Sahabat Sejati

Wednesday, 7 December 2016

Telah 11 tahun usianya pada hari ini, alhamdulillah.

'Si kecil haikal yang istimewa'

Dia lahir di HTAA pada hari Rabu, jam 7.55 pagi, tanggal 7.12.2005 bersamaan 5 Zulkaedah 1426H. Pada kad kelahirannya ada tercatat .............

Penyakit apakah ini? Aku tidak tahu tetapi pernah mendengar. Seorang jururawat bertanya kepada isteriku, apakah sebelum ini tidak mengambil suntikan imunisasi? Jawab isteriku, sudah! Tetapi mengapa boleh terjadi sindrom ini kepadanya. Sedangkan abang dan kakak-kakaknya tidak pula. Tidak patut terjadi secara logiknya, ulas jururawat itu lagi kehairanan. Aku cuma mengangguk. Apalah kudrat yang ada pada sang makhluk, semuanya di dalam genggaman kekuasaan-Nya. Apa yang berlaku tentu dengan hikmah kebaikan, aku meredakan perasaan. 

Dan kenyataannya aku saksikan dia tidak seperti kanak-kanak lain. 
Telinganya tidak bisa mendengar. 
Mulutnya tidak bisa bertutur. 
Matanya tidak mampu mengecam tanpa bantuan cermin mata berkanta tebal. 
Jantungnya tidak berdegup seperti kanak-kanak lain. 
Derapan langkahnya tidak segagah orang lain. 
Ah, ada lagi.. 
Tangannya seringkali terhayun-hayun dan terketar-ketar menampakkan dia tidak seperti kanak-kanak normal yang lain. 

Sehingga kadangkala aku merasa aib tatkala ada mata-mata yang memandang tanpa berkerdip. Kepelikan barangkali. Tetapi yang pasti dia sentiasa menjadi penenang jiwa dan penyejuk mata. Dan aku sebagai bapanya hanya terdaya mencicip rasa simpati dengan panjatan doa yang tiada sama sekali rasa jemu. Bersimpuh menadah tangan memohon dan merayu agar sentiasa kuat sehingga akhirnya. 

Teringat saat-saat itu. Dua minggu sebelum kelahirannya, ‘dia’ sudah pun ‘dimasukkan’ ke hospital bersama ummu Ikhwan. Saat dilahirkan beratnya hanyalah 1.35 kilogram, kecil. Sehubungan itu, dia dimasukkan ke dalam inkubator selama 2 minggu kemudian 3 minggu lagi di wad NICU. Selama itulah ummu Ikhwan setia menemani.  Manakala aku menguruskan keluarga dirumah disamping melawat setiap hari ke hospital setelah habis waktu bekerja.

Teringat pula aku dan ummu Ikhwan dipanggil ke bilik doktor. Sebelum diserahkan borang pendaftaran OKU, kami diberikan sedikit nasihat berupa kaunseling. Bimbang jika kami berdua tidak dapat menerima kenyataan. Ada kes ibu bapa tidak dapat menerima apa yang berlaku dan mahu memberikan bayinya keada sesiapa sahaja, ujar doktor tersebut.  Aku dan ummu Ikhwan saling berpandangan dan tersenyum. Kami menerima dengan hati yang terbuka, Besar tapak tangan nyiru kami tadahkan, seumpama begitu. Ia adalah satu anugerah! Ya, satu anugerah...

 '31 May 2012, persediaan sebelum menjalani pembedahan kali ke tiga di HTAA'

Pada usianya 3 bulan kami diminta oleh pihak hospital untuk membuat rujukan di IJN kerana terdapat tanda-tanda masalah pada jantungnya. Sehingga kini kami masih membuat rujukan di IJN. Begitu juga di HTAA, tempat dia dilahirkan, kami perlu membawanya 3 kali sebulan di setiap klinik hospital yang berbeza. Susah? Ada juga, tetapi kata orang lama “alah bisa tegal biasa”. Sudah 11 tahun berulang-alik, jadi seronok pula. 

Pada usia 5 tahun dia masih tidak mampu bertatih. Jika ingin bergerak dia akan menunjal-nunjalkan kakinya, lalu bergeraklah dia ke sana ke mari dalam keadaan mengundur. Hati kecil seorang ayah, apakah anakku ini tidak akan dapat berjalan? 

Allah Maha Pengasih, usianya 7 tahun dia mula mengatur langkah walaupun perlahan-lahan sambil bergayut pada apa yang dapat dicapai. Walaupun begitu, rawatan masih diperlukan dan kami berulang-alik ke pusat perubatan. Sampai bila? Entahlah, biarlah taqdir yang menentukannya. Padaku dia adalah amanah yang tidak akanku siakan. Kami sekeluarga akan terus menjaganya selagi ada hayat dikandung badan. Insya-Allah.

Dialah ‘si kecil Haikal yang istimewa’. Telah 11 tahun usianya pada hari ini. Alhamdulillah. 

##sekadar perkongsian

6 comments:

saniah ibrahim said...

Assalamualaikum ustaz....Alhamdulillah dah pun 11 tahun Haiqal yang istimewa ya.Semoga ustaz sekeluarga terus diberi ketabahan menjaga anak ini.

Nor Azimah said...

Anak syurga tu, dia yg akan menebus kedua ibubapanya di sana nanti...
In shaa Allah, sudah 11 tahun ustaz sekeluarga tabah menjaga dan mendidiknya, semoga terus diberi kekuatan utk menjaga amanah Allah ini. Tak ramai yg diberi peluang sebegini kan ustaz.

Adam said...

Kesusahan dan kesenangan dunia jangan kita anggap ia satu hukuman. Ubah cara pemerhatian kita melalui kepercayaan dan iman.

Tulisan saudara ini begitu istimewa bagi saya begitu juga dgn anak ini. Dia berada di hati saya. Saya hambaNya memohon doa untuk kebaikan dia di dunia dan akhirat. Amin.


You put a great article. Smart truths and good insights.

Bunda_nora said...

Setiap dari kita diberi ujian dari Nya disudut yang berbeza2... tetapi itulah juga menjadi pengalaman kita suoaya kita menjadi lebih kuat dan sabar.

Setiap ujian dari Nya pasti ada hikmah disebaliknya. Cuma masa yang akan menentukan. Semoga Allah permudahkan segala urusan anakanda sekeluarga untuk insan istimewa ini.
Aamiin..

Adam said...

Tuan abuikhwan,

Terimakasih atas doa kesejahteraan dari tuan untuk saya.

Siang tadi saya singgah di blog tuan. Saya baca entry tuan, tersangat menyentuh perasaan. Berbohong kalau saya kata saya menangis tapi sejujurnya saya terasa sebak selepas membaca nya.

Saya ada beri ulasan. Ulasan tu memang jujur. Jarang saya membuat ulasan begitu, tuan pun tau kan iaitu ulasan mesti setimpal dgn entri. Kalau entri itu bermaruah seperti nukilan tuan, sudah tentu mendapat ulasan yg iklas.

Kat bawah ni ulasan yg saya buat di entry tuan tadi. Saya salin semula hanya semata-mata untuk menyedarkan saya tentang kehidupan, juga untuk mengingatkan saya yang kita ni walau pun sempurna tetapi di mata Allah kita lebih banyak buruk dari Haikal.

Saya berjanji untuk berdoa di mana2 masjid di Jepun sekurang2nya selepas solat fardu untuk kebahgian Haikal. Walau pun tempat bukanlah syarat wajib untuk berdoa tetapi ini merupakan hajat saya.

Di bawah ini ulasan yg saya catat di entri tuan untuk kesedaran saya sendiri terhadap Haikal yg begitu istimewa:

"Kesusahan dan kesenangan dunia jangan kita anggap ia satu hukuman. Ubah cara pemerhatian kita melalui kepercayaan dan iman."

"Tulisan saudara ini begitu istimewa bagi saya begitu juga dgn anak ini. Dia berada di hati saya. Saya hambaNya memohon doa untuk kebaikan dia di dunia dan akhirat. Amin."

"Great article. Smart truths and good insights."

webctfatimah said...

Assalaamu'alaikum wr.wb Abu Ikhwan...

Haikal anak istimewa yang Allah kurniakan buat Abu dan Ummu Ikhwan yang tidak diberi kepada orang lain melainkan Allah tahu kemampuan hamba-NYA. Alhamdulillah, 11 tahun bukan masa yang singkat. Di situ terpancar cahaya kebahagiaan yang menunjukkan keredhaan dan keikhlasan hati orang tuanya selama hayatnya masa ada. Mudahan susah payah Abu dan Ummu Haikal dibalasi dengan syurga Firdaus. Aamiin. Didoakan Haikal akan tabah dan redha atas ujian Allah SWT. Hati saya tersentuh dengan ketulusan hati ibubapanya yang menerima Haikal dengan bahagia. Ini contoh buat ibu bapa yang mempunyai anak seperti Haikal. Barakallahulakuma.

Salam sejahtera dari Sarikei, Sarawak.

Post a Comment