Saya mendongak ke langit tinggi, merenung di kejauhan malam yang hening. Gumpalan awan yang berarak bagaikan memaksa sang bulan bersembunyi di sebalik warna kelabunya. Hilanglah cahaya kekuningan yang tadi tersimbah menyuluh disegenap hamparan alam.
Rasa nyaman dijiwa berkusar dek kerana bulan yang malu-malu mengintai. Kelam dan suram seperti menceritakan isi hati saya yang benar-benar berkecamuk ketika ini. Entah mengapa begitu sukar melelapkan mata malam ini, sedangkan isteri dan anak-anak telah lama terlena hanyut dibuai mimpi.
Termenung sendirian di malam-malam yang begini, ada sesuatu yang mengundang sebak di dada. Kerinduan dan kesyahduan memayuti dinding hati, tidak semena-mena terbayang diruangan mata wajah kasih emak. Sesungguhnya wajah emak bersama seraut senyuman yang terukir dipipi tuanya sangat-sangat berbekas dalam ingatan saya ketika kini. Saya benar-benar rindukan emak. Rindukan suaranya yang sentiasa menyapa lembut tiap kali saya dihimpit pelbagai cabaran. Akhirnya masalah itu terbang berlalu dengan sendiri hilang bersama desiran angin.
Saya teringat sehari sebelum emak pergi mengadap Ilahi. Petang itu emak menelefon saya untuk berbual-bual. Ceria sungguh saya dengar suara emak dan banyak pula bual bicaranya. Tetapi saya tidaklah mengesyaki apa-apa kerana emak memang sentiasa ceria dengan anak-anaknya. Rupa-rupanya bagaikan petanda emak akan meninggalkan kami semua, mungkin.
Malam semakin merangkak sepi. Jika dapat saya bertanya, kemanakah hilangnya suara riang-riang dan cengkerik malam. Mungkinkah mereka juga seperti saya tidak keharuan? Berlagulah wahai makhluk Tuhan, hiburkan hati ini agar hilang resah dan terubat gundah yang tiba-tiba menyesakkan dada.
Kokok ayam sayup-sayup kedengaran singgah di cuping telinga, jam sudah pun menunjukkan dinihari. Angin sejuk yang bertiup sesekali menyelinap masuk melalui bingkai tingkap yang agak renggang. Saya bangun berjuntai di katil, bilik sempit yang agak usang itu saya tatap, bagaikan itulah kali pertama saya menginap disitu, sedangkan di bilik inilah dahulunya saya dan abang-abang bergurau-senda sebelum melelapkan mata. Sesekali kaki atau tangan tertampan ke dinding.
“Tidur..! jerit emak dari bilik sebelah.
Lantas kami membatukan diri sambil tersengih di dalam gelap.
Kenangan itu juga telah lama berlalu.
Telah semusim berlalu
Pantasnya masa yang bergulir, pejam dan celik telah menghampirkan bilangan dua musim emak meninggalkan kami semua. Perit mengenangnya? Pasti, namun itulah ketentuan yang harus ditelan biarpun pahitnya menunjah ke anak tekak.
Sebagai anak yang paling kecil tentunya saya memiliki segudang kenangan bersama emak. Di saat adik-beradik lain yang telah pun keluar mencorak kehidupan keluarga sendiri, saya masih lagi bermanja tinggal di bawah bumbung yang sama bersama emak.
Seingat saya, emak tidak pernah memanggil nama saya, tidak pernah, sebaliknya dengan nama timangan yang amat manja. Dulu, saya terasa amat malu dengan panggilan tersebut. Lebih-lebih lagi di hadapan kawan-kawan. Saya akan masam mencuka jika emak memanggilnya di hadapan kawan-kawan. Kini sekian lama berlalu, saya amat rindukan panggilan itu. Jika boleh saya mahu mendengar emak memanggilnya tiap ketika. Biarlah panggilan itu menunjah ke anak telinga. Biarlah, saya relakan. Namun tidak mungkin. Semuanya tidak akan terjadi. Benarlah kata pujangga seni, sesuatu itu akan kita ketahui nilai dan harganya apabila ia hilang dari pandangan. Sungguh, baru kini saya merasai nilai harganya setelah ia terluput dimamah waktu.
Tatkala pulang ke desa tercinta, saya termenung di beranda rumah pusaka. Hati mula dihimpit hiba, saya cuba mengutip kembali kepingan-kepingan kenangan yang masih berbaki. Hakikatnya satu persatu telah hilang dimamah masa. Saya cuba membayangkan pohon jambu air yang telah bergenerasi tegak di hadapan rumah. Begitu juga rumpun buluh yang menyimpan berbagai kenangan lucu. Di belakang rumpun buluh itu pula mengalir sebatang anak sungai yang seringkali saya randuk bersama rakan-rakan sambil menangkap berudu yang disangka ikan berkaki. Kadang-kadang merasa juga sedas dua libasan rotan ‘kasih sayang’ emak tatkala pulang dengan badan dan pakaian yang comot berselut. Itulah naluri seorang ibu, marah kerana masih ada sayang.
Emak tidak bersekolah tinggi, hanya bersekolah kampung setakat darjah lima.
“Anak perempuan tidak perlu belajar tinggi.”
Bahasa pemikiran penghuni desa dulu-dulu.
Emak tidak pernah menyesali akan taqdir dirinya, keadaan waktu itu memang begitu. Hanya mereka yang berada sahaja dapat belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Namun begitu, cita-cita emak untuk melihat anak-anaknya berjaya tidak pernah pudar. Emak tidak mahu anak-anaknya mewarisi kejahilan dan melalui taqdir hidup sepertinya dahulu.
Sesuatu yang sentiasa saya ingat tentang emak, setiap pagi mahu ke sekolah emak tidak pernah lupa berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh dan serta menghormati dan mendengar nasihat guru. Sehingga sekarang kalimat ini amat berbekas dan saya jadikan ia azimat yang tersemat kukuh di sudut sanubari.
Saya perasan. Emak seorang yang amat pemaaf. Dia memaafkan saya dan adik beradik yang lain tanpa menyoal apa-apa. Walau bagaimanapun saya, nakal atau degil, rajin atau malas, emak menerima saya seadanya, tanpa berlengah menghulur maaf.
Begitu besarnya jiwa ayah dan ibu. Tidak mungkin anak-anak dapat menandinginya. Ayah dan ibu mampu menahan kepedihan dan keperitan membesarkan anak-anak, tapi mampukah anak-anak menahan kesabaran menjaga seorang ayah atau ibu. Entahlah, setiap orang mempunyai jawapan yang tersendiri.
Saya melihat
Hati saya amat tersentuh satu hari apabila memerhati seorang ibu yang memayungkan anaknya sedangkan dia sendiri basah kuyup ketika menghantar anaknya ke sekolah. Saya memerhati dengan penuh kesyahduan. Bahasa kasih sayang seorang ibu bukan sekadar luahan di kelopak bibir. Bergenang airmata dan keringat darah demi kebahagiaan anak-anak.
Kita menumpang selama sembilan bulan di alam kasih sayang dan alam belas kasihan. Jika tiada secangkir kasih sayang di hati seorang ibu, nescaya dicampaknya kita yang masih merah ke dalam tong sampah, ke dalam longkang, disangkut pada pagar surau atau dimana sahaja. Kita berada di tempat di mana kita berada sekarang kerana secebis belas dan kasihan seorang ibu.
Lihatlah... seorang wanita yang kita panggil ibu.
Aduhai, kita ini sentiasa menyusahkan. Ketika di dalam kandungan, ibu kepenatan kerana kita. Masa lahir, ibu kesakitan kerana kita. Masa membesarkan, ibu kepeningan dengan berbagai karenah kita. Kita menjerit sesuka hati, memalukan ibu bapa di tengah kenduri? Kita kencing dan berak sesuka hati, kita demam tanpa mengira musim serta seribu karenah yang tidak ada kesabaran melainkan pada hati seorang ibu.
Saya juga kehilangan kata-kata tatkala menatap berita-berita di dada akhbar, kisah anak-anak yang membuang orang tuanya, kisah anak-anak yang menyingkir ibu bapa dalam kehidupan mereka. Apakah yang selayaknya mahu digelar kepada mereka ini?
Seburuk mana pun ibu bapa, sejahat dan sebusuk manapun mereka, kita janganlah sekali-kali membenci mereka, janganlah kita lupa akan kebaikan mereka. Sesungguhnya Allah SWT meletakkan kewajipan kita sebagai anak-anak untuk berbuat baik, menjaga kebajikan dan menghormati mereka. Biar apa pun mereka, bukan hak kita untuk menghukum mereka atas kesilapan dan kekurangan mereka. Bahkan Allah SWT yang selayaknya menilai dan menghisabnya. Kepada Allahlah mereka akan bersoaljawab akan peranan dan tanggungjawab terhadap anak-anak.
Akhir coretan
Emak saya bukan “sesiapa”, bukan juga isteri kepada yang bergelar “sesiapa”. Emak saya tidak pernah berjasa kepada “sesiapa”, jauh sekali berjasa kepada negara. Emak saya hanyalah insan biasa, tetapi seorang yang amat hebat di mata saya.
Di dalam dunia ini ada berbillion wanita, tetapi kita hanya ada seorang wanita yang kita panggil ibu.
Jika ditanya kepada saya: “Apakah yang anda mahu lakukan jika anda mampu mengundurkan putaran masa?”
Tentunya saya menjawab:
“Saya mahu memeluk dan mencium emak saya dan melakukan segala kebajikan untuknya yang tidak sempat saya lakukan dulu...”
Sentiasalah bibir ini basah dengan doa untukmu, duhai ibu...
“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (al-Isra’: 24)
0 comments:
Post a Comment