Sahabat Sejati

Tuesday, 26 April 2011

Saya keliru

“Alaa...sekejap lagi kami baliklah, takkan lepak-lepak pun tak boleh.”

Sinis jawapan remaja perempuan itu tatkala kami meminta mereka berdua beredar pulang. Manakala pasangan lelakinya hanya mendiamkan diri.

Saya bersama-sama sahabat yang lain menyertai misi dakwah malam valentine. Kami mengedarkan risalah dakwah dan menyampaikan sedikit nasihat kepada para pengunjung yang rata-ratanya golongan remaja. Pantai Teluk Chempedak yang ‘terkenal’ itu memang menjadi lokasi pilihan golongan remaja pada malam minggu serta malam-malam cuti umum.

“Tuu, emak saya ada kat belakang, dia tak kisah pun.” Sambungnya lagi sambil memuncungkan bibirnya ke arah seorang wanita berusia yang duduk tidak jauh dibelakangnya.

“Apa masalahnya? Wanita itu bertanya, selamba...

Allah....terkedu saya, begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain. Tidak menyangka begitu jadinya.


Saya keliru


Keliru. Saya benar-benar keliru. Peristiwa yang berlaku dalam misi dakwah pada malam valentine itu benar-benar mengganggu fikiran saya. Tidak mampu saya fikirkan peristiwa sedemikian boleh berlaku. Parahnya pemikiran masyarakat hari ini. Baik dan buruk bagaikan sudah tidak boleh dibezakan, apa yang boleh apa yang tidak boleh. Begitu juga kemana hilangnya sifat peka dan sensitif.

Sensitif atau kepekaan adalah satu perkara yang amat penting. Kerana ia boleh menjadi kayu pengukur atau timbangan terhadap nilai seseorang atau masyarakat.

Jika kita meneliti di dalam sirah, generasi yang dibentuk oleh Rasulullah saw amat peka dan sensitif dengan apa yang berlaku. Mereka amat sensitif dengan ajaran Islam. Jika ada seruan jihad, mereka akan menyertainya tanpa bertangguh. Dikatakan para sahabat jika pergi berperang seumpama pergi berkahwin, iaitu dengan bersemangat, rela hati dan dalam keadaan gembira. Sebagaimana disebut dalam perang Tabuk, ramai yang menangis kerana tidak diizinkan oleh Rasulullah saw. Disebabkan keuzuran dan kekurangan yang menghalang.

Apabila turunnya wahyu yang memerintahkan mereka mengerjakan sesuatu atau meninggalkan sesuatu, mereka segera mentaatinya. Contohnya dalam perintah pengharaman khamar secara mutlak. Apabila turunnya ayat pengharaman khamar secara mutlak, mereka pulang ke rumah lalu memecahkan tempayan-tempayan khamar sehingga membasahi lorong-lorong Kota Madinah.

Lantaran kepekaan atau sensitifnya mereka kepada ajaran Islam, suruhan atau tegahan sama sahaja baik suruhan atau tegahan itu kecil atau besar, kerana ia adalah perintah Allah SWT. Dikatakan para sahabat jika melakukan sesuatu dosa walaupun kecil, mereka amat tertekan sehingga merasakan seolah-olah akan dihempap oleh Bukit Uhud. Apatah lagi jika melakukan dosa besar.

Bagaimana pula dengan masyarakat hari ini, adakah sama?

Berkata Imam Hasan bahawa dosa yang berlapis-lapis iaitu yang dilakukan setiap masa mampu membutakan hati.

Dosa akan menggelapkan hati dan jiwa. Apabila kegelapan dosa telah bermaharajalela,maka hati tidak lagi dapat menilai sesuatu perbuatan baik atau buruk. Inilah yang dikatakan sesorang yang berbuat dosa seumpama menghalau lalat yang hinggap di atas hidung, lantaran sudah tidak merasa bersalah dan ketakutan terhadap dosa yang dilakukan.

“Sesekali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.” (al-Muthaffifin: 14)

Saya mengingat sahabat-sahabat sekelian terutamanya kepada diri saya, marilah sama-sama kita muhasabah diri dalam mengharungi kehidupan ini. Sesungguhnya perjalanan hidup di dunia ini banyak likunya, maka berhatilah-hatilah ketika melangkah.

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taubat, semoga Allah menghapuskan dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai.” (at-Tahrim: 8)

Sesungguhnya peringatan ini lebih kepada diri saya, tetapi peristiwa yang berlaku pada malam valentine itu masih menggusarkan saya...

Monday, 25 April 2011

Selain Abrahah, siapa lagi cuba runtuhkan Kaabah?


Soalan:

Kaabah pernah hendak diruntuhkan oleh tentera bergajah pada tahun kelahiran Nabi Muhammad saw, tetapi tidak dibenarkan oleh Allah SWT. Allah mempertahankan Kaabah dan membinasakan penyerang dengan burung Ababil. Tetapi saya terbaca beberapa pandangan penulis yang agak kontroversial, mendakwa Kaabah pernah diroboh dan diruntuhkan, tetapi tidak diapa-apakan oleh Allah. Benarkah begitu? Apakah yang menyebabkan berlakunya sedemikian. Terima kasih.

Jawapan:

MEMANG benar Kaabah pernah hendak diruntuhkan oleh Abrahah al-Ashram, tahun tersebut terkenal dengan Tahun Gajah (`Ammul Fil).

Rasulullah saw pernah bersabda dalam hadis sahih (mafhumnya): “Aku dilahirkan di Tahun Gajah.”

Al-Imam al Mawardi pernah menyebut demikian dalam kitab tafsirnya bahawa Allah menghalang Abrahah daripada meruntuhkan rumah-Nya, dengan menghantar burung ababil yang membawa batu-batu kerikil, menggunakan kaki dan paruhnya, lalu melontar ke atas Tentera Bergajah dan musnah semuanya.

Kejadian ini dirakamkan dalam firman Allah (mafhumnya): “Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?
“Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?
“Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan, yang melontar mereka dengan batu-batu daripada sejenis tanah yang dibakar keras.”
“Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.” (al-Fiil: 1-5)

Kisah Kaabah diruntuhkan memang berlaku seperti yang dirakam oleh sejarawan Islam. Akan tetapi meruntuhkan Kaabah dalam konteks ini, bukan meruntuhkannnya seperti yang hendak dilakukan Abrahah.

Abrahah hendak menghapuskan langsung Kaabah, dengan niat jahat untuk menghasut manusia supaya jangan lagi ke Makkah untuk beribadat. Sebaliknya Abrahah mahu umat zaman itu supaya ke Yaman, untuk beribadat di sana, kerana beliau hendak membina sebuah gereja yang besar di sana.

Meruntuhkan Kaabah dalam konteks perbicaraan ini bermaksud, berlaku apabila penduduk Syam amat marah terhadap Abdullah bin az-Zubair, yang memerintah Makkah ketika itu. Mereka (orang-orang Syam) memerangi Abdullah bin az-Zubair dengan penyokong-penyokongnya di Makkah.

Dalam peperangan itu Kaabah menerima kesan buruk, ia dibakar dan dindingnya pecah.

Selesai peperangan Abdullah bin az-Zubair meruntuhkan kesemua Kaabah kerana terlalu uzur dan membinanya semula.

Daud bin Shabur meriwayatkan dari Mujahid katanya: “Apabila Abdullah bin az-Zubair berazam untuk meruntuhkan Kaabah dan membinanya semula, beliau memerintahkan orang-orangnya untuk meruntuhkan Kaabah, mereka tidak mentaati perintahnya kerana takut Allah akan menurunkan azab-Nya seperti dahulu.”

“Mujahid berkata, “Kami keluar beramai-ramai ke Mina sehingga tiga hari, mengkhuatiri azab Allah akan turun kerana Ibnu Zubair hendak meruntuhkan rumah Allah.”

“Pada sat-saat itu Abdullah bin az-Zubair sendiri menaiki Kaabah, berdiri di atas bumbungnya tanpa berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Oleh itu mereka berani bertindak merobohkan Kaabah seperti yang diperintahkan kerana ingin membinanya semula, untuk kebaikan Kaabah itu sendiri.”

Sebenarnya pada zaman ini pun, jika tidak silap saya di tahun 1980-an, Kaabah pernah diruntuh dan dibuang segala dindingnya, dengan tujuan membaik pulih asasnya kerana wujud beberapa masalah kerana usianya sudah lama dan dirawat asasnya (foundation).
Saya masih ingat ketika itu Kaabah tidak lagi kelihatan, yang ada hanya kepungan beberapa keping papan berwarna putih ‘ala Kaabah’. Yang dilihat hanyalah empat segi bentuk berwarna putih.

Pengunjung-pengunjung boleh melakukan tawaf seperti biasa, tetapi Kaabah ketika itu berwarna putih, bukan berwarna hitam. Tujuannya adalah hendak membaik pulih Kaabah.
Setelah selesai pembinaan, dengan dikembalikan batu-batu asal Kaabah ke tempat asalnya, kerana pekerja menanda dengan baik kedudukan asal batu-batu tersebut, maka Kaabah kembali pulih seperti asal, tanpa dipinda saiz atau kedudukannya, seperti yang ada sekarang.

Ertinya sudah berkali-kali Kaabah itu diruntuhkan atau diganti pembinaannya seperti asal. Hal ini berbeza dengan hasrat Abrahah yang hendak meruntuhkan Kaabah dengan tujuan menghapuskannya. Itu yang tidak diizinkan oleh Allah SWT. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din




Saturday, 23 April 2011

Cetusan Rasa: Saat mentari pagi menjengah...


Disaat kita gembira dengan munculnya mentari pagi, seringkali kita terlupa telah berlalu sehari dari usia kita...

Berkata Syeikh Ibnu Atho`illah:
Yang telah hilang dari umur (usia) hidupmu tidak dapat ditarik kembali, sedang yang telah berhasil bagimu, tidak dapat dinilai harganya.

Berkata seorang penyair:
Saat-saat usia dalam hidupmu itu bagaikan berlian yang sangat berharga, kerana itu jadikanlah masa dan saat yang berharga itu untuk mencapai kejayaan dunia dan akhiratmu.

"Demi masa manusia benar-benar berada di dalam kerugian..."

Friday, 22 April 2011

Rehat minda...sebentar

Telah berkata Saiyidina Ali bin Abi Thalib ra. "Hiburkan hatimu waktu demi waktu, kerana hati itu jika dipaksa akan menjadi buta..."

Mencintai nyanyian dan merindukan suara yang indah itu adalah naluri peradaban manusia...
Bahkan juga dikatakan bahawa burung-burung dan binatang-binatang ternak turut terpesona dengan suara yang indah dan terbuai oleh bunyi seruling yang dialun...
Semoga terhibur sambil merehatkan minda

video

You came to me - Sami Yusuf

Jarang-jarang ingat...tetapi lupa memang selalu


Anda teringatkan sesuatu?

Apa yang anda ingatkan?

Ibu dan bapa di kampung...
Anak di asrama...
Isteri yang sedang menanti dirumah...
Atau kekasih hati...

Itu sahaja.

Eh! ada lagi yang perlu kita ingat. Apa dia? Penting sangatkah?
Memang penting, sangat penting. Kerana yang memberi ingat itu juga seorang yang amat penting.

Sabdanya: “Perbanyakkan olehmu mengingati sesuatu yang memotong kelazatan...al-maut.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Begitu juga, Abdullah bin Umar radhiallahu’anhuma berkata, bahawa ketika dia sedang duduk-duduk di sisi Rasulullah saw lalu datang seorang lelaki memberi salam dan bertanya kepada Rasulullah : “Siapakah yang lebih utama (lebih baik) di kalangan orang yang beriman?” Jawab Rasulullah saw: “Orang yang lebih baik di kalangan orang beriman ialah mereka yang berakhlak mulia.”

Kemudian lelaki itu bertanya lagi : “Siapakah orang yang paling cerdik di kalangan orang yang beriman?” Jawab Nabi saw: “Orang yang paling cerdik ialah mereka yang banyak mengingati mati dan banyak membuat persiapan untuk menghadapi mati.”

“Eh! Aku muda lagi, masih sihat.....”

Mengingati mati

Kehidupan, akhirnya adalah kematian. Setiap orang memang mengetahui dan yakin dengannya. Mereka juga menyedari bahawa mereka akan dikembalikan kepada Tuhan yang Maha Mengetahui, mereka juga mengetahui yang segala perbuatan mereka akan di hitung dan dibalas sama ada baik atau buruk. Tetapi itulah yang sering dilupakan dan dialpakan. Mengapa?

Pernahkah kita mengiringi jenazah ahli keluarga, saudara-mara atau pun sahabat handai, tentu pernahkan? Apakah yang terlintas di hati kita? Biasa sahaja, tanpa ada rasa insaf walau sekelumit pun. Tidakkah kita melihat bahawa kita juga akan diusung seperti itu. Sepatutnya kita mesti membayangkan, beginilah keadaan diriku nanti.

Adakah kerana kita merasakan masih muda, sihat dan bertenaga lalu kita rasa lambat lagi mati. Cuba lihat disekeliling kita, ada bayi yang baru dilahirkan sudah meninggal, ada kanak-kanak, orang muda, dewasa maupun yang tua, semuanya meninggal. Mati tidak mengira usia. Ingatlah jangan terpedaya dengan usia yang muda kerana mati bukan syarat tua dan jangan terpedaya dengan badan yang sihat kerana mati bukan syarat sakit. Mati apabila ajal sudah tiba.

Ada yang beranggapan dengan mengingati mati akan kesan pasif serta negatif. Ini kerana seseorang itu akan menjadi malas dan mundur bahkan menyebabkannya berputus asa dalam hidup. Inilah ungkapan orang-orang yang jahil. Anggapan ini tidak benar, kerana orang yang sentiasa mengingati mati akan berhati-hati dalam hidupnya. Mereka takut untuk melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT.

Mengingati mati juga akan melunakkan hati dan jiwa yang keras. Percayalah hati dan jiwa kita akan lembut apabila sentiasa mengingati Allah SWT dan mengingati mati, umpama seekor harimau yang hilang garangnya apabila tali cemeti dipecutkan di hadapannya.

Diceritakan bahawa ibu saudara Rasulullah saw dan ibu kepada Zubair ibnu `Awwam iaitu Safiyyah binti Abdul Muthalib menceritakan:

"Ada seorang perempuan datang bertemu Ummul Mukminin Saiyidatina Aisyah rha. lalu dia mengadu mengenai hatinya yang keras dan kusut. Lalu dikatakan oleh Aisyah, "Perbanyakkanlah mengingati mati, nanti akan lembut dan tenanglah hatimu itu."

Kemudian wanita itu pun beredar meninggalkan Aisyah. Dia kemudiannya mengamalkan apa yang telah dipesan oleh Aisyah. Hasilnya, hati perempuan itu menjadi tenang dan lembut kembali. Kemudian dia kembali menemui Aisyah untuk mengucapkan terima kasih atas nasihat Aisyah itu.

Nah! Jika terasa hati keras dan tidak tenang, mungkin kisah ini boleh menjadi ubatnya.

Sesungguhnya mengingati mati akan melahirkan manusia yang berdisiplin tinggi dan berakhlak mulia.

Ketenangan...

Wednesday, 20 April 2011

Mengapa al-Aqsa termasuk tiga masjid diutamakan

Soalan:

Siapakah yang membina al-Masjidil Aqsa? Mengapa ia termasuk di dalam sejarah masjid-masjid yang terbilang, sedangkan ia tidak dibina oleh umat Muhammad saw. Bukankah pada malam Israk Mikraj Rasulullah saw dibawa ke Masjid Aqsa yang telah lama wujud dan dibina sebelum lagi wujud Masjid Nabawi. Apa signifikannya dan mengapa ia dimasukkan dalam sejarah Islam. Mohon penjelasan.

Jawapan:

YA benar, Masjid al-Aqsa tidak dibina oleh umat Muhammad saw. Ia telah lama wujud sebelum dibinanya Masjid Nabawi di Madinah.

Sejarah mencatatkan bahawa Masjid al-Aqsa adalah masjid yang kedua dibina, setelah masjid yang pertama dibina iaitu Masjidil Haram.

Dalam Sahih Muslim, terdapat hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abi Dzar al-Ghifari katanya: "Saya pernah bertanya kepada Rasulullah saw tentang masjid pertama yang dibina di atas muka bumi. Rasulullah saw menjawab, al-Masjidil Haram. Saya bertanya lagi selepas itu masjid mana. Jawab Rasulullah, al-Masjidil Aqsa."

Menurut riwayat yang sahih, Masjidil Aqsa dibina oleh Nabi Sulaiman as. Abdullah bin Amru meriwayatkan hadis daripada Nabi saw, baginda bersabda (mafhumnya): "Sesungguhnya Sulaiman bin Daud as, tatkala selesai membina Baitulmaqdis, baginda telah memohon kepada Allah SWT tiga perkara. Pertama, kuasa pemerintahan untuk memerintah; kedua, kesultanan yang boleh menguasai semua makhluk dan ketiga, memohon keampunan daripada Allah agar diampunkan dosa orang yang menunaikan solat di dalamnya. Semua permintaan tersebut ditunaikan oleh Allah SWT."

Maksudnya al-Masjidil Haram adalah masjid pertama yang dibina, kekal hingga ke zaman Muhammad saw, ke zaman kita dan insya-Allah kekal sehingga ke hari yang akan datang.

Sama dengan Masjid Nabawi yang dibina oleh Rasulullah saw dan para sahabat, ia kekal hingga ke hari ini dan kekal sehingga ke hari-hari yang akan datang.

Apakah dengan masjid-masjid lain, apakah ia tidak pernah wujud dan kekal? Mana mungkin masjid tidak pernah wujud pada zaman Nabi Idris as, Nabi Nuh as, Nabi Yaakub as, Nabi Ismail as, Nabi Musa as dan seluruh para nabi Allah.

Ramai nabi sebelum Nabi Muhammad saw. Sudah tentu masjid yang dijadikan sebagai tempat ibadah pada zaman nabi-nabi itu ada. Akan tetapi masjid yang seumpama itu sudah runtuh ditelan zaman dan tidak dapat dikesan.

Oleh kerana itu tidak disebut tentang masjid-masjid pada zaman nabi yang berkenaan. Yang disebut, yang masih wujud, yang kekal daripada catatan sejarah adalah Masjidil Haram, Masjidil Aqsa dan Masjid Nabawi.

Masjidil Aqsa adalah masjid yang terbilang. Menunaikan solat di dalamnya dibalas dengan pahala 500 kali ganda, tiada kecuali Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, seperti yang disebutkan dalam hadis-hadis yang sahih.

Ada hikmahnya Masjidil Aqsa menjadi begitu ternama dan menjadi salah satu masjid yang disebut dalam al-Quran. Ia sekarang ini ditakluk oleh Yahudi laknatullah.

Inilah hikmah yang harus kita renung. Negara umat Islam begitu kaya raya, mempunyai segala kemudahan serta kelengkapan untuk mempertahankan diri dan menyerang.

Mengapa mereka tidak menggunakan kekuatan ini bagi mempertahankan diri dan membebaskan Masjidil Aqsa dari penguasaan umat yang dikutuk oleh Allah SWT.

Maka oleh kerana itu, saya merasakan betapa besarnya hikmah al-Aqsa dijadikan mercu tanda syiar Islam yang patut dibela. Meskipun ia tidak dibina oleh umat Muhammad saw, tetapi ia dibina oleh seorang Rasul Allah, Sulaiman as.

Dan jangan lupa Sulaiman as. adalah termasuk dalam 25 Rasul yang wajib kita imani dan kita ketahui. Wallahua`lam.


Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Sunday, 17 April 2011

Tiada lagi yang senikmat ini..

Mungkin inilah antara perkara yang tidak dapat kulupakan dalam catatan hidup. Sesuatu yang benar-benar menyentuh perasaan, demikianlah seingat diriku.

Aku mengikuti sahabat yang lain memancing di tengah laut. Kami bertolak pada petang hari dan dijadualkan pulang pada keesokkan pagi. Tergambar keceriaan diwajah masing-masing. Namun ada juga kebimbangan...mabuk laut!

Bot yang dinaiki meluncur laju membelah gelombang. Remang-remang merah mentari berbalam-balam di permukaan, menambah keindahan panorama. Subhanallah!

Tatkala masuk waktu maghrib, kami segera menyiapkan diri. Berwudhuk cukup dengan secawan air. Seorang sahabat mengalunkan azan yang gemersik memecah kesunyian di tengah laut. Damai dan mendamaikan bersama bayu lembut yang bertiup.

Para sahabat memintaku mengimami solat maghrib dan isyak yang dilakukan secara jamak. Keadaan laut yang agak bergelombang tidak memungkinkan kami bersolat secara berdiri. Kami duduk berbaris dalam satu saf. Solat di tengah laut yang terbentang dengan dada langit yang terbuka luas cukup menghadirkan perasaan rendah diri dan penuh kehinaan. Kerana apa? Kerana di ketika itu pengharapan dan penyerahan diri hanyalah untuk-Nya. Benar! Jika terjadi apa-apa yang tidak diingini ketika itu, kepada siapakah kami dapat berharap...

Satu demi satu ayat al-Quran yang dibaca amat menggetarkan perasaan dan menyentuh hati, jauh menyentuh ke dalam lubuk hati yang paling dalam. Sesungguhnya aku bagaikan tenggelam dalam kekusyukan dan ketenangan. Demikianlah kenikmatan yang sukarku ungkapkan dengan kata-kata.

" Orang-orang yang beriman menjadi tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah bahawa dengan mengingati Allah itu tenteramlah hati." (Ar-Ra'du: 28)

Terasa bagaikan tidak berpijak di bumi nyata. Entahlah...terasa diri ini terbang ke angkasa. Terbang dan terus terbang. Semakin tinggi.

Aku terus mengalunkan ayat al-Quran, yang seolah-olah tidak mahu berhenti membacanya. Allah! Allah! Aku hina , aku lemah, aku tidak berdaya tanpa pertolongan-Mu. Perlahan-lahan kelopak mata mula menakung air.

Sayang! Solat yang begitu indah, menyejukkan mata dan mencurah ketenangan di hati tidak pernah berulang lagi. Inilah yang pertama dan mungkin yang terakhir. TIADA LAGI YANG SENIKMAT INI.

Allah...

Saturday, 16 April 2011

Persoalan anak susuan, suami 'tumpang semangkuk'


Soalan:

Benarkah dengan sekali sahaja seorang perempuan menyusukan bayi yang bukan anaknya sendiri, telah boleh disabitkan bahawa anak itu adalah bayi susuannya? Ada pula yang mengatakan bahawa, mana-mana suami yang menghisap susu isterinya dan terminum susu itu beberapa kali, maka jadilah suami itu haram ke atas isterinya, kerana suami sudah jadi seperti anak susuannya. Saya pening, mohon penjelasan.

Jawapan:

ULAMA Islam (Fukaha), tidak sependapat perihal berapa kalikah penyusuan itu ke atas seorang bayi, yang boleh disabitkan dengan anak susuan.

Di kalangan fukaha, ada yang menyatakan bahawa, satu kali sahaja sudah sabit taraf anak susuan. Itu dikatakan pendapat Imam Malik (Mazhab Maliki).

Dan dikatakan juga bahawa Abdullah bin Umar (Ibnu Umar) pun berpendapat sedemikian.

Yang lain pula berpendapat, sekali tidak cukup. Mesti tiga kali. Pendapat ini dipegang oleh Imam Ahmad bin Hambal (Mazhab Hambali).

Dan yang lain pula mengatakan, mesti lima kali susuan berturut-turut. Inilah pandangan Imam as-Syafie (Mazhab as-Syafie). Inilah yang sepatutnya kita berpegang, kerana alasan Imam as-Syafie adalah jelas.

Beliau berpegang pada hadis Aishah binti Abu Bakar, Ummul Mukminin, katanya (mafhumnya): "Pada awalnya ketika al-Quran diturunkan, jumlah susuan yang sabit untuk menetapkan taraf anak susuan, adalah sebanyak sekali sahaja. Kemudian dinasakhkan (dibatalkan). Digantikan dengan lima kali susuan, sehinggalah Rasulullah saw wafat."

Apabila sabit lima kali susuan, menurut Imam as-Syafie, maka sabitlah anak itu anak susuan. Apabila sabit anak susuan maka jadilah dia seperti anak keturunan sebenar, dari segi hubungannya dengan ibu dan keluarganya.

Ini berdasarkan kepada hadis dari Aishah katanya Rasulullah saw pernah bersabda (mafhumnya): "Diharamkan kerana sabit susuan, seperti mana diharamkan kerana keturunan."

Anak susuan yang boleh disabitkan itu hendaklah berlaku dalam masa anak itu masih bayi, iaitu yang berumur tidak melebihi dua tahun (haulaini). Sekiranya disusukan selepas umur itu, maka tidak sabit anak itu anak susuan.

Hikmahnya, anak kecil dia membesar semata-mata bergantung dengan susu. Maka susu ibu atau ibu susuan itu, telah menjadikan ia darah dagingnya. Darah daging yang terbentuk daripada penyusuan, maka jadilah dia ibunya (termasuk ibu susuan), adalah darah dagingnya.

Adapun selepas dua tahun, maka pada kebiasaannya, anak itu sudah membesar daripada makanan-makanan lain daripada bergantung hanya semata-mata kepada susu ibu.

Adapun 'suami yang tumpang semangkuk' menghisap susu isterinya dan terminum beberapa kali, tidaklah boleh disabitkan sebarang hukum.

Perbuatan itu adalah harus dan tidak mengapa. Kerana hukum anak susuan, hanya sabit pada anak dalam lingkungan dua tahun.

Adapun yang sudah dewasa, tidak termasuk dalam istilah kanak-kanak (anak susuan).

Itulah pendapat jumhur fukaha, yang berpegang kepada hadis Rasulullah saw yang daripada Ibnu 'Abbas yang diriwayatkan daripada ad-Darulqutni, bahawa Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): "Tidak sabit hukum susuan melainkan dia dalam lingkungan umur tidak melebihi dua tahun."

Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Wednesday, 13 April 2011

501 Persoalan Fikah Wanita


501 Persoalan Fikah Wanita mengupas pelbagai persoalan dan permasalahan yang sering menjadi tanda tanya pada kaum wanita. Buku ini membincangkan topik-topik yang menyentuh isu fikah dan disertakan dengan jawapan ringkas dan padat. Ia cukup mudah difahami, lengkap dan sesuai dijadikan sebagai rujukan wanita Islam moden masa kini. Banyak penjelasan berharga dipaparkan dengan hujah logik dan rasional berlandaskan hukum syarak.

Persoalan-persoalan yang dimuatkan adalah berkaitan dengan masalah fikah harian serta isu-isu semasa. Walaupun ada di antara persoalan yang dikemukan itu remeh namun ia penting bagi kita sama-sama mendapat manfaat serta maklumat yang betul, Insya Allah.

Tajuk : 501 Persoalan Fikah Wanita
Penulis : Zawiah Hassan & Rohayati Bakri
Penerbit: PTS MILLENIA SDN BHD
Harga : SM 19.50/SS 21.50
M/S : 233

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu!

Tuesday, 12 April 2011

Kala subuh...


Bila bangun diwaktu SUBUH rasa terhibur, tanda dosanya telah dibersihkan...

Bila masuk waktu SUBUH terasa berat tetapi tetap boleh bangun, tanda dosanya telah diringankan...

Bila tidak sanggup bangun SUBUH, tanda dosanya telah menjadi beban...

"Wahai Allah! dengan rahmat-Mu kami berpagi-pagi, dengan rahmat-Mu kami hidup, dengan rahmat-Mu kami mati dan kepada-Mu jua kami akan dikembalikan."

Sekadar coretan pendek sebagai ingatan bersama.
KITAKAN HAMBA!

Apakah barakah itu tuah baik seseorang?

Soalan:

Selalu saya dengar orang menyebut perkataan barakah atau berkat. Apakah itu yang dimaksudkan. Saya kurang memahami, apakah ia ada kena mengena dengan tuah atau habuan baik seseorang dalam kehidupan. Apakah kita perlu mencari barakah itu? Mohon penjelasan.

Jawapan:

ISTILAH berkat atau al-barakah adalah istilah syarak (agama). Ia terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah. Istilah al-barakah bermaksud, seperti yang tersebut dalam kamus Arab, bahawa barakah itu adalah doa seseorang kepada seseorang untuk kebaikannya.

Al-barakah juga dalam bahasa Arab bermakna as-sa`adah atau kebahagiaan. Barakah juga bemakna doa untuk kekal bertambah kebaikan dan kebahagiaan.

Al-Quranul karim menggunakan istilah 'barakat' yang bermakna rezeki banyak yang melimpah ruah.

Firman Allah SWT (mafhumnya): "Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan." (al-A`raaf: 96)

Al-Quran mengulangi istilah barakah atau barakat ini banyak kali. Khususnya, sebagaimana firman Allah (mafhumnya): "Sesungguhya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat (mubarakan di Makkah) dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia." (Ali-Imraan: 96)

Dalam tafsir al-Qurtubi, juzuk empat halaman 137, disebut dalam tafsiran mubarakan itu bermakna bertambah-tambah kebaikan itu kepadanya, kekal abadi dan sentosa. Barakah juga bermakna bertambah, bukan berkurangan. Jika rezeki yang penuh barakah, adalah rezeki yang bertambah, penuh dengan kebaikan. Ilmu yang barakah, bermakna ilmu yang bertambah dan membawa kebaikan kepada yang empunya ilmu tersebut.

Anak-anak yang barakah adalah anak-anak yang membawa kebaikan kepada hidup mereka dan keluarga mereka.

Akhirnya barakah itu adalah suatu konsep kebaikan yang harus dicari oleh semua manusia. Kerana ia berteraskan doa kebaikan kepada Allah.

Siapakah yang tidak mahu kepada kebaikan yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat? Oleh kerana itu barakah harus dicari dan diminta.

Dalam salam harian kita ada diselit perkataan barakat, iaitu pada hujung salam disebut 'wabarakatuh'.

Membaca tahiyat dalam solat kita ada barakah yang berulang kali kita mengulanginya. Seperti disebut ungkapan "berilah ya Allah barakah kepada Nabi Muhammad dan seluruh keluarganya, sepertimana Kamu menganugerahkan keapada Nabi Ibrahim dan seluruh keluarganya."

Sila lihat dan baca semua at-tahiyat.

Ertinya walaupun seseorang itu telah lama meninggal dunia, akan tetapi masih memerlukan barakah itu sampai kepada mereka, kerana konsep barakah itu adalah kebaikan mutlak yang dipohon daripada Allah SWT.

Orang yang berada di dalam kubur, pasti memerlukan kepada rahmat Allah. Gandaan kepada rahmat, kerana itu orang yang di dalam kubur memerlukan kepada doa kita, keberkatan Allah kepada mereka.

Allah jualah yang menganugerahkan kebaikan itu kepada mereka. Oleh itu kita dalam kehidupan ini, perlu mendoakan keberkatan untuk diri kita dan kepada orang lain.

Itulah barakah yang kita kehedaki yang disebut-sebut selalu dalam kehidupan. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Semoga keberkatan sentiasa mengalir sebagaimana aliran sungai yang tidak henti-henti...

Monday, 11 April 2011

Jangan lupakan-Nya


Tidak mudah melihat ujian di depan mata. “Berat mata memandang berat lagi bahu memikul”, pepatah zaman berzaman. Hanya yang menanggungnya sahaja yang dapat merasai. Setiap manusia pasti akan menghadapi liku-liku putaran hidup. Itulah yang saya insafi, jika saya yang ditimpa ujian atau musibah. Mampukah?

Demikianlah kita diajar agar sentiasa berdoa:

“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika terlupa atau tersalah. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan di bahu kami dengan beban yang berat (yang kami tidak sanggup memikulnya) sebagaimana Engkau pikulkan kepada umat-umat sebelum kami. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah dan kurniakanlah rahmat kepada kami.”

Kesedihan...

Berkongsi kesedihan seorang sahabat, amat menginsafkan. Baginya tiadalah kehidupan lagi melainkan penuh dengan kisah kekecewaan dan putus asa. Menyusuri liku-liku dan suka duka kehidupan, fitrah manusia inginkan kebahagiaan, kegembiraan dan ketenangan, namun tatkala kegagalan dan impian yang musnah...lalu semuanya terkubur dan lenyap dari diari kehidupan. Akhirnya, apa yang ada disekelilingnya adalah babak-babak hitam dan suram.

Kenangan masa lalu, benar-benar menghantui diri, mungkin dosa-dosa semalam yang belum terpadam dari lipatan memorinya. Mungkin...

Mengapa ini berlaku?

Mengingati masa lalu dan bersedih hati kerananya adalah satu tindakan yang tidak sepatutnya. Bimbang ia akan mematikan keinginan meneruskan kehidupan dan perlahan-lahan membinasakan masa depan, sedangkan jalan yang terbentang masih ada. Cahaya yang terang masih mampu dimiliki. Kasih yang abadi masih boleh dimiliki, kerana DIA telah berkata:

Dari Abu Hurairah ra. ia berkata : Nabi saw bersabda : "Allah SWT berfirman: "Aku menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila ia ingat kepada-Ku. Jika ia ingat kepada-Ku dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika ia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika ia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. jika ia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika ia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil". (Hadits ditakhrij oleh Bukhari).

Sesungguhnya tatkala seorang Mukmin yang tertekan di dalam hidupnya, putus asa yang sudah kehabisan ikhtiar, maka dia akan menghadap Tuhan yang Maha Pemurah. Dia akan berdoa, tunduk, bermunajat, mengadu dan merayu hanya kepada-Nya dengan rintihan, “Wahai Tuhan...wahai Tuhan...wahai yang mendengar segala rintihan...”

Manakala manusia yang ego penuh kesombongan pula melupakan pergantungan kepada-Nya. Yang ada hanyalah kehidupan yang sempit dan menghimpit. Di manakah hendak mengadu? Ke mana harapan mahu disandarkan? Sedangkan semuanya telah tertutup, kelam dan suram. Tiadalah di hadapan kecuali kegelapan dan putus asa yang merenggut-renggut jiwa.

Duhai sahabat...

Sesungguhnya di dalam setiap ujian itu ada kurnia Allah. Di sebalik taqdir yang menyakitkan itu ada kasih sayang, ada kelembutan, ada pengharapan dari-Nya. Kebanyakan manusia tidak mengetahuinya melainkan setelah berlalu kepedihan dan kesakitan. Barulah terlihat kemanisan dan kebahagiaan di hujung jalan. Demikianlah di sebalik ujian dan dugaan yang silih mewarnai hidup manusia.

"Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan." (al-Insyirah: 5-6)

Jalan yang terbentang masih panjang, maka jangan lupakan-Nya

Sunday, 10 April 2011

Dakwah, usahakanlah dirimu


Berdakwah. Apa yang anda fikir jika perkataan ini menerjah di minda?

“Aku bukan ustaz.”

“Itu kerja orang agama, kerja ulama.”

Betul ke? Atau macam mana?

Dakwah, menurut bahasa memberi makna seruan, panggilan atau undangan. Manakala dari sudut istilah pula ia bererti menyeru atau mengajak manusia untuk melakukan kebaikan dan menuruti petunjuk, menyuruh berbuat kebajikan dan melarang perbuatan munkar yang dilarang oleh Allah SWT dan rasul-Nya agar manusia memperolehi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Berdakwah atau mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran bukan hanya terletak di bahu orang agama seperti yang difahami oleh sesetengah orang, dan bukan juga milik peribadi mereka yang bergelar ulama, ustaz, kadhi dan sebagainya. Bahkan setiap muslim yang merdeka, mukallaf dan yang mengetahui kebaikan yang diajakkan kepadanya serta kemungkaran yang dilakukan pelakunya, maka ia mesti membabitkan diri.

Allah SWT berfirman:

"Dan hendaklah ada (tersusun) di antara kamu segolongan umat yang (tetap) menyeru kepada kebaikan dan menyuruh kepada yang ma'ruf dan melarang (melakukan) yang munkar. Mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (Ali-Imraan: 104)

Dan firman-Nya lagi:
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan (di tengah-tengah) manusia. (Sifat kamu) menyuruh berbuat yang ma’ruf, melarang melakukan yang mungkar dan beriman kepada Allah...”(Ali-Imraan: 110)

Maknanya setiap muslim perlu ada tanggungjawab menurut kadar kemampuan yang ada. Seperti yang pernah saya sebutkan, sekecil-kecil dakwah adalah terhadap diri sendiri. Seumpama menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat, dalam masa yang sama berusaha untuk menambah amal kebajikan.

Namun, tidaklah sepatutnya dakwah kita berada di tahap itu selamanya. Kita mestilah berusaha untuk berdakwah dalam ruang lingkup yang lebih luas, cabang dakwah mestilah sentiasa di ‘upgrade’ dari masa ke semasa. Mula-mula bagi diri sendiri, keluarga seterusnya rakan-rakan disekeliling.

Atas kesedaran itulah saya cuba untuk mengotakan apa yang dikata. Saya cuba menyahut cabaran dakwah menurut kemampuan yang ada. Tidak keterlaluan saya katakan, apakah terlalu berat untuk menyampaikan kebaikan dalam erti kata berdakwah.

“Malam ni ada kuliah di surau kampung kita, jomlah pergi,” cukup sebaris ayat.

“Waktu asar dah masuk, jom ke masjid,” tidak susahkan? Atau anda merasa malu?

Jangan begitu.

Ataupun jika kita ada kemahiran mengendalikan blog atau web, maka tulislah sedikit sebanyak perkara-perkara yang boleh memberikan manfaat kepada pembaca. Tidak perlu panjang, cukup sekadar sebaris ayat. Contohnya kita menulis mengenai keburukan dan larangan fitnah, ambillah contoh kata-kata dari al-Quran atau hadis, atau kita mengambil kata-kata hikmah alim ulama, kemudian letaklah sekeping gambar sebagai hiasan. Begitu juga dengan facebook, twitter dan sebagainya. Cukup mudah.

Mungkin ada di antara kita yang akan berkata, “macam tu je....lekehnya.”

"Kalau setakat tu...baik tak payah!" Ada juga yang berkata begini.

Saya katakan YA, cukup sekadar itu jika hanya itu kemampuan kita. Itu pun sudah cukup bagus. Jika kita tidak boleh buat semua jangan tinggalkan semua. Kita harus ingat bahawa semua itu boleh menjadi ‘saham’ di akhirat nanti, walaupun kita lihat ianya seperti lekeh atau kecil sahaja.

Allah SWT berfirman:

“Barangsiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihatnya. Dan barangsiapa yang melakukan kejahatan walaupun sebesar zarah, nescaya dia akan melihatnya (di akhirat). (al-Zalzalah: 7-8)

Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT menyembunyikan empat perkara dalam empat perkara.....Allah menyembunyikan keberkatan dalam sesuatu ibadat.....”

Kata ulama dalam menafsirkan hadis ini, lakukanlah sesuatu ibadat walaupun ianya tampak kecil di mata manusia, mungkin itulah yang dipandang besar oleh Allah SWT.

Benar, walaupun hanya sepuluh sen yang kita infaqkan, boleh jadi itulah yang dipandang dan diredhai oleh Allah SWT.

Perlu diingat


Namun, sesuatu amat penting untuk difikirkan ialah kaedah kita berdakwah. Menunjukkan akhlaq yang baik dan menyampaikan dengan lembut dan berhikmah tanpa mengguris hati dan perasaan. Kadang-kadang kerana tersilap kaedah menyebabkan matlamat dakwah itu gagal.

Kita selalu mendengar kata-kata begini:

“Saya bukan tidak boleh menerima nasihatnya, tetapi caranya yang saya tidak boleh terima.”

“Kalau nak tegur pun, tegurlah elok-elok. Kami bukannya budak kecil, terus marah-marah je....”

Firman Allah SWT:

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila Engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Ali-Imraan: 159)

Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah saw dengan tujuan membentuk dan mencorak peribadi sahabat serta pengikutnya yang terdiri daripada pelbagai karakter dan sikap. Dengan panduan ayat ini diharapkan semua matlamat perjuangan dapat dicapai, membuahkan hasil membanggakan. Setelah ayat ini dihayati dan diterapkan oleh Rasulullah, terbukti hanya dalam tempoh 23 tahun baginda berhasil membentuk sebuah masyarakat Arab jahiliah sebagai masyarakat yang makmur, bertamadun dan mencapai kecemerlangan dalam segenap aspek kehidupan.

Begitu juga firman-Nya lagi:

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (an-Nahl: 125)

Nah! berhikmahlah dalam menyampaikan, insya-Allah pasti ada yang terpikat.

Kebimbangan saya


Tetapi di sisi yang lain, tersarang kebimbangan di hati jika apa yang saya dakwahkan tidak dapat atau mampu saya lakukan. Contohnya saya mengajak pembaca sekelian sentiasa berpuasa sunat atau pun memperbanyakkan sedekah, tetapi dalam masa yang sama saya tidak melakukan apa yang saya tuliskan itu.

Begitu juga saya amat bimbang jika saya diuji dengan apa yang saya tulis. Contohnya jika saya menulis pentingnya kesabaran dalam menghadapi setiap ujian, maka dapatkah saya bersabar jika ditimpa ujian. Bolehkah saya menerimanya dengan hati yang terbuka dan berlapang dada, sebagaimana yang saya tulis. Atau saya menyalahi apa yang saya tulis. Saya benar-benar bimbang dan takut.

Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran:

“Apakah kamu menyuruh manusia melakukan kebaikan, sedangkan kamu melupakan diri kamu, sedangkan kamu juga membaca kitab. Tidakkah kamu memikirkannya?" (al-Baqarah: 44)

Dalam ayat ini Allah SWT menempelak mereka yang mengingatkan orang lain tetapi dalam masa yang sama mereka melupakan peringatan itu buat dirinya. Tetapi para ulama menyatakan tidak perlu menunggu sehingga diri kita sempurna sepenuhnya, barulah mahu menyampaikan, kerana manusia tidak akan pernah sempurna dan tidak akan cukup kesempurnaan itu. Bagaimana keindahan Islam dapat disampaikan dan tonjolkan jika mahu menunggu diri sempurna terlebih dahulu. Maka sampaikanlah kebaikan, usahakan amar ma`ruf dan cegah kemungkaran dan dalam masa yang sama secara perlahan-lahan usahakanlah memperbaiki diri.

Sebagaimana pesan Hujjatul Islam Imam Ghazali: "Jangan menjadikan kekurangan diri sebagai alasan bagi tidak menyampaikan dakwah kepada umat manusia."

Begitu juga Imam Syafie menegaskan: "Andaikan kekurangan diri dijadikan alasan bagi tidak berdakwah, nescaya tiadanya dakwah yang akan berjalan di muka bumi Allah ini."

Dari Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, bahawa aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangan. Jika tiada upaya, maka ubahlah dengan lisan, dan jika tiada kemampuan, maka ubahlah dengan hati. Demikian itu adalah selemah-lemah Iman” (Hadith riwayat Muslim)

Saturday, 9 April 2011

Sesekali kesabaran menduga

Saya menghabiskan masa hampir 2 jam menulis.

Apabila artikel itu hampir selesai dan saya menekan butang-butang huruf untuk sentuhan terakhir. Entah di mana silapnya, tiba-tiba ia hilang begitu sahaja.

Sakit tangan bercampur sakit kepala...

Sakit hati lebih-lebih lagi...bagaikan mahu terbakar.


Allah...semoga saya menikmati erti kesabaran yang sentiasa meniti dibibir ini...

Wednesday, 6 April 2011

Bolehkah anak tak sah taraf terima harta pusaka?

Soalan:

Dengan penuh ikhlas saya mengaku bahawa anak pertama kami adalah hasil kami terlanjur (anak tak sah taraf) sebelum berkahwin sehingga mengandung. Di permulaan mengandung kami berkahwin. Sekarang saya sedang uzur untuk menghadapi hari-hari akhir saya, soalan saya bolehkah anak pertama saya, selepas pemergian saya, menerima pusaka saya yang agak banyak, seperti anak-anak lain yang dilahirkan selepas perkahwinan yang sah. Ada orang beritahu saya, mereka kata anak tersebut tidak boleh ‘makan pusaka’, tetapi ada yang kata boleh. Mohon penjelasan dan saya akan setiap terima nasihat dan jawapan. Terima kasih.

Jawapan:

KETELANJURAN anda telah pun berlaku, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha.

Sepatutnya anda menerima hukuman hudud daripada pengakuan yang sah, anda telah melakukannya dengan bukti anak yang ada sekarang. Tetapi anda tidak dihukum dengan hudud.

Bertaubatlah kepada Allah

Oleh kerana anak itu terhasil daripada perhubungan luar nikah, atau dengan lain bahasa ‘anak zina’, telah disemuafakati ulama, bahawa anak zina tidak sabit keturunan (nasabnya) kepada bapa zinanya, akan tetapi sabit nasabnya dengan ibunya. (Rujuk Kitab Fiqh Manhaji, juzuk lima halaman 136).

Ini disebabkan ibu yang mengandung anak tersebut adalah ibunya, anak itulah anak yang dikandunginya, adapun hubungan dengan bapanya adalah sekadar benih. Daripada benih itu menjadi sebab kelahirannya.

Syarak yang suci murni tidak mengakui hubungan zina yang cemar dan keji itu, menjadi perantaraan atau jalan untuk memurnikan keturunan, yang berlaku daripada hubungan yang cemar.

Ertinya, walaupun sabit itu adalah anak daripada benihnya, namun kehormatan daripada hubungan yang sah menurut syarak tidak berlaku. Maka, menurut pandangan Islam, anak tersebut bukan anak yang sah milik anda.

Oleh itu pusaka mempusakai antara anda dan anak anda tidak wujud dan tidak boleh dibahagikan pusaka anda kepada anak tersebut.

Bagaimanapun, anda boleh memberikan harta melalui jalan hibah ataupun pemberian semasa hidup, dengan dokumen yang sah.

Adapun sabit anak itu dengan keturunan ibunya (walaupun hasil zina), adalah sah menurut pandangan jumhur fuqaha. Maka dengan itu sabit waris mewarisi harta antara anak dengan ibu tersebut.

Sekiranya seorang ibu meninggal dunia dan ia meninggalkan harta untuk dipusakai, maka anak zina itu boleh mewarisi hartanya seperti waris-waris yang lain mengikut
pembahagian faraid.

Demikianlah sebaliknya, iaitu sekiranya anak itu meninggal dunia sedang ia memiliki harta, maka ibunya sahaja yang boleh mempusakai hartanya, sedangkan bapanya tidak boleh.

Masalah sebegini juga berlaku ke atas pasangan yang ‘berli`an’ (li`an), iaitu suami yang mengingkari kandungan yang dikandung oleh isterinya itu dari benihnya yang sah. Malah itu dakwaan anak zina.

Sekiranya berlaku li`an yang sah di hadapan kadi dengan syarat-syarat li`an yang sah, maka mereka difasakhkan (dipisahkan) dengan li`an. Dan anak yang lahir itu juga dianggap anak zina, maka ulama bersepakat, ia tidak sabit keturunan dengan bapanya.
Sama dengan soalan asal yang diajukan, ia hanya sabit dengan ibunya sahaja.

Maka hukumnya sama dengan hukum yang dijelaskan di awal tadi. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Tuesday, 5 April 2011

Muhasabah diri


Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dialah yang mengatur perjalanan hidup setiap makhluk.

Justeru itu tiada siapa yang mengetahui ketentuan masa bilakah ‘kita’ akan keluar dari jasad ini. Semuanya tersimpan di dalam rahsia Allah SWT. Jika jasad ini kita hiasi dengan kesombongan, yang akan menjadi tanah jua akhirnya, kitalah yang akan menanggung akibatnya. Di akhirat pasti kita termasuk di kalangan mereka yang rugi dan menyesal.

Kita dikurniakan akal. Dengannya kita dapat menjalani kehidupan di dunia ini dengan indah dan sempurna. Akal berfungsi sebagai pengimbang, pembeza dan pemilih. Akal yang sihat mampu berfikir dengan waras dan rasional, maka kita dapat membezakan mana satu yang baik serta memberi manfaat dan mana satu yang buruk serta memudaratkan. Malanglah jika akal yang dikurniakan ini kita sia-siakan dengan merosakkan fungsinya. Sebab itulah Islam melarang merosakkan akal dengan pengharaman arak dan perbuatan-perbuatan yang boleh menjejaskan kewarasannya.

Kita adalah makhluk yang dijadikan dengan sebaik-baik kejadian. Kita dijadikan dalam keadaan fitrah dan bersih. Sekiranya fitrah yang suci itu kita cemari dengan dosa dan maksiat, maka mohonlah rahmat keampunan-Nya. Sesungguhnya rahmat keampunan-Nya seumpama air bersih yang mengalir membawa pergi segala kotoran.

Muhasabah Diri


Apabila terbitnya matahari di pagi hari, bermakna bertambahlah usia kita sehari. Ia juga bererti helaian catatan perjalanan hidup kita pada hari semalam turut berlalu tanpa dapat kita pastikan apakah ia dipenuhi dengan perkara-perkara kebaikan atau sebaliknya. Bagi seorang muslim yang prihatin, pastinya perjalanan hidup yang telah berlalu sentiasa dimuhasabah dan direnungi, agar perjalananan seterusnya benar-benar berada di landasan yang betul dan tidak tersasar ke jalan yang dimurkai-Nya. Ini adalah kerana jiwa manusia sangat cepat berubah. Ada ketika baik dan ada ketika tidak. Malah kecenderungan untuk melakukan perkara terlarang lebih kuat dorongannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan aku tidak membersihkan diriku (dengan mengatakan aku tidak bersalah), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Yusuf: 53)

Justeru, adalah menjadi suatu kemestian bagi kita memohon kepada Allah SWT agar memberi petunjuk dalam menjalani kehidupan ini. Suburkanlah keimanan dengan memperbanyakkan amal ibadat. Disamping itu hendaklah kita sentiasa melazimi majlis ilmu supaya dengan ilmu pengetahuan akan menjadikan amal ibadat lebih sempurna dan berkualiti.

Sebagai akhirnya, marilah kita bermuhasabah atau koreksi diri bagi menilai sejauhmana peningkatan diri kita khususnya di dalam melaksanakan perintah Allah SWT dan menuruti sunnah Nabi saw.

“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan itu (apabila) aku disuruh dan aku adalah tergolong dari golongan Islam.”

Celoteh di pagi hari...

Subuh pun menjelma

Assalamualaikum wrm. wbt,

Alhamdulillah, kita masih lagi diberikan kesempatan untuk menyedut nikmat udara yang dikurniakan-Nya. Kita masih diberikan nikmat untuk melihat dan menikmati sinaran matahari. Semuanya percuma walaupun tidak pernah dipinta. Justeru, marilah kita mulakan nikmat kehidupan yang masih diberikan ini dengan doa dan syukur kepada-Nya.

"Telah berpagi-pagi kami dan telah berpagi-pagi kerajaan milik Allah SWT dan segala puji bagi Allah SWT milik-Nya segala kerajaan. Tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa, untuk-Nya segala pujian dan Dia amat berkuasa ke atas segala-galanya. Wahai Tuhan, kami memohon dari-Mu segala kebaikan hari ini dan kebaikan selepasnya. Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan hari ini dan kejahatan selepasnya. Wahai Tuhai, kami berlindung dengan-Mu dari kemalasan dan kejahatan masa tua. Wahai Tuhan kami berlindung dengan-Mu daripada azab neraka dan azab kubur." (dikeluarkan oleh Muslim dalam bab zikir dan doa daripada Abdullah ra. dan juga at-Tirmidzi)

Setelah beberapa hari bermusafir ke ibu kota, untuk menyelesaikan beberapa urusan yang melibatkan orang ramai dan masyarakat, alhamdulillah selamat pulang ke Kuantan. Walaupun agak keletihan tetapi itu semua bagaikan tidak terasa kerana larut di dalam kegembiraan, gembira kerana dapat 'MEMBERI'. Sedikit sumbangan kepada masyarakat mudah-mudahan dikira sebagai ganjaran yang besar 'disana'. Insya-Allah.

Sudah beberapa hari tidak mengunjungi pondok kecil abuikhwan... Semoga tidak ditumbuhi lalang.

Seeru `ala barakatillah...

Friday, 1 April 2011

Demi Masa!



"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar di dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Mereka berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran." (al-`Asr: 1-3)

Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan Muslim dari Amru bin Maimun ra. bahawa suatu hari Rasulullah saw telah menyampaikan pengajarannya kepada seorang lelaki, dengan sabdanya yang bermaksud: "Rebutlah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain, iaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sihat engkau sebelum engkau dilanda sakit,masa kaya engkau sebelum engkau jatuh papa, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup engkau sebelum datang saat kematian."

Ingatan bersama.....