Sahabat Sejati

Friday, 29 December 2017

Kunjungan yang menginsafkan (syafakallah duhai sahabatku)


Usai menyantuni anak-anak yatim dan kurang berkemampuan dalam program 'Back 2 School' (B2S) di bandar Temerloh, kami (YAMCP) membawa pula mereka menikmati makan tengahari di arked makanan yang berdekatan. Menu nasi ayam Temerloh menjadi habuan perut yang berkeroncong minta diisi. Alhamdulillah, seronok melihat keceriaan yang terpamer diwajah anak-anak yang diraikan. Kami juga turut tersenyum lebar tanda kepuasan.

Teringat nasihat seorang teman, agar tidak menonjolkan kerja-kerja kebajikan serta kemanusiaan yang dilakukan. Katanya, biarlah tangan kiri tidak mengetahui kebaikan yang dilakukan oleh tangan kanan. Maksudnya biarlah kebajikan yang dilakukan dengan disembunyikan. Saya sekadar tersenyum, tetapi hati kecil turut mengiyakan apa yang dimaksudkannya. Benar sahabatku, terima kasih atas nasihat yang sangat baik itu!

Dalam berkira-kira, saya menyimpulkan, pada hakikatnya, apa yang saya lakukan bukanlah atas dasar individu atau menonjolkan diri sendiri semata-mata. Tetapi ianya adalah kebajikan bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang. Ada sebab dan alasan mengapa saya sering tonjolkan aktiviti dan program yang melibatkan NGO kami ini.

Bagi saya, ada perbezaan yang ketara di antara sesuatu yang dilakukan oleh individu dan kumpulan atau organissasi.  Jika dari sudut individu, ia adalah suatu yang boleh diterima, "sembunyikan". Namun, bagi pertubuhan atau organisasi yang bergerak di atas sumbangan orang ramai, setiap program kebajikan perlu ditonjolkan. Mengapa? Ianya agar orang ramai dapat melihat apa yang telah dilakukan dengan setiap sen sumbangan mereka. Malahan, dengan menonjolkan gerak kerja yang dilakukan dapat meraih kepercayaan orang ramai dan korporat untuk terus menyumbang.  

Benar, memang kebaikan yang dilakukan individu perlu ‘didiamkan’. Namun, ulama juga mengharuskan sesuatu kebaikan yang dibuat ditunjukkan kepada orang ramai. Ia tidak lain bertujuan untuk menggalakkan dan memotivasikan orang ramai yang melihat agar mahu turut sama berbuat kebaikan menuai bakti. Walau bagaimanapun, perlulah berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam jurang gelap riyak yang membinasakan. Sebesar debu sifat riyak yang ada, maka ia akan membakar hangus amalan yang dilakukan dan memufliskan diri di akhirat kelak. 

Ah, jauh pula saya melencong. Apa pun terima kasih sahabat, akan saya ingat nasihat yang dititipkan. Saya mengambil manfaat daripadanya.

“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat bagi orang-orang yang beriman” (adz-Dzaariyaat: 55)  

Ke kampung Batu Sawar


Destinasi seterusnya adalah kampung Batu Sawar yang terletak di tebing Sungai Pahang. Ia sebenarnya perancangan yang sudah diatur dalam mesyuarat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang tempohari. Bersama dengan dua lagi sahabat, perjalanan dimulakan. Manakala sahabat di Temerloh tidak ikut serta kerana perlu menghantar pulang anak-anak yatim tadi. Azan zohor sayup-sayup berkumandang tatkala kami bergerak keluar dari pusat bandar.

"Kita solat jamak di Batu Sawar nanti," tukas seorang sahabat, Johari namanya. Seorang yang sangat komited dalam kerja-kerja kemanusiaan dan kebajikan. Beliau baru sebulan pulang dari menyantuni pelarian Rohingya di khemah pelarian di Coxbazar, Bangladesh.

Dari pusat bandar Temerloh, kenderaan pacuan 4 roda yang dinaiki meluncur laju menyusuri aspal jalan menuju ke seberang sungai Pahang. Seterusnya membelok ke kiri memasuki jalan tar yang agak kecil. Sejujurnya saya belum pernah ke kampong Batu Sawar, namun seingat saya ada beberapa tempat yang juga berkongsi nama Batu Sawar seperti di Kuantan dan Kota Tinggi. Tetapi saya belum pernah lagi ke tempat yang bernama Batu Sawar di Kota Tinggi.

Hasrat ke sana semata-mata mahu menziarahi seorang sahabat, Ustaz Suaadi Saad yang sedang terlantar sakit. Dahulunya beliau juga salah seorang daripada ALP Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang, orang kuat rumah anak-anak yatim Permata Camar serta aktif berkuliah di masjid dan surau sekitar Kuantan. Ekoran kesakitan yang dihidapi, terpaksalah beliau melupakan semuanya. (insya-Allah, moga buat sementara waktu dan kembali sihat untuk kembali aktif seperti dahulu)

Ketentuan Tuhan, Ustaz Suaadi diuji dengan masalah kesihatan di bahagian tulang belakang. Sekira-kira sudah 4 tahun beliau terlantar kesakitan. Dunianya hanyalah terbaring di atas katil (Alhamdulillah, ketika ini ustaz Suaadi Saad sudah pun boleh duduk perlahan-lahan walaupun dalam keadaan kepayahan untuk mengangkat tubuhnya).

Ujian yang tanggung beliau tambah berganda apabila isterinya meninggal dunia akibat kanser ketika usia sakitnya memasuki tahun kedua. Ekoran tiada siapa yang dapat menjaganya di Kuantan, beliau dan anak-anak dibawa pulang ke rumah orang tuanya di Batu Sawar, Temerloh. Kiranya bagi saya pula ini adalah kunjungan dan ziarah pertama setelah Ustaz Suaadi dibawa pulang ke kampung halamannya.

Sepanjang perjalanan mata saya dihiburkan dengan pemandangan hijau di kiri dan kanan. Tidak terasa kebosanan walaupun jaringan jalan perhubungannya agak sempit dan kadang-kala mendaki jalan yang berbukit.

Rupa-rupanya ia sebuah kampung di pedalaman. Patutlah banyak rumah kayu bertiang tinggi dengan rekabentuk rumah Pahang tradisional. Manakala di sekeliling rumah penuh dengan pokok buah-buahan. Sememangnya saya mengimpikan suasana seperti ini. Tetapi berlainan pula dengan sahabat yang sedang memandu: “Aii, pecoh kepala duduk di sini.” Katanya sambil tersenyum.

Untuk sampai ke kampung Batu Sawar, perlu melewati beberapa kampung yang agak unik namanya. Beberapa nama kampung yang masih melekat di memori saya seperti kampung Berhala Gantang, kampung Sanggang Seberang, kampung Badok, kampung Bintang dan kampung Teluk Sentang. Kampung-kampung ini berada di sebelah kanan mudik Sungai Pahang.

Manakala di sebelah kiri mudik Sungai Pahang terdapat kampung Loyang, kampung Sanggang, kampung Kuala Sanggang dan kampung Jejawi. Beberapa nama kampung lagi tidak sempat saya simpan di dalam kepala kerana asyik dengan panorama di sepanjang perjalanan.

Kunjungan yang menginsafkan

 'Bersama Ustaz Suaadi Saad. Kagum dengan ketabahan beliau'

Sesungguhnya sakit adalah ujian daripada Allah SWT. Seorang Muslim yang ditimpa sakit lalu bersabar dengannya, maka akan diampunkan dosa-dosanya oleh Allah. Malahan ada hikmah yang besar disebalik ujian tersebut. Mungkin hikmahnya dapat kita singkapkan, tetapi banyak pula yang terhijab dan menjadi rahsia Ilahi. Mungkin suatu hari nanti apabila hijab tersebut disingkap, barulah kita mengetahui akan hikmah kebaikannya. Justeru, sesiapa sahaja yang ditimpa ujian sakit, redhalah dengan memperbanyakkan zikir serta istighfar kepada-Nya.  Saya mengingati diri yang dhaif ini.

Sebagai orang Islam, kita sememangnya digalakkan menziarahi mereka yang sakit. Sesungguhnya ia termasuk hak sesama Muslim yang perlu ditunaikan sebagaimana sabda Rasulullah saw. Tatkala melihat seseorang yang terlantar sakit, maka barulah kita menyedari akan peri pentingnya nikmat kesihatan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Maka sebab itu Nabi saw memerintahkan rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Antaranya hargailah, manfaatkanlah nikmat sihat yang Allah kurniakan dengan menunaikan segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya sebelum datang sakit. 

Alhamdulillah, ziarah hari ini saya dan beberapa orang sahabat benar-benar menginsafkan. Hampir tumpah juga airmata saya melihat keadaanya. Saya berpaling ke arah lain lalu menyekanya dengan lengan baju.  Teringat ucapannya satu ketika, "Di perumahan anta, antalah yang ana kenal dan paling rapat.." Benar persahabatan kami sangat akrab, persahabatan yang dibajai dengan ukhuwwah fillah.

Sambil bergebang-gebang, saya menikmati titipan peringatan yang penuh hikmah disampaikan oleh Ustaz Suaadi. Dan yang paling utama, kekaguman dengan kesabaran dan ketabahan beliau dalam menghadapi ujian serta dugaan hidup.

Seputar katanya sebelum kami berangkat pulang, "Kesihatan itu milik Allah, maka Dia berhak mengambilnya tanpa mengira sesiapa. Samada hamba-Nya itu seorang yang taat ataupun engkar. Seorang yang taat akan melihat musibah itu suatu kebaikan walaupun dipandangan makhluk ianya buruk dan tidak baik. Ana redha dengan apa yang berlaku.."  

Syafakallahu duhai sahabatku!

Thursday, 28 December 2017

Mengelamun di sore

'Jalan Tengah'

“Entah berapa orang lagi yang masih tinggal..” Hati berdetik tidak semena-mena. Demikianlah sore itu saya mengelamun dan berkhayal-khayal di jendela.

Ya, entah berapa bilangan lagi generasi tua di kampung saya yang masih tinggal. Mungkin yang masih ada dapat dibilang dengan jari atau mungkin juga telah pun tiada semuanya. Seketika itu saya segera membayangkan satu persatu wajah mereka yang telah tiada. Oh ya, generasi tua yang saya maksudkan ialah mereka yang baya-baya umur arwah orang tua saya.

Dua kematian

Dalam bulan ini (November) dua kematian telah berlaku yang melibatkan generasi lama kampung SKD. Saya menerima berita ini menerusi grup whatsapp kampung kami. Begitulah mudahnya dengan teknologi yang ada hari ini. Walaupun masing-masing bertebaran jauh di serata tempat, mencari rezeki dan membina kehidupan sendiri, namun teknologi ini menyatu dan mendekatkan antara satu sama lain.

Minggu lalu, berita pemergian mak long Munah tertera pada skrin telefon bimbit saya. Lantas rona wajahnya terbayang di hadapan mata. Lama sungguh saya tidak melihatnya, tidak sekali bertembung dengannya sewaktu pulang ke kampung. Seingat saya dulu dia sering menapak di jalan hadapan rumahnya (Jalan Tengah) ke kedai runcit membeli barang keperluan.

Rupa-rupanya beliau dalam keuzuran, terlantar di rumahnya. Seingat saya, usia lebih tua daripada arwah ibu saya hampir sepuluh tahun. Usia arwah ibu saya jika dia masih ada sekarang dalam 70 tahun, maknanya usia mak long Munah pula tentu dalam 80 tahun. Sudah tua benar. 

Rumah mak Long Munah dengan rumah arwah ayahanda saya berada di jalan yang sama (Jalan Tengah). Dulu-dulu, bersebelahan rumahnya terdapat semak belukar tempat saya dan rakan-rakan bermain. Belukar resam yang subur menjadi tempat kami bermain berbagai permainan. Polis sentri, perang combat, tang nusuk (sorok-sorok) dan seribu satu macam permainan budak-budak. Selalu juga mak long Munah menjerit dari pintu rumahnya, bimbang kami terpijak duri atau sembilu. Bagaikan masih terngiang-ngiang jeritannya dalam loghat Terengganu.

Kak Midah 

Terdahulu daripada itu, kematian pertama pada awal bulan. Dalam jam 10 pagi henfon saya menjerit mengabarkan berita ini. "Kak Midah isteri Nik Yahya telah pulang ke rahmatullah. Akan dikebumikan pada jam sekian-sekian....." 

Begitulah susunan ayat yang tertera menerusi aplikasi whatsapp yang saya baca. Kak Midah merupakan di antara sahahat baik arwah ibu saya. Selalu sangat mereka sekeluarga berkunjung ke rumah kami dan begitulah sebaliknya. Sifatnya yang banyak mulut menyebabkan dia mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Seperti mak long Munah, rumah Kak Midah juga berada di jalan yang sama dengan rumah kami.

Bagaikan masih terbayang di ruangan mata, kak Midah dan suaminya membonceng motosikal lalu di hadapan rumah pusaka kami. Selalu juga bonda melaung seraya melambai dari atas beranda agar mereka suami isteri singgah sebentar. Menikmati juadah petang yang bonda sediakan. 

Kenangan tahun 1984

Menyebut nama kak Midah, lantas mengingatkan saya kepada anak sulungnya, Nik Hamizul, yang pernah menjadi sahabat baik saya, sangat akrab persahabatan kami. Walaupun usianya lebih tua daripada saya kira-kira empat tahun, namun ia bukanlah penghalang untuk kami bersahabat baik. Mungkin disebabkan keakraban orang tua kami, maka ia tumpah pula kepada kami. 

Tetapi anak sulung arwah Kak Midah yang menjadi sahabat baik saya itu telah lama mendahului bertemu Tuhan. Arwah Mizul menghidap sakit jantung sejak kecil. Teringat saya menjelang akhir-akhir usia beliau, pada malam itu saya menemankan arwah emak ke rumah Kak Midah kerana ada perkara yang mahu mereka bincangkan. Sempat pada malam itu saya berborak dan bergurau dengan arwah Mizul sementara menantikan orang tua kami menyelesaikan urusan mereka. 

Masih jelas diingatan, keesokan paginya ketika saya bersiap-siap mahu membersihkan diri sejurus bangkit daripada tidur, sayup-sayup pukulan beduk masjid memecah kesunyian pagi. Sehinggalah ketika hari telah cerah, seorang jiran memaklumkan berita pemergian Mizul. Tersepuk saya di tangga dapur, kaki terasa lemah-longlai tidak bermaya. Serangan jantung sebelum subuh telah menjadi asbab pemergiannya.

Sehingga hari ini saya masih lagi teringat akan wajahnya dan sembang kami pada malam itu. Benar-benar peristiwa di tahun 1984 itu menjadi kenang-kenangan sehingga kini. Moga Allah SWT merahmati mereka yang telah berkelana ke alam abadi terutama ayahanda dan bondaku..

Thursday, 21 December 2017

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (31)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamu `ala Rasulillah (30) di bawah tajuk: Jibril Turun Membawa Wahyu

Gua Hira` ~ sumber foto

Baginda membawa bekal makanan yang mencukupi sepanjang ibadah tersebut. Kemudian, setelah bekal makanan habis, baginda pulang menemui Khadijah untuk mengambil bekalan makanan yang sama. Akhirnya, ketika baginda berada di Gua Hira', datanglah kebenaran kepada baginda.

Malaikat Jibril mendatangi baginda dan berkata, "Bacalah!" Baginda menjawab, "Saya tidak boleh membaca." Baginda menyatakan, "Jibril merangkulku dengan kuat sehingga aku keletihan. Selepas itu dia melepaskanku. Dia kembali memberi perintah kepadaku, "Bacalah!" Maka kujawab, 'Aku tidak boleh membaca'. Maka Jibril merangkulku dengan kuat hingga aku keletihan.

Perbuatan itu berlaku sebanyak tiga kali. Akhirnya Jibril melepaskanku dan membacakan wahyu, 

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Al-Alaq: 1-5) 

Selepas kejadian itu, Rasulullah saw pulang dengan hati yang gementar. Baginda menemui Khadijah binti Khuwailid. Baginda berkata, "Selimutilah aku, selimutilah aku." Keluarganya yang ketika itu berada di situ lantas menyelimuti baginda hingga baginda berasa tenang.

Khadijah bertanya kepada baginda, "Apakah yang terjadi kepadamu?" Baginda menceritakan kejadian yang baginda alami dan berkata dalam nada risau, "Sesungguhya aku takut pada diriku sendiri."

Khadijah menenangkan baginda, "Jangan takut. Demi Allah, Allah tidak akan menghinamu selamanya. Sesungguhnya kamu orang yang gemar menyambung tali silaturrahim, memikul amanahmu sendiri, memberi kepada orang yang tidak berpunya, menjamu tetamu dengan penuh hormat serta menolong sesiapa sahaja yang berusaha menegakkan kebenaran."

Kemudian Khadijah membawa Nabi Muhammad menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, anak bapa saudara Khadijah. Waraqah ialah orang yang memeluk agama Nasrani pada masa jahiliah. Dia giat menulis kitab dalam bahasa Ibrani. Dia juga menulis sebahagian Injil dalam bahasa Ibrani. Umurnya telah tua dan matanya pula buta.

Khadijah berkata kepadanya, :Wahai anak bapa saudaraku, tolong dengar cerita anak saudaramu ini." Maka Waraqah bertanya pada Nabi Muhammad, "Wahai anak saudaraku, apakah yang kamu saksikan?" Rasulullah saw pun bercerita kepadanya tentang apa yang baginda alami.

Mendengar penerangan itu, Waraqah berkata, "Inilah namus (tanda kenabian) yang pernah Allah turunkan kepada Musa. Semoga aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu." Rasulullah saw bertanya, "Adakah mereka akan mengusirku?" Waraqah menjawab, "Ya. Setiap yang datang membawa berita seperti yang engkau bawa, pasti dia akan dimusuhi. Jika aku masih diberi kesempatan hingga hari itu, aku akan menolongmu setakat kemampuanku."

Sayangnya, harapan Waraqah tidak kesampaian. Dia meninggal ketika wahyu berhenti turun sementara waktu.(1)

RUJUKAN:

(1) Sahih al-Bukhari, jil. I, hal. 2-3. Al-Bukhari meriwayatkan juga dengan sedikit perbezaan lafaz dalam kitab tentang tafsir dan kitab tentang tabir mimpi.

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...