Sahabat Sejati

Sunday, 8 March 2015

Kegembiran hari semalam

Alhamdulillah, siap juga. Tiga, empat hari juga mahu menyudahkannya. Kalau orang lain mungkin lagi cepat siapnya. Maklumlah saya bukannya ‘gheti’ sangat. Tahap amatur? Eh, itu pun jauh ngatnya. Buat pun sebab minat yang sangat mendalam dalam bidang penghasilan artwork. Jika mahu diikutkan bukan pengajian saya pun, tapi kalau dah minat apa pun sanggup (senyum). Dalam curi-curi masa di antara tugasan-tugasan lain, ia siap juga. Alhamdulillah, sudah sedia untuk di email kepada sahabat saya itu untuk di hantar ke ‘printing centre’.

Logo Yayasan Amal Malaysia

Sebenarnya beberapa hari lepas, saya telah diminta oleh seorang sahabat yang juga merupakan pengerusi Yayasan Amal Malaysia (YAM) cawangan Pahang untuk membuat ‘artwork’ brosur penerangan YAM. Ia akan diedar di setiap pameran dan penerangan di seluruh negara. Dengar katanya pada permulaan ini, ia akan di cetak sebanyak 10 ribu keping. Sasaran pertama nanti adalah di program Ijtima` Alami di Terengganu pada akhir bulan ini.

Menurut sahabat saya semalam, Yayasan Amal Malaysia akan membuka satu booth penerangan di sana. Jadi, kepada sahabat-sahabat yang berkesempatan ke sana, silalah singgah di booth YAM untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan NGO kebajikan dan kemanusiaan yang bergelar Yayasan Amal Malaysia ini.

Membayangkan ia adalah di antara ruang dakwah dan perkongsian kebaikan, saya bersetuju membuatnya. Walaupun dalam hati ada juga berkira-kira, “mampu ke membuatnya, sedangkan ia akan digunakan dalam ‘event’ yang besar-besar. Yalah, mana tahu jika ia tidak memenuhi ‘standard’ yang dikehendaki. Di sisi yang lain saya positifkan minda, jika tidak mencuba, mana kita tahu boleh atau tidak. Ya, sekurang-kurangnya ia menjadi kayu ukur untuk menilai kemampuan diri, sekaligus dapat mengasah skil yang ada (kalau adalah..).

Hmm, ada juga rasa bangga dan bersyukur tatkala hasil ‘air tangan’ kita menjadi ‘pintu’ untuk masyarakat membuat amal. Saya rasa sahabat-sahabat semua bersetuju dengan perkataan saya ini. Berkongsi kebaikan adalah satu tuntutan. Siapa pun kita, jangan lupa untuk berkongsi kebaikan. Biarpun sesuatu yang kecil dan kita anggap remeh. Mana tahu itulah yang besar di sisi Allah SWT. Mudah-mudahan ia menjadi rantaian pahala yang berterusan sehingga akhir dunia ini, insya-Allah amin.

Namun begitu, sesuatu yang sangat mustahak untuk diberi peringatan dan perhatian, janganlah kebaikan yang dilakukan sehingga boleh menerbitkan perasaan riak. Saya sering mengingatkan diri sendiri, jika ada perasaan riak biarpun separuh debu, ia akan menghancur-leburkan amalan yang dikumpul. Sementelah lagi, perasaan riak mudah hadir tanpa kita sedari. Samada melalui perbuatan, perkataan atau pun melalui lintasan hari. Mudah-mudahan saya sentiasa ingat akannya.

“Ya Allah, lindungilah kami semua daripada perasaan riak yang boleh memufliskan amal kebaikan kami yang sangat sedikit ini, amin.”

Gembira kedua

Berbicara tentang berkongsi kebaikan ini, petang semalam di perkarangan (parkir Grand Stand) Stadium Darul Makmur Kuantan telah berlangsung pelancaran Mobil Musolla. Pelancaran ini telah disempurnakan oleh TH Dato’ Haji Zulkifli bin Haji Yaacob, selaku YDP Majlis Perbandaran Kuantan. Apa yang boleh saya katakan, syabas dan tahniah kepada sahabat-sahabat yang telah menggerakkan idea yang sangat baik ini.

Apakah Mobil Musolla?


Mobil Musolla adalah Khidmat Surau Bergerak yang diilhamkan oleh Badan Nadwah Islamiah Pahang (NADWAH) yang menekankan "Dakwah Bil Hal".

Usaha ini merupakan kerjasama dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan mendapat sokongan kuat dari badan korporat Telaga Biru Sdn Bhd dan Takaful Ikhlas Sdn Bhd.

Konsep Mobil Musolla:
1. Menggunakan sebuah lori 3 tan yang diubahsuai untuk menyediakan kelengkapan dan ruangan untuk Solat.
2. Menyediakan ruangan tempat solat di kiri kanan kenderaan.
3. Bumbung canvas yang boleh di tarik keluar dan masuk.
4. Ruangan Solat Wanita bertutup dengan "portable partition".
5. Menyediakan kelengkapan untuk solat seperti telekung, kain pelikat dan sejadah.
6. Tempat wudhuk dibelakang kenderaan dengan bekalan air sebanyak 500liter.
7. Penyediaan kenderaan ini untuk beroperasi mengambil masa 20 minit.
8. Petugas tetap yang akan mengazankan dan mengimamkan solat.
9. Perkhidmatan ini adalah secara percuma, namun tabung2 derma disediakan untuk sesiapa sahaja melakukan ibadah.

Lokasi Operasi
1. Pasar Malam
a. Hari Isnin : Jaya Gading
b. Hari Selasa : Taman Tas
c. Hari Rabu : Balok
d. Hari Khamis : Inderapura
2. Stadium Darul Makmur (sewaktu perlawanan yang melibatkan skuad Tok Gajah)
3. Teluk Cempedak (setiap Hari Sabtu @ Ahad) ( masih dalam perbincangan)
4. Jemputan keraian tertentu.

Menatap foto yang dikirimkan oleh seorang sahabat melalui aplikasi whatsapp, kelihatan ramai yang menggunakan perkhidmatan mobil musolla sebelum masuk ke stadium. Dengan tersedianya perkhidmatan ini, maka apa lagi alasan untuk tidak mahu bersolat. Semuanya bergantung kepada diri dan hati.

Bayangkan berapa banyak mana ganjaran pahala yang diperolehi oleh mereka yang terlibat mengusahakan kemudahan ini apabila setiap orang menggunakan perkhidmatan Mobil Musolla ini untuk bersolat. Inilah amal jariah yang akan berterusan pahala sekalipun selepas mereka tiada lagi. Ada juga rasa cemuburu dan iri hati dengan mereka. Tidak mengapa cemburu yang sebegini dibenarkan. Lainlah kalau cemburu dan iri hati yang merosakkan. Yakni merosakkan orang lain, dan tentu sekali merosakkan diri sendiri.



Walau bagaimanapun, ruang untuk membuat amal jariah tersangat luas. Lihatlah, carilah dan usahakanlah sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat sekalipun setelah kita tiada lagi di dunia ini. Biar sekecil manapun kita melihat, mudah-mudahan ia besar di sisi Allah SWT.

Dari Abu Hurairah ra. bahawa Nabi Muhammad saw bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya) 

Gembira ketiga

Semalam juga berlangsung perlawanan bolasepak liga Super Malaysia di antara pasukan Pahang Darul Makmur menentang pasukan Sime Darby. Alhamdulillah, kemenangan pertama untuk pasukan Pahang selepas tiga perlawanan. Walaupun saya tidak pergi menonton, namun kegembiraan itu sukar untuk saya sembunyikan. Memanglah kawan-kan orang Pahang, hogoh Tok Gajah hogoh..

Kegembiraan, tentunya nikmat yang tidak ternilai harganya.

3 comments:

iryanty ahamad said...

Wah bnyaknys berita gembira..syukur alhamdulilah ALLAH mudahkn urusan saudara. :-))

paridah said...

ASSALAM...KEGEMBIRAAN YG SGT MEMBHGIAKAN..ARTWORK KEMAS N CANTIK SESUAI SGT MMG BERBAKAT BESAR NI...WAH ADA VAN MUSOLA DI KUANTAN DITEMPAT STRATEGIK..BAGUS UTK KEMUDAHN MUSLIMIN MUSLIMAT..

Bunda a.k.a KN said...

Banyak nyer berita gembira...artwork yang cantik dan kemas...

Post a Comment