Sahabat Sejati

Sunday, 28 July 2013

Celoteh iklan raya


Saban tahun menjelang hari raya, di antara sesuatu yang menjadi penyeri ialah iklan raya. Seolah-olah jika tiada iklan raya seperti sesuatu yang asing dan tidak terasa hari raya. Kebelakangan ini memang begitu keadaannya.

Bermacam-macam iklan raya yang keluar di kaca televisyen. Bahkan ia bagaikan pelengkap hari raya selain mercun, bunga api dan duit raya. Ada iklan raya lucu, sedih, gembira dan ada yang biasa-biasa sahaja sekadar mempromosikan barangan. Iklan-iklan raya seperti TNB, TV3, KFC, TM, Astro, dan tentunya iklan raya Petronas yang ditunggu-tunggu kerana sentiasa menyajikan kreativiti yang tersendiri.

Tetapi saya mula perasan, iklan raya gedung-gedung tekstil semakin berkurangan atau telah pun tiada. Kalau dulu seminggu sebelum raya sudah berkumandang iklan memanggil supaya membeli pakaian, kain dan langsir yang dipelopori oleh Kamdar, Globe Silk Store, Gulati`s Sik Store, Super Kinta serta Yaohan. Mana tidak menjulingkan mata kanak-kanak melihat jenama pakaian ketika itu seperti Villa, Ladybird dan Kiki Lala. Tetapi iklan-iklan yang melibatkan gedung tekstil biasanya hanya gambar dan suara, jarang dalam bentuk klip video. Masa durasinya pun tidak lama seminit pun tak sampai.

Saya sendiri pun sebenarnya suka menonton iklan raya dan sentiasa tidak sabar-sabar menanti ia keluar di peti televisyen. Tetapi itu dulu, dengan teknologi internet yang ada sekarang ini, segalanya menjadi lebih mudah. Cari sahaja di youtube untuk menontonnya. Lagipun di internet masih dalam bentuk versi penuh, tidak seperti di dalam televisyen yang telah pun dipotong-potong mengikut masa dan kesesuaian seperti sesetengah iklan raya.

Apa pun, setiap penerbit mempunyai kreativiti yang berbeza dalam menyampaikan mesej, namun maksud yang disampaikan itu biasanya hampir sama iaitu konsep bersyukur, melahirkan keinsafan, menyemai keikhlasan, saranan agar balik kampung untuk bertemu dengan orang tua dan sebagainya. Semua nilai ini diterapkan biarpun sekadar iklan ayam goreng dan air berkarbonat.

Saya tidak nafikan ada iklan raya yang benar-benar memberi kesan sehingga mampu meruntun perasaan, malahan ada yang berjaya menumpahkan airmata penonton sehingga teresak-esak kesayuan, sekaligus lupa bahawa ia hanyalah satu iklan.


Begitu juga dengan diri saya, ada banyak iklan raya tetapi saya cukup tersentuh tatkala menonton iklan raya BERNAS. Iklan raya tahun lalu yang menampilkan dua anak yatim yang juga OKU, Fizi dan Ahmad, berpakat untuk pulang beraya di Segamat untuk menemui ibu Ahmad. Pada malam itu mereka berdua keluar dari Pusat Jagaan dan berusaha untuk ke Segamat dengan berbagai cara. Setelah melalui berbagai kesulitan akhirnya mereka sampai juga di Segamat dengan menumpang sebuah lori barang yang dipandu oleh seorang lelaki berbangsa India.

Saat yang men’touching’kan perasaan ialah apabila Ahmad menggamit Fizi ke pusara ibunya. Sambil memegang batu nesan ibunya lalu berkata: “Fizi, mak Ahmad. Mak Ahmad mak Fizi juga...” Turut ditonjolkan ialah semangat setiakawan yang saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain.

Remuk-rendam jiwa saya hingga bersulam airmata setelah menonton iklan tersebut. Untuk iklan ini saya mengangkat ibu jari. Inilah di antara iklan yang amat baik dari segi idea dan jalan ceritanya. Mudah-mudahan lebih banyak lagi iklan yang sebegini dihasilkan. Sekurang-kurangnya boleh membuatkan penonton berfikir sesuatu.

Taqdir kehidupan seseorang dengan yang lain tidak sama. Allah SWT yang telah mentaqdirkan perjalanan hidup seseorang. Bukanlah Allah SWT berlaku zalim terhadap para hamba-Nya. Tidak sesekali! Tetapi setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Ada yang boleh kita tafsirkan tetapi lebih banyak yang terkandung rahsia di dalamnya.

Dan seharusnya kita melihat dan meneguhkan di hati bahawa semua yang berlaku adalah kebaikan daripada-Nya. Diberikan kesenangan kita bersyukur, ditimpa ujian dan musibah kita bersabar kerana semuanya adalah kebaikan.

Bersangka baiklah kepada-Nya, kerana DIA Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Tiadalah balasan bagi kebaikan melainkan kebaikan jua.