Sahabat Sejati

Thursday 23 December 2010

Melihat Allah di hari akhirat

Soalan:

Masalah melihat Allah dengan 'mata kepala' menjadi pertengkaran yang tiada kesudahannya. Yang kata boleh melihat Allah menggunakan alasan al-Quran dan as-Sunnah, golongan yang kata tidak boleh juga menggunakan alasan yang sama. Mana satu yang boleh diterima pakai. Mohon penjelasan.

Jawapan:

Masalah yang anda kemukakan sepatutnya tidaklah sampai kepada tahap pertengkaran yang mengundang pecah belah dan masam muka.

Perkara ini bukan perkara besar dan kalau pun berlaku masalah yang disebut sebagai melihat Allah SWT itulah bukanlah masalah di dunia ini, tetapi ianya masalah di akhirat nanti. Sesudah akhirat nanti, barulah kita tahu, boleh atau tidak kita melihat Allah.

Oleh kerana itu pada saya, jika wujud pertengkaran sebagaimana yang anda utarakan, ianya tidak akan memberi manfaat apa-apa selain mengundang perpecahan.

Firman Allah (mafhum-Nya): "Pada hari akhirat itu, wajah-wajah (orang mukmin) berseri-seri; melihat kepada Tuhannya". (Surah al-Qiyamah: 22-23)

Mengenai perkara ini, banyak perbincangan dan pendapat dikalangan ulama. Tetapi jelas pada ayat ini bahawa Allah SWT akan memberi peluang kepada orang-orang yang beriman, melihat-Nya pada hari kiamat.

Untuk mengendurkan ketegangan atau merungkaikan permasalahan yang anda hadapi, bolehlah saya tumpang perjelaskan bahawa. "Orang yang mengatakan Allah tidak boleh dilihat, adalah berpandukan ayat al-Quran sebagaimana firman Allah (mafhum-Nya): "Yang demikian (sifat-sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepada-Nya. Dan ingatlah Dialah yang mentadbir segala-galanya. Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata). Dan Dialah Yang Maha Halus, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya." (Surah al-An`am: 102-103)

Ayat tersebut adalah ditujukan kepada semua makhluk yang berada di dalam dunia hari ini. Makhluk-makhluk keseluruhannya, ada mata yang boleh melihat, tetapi untuk melihat ke alam akhirat ini dinafikan Allah untuk melihatnya.

Secara tabiinya, kejadian makhluk Allah, diletakkan tutupan atau penghalang bahawa mereka tidak boleh melihat Allah sama sekali.

Sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah saw (mafhumnya): "Seandainya Allah membuka hijab (penutup mata) manusia di dunia ini, maka bolehlah mereka melihat Allah."

Oleh kerana hijab atau penutupan itu tidak dibuka, maka semua pandangan makhluk kepada Allah, terhalang.

Adapun hujah lain, dalam sebuah hadis Nabi saw bersabda (mafhumnya): "Sembahla Allah, seolah-olah kamu melihat Allah, kalau kamu tidak dapat juga melihat Allah, maka Allah melihat kamu."

Hadis ini merujuk kepada penglihatan mata batin ataupun hati terhadap kebesaran dan keagungan Allah, bukan dengan melihat dengan mata kepala.

Inilah juga, jika kita merujuk kepada peristiwa yang berlaku kepada Nabi Musa as. Nabi Musa tatkala diperintahkan mengadap Allah, sehingga boleh bercakap dengan Allah SWT, baginda memohon untuk melihat Allah dengan mata kepalanya.

Allah SWT menjawab kepada Nabi Musa, "Kamu tidak boleh melihat Daku."

Kisah sepenuhnya disebut oleh Allah dalam firman-Nya (mafhum): "Dan tatkala Nabi Musa datang pada waktu yang telah Kami tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata; "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (Zat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu. Allah berfirman; "Engkau tidak sekali-kali tidak akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku." Setelah Allah Tajalla (menzahirkan kebesaran-Nya, kepada gunung itu, maka gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada-Mu, dan akulah orang yang awal pertama beriman." (surah al-A`raaf: 143)

Mengikut sesetengah mufassirun, Allah bukan menampakkan diri-Nya kepada bukit, kerana bukit tidak melihat Allah dengan matanya, kerana bukit tiada mata seperti manusia.

Apa yang berlaku kata mufassirun, Allah sekadar mempamerkan Keagungan dan Kehebatan-Nya kepada bukit, sehingga bukit yang pejal dan kukuh hancur luluh.

Bayangkan jika Allah tunjukkan yang seperti itu kepada Nabi Musa atau kepada manusia, tanpa ada perisai atau pelindung, tentulah Musa walaupun rasul, pasti akan hancur berkecai.

Kerana itulah Nabi Musa as yang diberi keizinan untuk bercakap dengan Allah, pun tidak dibenarkan melihat Allah di dunia, bagaimana kita atau yang selain daripada Nabi Musa, boleh melihat Allah?

Pada saya, cukuplah kita dengan pegangan, bahawa masalah ini terlalu akademik, dan terlalu relatif. Usahlah diperbahaskan atau dipanjang bicarakan.

Tunggulah di hari akhirat nanti, dengan izin Allah SWT, kita boleh melihat Allah. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

2 comments:

immukmin said...

nice n3 =) terima kasih...

abuikhwan said...

semoga bermanfaat...

Post a Comment