Sahabat Sejati

Sunday, 11 December 2016

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (17)

PERINGKAT KELAHIRAN HINGGA USIA 40 TAHUN, SEBELUM MENJADI NABI

Peristiwa Tahun Gajah ~ foto hiasan (sumber)

Kelahiran Insan termulia

Penghulu para nabi; Nabi Muhammad saw dilahirkan daripada Bani Hasyim di Mekah pada Isnin pagi, 9 Rabiulawal pada tahun Peristiwa Gajah atau setelah berlalu 40 tahun pemerintahan Kisra Anusyirwan di Parsi. Ia bertepatan dengan tarikh 20 atau 22 April tahun 571M, sebagaimana disimpulkan oleh ulama ternama Muhammad Sulaiman al-Mansyufuri dan pakar ilmu falak Mahmud Pasha.(1)

Ibnu Saad meriwayatkan, ibu baginda iaitu Aminah berkata: “Ketika aku melahirkannya , daripada kemaluanku memancarlah cahaya yang menerangi istana-istana Syam.” Imam Ahmad juga meriwayatkan daripada Irbadh bin Sariyah penyataan yang tidak jauh berbeza.(2)

Bahkan ada riwayat yang menyatakan, tanda-tanda kenabian telah kelihatan semenjak baginda lahir, iaitu runtuhnya 14 tiang istana Kisra, padamnya api yang disembah oleh orang Majusi serta musnahnya gereja-gereja yang ada di sekitar tasik Sawa. Riwayat ini disampaikan oleh Baihaqi. Namun begitu, riwayat ini tidak disetujui oleh Muhammad al-Ghazali.(3)

Tatkala baginda lahir, ibunya menyuruh seseorang menemui Abdul Mutalib untuk menyampaikan berita mengenai kelahiran cucunya. Segera Abdul Mutalib datang dengan penuh rasa bahagia, lantas membawa cucunya itu ke dalam Kaabah. Di situ dia memanjatkan doa dan kesyukuran kepada Allah. Abdul Mutalib menamakan cucunya itu dengan nama Muhammad, satu nama yang belum pernah dikenali sebelum itu oleh bangsa Arab. Muhammad dikhatankan oleh Abdul Mutalib pada hari ketujuh selepas kelahirannya, sebagaimana kebiasaan yang telah diamalkan orang Arab.(4)

Wanita pertama yang menyusui baginda selepas ibunya ialah Tsuwaibah, hamba Abu Lahab, yang ketika itu juga sedang menyusui anak kandungnya sendiri bernama Masruh. Sebelum itu, Tsuwaibah pernah menyusui Hamzah bin Abdul Mutalib. Setelah menyusui baginda, Tsuwaibah juga menyusui Abu Salamah bin Abdul Asad al-Makhzumy.(5)

Rujukan:

(1) Muhammad al-Khudari, Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyah, jil. I, hal. 62 dan Muhammad Sulaiman al-Mansyufuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. I, hal. 38-39. Perbezaan pendapat para ulama dalam menetapkan tarikh kelahiran Nabi Muhammad pada bulan April disebabkan oleh kepelbagaian versi kalendar Masihi.

(2) Abdullah bin Muhammadal-Najdy, Mukhtasar Sirah al-Rasul, hal. 12 dan Muhammad bin Saad, al-Thabaqat al-Kubra, jil I, hal. 63.

(3) Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, hal. 46.

(4) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. I, hal. 159-160 dan Muhammad al-Khudari, Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyah, jil. I, hal. 62. Namun begitu, ada pendapat yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw dilahirkan dalam keadaan telah terkhatan – lihat Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 4. Berhubung hal ini, Ibnuu al- Qayyim mengatakan dalam Zad al-Ma`ad jil. I, hal. 18, “Tidak ada hadis yang kuat mengenai hal ini (Nabi Muhammad lahir dalam keadaan telah khitan).”

(5) Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 4 dan Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtasar al-Sirah al-Rasul, hal. 13.

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

2 comments:

paridah said...

Assalam ustaz moga dlm perlindungan Allah sekeluarga. Salam maulidur Rasul kelahiran baginda Rasulullah yg membawa rahmat seluruh alam.

Raihanah Ahmad said...

Salam maulidur Rasul kelahiran baginda Rasulullah yg membawa rahmat seluruh alam.

Post a Comment