Sahabat Sejati

Tuesday, 31 May 2011

Perihal roboh masjid

Soalan:

Boleh atau tidak sesebuah masjid yang telah dibina dan ditunaikan solat padanya bertahun-tahun lamanya termasuk solat Jumaat dengan sewenang-wenang dirobohkannya atas alasan tidak mengikut prosedur pembinaan yang sah. Mohon penjelasan menurut pandangan syarak, bukan pandangan politik. Terima kasih.

Jawapan:

BANGUNAN masjid atau mana-mana bangunan yang didirikan solat Jumaat padanya, adalah merupakan suatu institusi Islam yang disebut sebagai syiar agama.

Amat penting dihormati dan dimuliakan. Firman Allah (mafhumnya): "Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin." (al-Hajj: 32)

Oleh yang demikian, sekiranya telah terbina masjid, kita perlu memuliakannya dengan menjaga kemaslahatannya dan mengimarahkannya.

Adapun menggunakan alasan menyalahi prosiding yang dibuat oleh manusia, dengan alasan ia terpaksa dirobohkan kerana menyalahi prosiding, maka itu amat tidak wajar.

Dengan kata lain, tindakan ini diharamkan oleh agama.

Manusia membuat undang-undang yang mengatasi undang-undang Allah. Ketaatan kepada manusia mengikut syariat Islam, cuma terpakai selagi ia tidak bercanggah dengan hukum Allah.

Jika bercanggah dengan hukum Allah, maka perintah taat kepada undang-undang manusia terbatal.

Umat Islam, khususnya pemerintah yang beragama Islam, wajib mempertahankan hukum Allah dengan meletakkan kehendak manusia (undang-undang manusia) di bawah kehendak Allah (undang-undang Allah).

Bukan dengan meletakkan kehendak Allah di bawah telunjuk manusia, sehingga melanggarinya kerana menuruti undang-undang manusia.

Menjaga dan menghormati masjid, termasuk larangan merobohkannya atau dengan sewenang-wenang seperti persoalan yang anda ajukan adalah perintah oleh Allah.

Firman Allah (mafhumnya): "Dan siapakah lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang sedemikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar." (al-Baqarah: 114)

Al-Imam al-Qurtubi ketika membuat ulasan (tafsiran) ayat di atas pernah menyebutkan katanya (rujuk juzuk 2 halaman 77): "Maksud Kharab dalam ayat tadi, yang makna umumnya meruntuhkannya, bermaksud merosakkan secara hakiki. Atau merosakkan secara majazi (sindiran) iaitu menghalang manusia mengimarahkan masjid tersebut, seperti menghalang orang bersolat padanya, atau melarang orang daripada mengimarahkan padanya."

Mafhum daripada ulasan ini, kita boleh menambah, iaitu melarang orang yang berzikir di dalamnya, yang bertazkirah (ceramah agama) di dalamnya, sedangkan perbuatan itu secara sahih termasuk dalam erti kata mengimarahkan masjid tersebut.

Seterusnya al-Imam al-Qurtubi menambah: "Seterusnya al-Imam al-Qurtubi menambah: “Dan tidak boleh sama sekali dicegah atau dilarang membina masjid, di mana-mana jua yang diperlukan, melainkan dengan jelas, masjid ditubuhkan dengan tujuan kejahatan, seperti sengaja hendak memecah-belahkan umat Islam.

Rasulullah saw melarang umat Islam menunaikan solat di Masjid Dhirar yang dibina sebagai saingan kepada masjid taqwa (Masjid Quba). Hal ini dijelaskan dalam firman Allah (mafhumnya): “Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid Dhirar dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memceh-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-nya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata: “Tidakkah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata.” Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.” (at-Taubah: 107)

Masjid yang sedemikian itulah Allah melarang mengimarahkannya, sebagaimana firman Allah (mafhumnya): “Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (at-Taubah: 108)

Oleh yang demikian amatlah tidak wajar, masjid-masjid yang didirikan atas dasar taqwa untuk menunaikan dasar kepada ketaqwaan kepada Allah dirobohkannya.

Takutlah kepada janji pembalasan Allah terhadap orang-orang yang berbuat demikian di hari akhirat kelak. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Monday, 30 May 2011

Doa masuk tidur



Ya Allah, bintang-bintang telah terbenam, mata-mata telah tertidur. Engkau adalah Zat yang hidup kekal, senantiasa mengurus makhluk, tidak pernah mengantuk dan tidur. Wahai Zat Yang hidup kekal lagi terus mengurus makhluk-Nya, berilah ketenangan pada malamku, dan tidurkan mataku. (HR Ibnu as-Sunni)

Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna, dari murka dan siksa-Nya, dari kejahatan makhluk-Nya, dan dari godaan syaitan yang datang kepadaku. (HR Muslim, Abu Daud dan Tirmidzi)

Selamat malam!

Sunday, 29 May 2011

Cerita lucu 1

Dalam bilik kuliah

"Hei, kamu yang berdiri di belakang," tegur pensyarah, "Cuba sebutkan individu yang terlibat dalam Perjanjian Kemerdekaan!"

"Maaf, saya tidak tahu.. encik"

"Apa? tidak tahu? Baiklah, kalau begitu sebutkan saja tahun berapa perjanjian itu ditandatangani? "

"Maaf, saya tidak tahu juga, encik.."

"Tidak tahu sama sekali? Maklumat itu kan sudah saya berikan untuk dibaca minggu lalu. Jadi untuk apa kamu datang ke sini kalau tidak tahu?"

"Mahu memeriksa kabel lampu ini, encik.. Saya petugas TNB"

(Sekadar release tension)

Saturday, 28 May 2011

Beduk Diketuk


Tajuk : Beduk Diketuk
Penulis : Pahrol Mohd Juoi
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd
M/S : 280
Harga : RM26.00
Ilustrasi : Kartunis Nik Wafdi (Nik)

Dum! Dum! Dum! Dummmm…

Apabila beduk diketuk, pasti ada satu berita yang penting. Ia adalah medium pemberitahuan tentang kebaikan, keburukan atau amaran bahaya. Sejak dahulu, masyarakat Melayu mengetuk beduk untuk memberitahu bahawa waktu solat telah masuk, ada berita kematian atau musuh yang telah menyerang kampung. Tegasnya, apabila beduk diketuk pasti ada pengumuman penting dan segera untuk dimaklumi dan diambil tindakan.

Maka itulah perumpamaan mesej-mesej yang hendak disampaikan dalam buku ‘Beduk Diketuk’ ini. Ia adalah satu yang penting untuk difahami dan perlu segera diamalkan. Umat Islam yang sedang alpa ini, perlu dikejutkan agar tidak terus dibius dan disembelih oleh musuh-musuhnya. Penjajahan bentuk baru – neokolonialisme, telah menyerang saraf-saraf pemikiran umat Islam sehingga menyebabkan deria rasa cinta terhadap Islam dalam diri menjadi tumpul dan hilang. Tanpa disedari apa yang difikirkan, difahami, diamalkan malah diperjuangkan oleh umat Islam adalah menurut telunjuk Yahudi dan Nasrani.

Beduk Diketuk mengajak umat Islam menilai semula cara memandang sesuatu perkara, peristiwa atau kejadian. Pemikiran yang berasaskan tauhid (tauhidic mindset) sangat penting untuk memberi nilai kepada apa yang berlaku dalam dan di luar diri. Dan dengan nilai itulah terbentuknya sikap serta kelakuan. Apa yang kita ‘lihat’ menentukan apa yang kita ‘dapat’. Melihat dengan tepat dan betul adalah prasyarat untuk mendapat kejayaan dunia dan akhirat.

Malangnya, majoriti umat Islam kini gagal melihat sesuatu perkara atau peristiwa mengikut pandangan Islam. Kaca mata yang mereka pakai kebanyakannya dipinjam daripada Barat yang bebas daripada unsur akidah, syariah dan akhlak Islamiah. Al hasil, ramai yang tidak merasa bangga dan yakin lagi dengan Islam. Ketidakyakinan ini jarang disuarakan secara lisan tetapi dapat dibuktikan dalam tindakan. Sudah ramai yang meminggirkan cara hidup Islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Islam hanya dilihat pada nama, adat atau amalan-amalan yang bersifat ritual atau komersial sahaja!

Saya pernah mendengar satu analogi tentang sikap umat Islam kini. Mereka umpama orang yang sedang duduk di muka pintu, masuk ke dalam sepenuhnya tidak, keluar sepenuhnya pun tidak. Maksudnya, mereka tidak masuk sepenuh dan seluruhnya dalam Islam. Mereka juga tidak keluar secara total dalam Islam. Masih mengaku beragama Islam, tetapi tidak komited untuk mengamalkan Islam secara keseluruhan. Apa yang akibatnya? Mereka menjadi penghalang di muka pintu! Menghalang orang dari luar (bukan Islam) untuk masuk ke dalam Islam.

Para ulama telah berusaha gigih untuk membetulkan salah faham dan salah amal di kalangan umat Islam ini. Mereka telah berusaha gigih untuk menunjukkan betapa ruginya dunia apabila umat Islam lemah. Akibat kelemahan umat Islam itu, dunia seluruhnya telah kehilangan naungan, pembelaan, keamanan dan keadilan. Kuasa-kuasa besar dunia masa kini lebih bersifat zalim, menindas dan membuli negara-negara kecil berbanding pemerintah Islam pada zaman Rasulullah s.a.w, para sahabat dan Salafussoleh.

Oleh itu kita perlu berusaha memahamkan Islam kembali kepada umat Islam. Aneh bunyinya bukan? Tetapi itulah yang dibuat oleh para ulama seperti Maulana Abu Ala Maududi yang telah menulis buku Understanding Islam, Dr. Yusuf Qardhawi yang menulis buku Fiqh Aulawiyat (sekadar menyenaraikan beberapa contoh). Misi buku-buku tulisan mereka sangat jelas dan jitu – membetulkan kembali salah faham terhadap Islam dan membangunkan roh amal Islam yang sebenar.

Buku Beduk Diketuk di tangan anda sekarang adalah kesinambungan kepada misi tersebut. Walaupun, isinya mudah dan dilengkapi oleh ilustrasi yang santai, tetapi tujuan penulisannya sangat fokus. Hanya untuk mengikuti jejak ulama-ulama besar itu walaupun ilmu dan pengalaman saya sangat tipis dan cetek. Saya akui, pasti ada isi yang tersasar di mana-mana, namun itu bukanlah kerana yang cuba diikuti itu tidak terang tetapi mata yang ingin ‘mengekori’ inilah yang kabur. Saya terbuka untuk ditegur dan diperbaiki.

Mengapa orang lebih sibuk berdakwah kepada orang Islam berbanding dengan bukan Islam? Ini soalan yang kerap ditanyakan orang kepada saya dan tentu juga kepada pembaca sendiri. Jawabnya, sebab ramai orang Islam sendiri tidak faham dan amalkan Islam dalam erti kata sebenar. Hakikatnya, Islam adalah agama yang paling banyak disalahtafsirkan, bukan sahaja oleh orang bukan Islam tetapi oleh orang Islam sendiri. Akibat salah faham itu, umat Islam mengamalkan Islam separuh-separuh, hendak tak hendak, dan akhirnya Islam tidak nampak indah walaupun sebenarnya Islam adalah agama yang paling indah, praktikal dan diredai Allah.

Keindahan Islam pada ketika ini cuma dapat dilihat dan dirasai secara ilmiah, bukan amaliah. Namun, itu pun sudah cukup menyebabkan ramai bijak pandai Barat memeluk Islam. Hasil kajian, penelitian dan perbincangan mereka, akhirnya mereka diberi hidayah untuk memeluk Islam. Inilah yang ditulis oleh Dr. Yusuf Qardhawi mengenai seorang sarjana Barat yang telah memeluk Islam, lantas berkata, “subhanallah yang telah mengenalkan aku kepada Islam sebelum aku mengenal orang Islam.” Maksudnya, jika dia mengenal umat Islam… kemungkinan dia tidak tergerak memeluk Islam kerana buruknya akhlak dan lemahnya pencapaian umat Islam dewasa ini.

Lama sebelum itu Syed Qutb pernah menukilkan, “ aku pergi ke Barat, aku lihat Islam tanpa Muslim. Tetapi bila aku pergi ke Timur, aku lihat Muslim tanpa Islam.” Mengapa? Dilihatnya semua amalan-amalan Islam seperti menjaga kebersihan, mengurus masa, menepati janji dan lain-lain telah diamalkan oleh orang-orang Barat. Sayangnya, amalan-amalan itu tidak berlaku di kalangan orang Islam sendiri di Timur. Sikap pengotor, tidak menepati janji dan membuang masa masih berakar umbi dalam masyarakat Islam sendiri.

Walaupun pahit kita terpaksa mengakui betapa Islam kini digelapkan oleh umat Islam sendiri. Islam kini seolah-olah sudah sinonim dengan kemunduran, keganasan, perpecahan dan kemiskinan. Hingga dengan itu muncul istilah ‘Islamophobia’ – takut kepada Islam. Ini istilah yang dipopularkan oleh musuh. Namun, kita tidak boleh terus menyalahkan musuh, kerana apa yang ditohmah itu ada kalanya ada kebenarannya. Lihat sahaja di negara kita, siapa yang lebih ramai terjebak dalam penyalahgunaan dadah, kemiskinan, politik kotor, rasuah dan sebagainya?

Justeru, kita harus belajar daripada apa kata musuh Islam. Imam Ghazali menegaskan kita boleh mengenal aib diri menerusi kata-kata musuh. Belajar untuk mengakui, menilai dan bermuhasabah dan akhirnya membuat perubahan. Tidak cukup dengan slogan Islam adalah penyelamat jika umat Islam sendiri tidak selamat. Kaedah menghilangkan fitnah terhadap Islam adalah dengan cara kembali mengamalkan Islam secara ikhlas dan menyeluruh. Jangan adalah agenda untuk ‘mengkomersialkan’ atau ‘mempolitikkan’ Islam. Kita hanya mengotori wajah kita dan wajah Islam jika terus berbuat demikian.

Ironinya, pada masa ini semakin ramai orang-orang bijak dan jujur di luar Islam telah memeluk Islam sementara ramai pula orang yang bodoh dan berpura-pura di dalam Islam ingin keluar Islam (murtad). Ya, dengan kebijaksanaan dan kejujuran sahaja Islam akan nampak indah, sebalik keindahan itu akan terhijab oleh kejahilan, kedegilan dan sikap kepura-puraan.

Hakikatnya, Islam sudah nampak indah secara ilmiah, tetapi ia akan jauh lebih indah jika dipaparkan dalam bentuk amaliah. Sesungguhnya, ‘Quran hidup’ yakni Rasulullah s.a.w itulah yang telah berjaya memaparkan keindahan ajaran Islam yang ditulis atau dibaca melalui Al Quran. Hakikatnya, ‘the unic generation of Al Quran’ (generasi para sahabat rasulullah s.a.w) itulah yang telah berjaya menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Mata lebih dipercayai daripada telinga.

Sikap lebih berpengaruh daripada cakap – walk your talk. Langkah inilah yang seharusnya diamalkan oleh umat Islam kini. Kita perlu memahami Islam secara tepat dan melaksanakannya secara berkesan agar Islam kembali menawan hati umat manusia masa kini. Insya-Allah, dakwah secara ‘lisannul hal’ (perbuatan) lebih berkesan daripada dakwah secara ‘lisanul maqal’ (kata-kata).

Kisah-kisah yang dipaparkan dalam buku ini adalah kisah-kisah biasa yang diberi nafas Islam. Tidak dapat dinafikan ada antara kita yang lebih mudah menghadamkan input-input serius secara santai dan bersahaja. Saya hanya ingin mencuit perasaan dan mengocak fikiran. Namun matlamat utama saya adalah untuk menggugah jiwa kerana di situlah letaknya sumbu yang menyalakan api perubahan.

Ya Allah, mudah-mudahan disampaikan maksud itu walaupun saya sedar keterbatasan ilmu dan amalan. Buku kecil ini diharap menjadi mata rantai kepada perjuangan Islam yang telah dimulakan oleh generasi awal. Semoga langkah kecil ini menjadi batu loncatan untuk umat Islam melangkah lebih jauh dalam perjuangan menegakkan Islam masa kini. Insya-Allah, sekalipun sudah ada rotan, itu tidak bermakna akar sudah tidak berguna.

Saya berdoa agar ‘bunyi’ daripada beduk yang kecil ini mampu membangunkan diri sendiri dan orang lain untuk mengorak langkah perjuangan selaras dengan prinsip – baiki diri mu dan serulah orang lain!

(Petikan Kata Pengarang dalam Buku Beduk Diketuk Terbitan Telaga Biru Sdn.
Bhd.)

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu!

Saturday, 21 May 2011

Tunai haji guna wang pinjaman peribadi

Soalan:

Saya ada kemusykilan mengenai ibadat haji untuk ibu saya. Saya ingin membiayai ibu buat menunaikan haji ke Tanah Suci. Duit itu adalah daripada pinjaman peribadi di sebuah bank dan dihadiahkan kepada ibu buat menunaikan haji. Bolehkah ibu menggunakan wang tersebut untuk ibadah haji. Terima kasih.

Jawapan:

SEKIRANYA ibu anda dan anda tergolong dalam golongan yang tidak mempunyai harta benda (wang ringgit) yang cukup untuk menunaikan haji, maka ibu anda dan anda belum lagi sampai ke tahap wajib menunaikan haji.

Ertinya masih boleh bertangguh, tanpa perlu berhutang, mengumpul wang sendiri, barulah wajib menunaikan haji.

Namun demikian, seandainya anda merasakan suatu tanggungjawab sebagai anak, untuk menghantar ibu menunaikan haji, maka anda harus berbuat demikian dengan berhutang daripada bank yang berlandaskan kepada Islam.

Jangan sesekali berhutang dari bank konvensional atau bank yang mengasaskan kepada riba.

Anda perlu merahsiakan kepada ibu bahawa anda berhutang daripada bank, kerana mungkin ibu akan keberatan menerimanya.

Anda berhutanglah kerana Allah. Dengan syarat anda mampu membayar kembali hutang dari bank secara Islam itu, dengan mudah dan tidak memudaratkan anda.

Antara syarat wajib haji adalah kemampuan, sebagaimana firman Allah SWT (mafhumnya): "Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekelian makhluk." (Ali-Imran: 97)

Ibu yang menerima pemberian atau hadiah dari anaknya untuk ke Makkah, maka menjadikan wajib bagi ibu menunaikan haji kerana beliau sudah termasuk ke dalam golongan yang berkemampuan ataupun berkuasa sampai ke Makkah.

Ada dua perkara yang berkait dengan kemampuan atau berkuasa menunaikan haji:

i : Kemampuannya sendiri dari harta sendiri.

ii: Kemampuan daripada bantuan yang diperolehi daripada pihak lain, termasuk anak.

Ketika ibu anda menerima wang pemberian anda, maka ia sudah menjadikan ibu anda wajib menunaikan haji, maka haruslah dia menunaikan haji dengan selamat.

Pengorbanan anda amat besar dan Allah akan membalasnya dengan sebaik-baik balasan.

Ibu yang memperolehi pahala kerana menunaikan ibadah haji, maka anda juga akan mendapat pahala yang lebih daripada itu, kerana sanggup berkorban dan berhutang demi untuk menyempurnakan hasrat ibu bagi menunaikan ibadah haji. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Friday, 20 May 2011

Tiada kesempatan kedua

Andaikan sebuah bekas yang berisi batu-batu kecil, lalu setiap hari kita keluarkan sebiji demi sebiji. Tidakkah batu-batu itu akan berkurangan? Demikianlah perbandingan usia kita tatkala berlalunya masa.

Kehidupan di dunia ini amat singkat masanya. Justeru itu ia adalah suatu kesempatan yang perlu dihargai dan dimanfaatkan sebaiknya. Jika kesempatan itu dibiarkan begitu sahaja ataupun disia-siakan dengan perkara-perkara yang melalaikan, maka kesempatan kedua tidak akan ada lagi. Jika ada pun kesempatan yang kedua pasti ia tidak sebaik peluang yang pertama tadi.

Rasulullah saw bersabda:

"Bagiku berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas beristirehat barang seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan."

Amat bermakna sekali peringatan yang disampaikan oleh baginda saw, kesempatan manusia hidup di duniai ini bukanlah untuk kekal selama-lamanya. Dunia hanyalah tempat menyiapkan bekalan sebelum meneruskan semula perjalanan.

Sesungguhnya menyia-nyiakan kehidupan ini serta menyalahguna kesempatan yang diberi, maka tunggulah saat penyesalan yang tiada kesudahan. Apa yang tinggal hanyalah rintihan dan rayuan yang tidak akan di dengari oleh sesiapa.

Firman Allah SWT:

"Ya Tuhan kami. Kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikan kami ke dunia, kami akan mengerjakan amal yang soleh. Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin." (as-Sajadah:12)

Demikianlah satu penyesalan yang bersifat putus asa. Mereka memohon agar dikembalikan ke dunia untuk beramal, namun segala keyakinan mereka setelah melihat dan mendengar kebenaran yang dahulu adalah sia-sia. Mana mungkin dapat kembali.

Tiada kesempatan kedua buat mereka!

Thursday, 19 May 2011

Aku dan Al Ikhwan Al Muslimun



"Aku ingin berterus-terang mengatakan, bahawa aku memperoleh manfaat agama yang begitu besar dari Al Ikhwan Al Muslimun. Aku memperolehi faedah yang sangat banyak dari dakwah Ikhwan. Dakwah Ikhwan telah memperluas cakerawala fikiranku memahami Islam secara utuh, sebagaimana disyariatkan Allah SWT, sebagaimana tertera dalam kitab-Nya, seperti diserukan Rasul-Nya dan difahami oleh para sahabatnya. Islam adalah agama dan dunia, dakwah dan negara, aqidah dan syariat, ibadah dan kepimpinan, mushaf dan..." (Prof Dr. Yusuf al-Qaradhawi)

Tajuk : Aku dan Al Ikhwan Al Muslimun
Tajuk Asal : Mudzakkirat al-Qaradhawi
Penulis : Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi
Editor Bahasa Malaysia : Qurratul Aien bt Fatah Yasin
Penerbit : MUTIARA ILMU SELEKTA SDN BHD
M/S : 364
Harga : SM 25.00 / SS 28.00

Buku ini amat penting, untuk dihayati dan direnungi oleh ulama, pendakwah, pendidik dan aktivis gerakan Islam, bagaimana Syeikh Qaradhawi melalui proses pentarbiyahan dalam gerakan al-Ikhwan al-Muslimun, sebuah gerakan Islam yang sangat kita kenali, dan sangat berpengaruh di dunia Islam, terutamanya di Timur Tengah.

Syeikh telah melalui cabaran-tribulasi, suka dan duka dalam perjuangan dalam menegakkan risalah suci ini, masuk penjara dan keluar penjara bahkan dibuang dari negerinya sendiri, Mesir, di mana kini beliau menjadi warganegara Qatar. Itu tidak lain kerana kegigihan-keikhlasan serta keistiqamahan beliau, memperjuangkan apa yang beliau yakini benar iaitu perjuangan menegakkan Islam yang mulia bersumber kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Kedalaman ilmunya dalam pelbagai bidang ilmu keislaman yang luas, dan dilengkapi dengan penguasaan beliau tentang kesusasteraan dan ilmu-ilmu yang dianggap datang dari 'barat' menjadikan beliau sebagai mujtahid dan ulama muktabar zaman ini, di mana hujah dan pemikirannya tetap relevan sepanjang zaman, beliau sangat menguasai suasana kekinian dan perubahan serta perkembangan global yang begitu cepat. Beliau sangat memahami ilmu dunia dan ilmu akhirat, walaupun kita menyakini bahawa tiada pemisahan ilmu dan Islam.

Kiranya buku ini akan menjadi iktibar dan pengajaran untuk kita melangkah dalam dakwah syumuliah ini.

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu!

Sunday, 15 May 2011

Persoalan mandi wajib suami isteri


Soalan:

Mandi wajib sekiranya suami bersetubuh bersama isteri. Tetapi suami hanya mengeluarkan air maninya di luar tubuh isteri semasa bersama sedangkan dia tidak memasukkan zakarnya ke dalam ke dalam kemaluan isteri. Perlukah juga isteri mandi wajib atau hanya suami sahaja kena mandi wajib.

Jawapan:

PERSOALAN yang anda ajukan adalah permasalahan asas yang wajib diketahui oleh umat Islam secara dharurah (mesti mengetahuinya).

Mandi wajib atau disebut mandi junub diwajibkan ke atas umat Islam sekiranya berlaku perkara-perkara berikut:

i. Keluar air mani dengan pilihannya secara sedar atau tidak. Seperti berlaku dalam mimpi (sebagai contoh).

ii. Mati biasa. Wajib dimandi, dikapankan, disembahyangkan dan dikebumikan.

iii. Selesai darah haid.

iv. Selesai darah wiladah (darah selepas melahirkan anak).

v. Nifas (darah yang keluar setelah melahirkan anak)

vi. Bersama dengan isteri.

Perkara yang keenam ini, seperti yang anda ajukan persoalannya, adalah perkara yang teknikal, kerana berpandukan kepada hadis Rasulullah saw (mafhumnya): "Apabila bertemulah dua alat kelamin (lelaki dan perempuan) maka wajiblah mereka mandi junub."

Soalannya adakah dengan bertemu sahaja dua alat kelamin itu sudah wajib mandi atau ada syarat-syaratnya?

Apa maksud yang dalam hadis Rasulullah saw yang disebutkan `il-paqa` (dalam bahasa Arab). Ia bermaksud bertemu.

Ulama feqah telah memperhalusinya dan membuat hukum seperti berikut: "Jika terdapat pertemuan dua khitan (dua alat kelamin) dengan syarat masuk dan hilang sekurang-kurangnya hasyafah (takuk zakar) ke dalam faraj isterinya. Berlaku seperti ini, meskipun tidak mengeluarkan air mani, wajiblah mereka mandi junub."

Diperhalusi hukumnya dengan menyebut: "Sekiranya seorang lelaki atau suami, tidak mempunyai hasyafah, kerana kejadian asalnya begitu, atau telah terpotong (tersilap) ketika bersunat atau seumpamanya, maka wajib dilakukan mandi jika zakarnya masuk ke dalam faraj sekadar ianya mempunyai takuk. (Rujuk Kitab Mala`ul Badrain)

Erti dari penafsiran ulama ialah, mandi diwajibkan jika pun zakar suami tidak masuk semuanya ke dalam faraj isteri.

Jika berlaku sedemikian, walaupun tidak sesiapa pun yang mengeluarkan air mani, maka wajib kedua-duanya mandi.

Berbalik kepada persoalan anda, jika benar-benar tidak berlaku kemasukan alat kelamin, pada sekadar yang disebuatkan di atas, akan tetapi anda mendapat kepuasan dengan terkeluar mani, maka anda seorang sahaja yang wajib mandi junub, manakala isteri anda tidak wajib mandi.

Adapun jika isteri anda turut mendapat kepuasan, sehingga dirasakan kepuasan dengan keluar air maninya, maka wajiblah isteri tersebut mandi junub.Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Wednesday, 11 May 2011

Cetusan rasa: Dari aku untuk aku...


Alhamdulillah, alhamdulillah.

Apa lagi yang mampu diucapkan, demikianlah semulia-mulia kalam yang tercetus dari kedua bibir untuk menzahirkan kesyukuran di atas limpah kurnia ini. Allah, terlalu luas kasih sayang-Nya di sepanjang hidup yang amat singkat ini.

Sesungguhnya suka duka perjalanan hidup, pahit jerih liku-liku kembara di dunia gersang dan tandus. Ketenangan, kebahagiaan dan kejayaan adalah dambaan setiap insan. Pasti ianya tercatat di dalam diari kehidupan. Walau siapa pun dia, selagi bergelar insan yang berakal.

Usia sudah separuh tersisa, tetapi nafsu di dalam diri menyatakan “belum puas mengharungi kehidupan.” Gejolak hati meronta-ronta pada dunia...mahu lagi, mahu lagi...

Sungguh sukar untuk merasai hakikat kehambaan.

Tika iman melonjak tinggi, hati ini terasa begitu hampir dengan-Nya. Ketika itu betapa nikmat nya bersujud di dalam solat, hinggakan diri berada di alam yang asing. Bagaikan tidak mahu bangkit dari sujud yang penuh kedamaian.

Tetapi,

Tika nafsu pula merajai jiwa, jauh wajah berpaling dari-Nya. Bibit kesombongan memutik kuman nifaq. Rakus memakan sedikit demi sedikit kebaikan umpama anai-anai yang memakan batang kayu. Tampak gagah diluar namun lambat laun hancurlah dirimu.

Masa pantas berlalu, meninggalkan sesiapa sahaja yang masih tidur walau hakikat tampak di dalam jaga. Ahh...usia bagaikan berbaki di hujung jari.

Di saat masih diberi peluang dan kesempatan untuk mendekati-Nya, maka rendahkanlah dirimu, adulah kelemahan dan kekurangan dirimu dengan penuh pengharapan. Laksanakan perintah-Nya dan jauhkanlah larangan dan tegahan-Nya. Hulurkanlah tangan memohon keampunan-Nya dengan penuh keikhlasan, nescaya Dia akan menyambutnya dengan penuh belas kasihan. Semoga kita dipandang dan dilayan dengan rahmat dan kasih sayang.

Maka jangan disiakan peluang ini, tidak tertanggung penyesalannya.

“Sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, sebab itu turutlah jalan-Ku yang lurus itu dan janganlah kamu menuruti berbagai jalan sehingga mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Demikianlah Dia berwasiat kepadamu, agar kamu bertaqwa.” (al-An`am: 153)

Dari aku untuk aku.....

Monday, 9 May 2011

Persoalan government loan selepas peminjam meninggal


Soalan:

Pegawai-pegawai kerajaan dibolehkan membuat pinjaman perumahan menerusi 'government loan', yang dilindungi insurans yang boleh melangsaikan hutang itu apabila peminjam tersebut meninggal dunia. Keraguan saya, terlepaskah si mati yang berhutang itu dari tanggungannya kerana dibayar oleh insurans kerajaan, dia tidak membayarnya. Tidakkah hutang itu sepatutnya dibayar oleh keluarganya dari harta peninggalannya.

Jawapan:

Hutang wajib dibayar. Disepakati oleh semua ulama Islam semasa hidup atau sesudah mati.

Jika si berhutang mati sedangkan beliau masih mempunyai harta, maka wajiblah dibayar segala hutang piutang itu dengan harta yang ditinggalkannya, sebelum dibahagikan harta tersebut kepada waris-waris yang berhak.

Membayar hutang boleh dibuat dengan berbagai cara:

Pertama: Dari harta peninggalan si mati.

Kedua: Jika tidak ada harta maka sesiapa sahaja yang hendak menolong membayar bagi pihak si mati, boleh berbuat demikian.

Seperti berlaku kepada seorang sahabat yang meninggal dunia pada zaman Rasulullah saw. Baginda ketika itu mengetahui sahabat yang meninggal itu masih mempunyai hutang. Baginda enggan menunaikan solat jenazah ke atasnya sehingga seorang sahabat lain, tampil melangsaikan hutang tersebut, maka barulah Rasulullah saw menunaikan solat jenazah.

Ketiga: Dibayar oleh pihak yang bertanggungjawab menyelesaikannya iaitu insurans Islam.

Bagi kes yang anda ajukan kepada saya, iaitu si mati mempunyai insurans kerajaan dan baki pinjamannya dibayar oleh insurans tersebut, maka dikira hutang tersebut sudah langsai.

Maka dalam kes ini waris-waris si mati tidak perlu lagi membayar hutang tersebut dari harta peninggalannya.

Amat jelas si mati meninggalkan hutang dan hutang telah dibayar oleh pihak berkenaan. Ini berdasarkan kepada perjanjian yang termeterai antara si pemiutang dengan insurans yang menjadi penjamin kepada hutang tersebut.

Persoalan akan timbul, bolehkah hutang tersebut dibayar jika insurans diambil dari kelompok konvensional (riba). Insurans yang tidak diasaskan kepada Islam. Jika insurans tersebut diasaskan secara riba, pemiutang meninggal dunia, hutangnya selesai kerana ada pihak yang membayar.

Akan tetapi kesalahannya atau dosanya tetap ada kerana bermuamalah atau mengambil insurans yang tidak Islamik.

Harta peninggalan si mati setelah diselesaikan wasiatnya, hutang-hutangnya jika ada, akan menjadi pusaka yang bakal difaraidkan kepada waris-waris yang sah. Yang penting hutang perumahan sudah langsai kerana dibayar oleh insurans. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Sunday, 8 May 2011

Selamat Hari Ibu...

Pada usia bonda yang menjengah penghujung senja, tidak terbayang kesal dihati kerana membiarkannya kesunyian seorang diri.....

Kehidupan seorang manusia, sebahagian besarnya bergantung kepada belaian kasih sayang dan kasih mesranya seorang ibu. Ibulah yang mengandungkan dengan seribu kepayahan, ibulah yang melahirkan sehingga bersabung nyawa diantara hidup dan mati, dialah yang menyusukan, memandikan dan menyuap makan. Beratnya beban yang ditanggung oleh seorang ibu.

Firman Allah SWT:

“Kami wasiatkan kepada manusia, supaya ia berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya yang mengandung dia dengan berbadan lemah yang berlipat ganda, melahirkannya dan menyusukannya, dan mencerainya dari susu sesudah dua tahun lamanya. Sebab itu hendaklah berterima kasih kepada-Ku dan kepada ibu bapamu.” (Luqman: 14)

Tiada indah lukisan yang tergambar, seindah lukisan alam,
Tiada puitis kata yang meniti dibibir, sepuitis syair bermadah,
Tiada nilai harga yang mahal, semahal emas permata,
Tiada ketenangan yang bisa terungkap, setenang dalam dakapan bonda,
Terasa turun sakinah dari langit Ilahi.

Bonda...

Lautan kasih yang tidak bertepi,
Pengorbanan yang tidak kenal sempadan,
Dengan secebis belas dan secebis ihsan,
Bonda melahirkan, bonda membesarkan,
Setelah sembilan bulan menumpang di alam ‘kasih sayang'
Tiada keluhan dan rintihan kerana sabarmu setinggi gunung.

Bonda...

Sentiasalah dikau memberikan masa untuk mendengar rintihanku,
Tanpa jemu, tanpa lara untuk mendengar bicara,
Sentiasalah bibir ini pula kubasah dengan doa untukmu,
Sebagai jalan untuk mencapai redha Tuhan,
Kerana mahu membalas jasa walau setengah nafasmu,
Mana mungkin kesampaian.

Aduhai bonda...

“Ketika datang seorang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: “Siapakah orang yang paling berhak saya pergauli dengan baik? Jawab baginda: Ibumu.” Kemudian siapa lagi? Jawabnya lagi: “Ibumu! Kemudian siapa? Jawabnya: “Ibumu! Dan lalu siapa? Jawab baginda: “Ayahmu! (Bukhari dan Muslim)

MY UMMI (Sami Yusuf)

Monday, 2 May 2011

Jangan sesekali berkata walaupun 'UFF'...


RASULULLAH menangis, hiba hatinya mendengar luahan hati seorang ayah mengenai anaknya. Lelaki tua itu berkata: “Ketika kecil, tanganku inilah yang memberimu makan. Engkau kehausan, akulah yang menuangkan. Jika kau sakit, tiada aku tidur sepanjang malam, sakitmu itu membuatku kerisauan. Tetapi kini selepas engkau mencapai tujuan. Kulihat dalam dirimu apa yang tidak kuharapkan. Kau balas dengan kekerasan dan kekasaran. Seolah-olah nikmat dan anugerah itu engkau yang berikan.”

Berlinangan air mata Rasulullah, baginda memanggil anak itu dan bersabda kepadanya: “Kamu dan semua milikmu, semuanya adalah milik ayahmu.” (Hadis riwayat Ibn Majah, Imam Ahmad dalam al-Musnad, Ibnu Hibban dalam Sahihnya dan al-Baihaqi dalam al-Sunan)

Firman Allah SWT:

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "UFF" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (al-Isra`: 23)

Dalam ayat di atas dinyatakan bahawa berkhidmat dan menghormati kedua ibu bapa adalah menjadi sebab untuk kita hidup di dunia ini dalam keredahaan-Nya dan ia adalah kewajipan yang kedua selepas beribadat kepada Allah SWT.

Perhatikanlah, kadang-kadang ada di antara mereka, setelah berumahtangga dan mempunyai anak lalu melupakan khidmat kepada ibu bapanya. Kerap kali mereka lalai dalam memerhatikan keduanya kerana sibuk, sibuk dan terus sibuk dalam menguruskan keluarga sendiri, harta benda, pekerjaan dan sebagainya. Sehinggalah tercicir kewajipan terhadap orang tuanya.

Lebih-lebih lagi jika keduanya dalam keadaan tua yang amat, tentulah banyak cerewetnya kerana sudah tidak mampu lagi menguruskan diri sendiri. Di ketika ini mereka amat mengharapkan perhatian dan bergantung harap belas kasihan anak-anaknya. Maka hendaklah banyak bersabar dan berlapang dada menjaganya.

Jangan sesekali berkata walaupun 'UFF'

Ahli bahasa mengatakan kalimah ‘Uffin asal ertinya ialah daki hitam dalam kuku.

Abu Raja` at-Atharidi mengatakan kalimah ‘Uffin’ memberi maksud kata-kata yang menyakitkan hati dan menunjukkan kebosanan, walaupun tidak diucapkan dengan keras.

Mujahid menafsirkan ayat di atas dengan: “Jika kamu melihat salah seorang atau keduanya telah berak atau kencing di mana tempatnya, sebagaimana yang kamu lakukan ketika kecil, maka janganlah kamu mengeluarkan kata-kata yang mengandungi maksud keluhan sedikit pun.”

Ali bin Abi Thalib berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda: "Kalau Allah mengetahui suatu perbuatan derhaka kepada orang tua perkataan yang lebih bawah lagi dari 'UFF' itu, nescaya itulah yang akan disebutkan-Nya. Sebab itu berbuatlah orang yang berkhidmat kepada kedua orang tuanya, apa sukanya, namun dia tidak akan masuk ke neraka. Dan berbuatlah orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, apa sukanya pula, namun dia tidaklah akan masuk ke syurga."

Oleh itu, wahai anak-anak! Ucapkanlah perkataan yang lemah lembut, bersopan santun serta menggembirakan mereka. Ucapkanlah perkataan yang mengandungi rasa cinta, kasih dan sayang kepada mereka. Ucapkanlah perkatan yang memperlihatkan bahawa kita adalah anaknya dan mereka adalah ibu dan bapa.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa`id al-Maqburi dari Abu Hurairah ra. bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda: "Hidup sengsara seorang lelaki, disebut orang aku( Rasulullah) dekatnya, namun dia tidak mengucapkan selawat ke atasku. Hidup sengsara seorang lelaki, yang telah tua salah seorang ibu bapanya atau keduanya, namun pemeliharaannya ke atas keduanya tidak menyebabkan dia masuk syurga. Hidup sengsara seorang lelaki, telah masuk bulan Ramadhan, kemudian bulan itu pun habis sebelum Allah memberi ampun akan dia."

Imam al-Qurtubi berkata di dalam tafsirnya: "Berbahagialah orang yang segera mengambil kesempatan berkhidmat kepada kedua orang tuanya, sebelum kesempatan itu hilang kerana mereka terburu mati. Maka menyesallah dia berlarat-larat bahawa dia belum membalasnya lagi. Maka nistalah orang yang tidak peduli kepada orang tuanya apalagi jika perintah ini telah diketahuinya."

Berbaktilah kepada orang tuamu selagi mereka masih bernyawa, sebelum nikmat itu ditarik kembali.

"Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Dan rahmatilah keduanya, sebagaimana mereka mendidikku sewaktu kecil."