Sahabat Sejati

Saturday, 30 October 2010

Tutuplah auratmu wahai wanita...


Kita perhatikan bagaimana 'trend' sesebuah organisasi, jabatan, malahan restoran hebat hari ini pasti meletakkan 'dress code' atau etika berpakaian tertentu bagi kakitangannya. Ianya pasti bertujuan untuk menjaga standard bagi organisasi tersebut. Contohnya, kita tidak akan dapat melihat individu yang berselipar jepun atau berkain pelikat di sebuah persidangan antarabangsa seperti PBB, WHO dan sebagainya. Semuanya menjaga standard.

Jika sesuatu organisasi mempunyai standard yang sedemikian, apatah lagi Islam yang merupakan satu agama dan cara hidup yang profesional, tentunya mempunyai standard yang lebih lengkap bagi mengatur kehidupan manusia. Islam tidak menolak fesyen kerana memang fitrah manusia untuk bergaya dan kelihatan menarik, tetapi garis panduan syarak perlu diletak di peringkat utama dalam semua keadaan. Dengan kreativiti pereka fesyen yang mempunyai roh Islam, pakaian wanita seperti jubah tetap menarik yang menepati urusan agama dan bersesuaian dengan era moden dan terkini.

Namun demikian terdapat juga kekeliruan dalam memahami erti menutup aurat. Di antaranya ialah:

1- Aurat dianggap memakai tudung sahaja.

2- Bertudung tetapi ber`T-shirt` berlengan pendek.

3- Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.

4- Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan- kawasan mudah `menggoda`.

5- Bertudung tetapi menayangkan jambul dan hujung rambutnya.

6- Bertudung tetapi hanya memakainya di sekitar pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.

7- Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.

8- Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh dilihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

9- Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis:
"Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya)." (Riwayat al-`Uqayli, Darul Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245)

Menurut Imam Mujahid, hadis ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi saw memalingkan wajahnya, maka para sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai respon Rasulullah saw memuji dan menyebut hadis di atas. (Al-Bayan wa At-Ta`rif, Ibn Hamzah al-Husayni, 3/252, no 1831).

10-Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki.

Firman Allah SWT:
"Janganlah perempuan-perempuan itu berlemah-lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit." (al-Ahzab:32)

Saturday, 23 October 2010

Hanya satu ngomelan


Jika dibuat perbandingan.

Umum mengetahui betapa bernilainya intan dan berlian, ianya dibungkus dengan kemas, diikat lalu disimpan di dalam peti besi terkunci rapi. Tidak cukup dengan itu, diupah pula pengawal keselamatan untuk menjaganya. Begitu juga dengan wanita. Wanita yang bermaruah tidak akan sewenang-wenangnya mempamerkan tubuhnya di khalayak ramai. Mereka tampil di khalayak ramai dengan menurut kehendak syarak.

Bilamana wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki yang bukan mahram, maka sesungguhnya dia telah menutup maruahnya dan maruah mukminat seluruhnya. Harga diri seorang wanita terlalu mahal harganya.

Firman Allah SWT:

“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isteri kamu, dan puteri-puteri kamu dan kepada wanita-wanita beriman hendaklah mereka menutup kepala dan melabuhkan tudung kepala hingga menutupi dada mereka. Semoga dengan ini mereka mudah dikenali (bahawa mereka adalah wanita-wanita yang mulia). Supaya mereka tidak akan diganggu (oleh lelaki-lelaki yang tidak sopan). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (al-Ahzab: 59).

Islam mengajar umatnya membentuk sifat-sifat menjaga kesucian bukan sahaja kesucian hati (iman)tetapi hingga pada cara umatnya berpakaian.

Berdasarkan nas al-Quran dan hadis amat jelas isu aurat bukanlah sesuatu yang kecil dan masalah remeh. Malah ia juga merupakan salah dosa utama yang diperjuangkan oleh syaitan. Kerana, dengan terbukanya aurat, ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, bercerai suami isteri kerana curang, mengandungkan anak luar nikah, putusnya hubungan kekeluargaan membunuh anak luar nikah dan berbagai-bagai masalah lagi.

Perihal syaitan mensasarkan dosa ‘membuka aurat” ini sebagai agenda utamanya ada disebutkan dalam al-Quran yang bermaksud:

“Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya agar menampakkan kepada mereka aurat yang tertutup...” (al-A`raaf: 20).
Sebagai pemimpin Islam sama ada ketua keluarga, ketua masyarakat apalagi ketua negara wajib membimbing rakyat agar menutup aurat dengan menunjukkan contoh dan tauladan.

Islamic Fashion Festival

Isu yang kecoh dan heboh ketika ini, baik di dalam blog, facebook maupun di kedai-kedai kopi. Dan saya sendiri pun mendapat info melalui facebook dan juga blog. Bermacam-macam reaksi yang dapat dilihat, ada yang menggesa penaungnya meminta maaf kepada seluruh umat Islam, ada juga yang membenarkannya dengan alasan yang berbagai-bagai.

Saya tidak bermaksud untuk mengulas panjang, kerana bagi saya telah cukup apa yang ditulis, ulasan dan pendapat. Rata-rata banyak di dalam blog.

Sekadar melontar satu pertanyaan, inikah yang dinamakan “Islamic fashion?” Tepuk dada tanya iman.

Sumber foto: Internet













Wednesday, 13 October 2010

Tanggungjawab bersama


“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagiannya menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan solat dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahamat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (at-Taubah: 71).

Realiti hari ini, kita melihat dan menyedari berbagai-bagai masalah yang melanda negara kita. Masalah moral seperti mat rempit, penagihan dadah, pembuangan bayi, zina, arak. Begitu juga masalah kenaikan harga barang, rasuah, pembunuhan tragis dan sebagainya. Kelihatan setiap hari semakin menanah dan membarah, sukar dibendung, selesai satu timbul sepuluh.

Apakah tindakan kita. Melihat sahaja sambil menggeleng kepala sambil mulut kita menghamburkan sumpah seranah kepada si pelaku.

“Patutnya orang macam ni elok dicampak ke kandang harimau je, atau kandang buaya. Diorang tu tak layak hidup dengan manusia.” Kata seorang ‘hakim’ yang tak bertauliah, senang.

“Aku kalau dapat orang yang buat kerja tu taulah nanti,aku kerat 24.” Kata pula seorang ‘penjual daging’ di pasar,nak mengerat aje.

Ada juga yang berkata, “ala.. polis kan ada, biarlah diorang siasat, nanti tak ada kerja pula.”

Benar, tetapi apa pula peranan kita. Sekadar itu sahaja?

Tanggungjawab

Adakah semua masalah ini dikira masalah tersisih atau terpinggir yang terpikul di atasa pundak sesetengah pihak sahaja. Sebenarnya setiap pihak ada peranan dan tanggungjawab masing-masing. Tanggungjawab orang alim (berilmu) adalah lebih besar dari tanggungjawab orang jahil, orang yang mempunyai kuasa lebih besar tanggungjawab dari orang yang tiada kuasa, yang berharta lebih besar tanggungjawab dari yang tidak berharta.

Jika rakyat biasa ada peranan sebagai rakyat biasa, jika pemimpin lebih luas dan besar lagi tanggungjawab yang terpikul, begitu juga kerajaan yang memerintah ada tugas dan tanggungjawab yang perlu di mainkan. Pendekata, semuanya ada peranan dan perlu memainkan peranan tersebut dengan bijak dan sebaiknya, tidak ada istilah lepas tangan dan itu kerja dia bukan kerja aku. Semuanya ada peranan mengikut kemampuan dan menurut ruang lingkup kekuasaan yang ada.

Rasulullah saw bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu semua akan ditanya atas apa yang kamu pimpin.”

Islam tidak meletakkan perbezaan untuk menjaga agama. Contohnya hanya mereka yang “golongan agama” sahaja yang bertanggungjawab pada agama, bahkan sesiapa yang mengaku Islam dan beriman bertanggungjawab terhadap agamanya. Umat Islam keseluruhannya bertanggungjawab mengaamalkan apa yang diperintahkan dan dalam masa yang sama bertanggungjawab melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, sebagaimana yang disebutkan di dalam surah at-Taubah ayat 71 di atas.

Peranan bersama

Satu kisah yang pernah diceritakan ketika belajar dahulu, dimana seorang pendengar telah berkata kepada seorang penceramah selepas ia berceramah: “Kamu telah berceramah selama 30 tahun, tetapi apa yang telah kamu lakukan???”

Penceramah tersebut menjawab, “kamu juga telah mendengar selama 30 tahun. Apa yang kamu telah lakukan???”

Masing-masing ada peranan. Inilah hakikatnya, baik seorang pendengar maupun yang bercakap, bertanggungjawab untuk mengubah dari percakapan atau apa yang didengar kepada amalan, walau siapa pun kita. Tidak perlu hanya menyalahkan di antara satu sama lain.

Namun demikian, tidak salah untuk menegur kepincangan dan kebobrokan yang berlaku seperti salahguna kuasa, rasuah, penyelewengan dan sebagainya kerana ia juga adalah satu tanggungjawab. Jika kesilapan tidak ditegur maka selamanya akan berada dalam kesilapan. Ini juga termasuk dalam perkara amar makruf nahi mungkar.

Marilah kita mengubah idea-idea di hujung lidah maupun di atas kertas menjadi realiti walau berbeza peranan dan tanggungjawab.

Tuesday, 12 October 2010

ENGKAU MEMANG CANTIK


Kecantikan berada di mana-mana.

Sesungguhnya kita sering mendengar bahawa kecantikan itu adalah sesuatu yang terlalu subjektif sifatnya. Ia tertakluk kepada pandangan penilainya, tetapi selaku seorang mukmin, kita harus memaksa diri sendiri untuk terus dan sentiasa percaya bahawa pada akhirnya piawai mutlak ukuran kecantikan itu berada di neraca Allah SWT. Jika cantik itu dibiarkan bebas untuk menjadi bahan penilaian mengikut pandangan akal semata-mata, maka tentu akan binasa dan porak peranda.

Analogi yang mudah, walau secantik manapun botol minuman alkohol itu, tetapi sebaik-baik ia digunakan untuk mengisi arak maka tetaplah ia hodoh. Demikian juga sebaliknya jika botol yang sederhana, tetapi diisi oleh minyak atar, maka ia tetap indah seindah wangian yang dituang ke dalamnya.

Sesungguhnya kebenaran itu adalah dari al-Quran. Kebenaran itulah juga yang menjadi ukuran bagi menentukan kecantikan. Bukanlah kecantikan namanya biarpun seindah mana seseorang dari segi fizik jika dia membelakangi kebenaran yang didatangi oleh Allah. Pedoman hidup yang telah di atur dan ditetapkan oleh Allah dalam pelbagai segi; itulah paksi dan formula sebenar tempat terpacarnya nur kecantikan. Puteri Balqis sebelum Islam tetap tidak cantik walaupun dia kemilau berbusana dalam seribu jauhar keindahan. Selagi dia tidak tunduk kepada ajaran tauhid anutan Nabi Allah Sulaiman as, dia tetap jelek. Bahkan dia kontra kecantikan.

Sesungguhnya, Islam ini satu set ajaran dan peraturan Ilahi yang serba lengkap. Sentiasa berada di tengah dan sederhana, ia menjadi pembeza antara yang hak dan yang bathil. Hak itulah kemuncak keindahan dan bathil itulah kegelapan yang sehabis gelita. Dengan syariat Islam, hak menyuluh kejelekan kepada jalan cahaya yang penuh kecantikan bernama kebenaran.

Tajuk buku : Engkau Memang cantik
Penulis : Burhan Sodiq
Penerbit : KEMILAU PUBLIKA Sdn Bhd
Harga : SM Rm15.00 / SS Rm18.00
M/S : 156

ENGKAU MEMANG CANTIK, adalah sebuah buku yang meletakkan cawan di atas piring dan mengembalikan sirih pada gagangnya. Ia seakan tampil untuk memujuk gadis solehah yang diganggu dan digugat kepercayaannya terhadap Islam.

ENGKAU MEMANG CANTIK, datang untuk merayu mana-mana gadis mukmin agar redha menerima pilihan jalan hidup yang pernah diambil diawal kesedaran dahulu. Biarpun mungkin berbeza dari kehendak dan jalan hidup rata-rata “manusia dunia” yang memuja material di sekelilingnya, namun gadis mukmin perlu tabah mengimani apa yang sedang atau pernah menjadi pegangan dan pendiriannya.

ENGKAU MEMANG CANTIK, mengeluarkan semekar bunga kecantikan dari pasu kehidupan asal untuk didefinisikan semula maksud kecantikannya itu berasakan roh Islam. Jika gadis muslimah itu tumbuh dari subur keimanan, dia tidak perlu bimbang. Walau sekerdil mana tubuh tempat tumbuhnya dan diganggu oleh pukulan badai saban waktu, namun ia tetap utuh dan memberi teduhan redup, sejak pagi hari pertama.

ENGKAU MEMANG CANTIK, terbahagi kepada empat bab utama dan dipecahkan pula kepada tajuk-tajuk kecil:

1 : Manusia Indah Bernama Muslimah!

2 : Lalu Aku Harus Bagaimana?

3 : Engkau memang Cantik!

4 : Negative Thinking, No Way!

ENGKAU MEMANG CANTIK, buku yang menyentuh topik kecantikan; banyak memuji sekaligus menguji, khususnya setiap wanita telah siap dikarang. Ia kini terletak di atas meja. Diadun dengan tekun, cukup selektif. Penulisnya mengangkat hanya yang terbaik sahaja dari bahan yang dianalisa. Selamat membaca!

“Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.” (Yunus: 26)

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu!

Thursday, 7 October 2010

Asmaul Husna DENGAN NAMAMU AKU HIDUP


“Allah mempunyai asma’ ul-husna (nama-nama yang terbaik). Mohonlah kepada-Nya dengan (menyebut) asma’ ul-husna itu.” (al-A`raaf: 180)

Sesungguhnya Allah SWT mempunyai Asma’ ul-Husna iaitu sebanyak 99 nama yang Maha Agung, amat sesuai dengan sifat-sifat Allah. Ia mempunyai makna tertentu dan menggambarkan dengan sempurna sifat-sifat Allah SWT. Setiap nama dalam Asma’ ul-Husna mempunyai khasiat. Segala khasiat yang ditemui hasil daripada tajribah (eksperimen), pengalaman dan percubaan ulama tertentu.

Alim ulama` dalam Islam ada pelbagai cara dan mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Sesetengahnya meneliti ayat-ayat al-Quran dari segi nahu dan mengkaji dari segi bahasa. Sesetengahnya mengkaji ayat-ayat al-Quran yang ada hubung kait dengan ilmu sains. Tidak kurang juga ulama’ yang mengkaji ayat-ayat tertentu di dalam al-Quran untuk dijadikan wirid.

“Katakanlah: Serulah Allah atau serulah ar-Rahman! Di mana sahaja (nama Tuhan) yang kamu seru. Dia mempunyai asma’ ul-husna (nama-nama yang paling baik).” (al-Israa`: 110).

Begitu juga mengenai Asma’ ul-Husna, ulama’ telah mengamati dan meneliti terutama ulama’ dan pakar-pakar ilmu tasawwuf. Mereka mampu memahami dengan jelas makna bagi setiap Asma’ ul-Husna itu. Malah mereka juga telah meneliti dengan mendalam khasiat atau fadhilat nama-nama Allah.

Judul : Asmaul Husna DENGAN NAMAMU AKU HIDUP
Karya : Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Penerbit : Kemilau Publika Sdn Bhd
Harga : SM Rm17.00 / SS Rm20.00
M/s : 309

Buku ini menghuraikan makna-makna setiap asma` ul-husna dan juga fadhilat agar kita semua dapat menghayatinya dan sekaligus membangkitkan rasa teruja kita untuk mengamalkannya. Mudah-mudahan dengan itu, kita akan lebih akrab dengan asma` ul-husna dan menjadikan penghias bibir kita sehari-hari.

Asma’ ul-Husna, bukan sekadar sebuah irama, bukan juga lirik indah sebuah nasyid walaupun ia boleh dilagukan. Tetapi mempunyai pengertian dan kelebihan yang tersendiri. Ia adalah teras rumusan tentang aqidah yang benar, dibina di atas Arasy nama-nama Allah. Ia sehimpun nama-nama Tuhan yang memperkenalkan sifat diri-Nya dalam 99 nama-nama Mulia. Di sana ada erti yang mendalam bagi setiap satu dari nama-nama-Nya.

Seorang Muslim yang berbakat untuk dididik adalah Muslim yang gemar memerhati dan mendalami setiap satu dari bait Nama-Nama dan Sifat-Sifat yang terakam dari asma`-asma`-Nya itu. keadaan tidak seharusnya terhenti di situ. Seterusnya Muslim itu perlu sedaya mungkin menggabungkan dirinya dengan Islam, justeru faham akan sifat Allah yang menjadi al-Khaliq.

Kata al-Marhum Mujahid Fathi Yakan:

Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan ialah mengenali Allah SWT seperti mana yang Allah SWT sendiri menjelaskannya, memberi sepenuh ketaatan kepada-Nya dan mengabdikan diri kepada-Nya.

Firman-Nya: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” (adz-Zaariyaat: 56).

Saya mestilah berusaha mengetahui nama-nama dan sifat-sifat Allah yang layak bagi kemuliaan-Nya. Abu Hurairah ra. berkata; Rasulullah saw bersabda:

“Allah SWT mempunyai sembilan puluh sembilan nama, kurang satu seratus. Sesiapa yang menghafaznya akan memasuki syurga. Allah itu ganjil (tunggal) dan menyukai (bilangan) yang ganjil.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Marilah kita mengamalkan hasil usaha para ulama` mengenai asma` ul-husna, yang telah menjalankan tajribah terhadap asma` ul-husna dari segi pengertian, fadhilat serta khasiatnya, sebagai suatu bidang ilmu yang memberi manfaat dan kebaikan kepada orang-orang yang beriman.

Asmaul Husna DENGAN NAMAMU AKU HIDUP, lahir dari iltizam dan kesungguhan.

Asmaul Husna DENGAN NAMAMU AKU HIDUP, hadiah mewah buat ummah.

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu.

Tuesday, 5 October 2010

Buruknya aku ketika marah...

“…adapun yang berharga dalam diri manusia ialah akal, tetapi ia boleh hilang disebabkan marah…”

Sebahagian dari pesanan Rasulullah saw.

Sesungguhnya Allah SWT menciptakan akal yang dapat melihat, mempunyai daya memahami sesuatu, mampu membezakan baik dan buruk, merasai keagungan dan kebesaran Allah. Demikianlah betapa tingginya nilai akal.

Sheikh Utsman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syakir al-Khaubawiyi menulis di dalam kitabnya: Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan akal, maka Allah SWT telah berfirman: “Wahai akal mengadaplah engkau.” Maka akal pun mengadap ke hadapan Allah SWT, kemudian Allah SWT berfirman: “Wahai akal berbaliklah engkau,” lalu akal pun berbalik. Kemudian Allah SWT berfirman lagi: “Wahai akal! Siapakah aku?” Lalu akal pun berkata: “Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang sangat lemah.”

Lalu Allah SWT berfirman: “Wahai akal, tidak Aku ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau.”

Akal mestilah diisikan dengan ilmu-ilmu agama agar dapat memandu pemiliknya memilih tindakan antara yang baik dan buruk. Akal yang waras, yang telah terisi dengan cahaya iman dapat merasai keagungan Allah SWT serta menyelami hakikat diri dan penciptaan alam semesta.

Jangan marah...

Tetapi akal boleh hilang disebabkan marah. Marah merupakan nyalaan api yang diambil dari api Allah yang menyala, yang menyelinap masuk ke dalam hati nurani dan membakar hati manusia secara perlahan-lahan. Sesungguhnya kemarahan itu boleh menutupi akal. Sebab itu orang yang marah disebut sebagai separuh gila. Cuba lihat seseorang yang sedang marah, betapa buruknya. Muka dan matanya menjadi merah, bergetar-getar kaki tangan serta badannya. Kadang-kadang sampai menggertap gigi, lubang hidung bergerak-gerak mengembang dan mengecil.

Andaikata seseorang yang sedang marah melihat rupanya di dalam cermin, pastilah kemarahannya akan reda lantaran timbul perasaan malu pada diri sendiri.

“Buruknya rupa aku bila marah, malunya...”

Seseorang yang sedang marah juga mudah sahaja melepaskan kata-kata yang kotor, maki hamun dan cercaan semahu-mahunya. Jika boleh dirakam kata-kata orang sedang marah dan didengarkan semula kepadanya setelah api kemarahannya hilang, pastilah dia akan merasa malu dan menyesalinya.

“Eh...aku ke yang berkata begitu, betul ke aku cakap macam tu...”

Hasil dari sifat marah ini juga akan sampai kepada kecederaan fizikal seperti timbulnya pukulan, serangan dan melukai. Kadang-kadang apa yang ada berhampirannnya akan dirosakkan. Memukul-mukul serta melakukan perkara-perkara seperti orang tidak sedarkan diri, hilang akal dan gila. Kemucak dari sifat marah ini adalah rasa dendam sehingga sampai peringkat membunuh.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari datanglah seorang lelaki kepada Rasulullah saw, kemudian berkata: “Ya Rasulullah, berilah saya perintah untuk mengerjakan satu amalan yang baik, tetapi saya harap yang sedikit sahaja.”

Lalu Baginda saw bersabda: “Jangan kamu marah.”

Orang itu meminta supaya diulangi, mungkin ada lanjutannya. Tetapi baginda saw tetap menyuruh satu perkara itu sahaja iaitu: “Jangan marah.”

Sungguh amat sederhana nasihat Rasulullah saw, dengan hanya berkata “Jangan marah” itu. Mengapa baginda berkata demikian? Sesungguhnya nampak oleh baginda kalau orang yang bertanya itu suka marah.

Jika kita amati, Rasulullah tidak menujukan larangan pada sifat marah itu sendiri, kerana pada dasarnya sifat marah itu merupakan tabiat atau naluri manusia, tidak mungkin dibuang atau dicegah. Setiap manusia dibekalkan oleh Allah SWT dengan sifat marah, jika tiada sifat marah maka akan menjadi penakut pula. Contohnya jika kita ternampak harta kita dicuri, takkanlah kita hanya melihat sahaja dan berkata: “sabar, sabar, jangan marah”. Itu bukan sabar tetapi tidak cerdik. Justeru itu larangan Rasulullah sebenarnya ditujukan kepada orangnya, agar dapat mengendalikan dirinya serta tidak mudah marah.

Rasulullah saw bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu kerana bergusti, namun orang yang kuat itu ialah siapa yang dapat menguasai dirinya waktu marah.” (Muttafaqun `alaihi).
Nah! Anda rasa anda seorang yang gagah, kekanglah kemarahan anda. Anda pasti bahagia.

Monday, 4 October 2010

Bahagiakah aku...


Setiap manusia pasti mempunyai cita-cita. Kerana dengan cita-cita maka dikatakan dia mempunyai matlamat hidup. Jika ditanya, “apakah cita-cita anda?” Sudah tentu ada yang menjawab, “saya ingin menjadi doktor, saya ingin menjadi peguam, saya ingin menjadi pegawai bank.” Tidak kurang juga jawapan seperti: saya ingin menjadi orang kaya, jutawan atau hartawan dan berbagai-bagai jawapan lagi yang boleh didengari. Semuanya matlamat atau halatuju adalah untuk mendapatkan kebahagiaan.

Pernahkah kita mendengar jawapan, “saya ingin hidup susah, saya mahu habiskan kehidupan ini dalam penderitaan. Tidak sekali-kali. Jika ada pasti ada yang tidak kena dengan ‘mereka’ yang berkata begitu. Sebaliknya semuanya manusia yang waras mahukan kebahagiaan.

Jika ditanya kepada nelayan yang mengharungi lautan, petani yang membanting tulang di tengah bendang, pemandu-pemandu lori yang membelah kedinginan malam. Para pelajar yang bersengkang mata berjaga malam, ahli-ahli korporat yang bertungkus lumus menjayakan projek tanpa letih, pentadbir-pentadbir yang siang malam bermesyuarat demi mesyuarat untuk mencari kemajuan tanpa puas. Apakah tujuan mereka? Pasti untuk mencari bahagia.

Walaupun ada manusia yang tidak faham apakah itu bahagia tetapi mereka tetap mencarinya. Ada yang rasa bahagia sekiranya tercapai segala hasrat. Ada yang merasakan bahagia sekiranya mendapat rumah walaupun kecil, tetapi setelah mendapatnya adakah mereka merasa bahagia, belum tentu. Lalu dicari yang lebih besar, setelah mendapat rumah yang besar, adakah mereka bahagia. Belum pasti. Maka dicari pula istana. Adakah penghuni istana bahagia? Bahagiakah mereka? Tidur lenakah mereka setiap malam? Belum tentu. Bahkan mungkin semakin bertambah banyak masalah. Rupa-rupanya ada rumah kecil, ada rumah besar, ada istana, bahkan ada tiga, empat, lima istana belum tentu kebahagiaan itu dapat kita miliki. Demikianlah seterusnya kehidupan kita. Dimanakah letaknya kebahagiaan? Bagaimanakah mahu menggapai bahagia yang diidam-idamkan?

Firman Allah SWT:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah. Ingatlah! Hanya dengan mengingati Allah sahajalah beroleh ketenteraman hati.” (ar-Ra`d: 28).

Ketenangan hati itulah sumber kebahagiaan. Inilah yang dicari-cari oleh setiap orang, walau dimana berada, detik dan ketika. Bukannya pada rumah besar, harta yang bertumpuk, pangkat dan gelaran yang dimiliki. Tetapi kebahagiaan yang hakiki ini bukanlah mudah ditemukan. Semakin dicari semakin jauh, semakin kita mendekat semakin ia menjarak. Jika kita bertemu dan memilikinya pun ia mudah hilang melainkan jika diurus supaya beroperasi dan sentiasa berhubungan dengan Allah SWT.

Ubat sakit jiwa

Sesungguhnya ubat untuk ketenangan hati ialah tauhid kepada Allah SWT. Kuatkan jiwa kepada Allah. Jika kita inginkan kekuatan fizikal kita boleh bersenam, berjoging setiap pagi dan petang. Kita boleh membeli alat-alat senaman yang berharga ratusan ringgit, makan makanan yang berzat dan berkhasiat. Semua ini boleh menyihatkan badan. Tetapi adakah apabila fizikal kuat maka spiritual turut kuat? Belum pasti, kerana ada orang yang kita lihat gagah tetapi apabila ditimpa sedikit ujian lalu tersepuk lemah hingga mengalirkan air mata. Sebaliknya ada orang yang lemah pada pandangan mata kita, tetapi apabila menerima musibah boleh tersenyum, seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Setiap manusia perlu kepada ujian kerana dengan ujian barulah kita sedar betapa lemahnya kita dan amat berharapnya kita kepada Allah SWT. Raja atau pemimpin, rakyat biasa, yang kaya atau miskin, tua dan muda, lelaki serta perempuan tidak akan terlepas dari ujian. Apa yang penting bagaimanakah keadaan kita apabila menerima ujian atau musibah daripada Allah SWT. Contohnya apa yang kita usahakan tidak menjadi, apa yang kita buat semua tidak kena berbagai-bagai masalah yang timbul. Adakah kita akan merasa sedih atau sebaliknya? Jika spiritual kita kuat maka kita akan berfikir bahawa setiap kesusahan itu adalah ujian daripada Allah, maka kita terasa kita adalah hamba dan sememangnya layak diuji.

Dalam satu hadis Qudsi yang panjang Allah SWT berfirman:

“....sesiapa yang tidak redha dengan ketentuan-Ku, tidak sabar atas cubaan-Ku, tidak bersyukur atas nikmat-Ku dan tidak merasa cukup terhadap pemberian-Ku, maka hendaklah ia menyembah Tuhan selain-Ku. Oleh itu, sesiapa berpagi-pagi berdukacita terhadap dunia, maka seolah-olah ia marah kepada-Ku; sesiapa yang merasa sakit atas sesuatu musibah, maka sesungguhnya ia telah menyakiti-Ku...”

Oleh itu, pentingnya kita semua menjaga hati dengan Allah. Sekiranya kita merasa tidak senang ujian-ujian yang menimpa, bukankah ini bermakna kita senang dengan Allah? Sesungguhnya jiwa tauhid tatkala diuji maka ia bersabar, tidak berdukacita dan kesal, tidak ada ucapan: “kalau begitu, kalau begini” tetapi yang ada ialah redha “segalanya adalah ketentuan Allah, apa yang dikehendaki tetap akan berlaku.”

“Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (at-Taghabun: 11).
Dengan ini jiwa akan merasa tenang, tiada dukacita, tidak ada kegelisahan dan kemurungan. Sentiasa berlapang dada serta yakin dengan ilmu dan hikmah Allah. Itulah jiwa hamba.

Peringatan buat aku...