Sahabat Sejati

Wednesday, 24 July 2013

Pekakkan sahaja telinga!

 (Sumber foto: FB)

Tertarik dengan poster ini, sangat memotivasikan.

Sama seperti kisah dongeng yang pernah saya baca.

Iaitu kisah pertandingan memanjat pokok pinang dikalangan haiwan.

Begini kisahnya...

Pokok pinang tegak di hadapan. Tapi pinang bukan sebarang pinang. Licinnya kulit bukan kepalang. Basah pula dek gerimis petang, tidak beranting tidak berdahan. Hanya batang, tinggi kepalang.

Peluh memercik sengalnya tulang, pucuk pinang masih menjulang. Jauh lagi sebuah kemenangan, untuk juara mengecap kejayaan. Satu demi satu peserta jatuh. Letih, sakit, lenguh, tersepuh. Hanya tinggal segelintir yang keras hati, terus mara tidak peduli. Warga rimba berubah hati, dari dorong kepada maki. Tadi beri semangat kini mencaci mengumpat. Tangan masih bersorak, mulut mengeji mencanak.

“Sudah-sudahlah, jangan ditamak hadiah yang banyak. Benda mustahil jangan kejar sampai terkucil,” ujar sang platipus memuncung-muncung.

“Kalau kamu mahu sangat tawaran itu, datang sahaja ke sarangku, akan kubelanja!” tawar si merak yang megah berlagak.

“Baliklah, hari sudah petang. Ingat di reban, keluarga tersayang” panggil sang itik, terkedek-kedek.

Satu demi satu peserta hilang semangat. Tubuh penat, basah keringat. Kudrat tadi semakin susut, ghairah pagi menjadi kecut. Tupai yang lincah jatuh ke tanah, biawak yang buas tergelincir terhempas. Batang pinang tinggal sebatang, hanya seekor cicak berjuang.

“Hahaha! Bodohnya cicak itu. Entah apa yang dia mahu” ketawa si beruk bermuka buruk.

“Uhuhuh! Cicak tamak tak ingat anak. Mengejar hadiah tak nampak rumah!” ejek sang kancil tak padan kecil.

Cicak terus mencanak. Batang pinang dipanjat tak kira orang. Walau panjatnya lesu perlahan, pinang dipanjat mencapai awan. Bayu petang menghembus kuat, cicak bertahan tak patah semangat. Biar pun diri tinggal sendiri, cicak langsung tidak peduli. Jika tadi semua mengeji, timbul kagum semua berdiri. Kutuk tidak didengar lagi, kata semangat kini kembali. Cicak mula terima sorak, jangan undur teruskan tempur. Hadiah bukan tawaran sebarangan, lumayan sekali jangan disesiakan. Sampai di puncak, tersenyum cicak. Cita-cita sudahlah nyata. Tahun ini cicak juara. Hadiah lumayan miliknya jua.

Datang wartawan mencari cerita. Bertanyakan rahsia semangat yang waja. Cicak tersenyum tanpa bicara, soalan ditanya, tiada jawabnya.

Fahamlah semua rahsia sang cicak, rupanya dia CICAK YANG PEKAK.

Itulah di antara rahsia kejayaan: Pekakkan sahaja telinga!

2 comments:

||aLeaSaRa|| said...

salam ramadan...sahabat AI.owh terima kasih share entri yang best hari ni.tak pernah dengar cerita kat atas tu.dah bookmark nanti nak bagi officemate baca.trm ksh ye..selamat menunaikan ibadah puasa dan terawih ye..sama2 pekakkan telinga..diam itu lebih baik he3...

abuikhwan said...

Salam ramadhan sahabatku, kadang-kala kunci mulut dan pekakkan telinga adalah yang terbaik. Kalau kita nak ikut apa yang org sekeliling bisingkan hmmm...satu kerja pun kita tak boleh nak buat. Selagi apa yang kita buat itu tidak bersalahan dengan syarak maka teruskan. Apa org nak kata pedulikan. Mcm cicak yg pekak itu...

Post a Comment