Sahabat Sejati

Wednesday, 15 February 2012

Terima kasih Halim...

Perkhemahan sesi yang lalu berhampiran sungai

“Ana bercadang nak buat kem ibadat pada cuti sekolah nanti. Jadi, ana nak minta pandangan enta tempat yang sesuai.” Saya menghubungi sahabat baik, Halim. Mahu meminta buah fikirannya.

“Oh, macam tu. Berapa hari?” Tanya Halim yang memang ringan tulang dan ringan mulut, cukup mudah menghulurkan bantuan kepada sahabat-sahabat.

“Macam biasa, 3 hari 2 malam. Kalau boleh ana tak mahu di tepi pantai kerana ana hari-hari tengok pantai. Ana tak mahu juga di kawasan sungai pasal perkhemahan yang lepas pun dah di tepi sungai, ana tak mahu juga di kawasan hutan pasal ana dah biasa dengan kawasan hutan.” Saya menerangkan dengan panjang lebar.

Teringat perkhemahan yang lalu di tepi sungai, dengan peserta hampir 50 orang. Sungguh mencabar apabila berpuluh-puluh remaja yang saling tidak mengenali dihimpunkan di satu tempat. Namun, alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dari mula hingga ke akhir program. Jika adapun hanya insiden biasa yang tidak keterlaluan.

“Kalau begitu ana cadangkan enta buat perkhemahan di kawasan tanah perkuburan. Rasanya belum ada lagi orang buat. Boleh mengingat kepada kematian di samping tu boleh menguji keberanian pelajar-pelajar, termasuk fasilitator juga, yalah fasilitator pun perlu diuji juga sekali-sekala.....,” jawabnya dengan nada berseloroh di hujung telefon.

“Ha...ha...ha...” saya turut ketawa, terasa gelihati dengan cadangannya.

Tidak dapat saya bayangkan bagaimana reaksi para pelajar jika cadangan Halim saya turuti. Tentu kem ibadat ini berjalan dengan lancar dan baik sekali. Tidak perlu ada kawalan malam kerana para pelajar tidak akan merayau-rayau, selepas habis aktiviti terus duduk di dalam khemah.

Saya tahu Halim hanya bergurau.

Namun, disebalik gurauannya itu hati saya berkocak. Ya, lontaran gurauan yang terpacul dari mulut Halim dengan perkataan ‘kubur’ mendebarkan hati saya. Bukan kerana saya takutkan kubur sebagaimana zaman kanak-kanak dahulu, tetapi sepantas kilat terlintas satu perasaan di benak. Rupa-rupanya ada sesuatu yang Allah SWT ingin sampaikan melalui gurauannya. Saya menyedari, sebenarnya sudah lama saya tidak menziarahi pusara bonda di kampung.

Teringat satu kisah yang diceritakan oleh Umar al-Khattab, para sahabat pernah bersama-sama Rasulullah saw pergi ke satu tanah perkuburan. Lalu baginda duduk di satu kubur, berhampiran para sahabat. Setelah itu baginda menangis bercucuran air mata. Melihat Rasulullah saw menangis, lalu para sahabat turut menangis.

Nabi bertanya: “Mengapa kamu semua menangis?”

“Kami menangis kerana melihat engkau menangis, ya Rasulullah,” jawab sahabat.

Lalu Rasulullah saw menjawab: “Ini adalah kubur ibuku, Aminah binti Wahab. Aku meminta izin Tuhanku untuk menziarahi kubur ini, lantas diizinkan. Lalu aku memohon supaya ibuku diampunkan.” (Riwayat Ibnu Majah)

Syukurlah, di sebalik gurauan Halim itu, rupa-rupanya ia satu peringatan dari Allah SWT.

Selembar kenangan

Petang semalam, saat matahari memancarkan cahaya redupnya bersama hembusan angin lembut, saya singkap selembar demi selembar kenangan bersama bonda.

Masih saya ingat, sejuta kenangan yang amat membekas di hati. Ketika saya masih kecil, bonda menyuap nasi ke mulut di beranda rumah pusaka ayahanda. Sambil makan bonda bercerita kisah-kisah yang mencuit hati. Bonda tunjukkan burung yang melompat-lompat di atas ranting pohon jambu air. Kata bonda, burung itu Allah yang jadikan. Lalu saya berkata, saya juga mahu terbang seperti burung itu. Bonda tergelak sambil mengusap kepala saya. Oh Tuhan, manisnya saat itu.

Semuanya sudah berlalu, tidak mungkin ianya dapat dikecapi lagi.

Lama saya termenung di jendela.

Lalu petang itu saya putuskan bahawa saya akan bawa anak-anak pulang ke desa tercinta untuk menziarahi pusara ayahanda dan bonda.

“Insya-Allah, hujung minggu ini kami akan pulang.” Doa dan harapan dari hati kecil saya.

Terima kasih Halim atas ingatan itu...

3 comments:

Nazihah@Jiha said...

Assalamualaikum ustaz.Lama tak ke sini.

terkedu membaca,sedih pun iya.
Rasa bersyukur kpd Allah.

semoga Allah mencucuri rahmat kepada Allahyarhamah. Al-Fatihah.

||aLeaSaRa|| said...

salam singgah jengok sahabat :)

very touching words..."Masih saya ingat, sejuta kenangan yang amat membekas di hati. Ketika saya masih kecil, bonda menyuap nasi ke mulut di beranda rumah pusaka ayahanda. Sambil makan bonda bercerita kisah-kisah yang mencuit hati. Bonda tunjukkan burung yang melompat-lompat di atas ranting pohon jambu air. Kata bonda, burung itu Allah yang jadikan. Lalu saya berkata, saya juga mahu terbang seperti burung itu. Bonda tergelak sambil mengusap kepala saya. Oh Tuhan, manisnya saat itu."

al-fatihah untuk arwah bonda tersayang..

ye bagus juga idea kawan yg bernama Halim.kubur bukan tmpt yg menakutkan,ia sebagai Reverse Psychology utk mendidik mereka :)

abuikhwan said...

Allahu rabbi...

Post a Comment