktu pulang dari solat subuh pagi tadi:
“Panas betul sekarang ni. Hujan lama dah tak turun...” kata saya kepadanya
“Dengar-dengar nak buat pembenihan awan. Sepatutnya kena banyak istighfar dan buat solat istisqa.” Balas sahabat saya.
"Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; "Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Nuh: 110- 113)
Astaghfirullah...
Pray4MH370
1 comments:
assalamualaikum sahabat AI....maaf lama saya tak singgah.apa khabar sihat tak :)
owh di office sekarang ni area sepang,selangor bau asap sepanjang masa.cuaca 'sejuk' sangat. jerebu semakin tebal,dalam rumah pun dah bau asap,sidai baju kat luar lagilah huhu...kebakaran kecil di sana-sini,rumput semakin kering dan kuning dah macam musim luruh pulak rasanya
air pulak dicatu...memang sungguh2 diuji Allah SWT.tapi sentiasa bersangka baik sebab segala yang berlaku ini untuk menyedarkan kembali kami makhluk-Nya :)
sahabat...kalau ada masa cuba tengok tv al-hijrah malam ni bersama ustaz Don.sunggah lunak dan merdu suara si kecil Luqman,anak yatim mengalunkan surah.kemungkinan malam ni adik kecil ni akan datang ke studio,dijemput khas gara2 semalam dia meminta ustaz don sedekahkan al-Fatihah kepada kedua ibu-bapanya.Lalu mengudang sebak di hati ustaz dan penonton ....
Post a Comment