Kehidupan adalah anugerah Allah SWT. Dia yang memilih kita untuk menikmati kehidupan di dunia ini. Sedangkan kita tidak pernah memintanya. Kita merasakan seperti tiba-tiba sahaja kita berada di dunia ini. Ya, kita hanya menyedari setelah berputik akal fikiran. Tetapi kehidupan kita bermula lebih awal daripada itu. Ianya bermula apabila kita mula mencelikkan mata dan melangsing tangisan pertama, itulah mula kehidupan di dunia.
Jasad kita berbeza usia. Ada yang muda, ada yang tua. Ada yang masih kanak-kanak, ada pula yang telah menginjak dewasa. Usia kita bermula dari tarikh dilahirkan, sekira-kira itu ia dihitung. Namun, roh kita adalah sebaya. Kita saling mengenali di alam roh. Semuanya bertasbih dan bertahmid membesarkan Dia. Dengan taqdirnya kita terpilih untuk ditiupkan ke dalam jasad. Namun, kita tidak berkuasa membuat pilihan jasad mana yang kita mahukan. Alhamdulillah, kita dipilih untuk berada di dalam jasad yang telah pun Islam fitrahnya. Jika tidak belum tentu Islamnya kita...
Kita dilahirkan setelah 9 bulan menumpang di alam kasih sayang. Ertinya kita telah mengenali kasih sayang sebelum melihat dunia ini lagi. Dengan kasih sayang juga kita dilahirkan, tanpa kasih sayang tentu kita tidak berada di dunia ini.
Kehidupan yang indah dan bahagia, tiada siapa yang menyisihkannya. Fitrah yang rosak sahaja mahu kehidupan yang sia-sia. Sebaliknya, fitrah yang kudus pasti merintih pada kebaikan. Namun, kita hanya mampu berusaha dan berdoa, sedangkan Dia yang menaqdirkan segala-galanya. Seringkali kita merancang untuk bahagia, tiba-tiba derita yang menjengah. Kehidupan, ia bukan seperti skrip filem yang boleh diatur agar gembira tiap ketika. Demikianlah kehidupan ini, ia ibarat air sungai yang mengalir, dapat diteguk untuk menghilangkan haus. Tetapi, ada ketika tanpa disedari kita boleh lemas di dalamnya.
Kata Syeikh Ibnu Atho`illah di dalam Kitab Hikamnya: “Allah melapangkan bagimu, supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan, dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”
Allah Maha Mengetahui, seringkali Dia mengubah keadaan kita, ada ketika kita sedih lalu diberikan gembira. Seketika kita sihat, tiba-tiba kita diberikan kesakitan. Ada yang kaya, tiba-tiba menjadi miskin, semuanya adalah untuk menyedarkan kita bahawa kita hamba yang lemah dan tidak akan terlepas dari ketentuan-Nya. Ini semua mengingatkan kita agar sentiasa berdiri di atas landasan LAA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH (Tiada daya untuk mengelakkan sesuatu dan tidak ada kekuatan untuk melaksanakan sesuatu, kecuali dengan pertolongan Allah SWT).
Allah SWT mengingatkan:
لِكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَى مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آتَاكُمْ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
"(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (al-Hadid: 23)
Justeru, marilah kita memperbanyakkan kesabaran dan rasa redha tatkala diuji dengan kesusahan dan kepayahan. Dan janganlah lupa untuk memanjatkan puji dan kesyukuran di atas nikmat yang kurniakan. Sedangkan keduanya amatlah sukar dan sulit untuk dilakukan malahan sering pula dilupakan.
Kitakan hamba...
0 comments:
Post a Comment