Sahabat Sejati

Saturday 21 May 2016

Dapat lagi...


"Malam Nisfu Sya'ban Insya Allah jatuh pada hari sabtu tanggal 21.5.16 malam minggu (tutupnya buku amalan). Jadi sebelum terlambat saya dan keluarga meminta maaf kalau ada salah baik disengaja atau yang tidak...kerana NABI MUHAMMAD SAW bersabda: "Barang siapa yang mengingatkan kedatangan bulan ini, HARAM api neraka baginya..." Aminn ya rabbal `alamin. Maaf lahir batin semua dosa dan salah baik yang disengajakan maupun yang tidak sengaja." 

Demikianlah bunyi pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp yang saya terima. 

Ada lagi rupanya pesanan ringkas yang dikitar semula. Dulu ia dihantar melalui SMS. Tetapi sekarang ini dengan teknologi lebih canggih dan mudah seperti whatsapp, twitter, FB, Telegram dan sebagainya. Terutama melalui perkongsian ‘group’, cukup dengan satu tekan butang ‘send’, beratus yang akan menerimanya. 

Akhirnya setelah diam seketika, saya membalas: "Meminta maaf amalan yang mulia dan amat digalakkan. Tetapi hadis yang dinyatakan itu tiada asalnya dan tiada sanadnya (hadis palsu). Maka hentikanlah daripada menyebarkannya." 

Ancaman 

Apabila masuk sahaja bulan baru, maka kedengaranlah apa yang didakwa sebagai hadis seperti yang saya dan pastinya rakan-rakan juga pernah terima. Malahan sama sahaja susunan ayatnya dengan memberikan fadhilat yang sangat besar. Di antara yang dikatakan hadis itu ialah: 

Bila tiba bulan Muharram, 
"Barangsiapa yang memberitahukan tentang kedatangan bulan Muharram, haram neraka baginya..." 

Bila tiba bulan Rejab, 
"Barangsiapa yang memberitahukan tentang kedatangan bulan Rejab, haram neraka baginya..." 

Bila tiba bulan Syaaban, 
"Barangsiapa yang memberitahukan tentang kedatangan bulan Syaaban, haram neraka baginya..." 

Bila tiba bulan Zulhijjah, 
"Barangsiapa yang memberitahukan tentang kedatangan bulan Zulhijjah, haram neraka baginya..." 

Demikianlah yang pernah saya terima.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, no. 1209, baginda saw bersabda: Dari al-Mughirah ra, beliau berkata: Aku pernah mendengar Nabi saw bersabda: "Sesungguhnya berdusta ke atas namaku tidaklah sama dengan berdusta menggunakan nama orang lain. Maka, sesiapa yang berdusta ke atas namaku dengan sengaja, hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di neraka." 

Berpandukan kepada hadis di atas, sebagai peringatan yang sangat jelas kepada kita bahawa berdusta ke atas nama Rasulullah saw bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Malah ia adalah suatu perkara besar yang sewajarnya dielakkan oleh sesiapa jua. Ingatlah ancaman yang dijanjikan kepada mereka yang berdusta ke atas nama baginda saw, iaitu sesuatu yang amat dahsyat, bakaran api neraka. 

Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn al-Salah,‘Ulum al-Hadis, muka surat. 98) 

Sama-sama beringat!

3 comments:

paridah said...

ASSALAM MOGA USTAZ SHT SJHTERA SEISI KELUARGA...
RAMAI YG SHARE HADITH BEGINI...MOGA KITA BERTAUBAT DRPD MELAKUKANNYA...BERDUSTA ATAS NAMA JUNJUNGAN RASUL SAW YG MULIA BERDOSA BESAR TU..ELOK ELAKANNYA.

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz...
Akak pun dapat wasap dari beberapa org kawan sekolah tentang nisfu Syaban tu.Terima kasih bagitahu ,itu rupanya hadis palsu.Kalau tidak akak pun tak tahu...nasib baik akak bukan jenis suka share .

Normala Saad said...

terima kasih dengan info ini. memang banyak lihat pesanan begini kat fb

Post a Comment