Sahabat Sejati

Tuesday 13 December 2011

Kembara Mencari Hamba: Dua tahun sudah berlalu


Assalamualaikum warahmatullah…

Alhamdulillah.

Pertama dan selamanya kita memanjatkan segenap kepujian dan syukur kepada Tuan empunya dunia dan apa yang ada di dalamnya, yang telah memberikan berbagai-bagai nikmat, termasuk dua nikmat terbesar iaitu nikmat Iman dan nikmat Islam. Dialah Tuhan yang layak disembah serta dipuja dan dipuji.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw, pesuruh Allah yang mengorbankan seluruh kehidupannya untuk mengeluarkan umat manusia dari kegelapan kepada cahaya hidayah. Juga salam sejahtera buat ahli keluarganya, para sahabatnya dan seluruh umat Islam umumnya.

Saya masih bernafas. Allah dengan keluasan kasih sayangnya masih memberikan kelapangan kepada saya untuk meneruskan tinta-tinta dakwah. Saya amat bersyukur dengan anugerah-Nya. Hari ini KEMBARA MENCARI HAMBA telah pun berusia dua tahun! Saya sisihkan perkataan jemu menulis dalam kamus kehidupan agar ianya tidak terkubur tanpa nisan. Walaupun sesekali ia hadir jua.

KEMBARA MENCARI HAMBA ini hanyalah anyaman kata dari lukisan rasa yang terjelma, tampil untuk berkongsi sedikit ilmu pengetahuan yang hakikatnya tidak sampai separuh debu. Ahh... betapa kerdil diri ini jika mahu dibandingkan hasil penulisan sahabat-sahabat yang lain.

Bukan merendah diri, tetapi mengakui kelemahan diri dan menghitung-hitung setelah menyuluh ke dalam diri sendiri, melihat dengan mata hati dan mendongak ke daerah tertinggi ke pangkuan Ilahi. Benar-benar kerdil...

Diriwayatkan oleh al-Hakim, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda:
“semasa Musa bertemu Khaidir, telah datang seekor burung lalu memasukkan paruhnya ke dalam air. Berkata Khaidir kepada Musa; “Adakah kamu ketahui apa yang dikatakan oleh burung ini?” Musa berkata; “Apakah yang dikatakan olehnya?” Berkata Khidir; “Kata burung itu, tiadalah ilmumu dan Musa pada ilmu Allah melainkan seperti air yang terlekat pada paruhku ini (dibandingkan air di lautan).”

Mudah-mudahan hadis junjungan mulia ini sentiasa memenuhi relung hati.

Mula menulis

Sejujurnya saya mengakui, saya mula mencoret bait-bait bahasa di alam maya ini agak terlewat, sedangkan ketika itu ribuan malahan jutaan blog telah pun meluncur laju di persada maya. Masih saya ingati, pada satu petang yang indah ketika matahari tersipu-sipu di sebalik awan saya mencuba-cuba untuk menukilkan sesuatu. Alhamdulillah, bermula detik itu saya terus menulis dan menulis, walaupun kadang-kadang terencat juga kerana kesibukan dan ketumpulan idea. Terima kasih sahabat saya yang membantu membina KEMBARA MENCARI HAMBA ini.

Saya menulis. Apakah saya merasakan bahawa saya penulis yang baik? Tidak sekali-sekali, tidak! Mahu mengaku sebagai penulis pun saya tidak mampu. Kadang-kadang terdetik juga rasa cemburu dihati tatkala membaca coretan sahabat-sahabat, penuh dengan gaya dan kreativiti yang tersendiri. Begitu juga dengan limpahan idea sahabat-sahabat tatkala saya kekontangan cerita yang mahu dicoretkan.

Saya amat menghargai kata-kata peransang dan galakan dari sahabat-sahabat di kotak komentar, terima kasih saya ucapkan. Namun saya amat takut pada pujian. Pesan guru saya, seorang da`ei yang seronok dipuji biasanya akan lupa hakikat kelemahan diri. Akhirnya jika ditegur dia akan kecewa, luntur semangatnya apabila dinasihati. Inilah penyakit jiwa, maka berhati-hatilah tatkala dipuji.

Namun tidak semua pujian membantutkan fikiran. Tidak kurang pujian sebagai perangsang ataupun sokongan dari belakang.

Mungkin limpahan coretan dari tarian jari yang menekan butang-butang huruf ini terlalu jauh mahu diungkapkan kesempurnaannya, kerana tiada yang sempurna selain-Nya. Namun, biarlah yang sedikit ini dapat menjadi sebahagian daripada ruang untuk sahabat sekelian mencari kesempurnaan itu.

Apa yang harapkan dari coretan-coretan yang dipersembahkan?

Tiada yang lebih bermakna selain daripada kepuasan pembaca mencicip manisnya ilmu yang terkandung dalam blog ini, pasti lebih berharga lagi jika apa yang dipersembahkan ini menjadi simpulan manfaat buat pembaca sekelian. Benar-benar ia menjadi harapan saya dalam setiap doa yang meluncur dari kelopak bibir.

Di hening ini juga, saya membisikkan bisikan penuh harapan, agar bait-bait huruf yang tersusun di dalam blog ini dinilai oleh Allah SWT sebagai amal soleh yang tersimpan diperbendaharaan-Nya. Andai ada belas ehsan-Nya, mohon diganjari pahala dari usaha yang kerdil lagi kecil ini. Lalu saya hadiahi khusus buat ayahanda dan bonda tersayang, yang terlebih dahulu berkelana di alam abadi. Mudah-mudahan tatkala dibangkitkan nanti telah ada penolaknya ke syurga Ilahi.

Bukan niat membalas jasa, tetapi sekadar menukilkan rasa cinta dan tulus bakti. Mana mungkin diri sang anak dapat membalas jasa keduanya. Longgokkanlah harta, berilah seisi dunia, belum mampu membayar setengah nafas mereka.

Dan pada akhirnya, saya berdoa sekiranya termuat pada coretan saya kesilapan dan kesalahan, mudahan-mudahan Allah SWT menggerakkan dan membuka pintu hati sahabat sekelian untuk menegur dan membetulkannya.

Jadikanlah pondok kecil abuikhwan satu persinggahan mengutip bait-bait mutiara kata, sebelum meneruskan perjalanan menuju destinasi seterusnya.


Saudara kalian,
abuikhwan (KembaraMencariHamba)

4 comments:

||aLeaSaRa|| said...

salam alhamdulillah dua tahun dah ye...kite antara rakan2 yg bertuah sebab dpt belajar sesuatu dari 'Kembara Mencari Hamba'.

Kadang2 tertanya-tanya bagaimana sahabat mendapat ilham yg sebegitu banyak?tak jemu2 berkongsi pengalaman,pendapat,dan tak dilupakan juga,doa dan hadis yang menguatkan lagi entri.

semoga penulisan di sini dapat menambahkan lagi ilmu kami semua dan teruskan berkongsi idea dan pglmn ya sahabat Abu Ikhwan :)

abuikhwan said...

terima kasih atas galakan dan sokongan...doakan semoga tidak kering ideanya untuk berkongsi sesuatu...

Nazihah@Jiha said...

Alhamdulillah. terima kasih atas segala titipan kasih dan ilmu buat semua kami pembaca 'kembara mencari hamba' :)

abuikhwan said...

semoga ianya memberi manfaat...

Post a Comment