Sahabat Sejati

Monday, 11 March 2013

Islam tidak boleh dipolitikkan?

Soalan: 

Dalam akhbar-akhbar arus perdana sudah diberi ruang orang menulis dan membuat cadangan kepada kerajaan, agar jangan membenarkan nama Islam digunakan dalam mana-mana pertubuhan, termasuk pertubuhan politik atas alasan, Islam tidak boleh dijadikan alat propaganda, agenda untuk kepentingan diri atau kelompok, Islam perlu diletakkan di tempat yang paling tinggi. Mohon pandangan, terima kasih.

Jawapan:

Sepintas lalu, orang yang tidak faham Islam boleh terpengaruh dengan idea ini. Kononnya hendak menjaga Islam, dan mahu Islam diletakkan di tempat yang paling atas daripada segala-galanya dan jangan sekali-kali dipolitikkan, apatah lagi hendak dijadikan alat propaganda peribadi atau kelompok.

Sebenarnya Islam tidak begitu. Hakikatnya, Islam itu sendiri adalah segala-galanya. Islam dan politik, Islam dan penghidupan, Islam dan kerjaya adalah sesuatu yang padu dan tidak boleh terpisah sama sekali.

Jika dipisahkan, maka lemahlah Islam dan rosakkan kehidupan beragama.

Cuba kita renungkan. Tidakkah kita semua umat Islam, membaca pada setiap permulaan solat, iaitu di dalam doa iftitah yang bermaksud: “Sesungguhnya solatku, ibadatku, kerjaya hidupku, persediaanku menghadapi setelah mati, semuanya dilakukan kerana Allah, Tuhan Yang Memelihara dan Mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya. Dan itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah golongan yang terawal (terbaik) menyerah diri kepada Allah.”

Ertinya di sini, Islam itu adalah segala-galanya dalam konteks kehidupan seorang Muslim yang sejati. Tidak ada batas pemisah antara penghidupan dengan Islam.

Itulah yang selalu diungkap oleh ilmuan Islam yang sebenar, bahawa Islam itu adalah agama dan pemerintahan, aqidah dan syariat bersatu atas nama Islam. Tidak sesekali boleh terpisah dan dipisahkan.

Itulah juga yang disebut-sebut bahawa Islam itu syamil dan kamil, iaitu sempurna dan lengkap segala-galanya.

Secara logik, jika diikut dan dilaksanakan mengikut persoalan di atas, bahawa Islam diletakkan di tempat yang tinggi dan tidak boleh dicampur dalam penghidupan, tidak boleh dimasukkan sebagai nama pertubuhan, maka peranan Islam dalam penghidupan Muslim terasing dan terpisah.

Idea ini akan menyebabkan Islam akan dikurung dalam penjaranya, Islam akan lesu dan terpisah daripada penghidupan. Sesiapa pun tidak kisah kepada Islam, yang tinggal hanya lambang dan namanya sahaja.

Cadangan yang dibawa itu, nyata berniat jahat, hendak melumpuhkan Islam di saat Islam itu mula hendak dimartabatkan dalam penghidupan bernegara. Atas nama hendak membela Islam konon, Islam yang hendak kehendaki oleh kumpulan itu, adalah Islam yang tercorot dan termundur kerana tersisih daripada penghidupan ummah.

Islam pada ketika itu tidak berkembang dan tidak berperanan dalam penghidupan. Ia tidak bermaya kerana tidak menjadi tonggak kepada pemerintahan.

Islam menuntut umatnya agar terus menghayati peraturan, prinsip dan undang-undang yang telah tersedia untuk dilaksanakan oleh ummah.

Hayatilah sabda Junjungan Besar Nabi Muhammad saw bahawa Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.

Maksudnya, apabila Islam dilaksanakan dalam penghidupan, maka ia akan dihormati dan dimartabatkan ke tempat yang tinggi.

Bukti nyata apa yang saya katakan ini benar. Cuba lihat kembali sejarah, Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw di zaman Makkatul Mukarramah iaitu zaman sebelum hijrah.

Sebelum hijrah Islam kelihatan tidak bermaya. Islam tidak boleh dihayati, malah hendak menunaikan solat pun, tidak bebas. Umat Islam diseksa kerana bersolat, hukum-hakamnya tidak dapat dilaksanakan kerana Nabi Muhammad saw tidak memegang kuasa pemerintahan.

Apabila tidak boleh dilaksanakan tuntutan beragama, maka Islam kelihatan seperti malap.

Apabila berhijrah ke Madinatul Munawwarah, Islam menjadi wadah pemerintahan. Kuasa berada di tangan Rasulullah saw, maka Islam dilaksanakan dalam penghidupan, maka cemerlang dan hiduplah Islam dan berperananlah ia sebagai suatu cara penghidupan yang sempurna.

Apakah orang-orang yang membuat cadangan persoalan di atas berani menuduh bahawa Rasulullah saw menggunakan nama Islam untuk kepentingan dirinya?

Apakah Nabi saw dan sahabat-sahabatnya, melaksanakan Islam untuk kepentingan kelompoknya? Tidak sama sekali. Mereka melaksanakan semua itu, di atas arahan Allah SWT iaitu Islam sebagai A complete way of life, bimbingan untuk hidup sempurna sepenuhnya. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

0 comments:

Post a Comment