Semalam saya ke bandar kerana ada urusan penting. Setelah menyelesaikan beberapa urusan, sengaja saya masuk ke dalam sebuah pusat membeli belah. Hajat di hati membeli sedikit buah tangan untuk di bawa pulang.
Ramai juga pengunjung, maklumlah hari Sabtu. Kebanyakannya dikalangan remaja, budak sekolah. Apa yang menarik perhatian saya adalah 'dressing' dan penampilan mereka. Ada yang rambut terpacak, ada yang berseluar kecil di bawah. Ada juga yang koyak di lutut. Manakala yang perempuannya dengan baju ketat laksana sarung nangka. Menonjol apa yang tidak sepatutnya. Dengan dialog yang tidak sanggup kita dengar.
"Eh.. setan kau nak makan apa ha?"
"Gua nak makan mee gorenglah... babi."
Begitulah diantara dialog yang didengari. Terkejut rasanya.
Cerita zaman budak-budak
Melihat remaja kita yang suka meniru-niru budaya asing, teringat saya satu cerita yang pernah dikisahkan oleh seorang guru semasa sekolah rendah dahulu. Begini kisahnya.
Seekor kera berada di atas sepohon pokok. Ia ternampak seorang tukang gunting sedang menggunting rambut seorang budak di bawah pokok. Ia tertarik hati dan asyik melihat gelagat tukang gunting yang menggunakan gunting dan pisau cukur. Pekerjaan tukang gunting itu menarik perhatiannya sehinggalah selesai tukang gunting itu menggunting rambut budak tersebut.
Setelah selesai, tukang gunting itu pun beredar dari situ untuk makan. Dia meninggalkan perkakasnya di bawah pokok itu. Sang kera segera turun dari pokok untuk melihat gunting dan cukur yang digunakan oleh gunting tadi. Tergerak di hatinya untuk meniru perbuatan tukang gunting. Ia pun mengambil gunting lalu menggunting bulu/rambut di badan dan di kepalanya. Setelah itu ia mengambil pisau cukur pula. Cepat-cepat ia meraut bulu di badannya. Dalam kegopohannya pisau cukur itu memotong sebahagian hidungnya. Kera menjerit kesakitan. Darah bercucuran mengalir dari mukanya. Sang kera mula menyesal atas perbuatannya meniru perbuatan tukang gunting itu.
Berdasarkan kisah di atas kita mestilah mempunyai identiti sendiri. Jangan kita suka meniru budaya lain. Kerana sesuatu budaya itu tidak semestinya baik dan sesuai dengan keadaan kita. Lebih-lebih lagi jika meniru-niru perbuatan orang lain tanpa mengetahui baik dan buruknya.
Oleh itu marilah kita kembali kepada Islam yang lebih terang dan terserlah identitinya. Kita tidak perlu meniru budaya lain kerana Islam itu telah lengkap segalanya.
Maka berkatalah..."Islam adalah identitiku.. alhamdulillah."
0 comments:
Post a Comment