Soalan:
Apakah benar yang saya dengar bahawa semua manusia akan dibangunkan di Padang Mahsyar nanti, dalam keadaan bertelanjang bogel tanpa sehelai benang pun di badan mereka, hatta Nabi Muhammad saw dan rasul-rasul semuanya bertelanjang bulat. Lelaki dan perempuan, tua dan muda, sama-sama bertelanjang. Apakah semua ini benar? Mohon penjelasan.
Jawapan:
Persoalan anda adalah berkaitan kepercayaan kepada perkara ghaib. Perkara belum berlaku, betul atau tidak akan berlaku, seperti yang anda sebut, bergantung kepada keyakinan (iman kita kepada nas-nas syarak yang sahih).
Kepercayaan kepada hari kiamat adalah Rukun Iman. Apa yang akan berlaku pada hari itu, hendaklah diimani dan dipercayai atas keterangan-keterangan nas yang sahih dan sareh (terang).
Ada hadis daripada Aishah r.anha (mafhumnya): “Dihimpun manusia pada hari kiamat dalam keadaan berkaki ayam, bertelanjang bulat dan tidak berkhatan (bersunat). Lalu Aishah bertanya kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasulullah, kalau begitu pada hari itu manusia dapat melihat aurat orang lain.” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aishah, suasana pada hari itu amat menggemparkan manusia, amat menakutkan, sehingga tidak ada yang peduli kepada aurat orang lain.” (Riwayat Imam Muslim)
Apa yang anda sebut tentang rasul-rasul juga berbogel pada hari itu adalah benar. Ada hadis daripada Ibnu Abbas ra. beliau menceritakan (mafhumnya): “Rasulullah saw pernah berucap, “Wahai manusia sesungguhnya kamu akan dihimpunkan di Mahsyar nanti dalam keadaan berkaki ayam dan bertelanjang bulat, sebagaimana kamu lahir daripada perut ibumu dahulu. Ketahuilah bahawa awal-awal manusia yang diberi pakaian di hari kiamat, adalah Nabi Ibrahim as.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Suasana berlaku kiamat dan manusia dibangunkan semula dalam keadaan yang menggerunkan dan mengerikan itu, akan menyebabkan setiap manusia di dalam kebingungan dan ketakutan yang amat sangat.
Setiap orang hanya memikir tentang dirinya sahaja, hendak menyelamatkan dirinya sahaja.
Perihal ini Allah ceritakan di dalam firman-Nya (mafhumnya): “Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya. Dan ibunya serta bapanya. Dan isterinya serta anak-anaknya. Kerana tiap-tiap seorang daripada mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.” (‘Abasa: 34-37)
Anda boleh bayangkan perihal analogi di dunia ini, andai kata berlakulah gempa bumi yang memusnahkan sebuah negeri atau kebakaran menyeluruh berlaku, maka anda akan dapat saksikan suasana hiruk-pikuk, pekik-memekik berlaku, manusia meraung meminta pertolongan, berlari ke sana ke mari.
Dan sudah tentulah dalam keadaan sebegitu, jika ada orang berlari tanpa pakaian, apakah di dalam ketakutan yang amat sangat, masih ada orang yang hendak memandang (mempedulikan) aurat orang lain?
Apa yang lebih penting, mereka menyelamatkan diri sendiri dan tidak mempedulikan orang lain.
Demikian itulah keadaan yang anda boleh bayangkan berlaku di akhirat nanti.
Apa yang penting, kita muhasabah diri sendiri, apakah kita cukup persediaan untuk menghadap Allah SWT. Apakah amal ibadat kita diterima Allah atau tidak.
Apakah tidak akan berlaku amalan manusia, ditolak kesemuanya, seperti firman Allah (mafhumnya): “Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu (terbatal) yang berterbangan (oleh angin kencang).” (al-Furqan: 23)
Sumber: Bersama Dato' Dr Harun Din
3 comments:
Allah..
slm shbt AI,smga sht sentiasa bersama keluarga tersayang :)
sy mmg dh bc ttg ini dikoleksi buku agama saya.owh ms tu semua sdg sibuk,tpinga2,keluh kesah mengenang keselamatan,untung nsb di nerakakah,syurgakah tmpt dituju.mmg sesama kita x akan sempat utk memandang org sekeliling.subhanallah....
semoga bermanfaat!
Post a Comment