Sahabat Sejati

Saturday, 19 January 2013

Fikir-fikir: Keutamaan cinta akhirat


Satu analogi.

"Jika kita menanam padi, rumput pasti akan tumbuh. Tetapi jika kita menanam rumput, padi tidak akan tumbuh."

Dari Zaid bin Tsabit ra. beliau berkata, kami mendengar Rasulullah saw bersabda:

 مَنْ كانت الدنيا هَمَّهُ فَرَّق الله عليه أمرَهُ وجَعَلَ فَقْرَهُ بين عينيه ولم يَأْتِه من الدنيا إلا ما كُتِبَ له، ومن كانت الآخرةُ نِيَّتَهُ جَمَعَ اللهُ له أَمْرَهُ وجَعَلَ غِناه في قَلْبِه وأَتَتْهُ الدنيا وهِيَ راغِمَةٌ 
“Barangsiapa yang (menjadikan) dunia tujuan utamanya maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya dan menjadikan kemiskinan/tidak pernah merasa cukup (selalu ada) di hadapannya, padahal dia tidak akan mendapatkan (harta benda) duniawi melebihi dari apa yang Allah tetapkan baginya. Dan barangsiapa yang (menjadikan) akhirat niat (tujuan utama)nya maka Allah akan menghimpunkan urusannya, menjadikan kekayaan/selalu merasa cukup (ada) dalam hatinya, dan (harta benda) duniawi datang kepadanya dalam keadaan rendah (tidak bernilai di hadapannya).“ (Riwayat Ibnu Majah (no. 4105), Ahmad (5/183), ad-Darimi (no. 229), Ibnu Hibban (no. 680) dan lain-lain dengan sanad yang sahih. Dinyatakan sahih oleh Ibnu Hibban, al-Bushiri dan Syeikh al-Albani)

Hadis ini menceritakan keutamaan akhirat berbanding kehidupan dunia. Bukan bermakna dunia ini langsung tidak ada kepentingan, tetapi celaan kepada mereka yang rakus mengejar kehidupan dunia sehingga melupakan kehidupan akhirat. Dunia adalah jambatan akhirat, tempat mengumpul amal untuk kesenangan di akhirat. Jika tiada dunia bagaimana mahu beramal? Yang dilarang dan ditegah ialah mengejar dunia tanpa mempedulikan atau memikirkan nasib di akhirat nanti.

Orang yang cinta kepada akhirat akan memperoleh rezeki yang telah Allah SWT tetapkan baginya di dunia tanpa bersusah-payah, berbeza dengan orang yang rakus mengejar dunia, dia akan memperolehnya juga harta yang dikejar itu, namun dengan segenap kepayahan lahir dan batin. Bahkan apa yang diperolehinya itu tidak pula mencukupi. 

Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah berkata: “Orang yang mencintai dunia (secara berlebihan) tidak akan lepas dari tiga (macam penderitaan): Kekalutan (fikiran) yang selalu menyertainya, kepayahan yang tiada henti, dan penyesalan yang tiada berakhir. “ (Igaatsatul lahfaan: 1/37)

Sekadar ingatan bersama. Fikir-fikir...

3 comments:

Kak iman said...

sobahul kahir..nice sharing

Siti Asiah said...

time kasih share hadis ni...sangat berguna kpd saya sebagai peringatan...:)

abuikhwan said...

semoga bermanfaat...

Post a Comment