Sahabat Sejati

Wednesday 6 April 2011

Bolehkah anak tak sah taraf terima harta pusaka?

Soalan:

Dengan penuh ikhlas saya mengaku bahawa anak pertama kami adalah hasil kami terlanjur (anak tak sah taraf) sebelum berkahwin sehingga mengandung. Di permulaan mengandung kami berkahwin. Sekarang saya sedang uzur untuk menghadapi hari-hari akhir saya, soalan saya bolehkah anak pertama saya, selepas pemergian saya, menerima pusaka saya yang agak banyak, seperti anak-anak lain yang dilahirkan selepas perkahwinan yang sah. Ada orang beritahu saya, mereka kata anak tersebut tidak boleh ‘makan pusaka’, tetapi ada yang kata boleh. Mohon penjelasan dan saya akan setiap terima nasihat dan jawapan. Terima kasih.

Jawapan:

KETELANJURAN anda telah pun berlaku, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha.

Sepatutnya anda menerima hukuman hudud daripada pengakuan yang sah, anda telah melakukannya dengan bukti anak yang ada sekarang. Tetapi anda tidak dihukum dengan hudud.

Bertaubatlah kepada Allah

Oleh kerana anak itu terhasil daripada perhubungan luar nikah, atau dengan lain bahasa ‘anak zina’, telah disemuafakati ulama, bahawa anak zina tidak sabit keturunan (nasabnya) kepada bapa zinanya, akan tetapi sabit nasabnya dengan ibunya. (Rujuk Kitab Fiqh Manhaji, juzuk lima halaman 136).

Ini disebabkan ibu yang mengandung anak tersebut adalah ibunya, anak itulah anak yang dikandunginya, adapun hubungan dengan bapanya adalah sekadar benih. Daripada benih itu menjadi sebab kelahirannya.

Syarak yang suci murni tidak mengakui hubungan zina yang cemar dan keji itu, menjadi perantaraan atau jalan untuk memurnikan keturunan, yang berlaku daripada hubungan yang cemar.

Ertinya, walaupun sabit itu adalah anak daripada benihnya, namun kehormatan daripada hubungan yang sah menurut syarak tidak berlaku. Maka, menurut pandangan Islam, anak tersebut bukan anak yang sah milik anda.

Oleh itu pusaka mempusakai antara anda dan anak anda tidak wujud dan tidak boleh dibahagikan pusaka anda kepada anak tersebut.

Bagaimanapun, anda boleh memberikan harta melalui jalan hibah ataupun pemberian semasa hidup, dengan dokumen yang sah.

Adapun sabit anak itu dengan keturunan ibunya (walaupun hasil zina), adalah sah menurut pandangan jumhur fuqaha. Maka dengan itu sabit waris mewarisi harta antara anak dengan ibu tersebut.

Sekiranya seorang ibu meninggal dunia dan ia meninggalkan harta untuk dipusakai, maka anak zina itu boleh mewarisi hartanya seperti waris-waris yang lain mengikut
pembahagian faraid.

Demikianlah sebaliknya, iaitu sekiranya anak itu meninggal dunia sedang ia memiliki harta, maka ibunya sahaja yang boleh mempusakai hartanya, sedangkan bapanya tidak boleh.

Masalah sebegini juga berlaku ke atas pasangan yang ‘berli`an’ (li`an), iaitu suami yang mengingkari kandungan yang dikandung oleh isterinya itu dari benihnya yang sah. Malah itu dakwaan anak zina.

Sekiranya berlaku li`an yang sah di hadapan kadi dengan syarat-syarat li`an yang sah, maka mereka difasakhkan (dipisahkan) dengan li`an. Dan anak yang lahir itu juga dianggap anak zina, maka ulama bersepakat, ia tidak sabit keturunan dengan bapanya.
Sama dengan soalan asal yang diajukan, ia hanya sabit dengan ibunya sahaja.

Maka hukumnya sama dengan hukum yang dijelaskan di awal tadi. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

4 comments:

Hanis Azla said...

Alhamdulillah.. dpt ilmu di sini.. faham sudah satu perkara.. terima kasih yer..

rafina mimi abdullah said...

bagaimana dengan anak angkat?setahu saya anak angkat tidak ada hak utk menuntut harta pusaka tapi bagaimana kalau anak angkat tersebut di binkan kepada ayah angkatnya?saya tahu kalau anak angkat di binkan kepada ayah angkatnya memang TAK BOLEH..tapi bagaimana denga harta?adakah dia berhak sebab hanya namanya di binkan ayah angkatnya?

abuikhwan said...

anak angkat tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkat berdasarkan surah al-ahzab: 4&5.

Anak angkat tidak termasuk di dalam golongan yang boleh mewarisi harta pusaka, tetapi boleh menerima wasiat dgn tidak melebihi 1/3. Jika ingin memberi lebih daripada kadar 1/3 maka bolehlah dengan cara hibah. Wallahua`lam.

Unknown said...

Saya ada anak tak sah taraf seorang dan buat masa sekarang saya tidak ada niat untuk berkahwin..cukup lah ada anak saya seorang ini sahaja..semasa anak saya dia lahir sudah 1 bulan..saya sudah tukar kwsp ke atas dia sebanyak 70%, 15% , 15% ayah saya..so kalau apa2 jadi pada saya nanti..anak saya still layak ke dapat duit kwsp saya yg dah bhgi kan kepada dia..

Post a Comment