Sahabat Sejati

Sunday, 16 May 2010

Selamat Hari Guru


16 Mei datang lagi. Yang pastinya ada sesuatu yang istimewa perlu disambut. Tidak lain dan bukan ia adalah hari guru. Sambutan hari guru yang dirayakan pada 16 Mei setiap tahun adalah untuk menyatakan penghargaan kepada para guru. Segala penat dan pahit jerih dalam mendidik anak bangsa dihargai oleh pihak kerajaan. Sama ada kita menyambutnya ataupun tidak, guru sewajarnya dihargai kerana tidak sedikit jasa para guru. Saya teringat di antara bait kata sebuah sajak:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang raja menaiki tahta,
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama` yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca...


Tiada siapa yang dapat menafikan betapa besarnya peranan guru. Tugas menyampaikan ilmu dan yang paling penting adalah mendidik dan memanusiakan manusia agar lebih berkemanusiaan. Semestinya ia bukan sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi di zaman yang amat mencabar ini. Zaman manusia menempatkan diri di celahan sifat kebendaan.

Saya teringat kepada guru kelas saya semasa di sekolah menengah dahulu. Puan Halimah Jahid namanya. Tunjuk ajar dan nasihatnya masih membekas sehingga kini. Masih saya ingati di antara butir-butir nasihat yang disampaikan. Beliau membahasakan dirinya sebagai umi. Kami turut memanggilnya umi walaupun pada mulanya agak kekok juga.

"Umi harap anak-anak umi semuanya menjadi manusia. Biar miskin harta jangan miskin ilmu, kerana ilmu adalah penyuluh kehidupan dan cahaya kebenaran." Diantara nasihatnya.

Saya cuba mendapatkan pandangan dari beberapa orang rakan mengenai guru. Berbagai komen yang saya dengar. Semuanya memberikan komen yang memuji dan menghargai pengorbanan serta kepayahan guru.

Ada yang berkata:
“Guru seorang yang istimewa. Seorang pendidik yang berjiwa kental dan berhati mulia. Mampu mendidik anak-anak bangsa sehingga berjaya. Guru di ibaratkan sebuah pelita menerangi kehidupan yang gelap gelita. Tanpa guru sebuah kejayaan amat sukar untuk dicipta.”

Manakala seorang lagi menyatakan:
“Guru ibarat orang yang paling penting dalam hidup setiap insan selepas kedua ibu bapa kita. Jadi, menghormati mereka adalah sesuatu yang sangat penting juga. Guru juga menjalankan tugas dan tanggungjawab yang sama dengan ibu bapa kita iaitu memimpin dan membawa kita ke jalan kehidupan yang penuh bermakna. Ibarat mencorak sesuatu ke atas sehelai kain putih. Jika cantik coraknya, maka cantiklah kainnya. Tetapi jika buruk coraknya, maka buruklah an

Itulah guru kita,
Dari tidak tahu kepada tahu,
Dari bodoh kepada pandai,
Dari nakal kepada penuh disiplin,
Dari malas kepada rajin,
Dan dengan keberkatan guru kita...
Kita pandai membaca, kita pandai mengira, kita pandai menulis,
Dan yang penting,
Kita pandai berfikir mana yang baik mana yang buruk,
Dan renung dan fikirkanlah pengorbanan guru anda.”

Demikianlah berapa pandangan yang sempat saya ambil, terima kasih kepada rakan yang sudi berkongsi pandangan.

Guru terbaik

Satu kisah yang dinukilkan di dalam kitab untuk sama-sama kita ambil tauladan.

Sedang Nabi Muhammad saw sedang duduk bersama para sahabat, muncul seorang pemuda berjumpa kepadanya lalu berkata: “Izinkan saya untuk berzina.” Mendengar perkataan pemuda itu, para sahabat terpinga-pinga dan merasa marah.

Namun Nabi Muhammad bersikap tenang dan melayan dengan baik. Baginda menyuruh pemuda itu hampir kepadanya lalu bertanya: “Mahukah engkau jika orang lain berzina dengan ibumu?”

Pemuda itu menjawab “tidak!” Lantas Nabi bersabda, “Kalau begitu, orang lain juga tidak suka berbuat jahat kepada ibu-ibu mereka.” Kemudian Nabi mengajukan soalan kedua, “sukakah kamu jika orang lain berbuat jahat dengan saudara perempuanmu? Atau sukakahkamu jika isteri kamu dinodai orang lain?” Kesemua soalan itu di jawab oleh pemuda itu dengan “Tidak!”

Rasulullah saw kemudian meletakkan tangannya yang mulia ke atas pemuda itu sambil berdoa, “Ya Allah, sucikan hatikanlah hati pemuda ini. Ampunkanlah dosanya dan peliharakanlah ia dari melakukan zina.

Sejak peristiwa itu, tiadalah perkara yang paling di benci pemuda tu selain zina.

Nah! Demikianlah contoh terbaik yang ditunjukkan oleh guru yang terbaik, Nabi Muhammad saw.

Menurut Imam Ghazali di antara ciri-ciri guru yang cemerlang ialah:
-Mempunyai rasa simpati kepada murid dan menganggap serta melayani mereka sebagaimana anaknya sendiri.

-Mengikuti tingkah laku dan sunnah Nabi Muhammad saw dan tidak meminta imbuhan atas perkhidmatan yang diberinya.

-Tidak menasihati atau membenarkan muridnya melaksanakan sesuatu tugas kecuali dia (guru) benar-benar terlatih dan berpengetahuan tentang perkara tersebut.

-Menasihati murid-muridnya supaya meninggalkan kelakuan buruk secara lembut, bukannya dengan memarahi mereka.

-Tidak sekali-kali merendah-rendahkan disiplin ilmu yang lain di hadapan murid-muridnya.
-Hadkan pembelanjaran bersesuaian dengan tahap pemahaman murid dan tidak sesekali memaksa mereka mencapai sesuatu diluar kemampuan.

-Menyediakan bahan pembelajaran yang mudah difahami, jelas dan bersesuaian dengan tahap perkembangan akal murid khususnya murid yang kurang pintar.

Jika kita lihat pada hari ini betapa bejatnya kerosakan moral remaja, maka nasihat dari Hujjatul Islam Imam Ghazali ini perlu kita ambil sebagai panduan dalam mendidik generasi dan membentuk sakhsiah pelajar.

0 comments:

Post a Comment