Sahabat Sejati

Saturday, 31 August 2013

Merdeka?


Masing-masing sedang menanti. Lalu bergema kiraan 10, 9, 8.....3, 2, 1 kemudian diikuti jeritan merdeka bersama dentuman bunga api yang bertalu-talu.

Mungkin inilah yang berlaku di beberapa tempat pada malam tadi. Dan ia berlaku pada setiap tahun ketika sebaik jarum jam melepasi angka 12 pada malam kemerdekaan. Inilah wajah sambutan kemerdekaan negara kita.

31 Ogos menjelma, tarikh bersejarah ulang tahun kemerdekaan negara Malaysia yang tercinta untuk kali yang ke-56. Kita bebas mentadbir sendiri negara tanpa campurtangan pihak lain. Kita bebas menentukan halatuju dan mencorakkan dasar negara ini. Saya percaya semua rakyat Malaysia merasa gembira dengan nikmat kemerdekaan ini.

Jika ditanya apakah erti kemerdekaan? Boleh jadi ramai yang menjawab, merdeka ialah bebas daripada penjajahan. Dalam konteks negara kita ialah bebas daripada penjajah British dengan menghalau mereka keluar dari negara ini. Benar, itulah jawapan yang sering kita dengar. Saya tidak mengatakan ianya salah tetapi ia tidak habis di situ, ada lagi sambungannya.

Saya beranggapan merdeka dalam ertikata yang sebenar ialah kita bukan sahaja bebas daripada penjajah iaitu dari sudut fizikal, tetapi kebebasan yang menyeluruh. Bukan hanya fizikal tetapi dalam masa yang sama bebas daripada cengkaman pemikiran penjajah. Kita ‘melepaskan’ diri daripada terikat dengan fahaman penjajah yang pastinya tidak mengikut cara Islam yang sebenar. Sedangkan sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, sudah tentu tanpa alasan kita seharusnya menjadikan syariat Islam sebagai teras dalam pemerintahan negara.

Saban tahun kita mengadakan sambut hari kemerdekaan. Apa yang bermain di minda? Jeritan merdeka? Pertunjukan bunga api? Perarakan?  Itu sahaja?

Saya melihat menyambut kemerdekaan itu bukanlah hanya sebagai rutin tahunan tetapi yang paling utama adalah bagi mengingatkan rakyat untuk sentiasa memuhasabah diri agar terus berusaha memerdekakan diri secara menyeluruh. Dengan rakyat yang berbilang kaum , maka sebaiknya kita membuang elemen-elemen yang boleh membangkitkan sentimen perkauman, melahirkan rasa sedar dengan berganding bahu mewujudkan sebuah negara yang makmur dan harmoni serta saling bermasyarakat. Jika tidak, kemerdekaan yang kita raikan setiap tahun hanyalah sekadar sehari cuti yang penuh dengan acara warna-warni tetapi kosong dari pengertian dan pemahaman yang sebenarnya.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

“Salam kemerdekaan buat jiwa yang merdeka”

Thursday, 29 August 2013

Bicara santai: Bijak dan jujur, hmmm...


"Bijak tetapi tidak jujur menipu, jujur tetapi tidak bijak ditipu..."

Sebaris ungkapan yang meluncur keluar dari corong radio mengetuk minda saya. Termenung saya seketika pada petang itu, berfikir dan mencari-cari hikmah yang terselit disebaliknya. 

Bijak dan jujur adalah dua sifat yang amat penting dan berkait rapat. Semestinya ia perlu wujud di dalam jiwa orang-orang mukmin. Tidak keterlaluan dikatakan keduanya merupakan gandingan penyatuan yang saling lengkap-melengkapi.

Orang yang jujur tetapi tidak bijak, maka nilai manfaatnya tidak seberapa. Malahan tidak mustahil ia senang ditipu dan diperdaya. Dia juga tidak mampu menjadi pemimpin, kerana banyak kesulitan yang akan timbul nanti. Bagaimana ia mahu memimpin jika hanya berbekalkan kejujuran sedangkan akalnya lemah. tentu ia senang ditipu, diperdaya, dipengaruhi atau diambil kesempatan oleh orang lain yang mempunyai kepentingan sendiri.

Sebaliknya, orang yang bijak tetapi tidak jujur pasti akan memudaratkan dunia. Boleh sahaja dengan kebijakannya akan diguna untuk menipu, memusnahkan, merosakkan dan memporak-perandakan sesuatu keadaan. Tentunya bermacam-macam masalah yang akan timbul hasil dari bijak tetapi tiada kejujuran di dalam dirinya.  Tidak kira sesiapa sahaja yang mempunyai sifat ini pasti akan memudaratkan orang lain.

Kita boleh melihat senario yang berlaku pada hari ini. Dunia yang sarat dengan peperangan, permusuhan, penindasan, pertelingkahan dan sebagainya.  Tidakkah boleh kita katakan ia berlaku hasil daripada tangan-tangan manusia yang bijak pandai tetapi tidak benar jiwa dan fikirannya serta kosong kejujurannya dalam nurani kemanusiaan.

Saya terfikirkan sesuatu...

Mungkin apa yang berlaku di Mesir ketika ini adalah hasil daripada kerakusan tangan-tangan yang bijak dan cerdik pandai  tetapi tidak jujur?

Mungkinkah...   

Monday, 26 August 2013

Dalam yang tersurat ada yang tersirat


Aku melihat sungai, langit, hutan dan gunung,
Apa yang tersurat adalah keindahan.

Sungai dan aliran,
Langit yang terbentang,
Gunung tegak tersergam,
Hutan nan kehijauan.

Mencetuskan takjub memukau pandangan,
Terdetik rasa kagum bahasa Tuhan.

Aku melihat sungai, langit, hutan dan gunung,
Apa yang tersirat adalah kekuasaan.

Kukuh dijiwa, sang Pencipta penuh kebijaksanaan,
Menembusi hati kerdil hamba Tuhan,
Lantas meraut erat tadahan dua tangan,
Syukur tak lekang bukan kepalang.

Aku melihat sungai, langit, hutan dan gunung,
Cukuplah menjadi pelajaran buat insan,
Agar ada ketenangan dalam keteduhan,
Agar bertambah teguh dalam suluhan iman.

Aku melihat sungai, langit, hutan dan gunung,
Dalam yang tersurat ada yang tersirat,
Dalam keindahan ada kekuasaan dan kebijaksanaan.

abuikhwan,
26/8/2013
22:05