Sahabat Sejati

Tuesday, 28 April 2015

Bagaimana untuk mengatasi dan membuang bahan-bahan yang disyaki bahan sihir yang ditabur?

Soalan:

Di pejabat saya, acap kali berlaku kecoh bila didapati benda-benda pelik ditaburkan di pintu pejabat bos kami, seperti kemenyan, beras kunyit, kain warna warni, telur, daging mentah dan bangkai burung gagak hitam bersepah sehingga ke dalam bilik bos saya. Apakah maksud kerja-kerja sebegini dan bagaimana untuk mengatasinya? 

Jawapan:

Sering berlaku berbagai benda pelik diletakkan di hadapan rumah, kedai, warung, tempat-tempat makan, di pejabat dan sebagainya. 

Orang Melayu mempunyai kefahaman menebal adanya kerja halus dilakukan, untuk menyampaikan maksud jahat, tidak puashati dengan seorang ketua ataupun seorang teman sepekerjaan, lalu berfikir untuk menukarkan mereka ke tempat lain atau dengan tujuan tertentu. 

Perkara yang disebutkan saudari, memang ada imbas-imbas pekerjaan sihir, tetapi apakah setiap kali kita berjumpa perkara tersebut, hendak dikaitkan dengan sihir, atau mungkin ia suatu perang psikologi? 

Mungkin ia bertujuan menakutkan seseorang, atau membuatkan orang yang 'dibuat' itu menarik diri dari jawatannya. Mungkin ianya kerja nakal, gurauan atau perbuatan suka-suka tanpa ada mainan sihir. 

Jika diandaikan ia amalan sihir, saya rasa ianya tersasar. Sihir itu ialah perbuatan tersembunyi dan tidak dapat dilihat. Kebiasaannya kerja sihir dilakukan di tempat gelap dan bahan sihir biasanya disembunyikan. 

Bahan sihir ditanam atau dimasukkan dalam konkrit, disangkutkan di atas bumbung atau di siling rumah dengan tujuan tiada orang yang dapat melihat. 

Ia dilakukan dengan jampi mentera, berhubung dengan makluk halus sebagai perantara untuk menyampaikan maksud jahat mereka. Sihir merupakan suatu perbuatan yang tidak diketahui, tersembunyi dan ianya tiba-tiba berlaku di alam nyata. 

Benda yang dapat dilihat dengan mata sebegitu, tentulah bukan sihir. Ianya perbuatan nakal untuk memerangi psikologi orang yang berkenaan. 

Saya nasihatkan, janganlah dihebohkan perkara sebegini kerana ia bukan sihir. 

Kita perlu mengatasinya dengan menyebarkan ajaran Islam yang sebenar, bahawa kerja-kerja berinsusiasi dengan amalan sihir adalah suatu dosa besar, padah besar yang mengundang kecelakaan dunia sampai kepada akhirat. 

Keduanya, mengajak manusia bertanggungjawab atas amalan mereka. Sekiranya amalan jahat dilakukan, hari ini mungkin untuk orang lain, tetapi hal yang sama mungkin akan dilakukan ke atas dirinya pula. Maka kerja seburuk ini hendaklah dihentikan serta merta. 

Ketiga, atasilah masalah yang berlaku dalam kehidupan kita secara gentleman dengan tidak membabitkan kerja-kerja yang membawa kepada kekecohan atau buruk sangka sesama rakan sekerja. 

Keempat, jadilah panduan, Islam itu sebagai suatu pegangan. Perkara yang melanggar hukum Islam dijauhi, khasnya perkara syirik yang merupakan perkara fitnah dalam masyarakat.

Kelima, fitnah memfitnah mengundang padah. Buruk sangka sama-sama di pejabat mengundang kecelaruan dan menjauhkan kita daripada ketenangan. 

Maka oleh kerana itu, kita hendaklah melakukan amalan-amalan yang mendekatkan diri kita dengan Allah SWT supaya dihindarkan kita daripada kecelakaan sihir dan sebagainya. Wallahua'lam. 

(Sumber: Bersama Dato  Dr Harun Din)

3 comments:

saniah ibrahim said...

assalam,setelah baca entry ini,dapatlah kakak membezakan antara perbuatan sihir dengan perang psikiologi....
semuga kita sentiasa dlm lindungan Allah dari perbuatan sihir .

paridah said...

assalam..serangan psikologi gini jgn diambil mudah...mesti ada ketahanan diri n pendinding diri juga..

iryanty ahamad said...

asalamualaikum saudara :-)) ... sikap phd bermacam cara..nauzubillah...mudahan kita jauh dari sikap ni ..amin

Post a Comment