Sahabat Sejati

Thursday, 25 July 2013

Kita peduli...


Konflik di Mesir belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. Semua sudah maklum apa yang telah berlaku di Mesir, iaitu rampasan kuasa tentera di mana seorang pemimpin yang dilantik secara sah menerusi pilihan raya digulingkan.

Walau apapun alasan tentera berbuat demikian, ia tidak boleh diterima dalam sistem demokrasi. Kalaupun ada yang tidak sukakan pemimpin atau kerajaan dipilih secara demokratik, mereka harus menunggu sehingga tiba waktunya peluang untuk membuat perubahan pada pilihan raya akan datang. Inilah asas demokrasi.   

Presiden Morsi merupakan presiden pertama dipilih melalui pilihan raya yang bebas. Oleh kerana beliau seorang yang Islamik dan di antara pimpinan lkhwanul Muslimin. Kemenangan beliau amat digusari oleh barat terutama USA dan Israel. Mereka jelas bersikap double standard walaupun kemenangan Morsi melalui demokrasi pilihanraya dan suara majoriti rakyat. Kemenangan Morsi amat mengancam kepentingan USA dan Isrsel sebagai contoh pembukaan sempadan Rafah oleh Morsi.

Penduduk Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza bergantung kehidupan dengan Mesir dalam aktiviti seharian mereka, dalam mendapatkan pelbagai sumber kehidupan. Namun, sejak rampasan kuasa di Mesir 3 Julai lalu, tentera Mesir telah mengarahkan agar satu-satunya pintu keluar dari Palestin di Rafah, Mesir ditutup.

Tentunya kita yang diikat dengan aqidah yang sama merasa sangat simpati dan perlu mengambil sikap cakna atau peduli apa yang berlaku. Entahlah tidak sempat untuk saya berfikir jika ada juga yang boleh berkata: "Isu Mesir adalah tanggungjawab Mesir, isu Palestin biar orang Palestin selesaikan dengan Israel, isu Syria biar mereka orang Syria urus dengan pemerintah mereka sendiri, isu Pattani biar mereka bincang dengan kerajaan Thailand, kerajaan mereka sendiri. Kita tak perlu sibuk urusan orang lain sebab kita kena jaga anak bini kita dulu."

Sikap cakna atau peduli adalah sikap ambil tahu dan peka terhadap sesuatu yang berlaku serta memberi tindak-balas terhadap pelbagai hal yang berlaku di sekeliling kita. Rasa peduli, ambil berat atau ‘caring’ adalah elemen yang sangat penting dalam kehidupan kerana ia mengajar kita untuk hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.Sekiranya rasa ambil peduli ini subur pada setiap masyarakat kita, ia akan memupuk rasa persaudaraan sesama Islam dan bersifat kemanusiaan sesama mausia tanpa mengira asal keturunan, agama dan bangsa. Allah SWT berfirman:
 
“Dan hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di atas perkara dosa dan permusuhan”. (al-Maidah: 2)

Rasulullah saw juga memberi peringatan melalui sabdanya yang bermaksud: “Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangan mereka” (Riwayat Bukhari)

Oleh itu marilah kita sama-sama menginsafi diri dengan peringatan hadis ini. Usahakanlah segenap keprihatinan sekadar yang termampu. Sebenarnya terlalu banyak yang mampu kita lakukan, sekurang-kurangnya dengan menghulurkan doa dalam setiap munajat yang dilakukan. Bahkan di dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, janganlah sesekali lupa untuk sentiasa menitipkan kalimah-kalimah doa untuk keselamatan dan kesejahteraan dalam meneruskan kesinambungan hidup, buat saudara kita di Mesir, Palestin, Syria, Selatan Thai dan seluruh umat Islam di atas muka dunia ini. 

Rasulullah saw bersabda: ”Ada tiga doa yang tidak tertolak. Doa orang yang berpuasa ketika berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi” (Riwayat Tirmidzi no.2528, Ibnu Majah no.1752, Ibnu Hibban no.2405, disahihkan Al Albani di Shahih At Tirmidzi)

Oleh itu, jangan siakan kesempatan ini. Teruskan berdoa pada Allah SWT semoga perancangan musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan Islam gagal. Seterusnya Islam kembali mentadbir memerintah dengan keadilan. Insya-Allah.

Himpunan kutuk rampasan kuasa Mesir 26 Julai KUALA LUMPUR:


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menganjurkan Himpunan Solidariti Ummat bersama Rakyat Mesir mengutuk rampasan kuasa terhadap Presiden Dr Mohammad Morsi 26 Julai ini.

 “Himpunan ini dianjurkan bersama antara DPPM, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mahasiswa,” ujar Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam satu kenyataan.

Himpunan itu, katanya akan diadakan pada hari Jumaat, 26 Julai 2013 bersamaan 17 Ramadhan 1434, selepas solat Jumaat bermula dari Masjid Tabung Haji, Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan akan berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat yang terletak di lokasi berhampiran.

Kenyatan beliau seterusnya.

Himpunan Solidariti ini akan dipimpin oleh Ustaz Nasrudin Hassan – Ketua DPPM, Ustaz Nik Mohamad Abduh (timbalan), Dr Raja Ahamd Al Hiss (naib) dan lain-lain lagi. Selain mereka, turut akan hadir adalah pemimpin-pemimpin tertinggi NGO.

Himpunan ini bertujuan menyatakan sokongan terhadap Presiden Mesir yang sah Dr Mohammad Morsi yang digulingkan secara kudeta oleh tentera negara tersebut.

Ia juga bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan biadap tenter Mesir melakukan rampasan kuasa dengan bertindak kasar terhadap penunjuk perasaan.

Dilaporkan beratus umat Islam menemui syahid akibat ditembak dengan peluru hidup oleh rejim tentera Mesir ketika mereka mengadakan bantahan.

Sesungguhnya mesej jelas yang ingin disampaikan adalah umat Islam di Malaysia bahkan rakyat seluruhnya menolak tindakan biadap anti demokrasi yang dijalankan oleh rejim tentera Mesir.

Kerajaan kudeta Mesir mesti berdamai dan berundur dengan segera dengan kepemimpinan negara tersebut dipulangkan kembali ke pangkuan Presiden Dr Mohammad Morsi yang sah dipilih oleh rakyat melalui proses pilihanraya di negara itu.

Rakyat Malaysia juga menolak campurtangan secara langsung atau tidak langsung dari kerajaan Ameriksa Syarikat, Israel, Arab Saudi dan lain-lain negara dalam konflik di Mesir. Sebarang campurtangan akan mengeruhkan keadaan dan boleh menyebabkan krisis ini menjadi semakin parah.

Himpunan Solidariti sejuta ummah ini diadakan bersempena dengan semarak Ramadhan, ketika umat Islam menyambut hari Nuzul Qur’an pada 17 Ramadhan, mengenang kembali peristiwa penurunan Al-Qur’an.

Ia menjadi simbolik pemangkin semangat umat Islam berkorban dan berjihad bagi mengembalikan izzah umat Islam yang tercalar.

Umat Islam menangisi kesyahidan sejumlah aktivis dan pemimpin ikhwan yang terkorban dalam aksi luar kemanusiaan yang dilakukan oleh junta tentera Mesir.

DPPM mengharapkan seluruh umat Islam yang prihatin akan turun hadir berhimpun bagi menyatakan sokongan dan bantahan ini dan dijangkakan jutaan umat Islam seluruh dunia akan turut berhimpun bagi melaungkan slogan dan kalimah yang sama.

Hanya Allah yang membantu dan memenangkan umat Islam.

Sumber: Harakahdaily