Sahabat Sejati

Monday, 30 April 2012

Sebentar di KLIBF 2012


Sebelum meninggalkan ibukota ‘cinta’ Kuala Lumpur, sempat saya singgah sebentar di Pesta Buku Antarabangsa 2012 (KLIBF 2012) yang berlangsung di bangunan PWTC.

Wah, cukup teruja dan mengasyikkan. Pertama kali mengunjungi KLIBF dan pertama kali juga ke PWTC, pelbagai rasa yang menyelinap.

Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada penganjur iaitu MAJLIS BUKU KEBANGSAAN MALAYSIA (MBKM), KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA. (kalaulah dapat dialihkan ke Kuantan, kan ke bagus)

Kelabu mata saya melihat lambakan buku-buku yang memenuhi ruang pameran, begitu juga dengan harga yang ditawarkan. Amat istimewa! Terasa mahu memborong sahaja buku-buku yang ada di situ.

Dalam beringat, hampir RM200 juga telah saya belanjakan untuk membeli buku-buku yang dipilih. Itu pun dalam beringat, kalau tak beringat rasanya tak balik ke Kuantan agaknya... (Entahlah, mengapa saya terlalu lemah di hadapan kedai buku. Penyakit lama sejak di zaman belajar. ‘Tersungkur saya di pintunya’).

Teringat coretan saya yang lalu: “Entah mengapa saya sangat teruja dengan buku. Dua tempat yang saya baca Au`udzubillah, iaitu ketika memasuki tandas dan KEDAI BUKU, kerana ketika keluar dari KEDAI BUKU saya jadi manusia fakir tetapi penuh kepuasan dengan buku yang dibeli.”

Itulah realitinya.

Namun, saya tidaklah kisah untuk berbelanja ‘lebih sedikit’ kerana setiap sen yang dilaburkan adalah dengan niat untuk mencari ilmu, kebaikan, motivasi, panduan dan sebagainya. Dan saya yakin ia memang berbaloi dalam mencari erti hidup agar hari ini lebih baik daripada semalam.

Akhirnya saya melangkah keluar dari bangunan PWTC dengan poket yang faqir tetapi hati yang kembang berbunga seribu kepuasan, bersama susunan buku yang telah saya beli. Bila agaknya dapat menghadam kesemuanya, jangan sampai jadi keldai dah la...

"Perbandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim." (Al-Jumu’ah : 5)

Pastikan sahabat sekelian tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi KLIBF 2012. Masih ada masa lagi untuk ke sana!

Wednesday, 25 April 2012

Bertemu dan berpisah...begitu lumrahnya


Apabila kita menatap wajah orang yang dikasihi, rasa yang menggunung ialah kita ingin sentiasa bersamanya. Jika boleh kita ingin selama-lamanya melayari kehidupan ini bersamanya. Kita tidak mahu berpisah walaupun sekejap mata kerana rasa rindu yang bergetar di dalam jiwa, bahangnya amat menyakitkan. Kita mahu melalui setiap detik dan keadaan bersamanya. Kita mahukan pertemuan itu berkekalan. Kita sisihkan kata perpisahan jauh-jauh dari kamus kehidupan. Kita bencikan perpisahan.

Tatkala ditanya mengapa kita ditaqdirkan bertemu, maka jawapannya ialah kita bertemu semata-mata untuk berpisah. Lama saya termenung memikirkannya, namun kebenarannya tetap ada.

Kita sentiasa mahukan sebuah pertemuan...

Seringkali kita gembira mengecapi manisnya pertemuan...

Saat kita bertemu, kita tidak pernah tahu bilakah masanya kita kita akan berpisah, bagaimanakah perpisahan itu terjadi. Semua itu tidak pernah kita fikirkan. Sedangkan bertemu dan berpisah adalah lumrah kehidupan, lumrah perjalanan hidup seorang manusia. Ia pasti akan berlaku. Merelakan sebuah perpisahan amat menyakitkan, sesuatu yang amat pahit untuk dikenang.

Bencikan perpisahan?

Seandainya kita ditaqdirkan untuk berpisah, maka jadikanlah ia sesuatu yang manis untuk diingati. Usahlah meratapinya sehingga merencat perjalanan hidup, kerana hidup harus diteruskan.

Marilah meyakini bahawa disebalik perpisahan itu ada hikmah kebaikan yang tersembunyi. Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti. Mungkin yang datang itu tidak sama dengan yang pergi, tetapi percayalah yang datang itu pasti ada kebaikan yang tersendiri. Insya-Allah ia akan mengembalikan semula derai tawa yang dahulu. Bukankah Tuhan kita, Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang? Dia tidak akan memberi sesuatu melainkan di dalamnya ada nikmat kebaikan semata-mata.

Oleh itu, tatkala ditanya mengapa kita ditaqdirkan bertemu, maka jawapannya ialah kita bertemu semata-mata untuk berpisah.

Ya, sekurang-kurangnya ia memberi keyakinan kepada kita bahawa Allah Maha Menemukan dan Maha Memisahkan.

Ayuh kita merelakannya...

Tuesday, 24 April 2012

Gapai cinta Ilahi


Kehidupan tanpa cinta? Bagaimana...

Mungkin perjalanannya seumpama kanvas putih, kosong tanpa lorekan warna pelangi. Lalu kehidupan ini bagaikan tiada apa.

Kabur...

Luntur...

Mungkin kehidupan dipenuhi manusia yang berputus asa dan harapan yang kontang. Sedangkan tanpa harapan, manusia akan tewas sebelum membuka langkah berpencak silat.

Lalu nikmat yang datang menjadi tawar, syukur menjadi hambar.

Kecewa...

Putus asa...

Maka bangunkan cinta dalam diri berteraskan cinta Ilahi, pasti berseri hidup ini...

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاء وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ 
“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).” (Ali-Imran: 14)