Sahabat Sejati

Sunday, 10 March 2013

Bicara santai: Selamat Hari Wanita. Anda tinggi jangan rendahkan


Diriwayatkan seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw lalu berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?” Baginda menjawab: “Ibumu!” Lelaki itu terus bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w menjawab: “Ibumu!” Lelaki itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w menjawab: “Ibumu!” Sekali lagi dia bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w menjawab: “Bapamu!” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Dalam satu hadis yang lain, Nabi saw bersabda: “Sesiapa yang menanggung dua anak perempuan, lalu berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi tirai pencegah baginya daripada api neraka.” (Riwayat al-Bukhari) 

08 Mac adalah Hari Wanita Sedunia. Ini bermaksud satu pengiktirafan kepada wanita, suara, hak dan peranan. Berbagai-bagai acara sambutan diadakan termasuk juga di negara kita.

Dalam sejarah kemanusiaan, Adam sebagai manusia pertama di dunia didampingkan dengan Hawa, seorang wanita. Tidak mungkin seorang lelaki tidak memerlukan seorang wanita, begitulah sebaliknya. Masing-masing memerlukan di antara satu sama lain dan saling lengkap-melengkapi. Bagaimana jika di dunia ini hanya dipenuhi oleh lelaki sahaja, atau wanita sahaja. Tentu ia akan rosak. Siapakah yang akan melakukan kerja-kerja yang sesuai sifat lelaki dan siapa pula boleh melakukan kerja-kerja yang sesuai dengan sifat kewanitaan. Lelaki mempunyai peranannya, manakala wanita juga mempunyai peranan yang sesuai dengannya.

Firman Allah SWT:

"Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa') dan juga yang membiakkan daripada keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (an-Nisaa': 1) 

Seringkali kita menatap berita-berita di dada akhbar, majalah atau melihat di media elektronik mengenai dakwaan agama Islam mendiskriminasi golongan wanita. Status wanita sering dijadikan sasaran serangan media sekular. Ia dibangkitkan oleh golongan yang mendakwa memperjuangkan hak kesamarataan gender, atau menuntut hak yang sama di antara lelaki dan wanita.

Banyak isu-isu yang dibangkitkan seperti mengapa isteri wajib taat kepada suami tetapi suami tidak perlu taat kepada isteri, wanita mendapat kurang harta pusaka berbanding lelaki, mengapa kuasa talak terletak di tangan lelaki tetapi seorang wanita tidak boleh menceraikan suaminya. Ada juga yang mendakwa al-Quran menindas kaum wanita kerana para pentafsir al-Quran terdiri dari kalangan lelaki, maka mereka menafsir menurut kepentingan lelaki. Bahkan terdapat banyak lagi pertikaian yang kadang-kadang membuatkan kita rasa pelik dan beristighfar kepada-Nya.

Bagi saya perbezaan jantina tidak meletakkan atau menetapkan mana-mana pihak lebih baik daripada pihak yang lain. Lelaki dan wanita memang banyak perbezaannya tetapi masing-masing mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Dengan keistimewaan itulah mereka memainkan peranan yang sesuai dengan sifat dan tabiat mereka.

Saya merasa hairan mengapa ada golongan wanita yang mahu menuntut hak kesamarataan sedangkan Islam meletakkan wanita di tempat yang tinggi dan mulia. Ya, Islam memuliakan mereka. Setelah Islam memulia dan meninggikan mereka, mengapa mereka mahu menurunkannya pula? Alasannya ialah mahukan keadilan. Saya katakan keadilan dalam Islam bukan bermaksud sama rata atau tidak berat sebelah, tetapi adil membawa maksud “meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya”. Sifirnya cukup mudah, kita ada dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Untuk anak lelaki kita belikan songkok manakala untuk anak perempuan kita belikan selendang, bukankah iai sesuatu yang adil? Atau atas dasar keadilan dan sama rata kedua-duanya kita belikan songkok.

“Pakcik, kenapa dua-dua beli songkok?”

Jawab pakcik: “Adil....”

Itu bukan adil namanya, itu .........

Untuk persoalan di atas, wanita wajib taat kepada suami tetapi lelaki pula wajib taat kepada ibunya tiga kali lebih utama dari bapanya, sebagaimana hadis yang telah saya nukilkan di atas. Bukankah ibu adalah seorang wanita? Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi sesuatu yang harus kita ketahui bahawa harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak wajib menyara suami dan anak-anaknya, manakala lelaki menerima pusaka yang lebih, tetapi ia perlu pula menanggung perbelanjaan sekeluarga. Begitu juga dengan soal perceraian. Memang kuasa talak di tangan lelaki, kerana mengikut kajian saintifik, dari sudut biologi umumnya wanita lebih beremosi berbanding kaum lelaki. Maka, Allah meletakkan kuasa talak di tangan lelaki, tetapi mengizinkan kaum wanita menuntut fasakh dengan sebab-sebab yang dibenarkan.

Sejarah lalu

Jika kita meneliti di dalam sejarah, di zaman jahiliah dahulu amat menyedihkan. Golongan wanita sentiasa tertindas dan teraniaya. Sebelum kebangkitan Nabi Muhammad saw, wanita hanya menjadi alat memuaskan nafsu. Kalau berkahwin, lelaki boleh berkahwin seramai mungkin namun hak dan tanggungjawab diabaikan. Jika tidak mahu boleh dibuang sesuka hati atau dibiarkan tanpa bertali. Manakala anak perempuan ditanam hidup-hidup demi mencari kemuliaan atau menutup rasa aib.

Bahkan terlalu banyak fakta yang menunjukkan bahawa status wanita pada tamadun awal adalah amat rendah sehingga martabat kemanusiaan yang asas pun dinafikan.

Tamadun Babylon, di bawah undang-undang Babylon martabat wanita amat rendah. Contohnya jika seorang lelaki membunuh seorang lelaki atau wanita, maka bukan lelaki tersebut yang dihukum sebaliknya isterinya yang akan menerima hukuman.

Tamadun Yunani dianggap tamadun yang paling lama dan agung. Di bawah sistem yang dikatakan ‘agung’ ini, hak wanita dilucutkan dan dipandang rendah. Menurut mitologi Yunani, seorang ‘wanita khayalan’ yang dipanggil ‘Pandora’ merupakan penyebab nasib malang yang menimpa manusia. Kaum Yunani menganggap kaum wanita seperti binatang dan jauh lebih rendah martabatnya daripada lelaki.

Tamadun Rom ketika zaman kegemilangannya, seorang lelaki berhak mengambil nyawa isterinya. Pelacuran dan pembogelan menjadi kebiasaan di kalangan kaum Rom.

Orang Mesir (pra-Islam) menganggap wanita sebagai jahat dan sebagai petanda syaitan.

Orang Arab sebelum Islam berkembang memandang rendah terhadap wanita. Seringkali anak-anak perempuan di tanam hidup-hidup. Apabila kedatangan haid, mereka akan ditinggalkan di padang pasir kerana boleh membawa nasib buruk. Tetapi setelah kedatangan Islam, maka Islam telah mengangkat status wanita ke tempat yang mulia dan memberikan mereka hak-hak yang sesuai untuk mereka. Islam berharap mereka memelihara status dan kemuliaan mereka. Ini berlaku lebih 1400 tahun dahulu.

Umar al-Khattab ra berkata: “Pada zaman jahiliah, kami tidak menghargai wanita walau sedikit pun. Tetapi tatkala Islam datang dan Allah menyebut-nyebut tentang mereka, barulah kami sedar bahawa mereka mempunyai hak ke atas kami.”

Penutup

Lihatlah, betapa Islam menyanjungi wanita. Sebelum ada sambutan hari wanita, Islam terlebih dahulu membicarakan tentang hak-hak dan kemuliaan wanita. Selaklah lembaran al-Quran dan hadis, banyak menukilkan perihal wanita sepanjang masa. Sebagai contoh,Surah an-Nisa’ sendiri menggambarkan keprihatinan Islam terhadap martabat wanita. Alhamdulillah, zaman kini berubah dan nasib wanita semakin terbela. Wanita semakin mendapat tempat di dalam masyarakat dan banyak sumbangan yang diberikan di dalam konteks kesesuaiannya bersama golongan lelaki. Bahkan sekarang ini banyak pertubuhan dan persatuan yang membela nasib kaum wanita.

Oleh itu, duhai wanita sekelian, janganlah anda merendahkan kembali ketinggian dan kemuliaan martabat yang telah diberikan Islam kepada anda. Janganlah kembali ke zaman lampau atas nama jahiliah moden sedangkan ianya jauh merendahkan keperibadian anda. Tidakkah anda sudah berada di landasan terbaik kini? Tepuk dada tanya iman di dalam dada!

“Selamat Hari Wanita 2013, anda terlalu tinggi di mata saya kerana taatkan Allah dan Rasul”

0 comments:

Post a Comment