Sahabat Sejati

Wednesday, 17 November 2021

Cerita disebalik pernikahan Jabir..

foto hiasan ~ sumber

Pasti kita telah mendengar kisah Rasulullah saw bertanya seorang sahabat yang baru berkahwin, “Jandakah atau anak dara?” 

Apabila diberitahu janda, lantas baginda bersabda, “Kenapa tidak kahwini anak dara? Kamu boleh bergurau senda dengannya, dia juga boleh bergurau senda denganmu.” 

Sebenarnya ada sesuatu yang menyebabkan sahabat ini mengahwini janda. Ceritanya begini..

Rasulullah saw seorang pemimpin yang sentiasa mengambil berat keadaan para sahabat. Sakit pening, susah senang, suka duka dan sebagainya sentiasa diambil tahu oleh baginda. Ada kalanya baginda menyiasat sendiri keadaan mereka. 

Al Bukhari meriwayatkan bahawa Jabir bin Abdullah pernah menceritakan kisah bagaimana baginda cuba menyelidiki keadaan hidupnya. 

Dalam perjalanan pulang ke Madinah selepas peristiwa Fathu Makkah, Rasulullah saw memerhatikan Jabir sedang menunggang unta yang biasa digunakan untuk mengangkut air. Unta itu kelihatan sangat lesu, letih dan lemah untuk melangkah. 

Baginda bertanya, “Apa kena dengan unta ini?” 

Jabir menjawab, “Unta ini memang sudah semakin uzur.” 

Baginda kemudiannya memperlahankan langkah untanya. Apabila sudah berada betul-betul di belakang unta Jabir, baginda cuba menolak dan mendorong unta itu. Unta itu pun mula berjalan laju. Ia memintas unta-unta yang lain. 

Selepas beberapa ketika baginda bertemu lagi dengan Jabir lalu bertanya, “Bagaimana untamu sekarang?” 

Jabir menjawab, “Ia semakin baik. Sebelum ini ia ada masalah pada kakinya.” 

Rasulullah saw mengesyaki Jabir dalam kesusahan. Jika tidak masakan dia masih menggunakan khidmat untanya yang uzur itu. Namun baginda masih cuba menduga. 

“Mahukah kamu menjualnya kepadaku?” tanya Rasulullah. 

Jabir menjadi serba salah untuk menolak permintaan baginda. Apa tidaknya. Itulah satu-satunya unta yang dimilikinya. Dengan unta itulah dia mencari rezeki. Namun untuk menolak permintaan Rasulullah saw adalah suatu yang amat mustahil baginya. 

Lalu dia menjawab, “Boleh saja wahai Rasulullah.” 

Setelah dipersetujui harganya, maka berlakulah jual beli itu dengan penyerahan tangguh setelah sampai di Madinah kelak. 

Dalam perjalanan itu juga Jabir memberitahu Baginda saw bahawa dia baru sahaja berkahwin. Inilah salah satu sifat mulia Jabir. Biarpun baru sahaja berkahwin, namun dia tetap menyahut seruan jihad. 

Tujuannya memberitahu baru berkahwin adalah kerana hendak meminta izin daripada baginda saw untuk meninggalkan rombongan dan bergerak cepat menuju Madinah. Lalu Rasulullah saw mengizinkan. 

Namun baginda sempat bertanya: “Kamu kahwini anak dara atau janda?” 

Jabir menjawab, “Saya kahwini janda.” Dikatakan nama isterinya Suhailah binti Mu’awwiz Al Ausiyah. 

Baginda lantas bersabda dengan hadis yang masyhur:

 هَلَّا تَزَوَّجْتَ بكْرًا تُلَاعِبُهَا وتُلَاعِبُكَ 

“Mengapa tidak kahwini anak dara. Kamu boleh bergurau senda dengannya. Dan dia juga boleh bergurau senda denganmu.” 

Cadangan baginda itu ialah kerana ini adalah perkahwinan pertama bagi Jabir. Janda biasanya tidak semesra anak dara. Hatinya mungkin masih ada rasa kasih kepada suami pertama. Sedangkan anak dara, tiada pengalaman mempunyai suami. Inilah suaminya yang pertama yang akan diletakkan kasihnya sepenuh hati. 

Ini bukan suatu HUKUM. Tetapi galakan bagi orang yang kali pertama berkahwin. 

Namun Jabir menjelaskan, “Ayah saya telah meninggal dunia (syahid dalam peperangan Uhud). Oleh itu saya perlu memelihara adik-adik perempuan yang masih kecil. Sekiranya saya kahwini anak dara, mungkin adik-adik saya tidak akan hormatinya kerana faktor usia yang tidak jauh daripada usia mereka. Isteri saya juga tidak akan mampu berperanan sebagai pendidik kepada mereka.” 

“Dengan sebab itulah saya kahwini janda yang sudah berpengalaman mengurus rumah tangga dan mampu menjaga serta mendidik adik-adik saya.”

Begitu jauh wawasan Jabir rupanya. 

Daripada cerita ini, Rasulullah saw mendapat maklumat tambahan berkaitan kehidupan Jabir. Fahamlah baginda bahawa sememangnya Jabir seorang yang susah. Namun bertanggung jawab terhadap adik-adik yang dipeliharanya setelah kematian bapanya. 

Setelah itu Jabir pun memecut untanya menuju ke Madinah, meninggalkan rombongan Rasulullah saw dan para sahabat yang lain. 

Selepas beberapa hari di Madinah, Jabir mendapat khabar ketibaan Rasulullah saw. Beliau bergegas ke rumah Rasulullah saw pada awal pagi untuk menyerahkan untanya. 

Baginda gembira melihat Jabir menunaikan janjinya lantas menyerahkan bayaran harga unta seperti yang dipersetujui dalam perjalanan beberapa hari sebelum itu. 

Amat mengejutkan Jabir, apabila baginda mengambil unta yang sudah menjadi milik baginda lalu diserahkan kembali kepadanya sebagai hadiah. Duit harga unta sudah diperoleh, kini unta pula dikembalikan oleh baginda. 

Tidak cukup dengan itu, Rasulullah saw turut menyerahkan sejumlah harta rampasan perang yang sememangnya Jabir berhak kerana turut serta dalam peperangan tersebut. 

Wallahu a'lam.

Sunday, 10 October 2021

Tawakal

foto hiasan ~ sumber

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab ra, Nabi saw bersabda:

 لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً 

Maksudnya: “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.” Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164), Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894) 

Dalam menjelaskan maksud hadis ini, Imam al-Munawi berkata: Hal ini menunjukkan bahawa tawakkal tidak boleh dengan meninggalkan usaha. Tawakkal hendaklah dengan melakukan pelbagai usaha yang akan membawa kepada hasil yang diingini. Hal ini kerana burung pun memperoleh rezeki dengan berusaha. Justeru, hal ini memberi petunjuk kepada kita untuk berusaha mencari rezeki. 

Dalam hadis ini, Rasulullah saw mengisyaratkan bahawa tawakkal yang sebenarnya bukanlah bererti bermalas-malasan dan enggan melakukan usaha untuk mendapatkan rezeki, sebaliknya tawakal yang benar hendaklah dengan melakukan pelbagai jenis usaha dan cara yang dihalalkan untuk memperoleh rezeki. (Dinukilkan dalamTuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi, 7/8)

Imam al-Suyuti menukilkan bahawa Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman berkata: “Hadis ini bukanlah dalil untuk duduk bersantai-santai dan enggan melakukan usaha untuk memperoleh rezeki. Sebaliknya hadis ini merupakan dalil yang memerintahkan untuk mencari rezeki kerana burung tersebut pergi pada pagi hari untuk mencari rezeki. 

Imam al-Ghazali menyatakan: Tawakal dalam Islam bukanlah suatu sikap eskapisme bagi orang-orang yang tidak mahu berusaha atau gagal usahanya, tetapi tawakal itu ialah tempat kembalinya segala usaha. Tawakal bukan menanti nasib sambil berpangku tangan, tetapi berusaha sekuat tenaga dan setelah itu baru berserah diri kepada Allah. Allah lah yang nanti akan menentukan hasilnya. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 2/65)

Justeru, usaha mesti tetap dilakukan. Malah Rasulullah saw turut melakukannya. Rasulullah saw berperang dengan tombaknya dan memakai baju besi dalam pelbagai peperangannya. Baginda Nabi saw juga memakai topi besi pada kepalanya. Rasulullah saw juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

 اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ 

Maksudnya: Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakkal. Riwayat al-Tirmizi (2157) dan Ibn Hibban (708)

Rasulullah saw memerintahkan kepadanya untuk melakukan usaha terlebih dahulu dan kemudian menyerahkan urusannya kepada Allah SWT. Justeru, hendaklah wujud usaha dalam sesuatu perkara di samping penyerahan urusan kepada Allah SWT. 

Ibn al-Athir menyebut, tawakkal bermaksud menyerahkan urusan kepada pihak lain atau menggantungkan kepadanya. Hal ini disebabkan kerana kepercayaan penuh kepada yang diserahkan atau ketidakmampuan menangani sendiri. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 5/221) 

Ibnu Rajab menyatakan bahawa hakikat tawakal adalah benarnya penyandaran hati kepada Allah SWT dalam meraih maslahah dan menolak mudarat berhubung urusan dunia dan akhirat, menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT, serta pengukuhan iman bahwa tidak ada yang memberi, menghalang, memudaratkan dan memberikan manfaat kecuali Dia.” (Lihat Jami' al-'Ulum wa al-Hikam, 3/1266) 

Allah SWT berfirman:

 وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ 

Maksudnya: Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Surah al-Talaq (3) 

Ibn Qayyim menjelaskan: Dalam firman Allah SWT di atas, tidak dikatakan bahawa orang yang bertawakkal akan dibalas dengan pahala sekian dan sekian seperti balasan untuk amalan yang lain. Malah disebut balasan dari tawakkal adalah Allah sendiri yang mencukupkannya. Jika seseorang benar-benar bertawakkal kepada Allah, maka Allah akan memberikan jalan keluar melalui langit dan bumi serta setiap makhluk di dalamnya yang Allah tundukkan. Allah SWT akan mencukupkan dan menolong orang yang bertawakkal tersebut. (Lihat Bada’i al-Fawa’id, 2/775) 

Berdasarkan nas dan kenyataan-kenyataan di atas, dapat difahami bahawa tawakkal yang sebenarnya bukanlah bererti bermalas-malasan dan enggan melakukan usaha untuk mendapatkan rezeki, sebaliknya tawakal yang benar hendaklah dengan melakukan pelbagai jenis usaha dan cara yang dihalalkan untuk memperoleh rezeki. 

Kami nyatakan di sini, maksud sebenar tawakkal terangkum padanya tekad, azam, strategi, usaha dengan bersungguh, doa dan diakhiri dengan redha atas keputusan Allah SWT. Jika berjaya dan terhasil, disyukurinya. 

Sebaliknya jika gagal, dia akan berusaha di samping bersabar. Sudah pasti, wujud di sebaliknya hikmah yang tak terjangkau dek akal. 

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita serta menjadikan kita daripada mereka yang bertawakkal dengan sebenar-benar tawakkal kepada-Nya. Amin.

Rujukan: Tashih al-Mafahim

Wednesday, 6 October 2021

Mari belajor loghat Pahang (6)

Assalamualaikum warahmatullah sahabat-sahabat.

Alhamdulillah, kes penularan pandemik covid-19 mencatatkan jumlah penurunan walaupun masih lagi di aras empat angka. Semalam mencatatkan jumlah kes sebanyak 8K lebih dengan negeri saya masih bertahan di angka enam ratus lebih kes. 

Justeru, marilah kita mematuhi SOP yang telah digariskan oleh pihak kerajaan agar penularannya semakin menurun setiap hari. Dan dalam masa yang sama turut berdoa agar keadaan kembali pulih seperti sediakala, insya-Allah. 

Sambil-sambil itu apa kata kita layan/belajar loghat Pahang. Mudah-mudahan dapat menambah lagi perbendaharaan kata.

Contoh Ayat : Kan keh dah kabor... jangan letok kete bawoh pokok tu... ataih pokok tu banyok 'Angry Bird'... Kala kete dah besempudei dengan taik burung gini, aok toksoh pegi basuh la... aok pegi buat report polih jer, kira 'Total Loss' la kala cenggini..

 

 Contoh Ayat : Amender yak aok pandang tu weh??? Sampei ekor mencudat gitume.... Ader kucing lawo ker? Atau ader anjing seksi?..

 

Contoh Ayat : Aii Pak Aji, takkan la bebuka sampei perut mentek gini? Agok-agok la kala nok makan te.. Kala dah terbungkang gini, goner nok pegi terawih ni karang...

 

Contoh Ayat : Aok kala naik bas pegi nengok bolor kat stadium tu nanti, memolek sikit.... jangan sampai terapik kat pintu bas pulok. Dah la bas orang bagi free... takmboh berambi lalu... Malu orang kampung weh!