Sahabat Sejati
Wednesday, 10 July 2013
Catatan hari ini sebelum Ramadhan 1434H
Saya tiba di rumah beberapa minit sebelum azan maghrib berkumandang setelah dua hari berada di Kuala Lipis. Saya ke sana kerana atas utusan kerja. Turut menemani saya ialah seorang sahabat yang bernama Fazil. Kebetulan pula dia berasal dari Kuala Lipis. Mudahlah sedikit perjalanan ke sana. Saya bukanlah biasa sangat ke sana, seingat saya baru empat kali saya ke Kuala Lipis. Itupun sudah bertahun lamanya, kali terakhir lebih kurang lima tahun dahulu. Tentu banyak perubahan yang berlaku dalam tempoh tersebut.
Kami ke sana seawal jam 9 pagi melalui jalan Jerantut Feri – Kerambit. Jalannya yang bengkang-bengkok serta naik bukit turun bukit, tidak memberi keselesaan kepada saya. Terasa pening dan mual. Mujur tidak terhambur isi perut, kalau tidak malu juga rasanya. Entah mengapa, sekarang ini saya sering kepeningan ‘mabuk perjalanan’ jika bermusafir jauh. Lebih-lebih lagi jika jalan yang dilalui seumpama ular kena palu. Maka lebih pantas pening dan mual yang menyerang. Pelik juga sebelum ini saya tidak begitu, melainkan semasa zaman kanak-kanak dahulu.
Sebelum sampai ke destinasi yang dituju, Fazil mengajak saya makan tengahari di sebuah kedai makan yang sering disinggahinya setiap kali ke Kuala Lipis. Sangat istimewa katanya. Teruja juga saya untuk mengetahui apakah keistimewaan yang dikatakannya itu. Kedai makan Kampung Melaka itulah tempatnya. Terletak di tepi jalan antara Kechau Tui dan Merapoh. Semasa kami sampai kelihatan susunan kenderaan di luar kedai.
Ramai sungguh pelanggan yang sedang menikmati makan tengahari sehingga tidak cukup tangan pekerja kedai melayan. Kedainya ‘simple’ sahaja. Dinding depannya menggunakan susunan papan sebagai dinding yang boleh dibuka sekeping, sekeping. Memang ‘design’ kedai lama di kampung-kampung. Manakala tiang luar dan alangnya diperbuat daripada batang kayu hutan, memang istimewa. Tetapi apa yang menakjubkan saya ialah bagaikan bersambung kenderaan yang berhenti untuk makan dan minum.
Namun, rupa-rupanya keistimewaan utama ialah menu yang disediakan iaitu daging bakar dan ikan tilapia bakar, dicicah dengan kicap bersama hirisan bawang dan lada serta titisan limau nipis. Memang mengecurkan air liur. Cukup makan nasi putih dengan ikan bakar sahaja tanpa mengambil lauk sayur. Menurut pekedai tersebut bekalan ikan tilapia diperolehi daripada penternak ikan sangkar yang banyak kedapatan di sekitar daerah Kuala Lipis. Maknanya ikan segar yang dipelihara dalam air mengalir, patut tidak berbau dan berlemak.
Alhamdulillah, kami mencicip rezeki yang Allah SWT kurniakan hari ini dengan nikmat puji dan syukur. Sehingga bersih tulang-temulang daripada daging ikan yang terlekat. Insya-Allah, mungkin tengahari esok kami kembali lagi untuk menikmati sekali lagi sebelum pulang ke Kuantan.
"Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kepada kepada kami makan dan minum, dan jadikanlah kami ini termasuk ke dalam golongan orang-orang yang tunduk patuh kepada-Mu."
Labels:
aktiviti,
Bicara santai,
diri,
rileks sekejap
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
salam sahabat AI..wah berselera pulak baca entri ni he3..best kan makan kat kedai makan simple2 macam tu.yang penting menu tu hah terbaik!!!
selamat menunaikan ibadah puasa & terawih,ye untuk AI sekeluarga ^^
memang terbaik!
salam ramadhan juga kepada sahabat sekeluarga...
Post a Comment