Sahabat Sejati

Tuesday, 21 April 2015

Apakah hikmahnya Allah menciptakan makhluk halus yang boleh melihat manusia sedangkan manusia tidak boleh melihat rupa asal mereka?

Soalan:

Apakah hikmahnya Allah menciptakan makhluk halus yang boleh melihat manusia sedangkan manusia tidak boleh melihat rupa asal mereka. Dalam masa yang sama makhluk ini memusuhi manusia dan sering menyakiti manusia. Senang mereka memperlakukan manusia kerana mereka dapat melihat manusia. Mengapa begitu, harap dapat dijelaskan. 

Jawapan: 

Bukan semua makhluk halus sentiasa mencelakakan manusia. Ada kalangan mereka beragama Islam dan ada yang kafir. Yang Islam kebiasaannya seperti manusia. Makhluk halus yang benar-benar Islamnya tidak akan menyakiti mana-mana makhluk.

Berdasarkan hadis Rasulullah saw (mafhumnya): "Seorang muslim yang sebenar adalah seorang muslim yang akan memberi keselamatan dan kesejahteraan kepada makhluk lain sama ada melalui lidahnya mahupun perbuatannya."

Manusia muslim dengan makhluk halus yang muslim adalah bersaudara berdasarkan Firman Allah dalam al-Quran (mafhumnya): "Sesungguhnya semua orang mukmin itu adalah bersaudara."

Makhluk halus yang benar-benar muslim menjadi saudara kepada kita dan tidak akan menyakiti kita.
Bagaimanapun, permusuhan merupakan salah satu sifat yang ada pada manusia dan makhluk halus.

Seperti manusia, sesama mereka pun bermusuhan, berperang dan berbunuhan, sifat yang sama juga ada pada makhluk halus.

Allah menganugerahkan suatu rahmat yang amat besar kepada manusia dengan mereka tidak dapat melihat makhluk halus.

Allah menciptakan suatu filter atau penutup di mata, iaitu pada kebiasaannya kebanyakan manusia tidak dapat melihat makhluk halus.

Jika kita boleh nampak mereka sebagaimana mereka nampak kita, manusia tidak akan senang duduk, sentiasa terancam dan diancam.

Nescaya manusia tidak boleh berehat dan jauh sekali hendak tidur nyenyak kerana asyik terlihat rupa-rupa mereka yang menakutkan.

Disebabkan kita tidak dapat melihat mereka, maka kita boleh duduk bersenang lenang, berehat dan tidur tanpa sebarang gangguan, meski pun mereka berada di sekeliling kita.

Cuba kita bayangkan, jika sekiranya kita berada di dalam bilik tidur, tiba-tiba ternampak makhluk seperti ular atau pun seperti anjing hitam lari masuk ke bawah katil kita, tentulah kita akan mencarinya hingga dapat.
Jika tidak dapat, sudah tentu kita tidak akan nyaman tidur dan mungkin berpindah ke bilik lain.

Oleh kerana itu, kita harus faham bahawa dengan tidak dapat melihat makhluk halus dikatakan dikatakan suatu nikmat yang besar.

Makhluk halus boleh menyakiti manusia, jangan lupa, manusia juga boleh menyakiti makhluk halus.
Manusia takut kepada mereka, jangan lupa mereka juga takut kepada kita. Malah sebenarnya makhluk haluslah yang lebih takut kepada manusia, khasnya orang-orang yang sangat tinggi darjat ketaqwaannya kepada Allah SWT.

Disebut dalam satu hadis, Nabi saw mengatakan (mafhumnya): "Sekiranya Umar al-Khattab mengikuti suatu jalan ke suatu arah, tiba-tiba ada syaitan (makhluk halus) mereka akan bertempiaran lari mengikut jalan lain kerana tidak mahu berjumpa dengan Umar."

Dengan berlakunya makhluk halus menyakiti manusia, maka manusia boleh mempertahankan dirinya dengan cara mendekati Allah, memohon perlindungan kepada Allah SWT.

Firman Allah (mafhumnya): "Dan jika kamu ditimpa suatu gangguan atau godaan dari syaitan, maka berlindunglah dengan Allah SWT, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (al-A'raaf, ayat 200)

Firman Allah (mafhumnya): "Dan jika kamu ditimpa suatu gangguan atau godaan dari syaitan, maka berlindunglah dengan Allah SWT, sesungguhnya Dia lah sahaja yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Fussilat, ayat 36)

Kedua-dua ayat ini membawa maksud yang sama, cuma dalam Surah Fussilat, ada penambahan ayat "hua" atau Dia-lah sahaja. Ayat ini Allah memberi penekanan bahawa Allah sahaja yang akan memberikan perlindungan kepada manusia, mempertahankan manusia daripada kecelakaan yang akan dikenakan
makhluk halus.

Insan mukmin sewajibnya hanya takut kepada Allah SWT sahaja, bukan takut kepada makhluk halus. Jika kita takut dengan mereka, ertinya penggantungan kita masih rapuh dan perlu ditingkatkan.

Ingatlah bahawa manusia adalah khalifah di muka bumi, kita adalah "bos" atau "ketua" atau "pemerintah" yang memerintah alam, semua makhluk di muka bumi termasuk makhluk halus kena patuh kepada manusia.
Inilah yang menyebabkan iblis dengki serta iri hati kepada Nabi Adam as. kerana Adam dan anak cucunya diangkat menjadi khalifah.

Maka dengan itu manusia tidak seharusnya takut kepada makhluk halus.

Manusia perlu sedar, manusia diberi kelebihan yang tidak diberikan kepada makhluk halus.

Firman Allah (mafhumnya): "Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai kenderaan di daratan dan di lautan; dan Kami memberikan rezeki kepada mereka dari benda yang baik baik, serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang Kami ciptakan." (al-Isra', ayat 70)

Salah satu daripada kelebihan yang Allah berikan ialah, manusia dapat mempertahankan dirinya dari sebarang gangguan musuhnya termasuknya makhluk halus dengan berpegang dan bergantung kepada Allah SWT. Wallahu a'lam.

(Bersama Dato Dr Harun Din)

6 comments:

paridah said...

assalam...perkongsian yg sangat bermenafaat ni...bersukur amat kita kerana dijadikan Allah sbg manusia n khalifah kpd alam dunia...dan ada yg diberi kelebihn terus mata dpt melihat alam disebalik nyata itu...tapi kak minta simpanglh drpd tengok makhluk halus tu..

Kakzakie said...

Sewaktu anak kakak masih belajar di Maahad dulu ada satu kawan dia boleh nampak benda halus ini AI. Kasihan sebab sebenarnya dia tak selesa. Berubat sehingga ke Indonesia dan Brunei tapi macam tak berubah. Tidurnya pun mudah terjaga. Tapi dia sihat cuma macam tak boleh concentrate utk belajar dsb. Tak tahu sekarang macam mana sebab bila anak kakak masuk U sudah terpisah.

Benar kita makhluk teristimewa dijadikan Allah. Allah juga memberi kita kitab utk dijadikan panduan. Kalau kita kuat Insya-Allah semua kita dpt atasi. Macam kawan anak kakak itu.

iryanty ahamad said...

asalamualaikum..saudara.
saudara pernah dengar doa kanzal arasy tak...yan keliru tentang doa ni..ada yang kata boleh dbaca..ada yang kata tak boleh...

abuikhwan said...

Kak Paridah,
terima kasih atas kunjungan. Benar, bersyukur kerana dipilih sebagai khalifah di atas muka bumi ini namun sangat berat amanahnya.
Saya pun sama, tak mau tgklah 'benda' tu...hehe

abuikhwan said...

kak Zakie,
terima kasih atas kunjungan. Di tempat saya juga ada kes macam tu. pelajar perempuan boleh nampak seperti yang kak ceritakan. Wallahua`lam, kelebihan yang Allah berikan.
benar kita adalah makhluk istimewa dengan sebaik-baik kejadian, namun jika menyimpang daripada landasan maka jatuhlah kita ke arah kehinaan...

abuikhwan said...

irYantie,
terima kasih atas kunjungan. mengenai doa kanzul arasy tu ia terdapat di dalam buku majmuk syarif. terpulang tetapi saranan saya, carilah doa yang lebih sahih bersumber daripada Rasulullah saw dan para sahabat.

Post a Comment