Sahabat Sejati

Wednesday, 22 February 2012

Sejujurnya demikian...


Ada waktunya untuk menulis sebaris ayat pun terlalu sukar, tatkala kekontangan cetusan ilham dan idea. Walau segenap usaha diperah, semakin buntu jadinya. Itulah yang sering berlaku dan menjadi kebimbangan yang amat menghantui. Tidak dinafikan, bukan mudah untuk menulis dengan akal yang lemah dan terbatas ini.

Namun, kebimbangan ini saya redakan dengan keyakinan dan kesedaran bahawa cetusan ilham adalah milik mutlak-Nya. Hanya Dia yang boleh memberikan kepada sesiapa yang yang dikehendaki. Kerana itu seringkali saya berdoa:

“Ya Allah, aku bermohon kepada-Mu, ajarkanlah kepada diriku apa yang boleh dikongsi bersama para hamba-Mu yang lain, dan jadikanlah ia sesuatu yang bermanfaat di dunia dan akhirat. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui segala-galanya.”

Sesungguhnya kemampuan untuk menabur budi, memberi sesuatu kebaikan kepada manusia lain, hanyalah semata-mata dengan keizinan-Nya. Allah menegaskan di dalam firman-Nya:

“Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana mengatur sebarang perkara yang dikehendaki-Nya).” (al-Insan:30)

Justeru, saya menulis dan terus menulis dalam bertatih. Keinginan hanya satu, mahu berkongsi seberapa banyak kebaikan. Mungkin ia hanyalah coretan yang sangat kerdil jika mahu dibandingkan dengan karya-karya mereka yang dikurniakan limpahan lautan ilmu yang luas. Sejujurnya saya mengakui.

Hari ini saya melihat, andai hanya ada seorang daripada ribuan pembaca Kembara Mencari Hamba yang mendapat manfaat daripadanya, sememangnya ia amat bermakna dan merupakan nikmat yang besar bagi saya. Tiada lafaz sebaiknya yang mampu saya ucapkan melainkan dipanjat kesyukuran yang tidak terhingga.

"Ini adalah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk menguji adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenang nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka sesungguhnya faedah syukur itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan barangsiapa yang ingkar, (maka tidak menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah." (an-Naml: 40)

Seringkali pula saya memikirkan, siapalah saya... Siapalah saya untuk menyampaikan tinta-tinta nasihat, layakkah saya sedangkan ilmu yang dimiliki tidak setinggi mana, malahan saya amat merasakannya ketika muhasabah diri dalam keheningan, saya punya kelemahan dan kekurangan yang amat ketara sekali. Diri ini sentiasa bergelut di antara taat dan ingkar, ingat dan lupa. Hakikatnya berterusan tewas dalam kelalaian dan kelekaan.

Ada juga sahabat-sahabat yang tidak dikenali hadir mencoretkan rasa terima kasih kerana berjaya membangkitkan semangat dan kekuatan diri dek tulisan di Kembara Mencari Hamba yang biasa ini. Apa yang saya rasakan, teruja? Malu sendiri? Keliru? Ya, semua itu bercampur baur, sehinggakan saya terasa seperti bersalah pada diri sendiri. Sepatutnya saya yang terlebih dahulu mengambil peringatan dan manfaat hasil dari coretan itu.

Namun, niat saya hanya satu, ingin berkongsi kebaikan. Saya tahu, selama mana kita istiqamah dengan usaha menyeru kepada ketaatan kepada Allah SWT, sama ada melalui lidah ataupun pena, ia pasti akan menjadi sebahagian dari amal soleh di sisi-Nya.

Lebih dari itu, seandainya kita berusaha membantu orang lain dengan kemampuan yang ada, insya-Allah, Dia pasti akan membantu tatkala giliran kita pula dirundung kesusahan.

Percayalah...

Tuesday, 21 February 2012

Bicara hati anak desa

(lanjutan dari artikel Terima kasih Halim...)

Sinar matahari pagi berebut-rebut masuk ke ruang tamu setelah daun jendela saya kuak. Terpaku saya di jendela, damai dan terhibur hati mendengar bunyi kicau beburung yang bermacam ragam dan bermacam rupa yang terbang dan melompat dari dahan ke dahan.

Hmmm...saya menyedut nafas dalam-dalam, kepuasan segera menyelinap ke dalam diri.

Baru saya perasan, sudah lama saya tidak mendengar kicau sang murai, ianya hampir terpadam dari lipatan memori saya. Dan hari ini saya mendengarnya kembali, walaupun siulannya tanpa irama namun cukup menghiburkan.

Ahh... anak desa, sentimental pula perasaannya.

Saya membesar dalam suasana begitu. Mana mungkin tidak tercetus ketenangan dengannya, hutan hijau, alur jernih, kokokan ayam dan suara mergastua. Semuanya pelengkap kedamaian sebuah desa.

Hati dan jiwa seorang perantau seperti saya, mana lagi tempat jika tidak kampung halaman, tempat saya mencari secebis damai diri. Desa itu tempat saya dilahirkan, dibesarkan meniti hari-hari usia menuju dewasa.

Namun, ada sesuatu tentang desa tercinta ini yang mengundang rasa sebak di dada.

Seperti kata pepatah melayu berzaman: “Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain.” Benar, kenangan itu sentiasa mengusik-usik jiwa ini.

Setiap kali pulang ke desa saya akan berpusing-pusing di sekeliling ceruk dan pelosok, mencari kenangan yang semakin kabur di desa tercinta. Melihat perubahan demi perubahan yang berlaku diusik pembangunan. Menyapa mesra pakcik-pakcik dan atuk-atuk yang masih dikenali, sebahagiannya telah uzur dimamah usia. Bertemu rakan-rakan lama yang sama-sama telah bergelar bapa, mengimbau kenangan-kenangan silam yang mengusik jiwa. Memerhati anak-anak muda yang sedang membesar, kadang-kadang mencuit keresahan kerana ada di antara mereka yang cacat budi dan tempang bahasa walaupun jasadnya tampak sempurna.

“Mungkin inilah harga sebuah kemodenan,” hati kecil berkira-kira.

Sekelumit lembaran silam

Matahari semakin galak menyimbahkan cahayanya.

Segera saya beredar ke beranda, melabuhkan punggung disitu. Sinar matahari terus marak, beberapa orang pakcik melintas di depan rumah pusaka. Mereka tidak lokek memberikan senyuman kepada saya. Saya membalas kembali senyuman yang dilemparkan.

Suara batin terus bergema. Dalam suasana yang hening itu, perlahan-lahan saya dongakkan kepala, merenung langit yang cerah. Awan nampak bersih sekali, dengan desiran angin lembut menyapa di wajah.

Sambil menikmati keindahan suasana pagi, saya sorot kembali nostalgia lama. Sejuta kenangan sewaktu kecil datang berpintal-pintal membelit tangkai ingatan saya.

Dari beranda, pandangan mata saya terhenti seketika memerhati seberang jalan, kawasan lapang yang telah dibina beberapa buah rumah. Saya terkenang dahulunya ia dipenuhi semak samun, tempat saya meranduk bersama rakan-rakan.

Dari beranda ini juga saya ingat bagaimana ibu membelai saya di atas ribaannya sambil berjuntai kaki di tangga rumah pusaka lama. Ibu tunjukkan burung yang melompat-lompat di antara dahan pohon jambu air. Ibu tergelak sambil mengusap kepala saya, tatkala saya menyatakan ingin terbang seperti burung itu. Pokok jambu air yang usianya melebihi usia saya itu, juga telah pun tiada.

Halamannya, suatu masa dahulu, saya melihat adik-beradik dan saudara-mara berkumpul sewaktu cuti sekolah. Sama-sama juga bergotong-royong menyiapkan juadah untuk menyambut hari raya, mengacau dodol, merebus ketupat serta membakar lemang. Halaman ini juga tempat saya berkejaran bersama rakan, anehnya hari ini saya melihat ia semakin sempit, atau sayakah yang semakin membesar? Tersentuh saya memikirkannya.

Di sebelah kanannya pula terdapat alur jenih dan serumpun buluh yang menyimpan nostalgia. Apa tidaknya, teringat cerita orang tua-tua bahawa rumpun buluh itu ‘berhantu’. Kerana percaya, setiap kali pulang dari mengaji al-Quran sebelum sampai di rumpun buluh itu masing-masing bersedia untuk memecut. Selalunya bergema jeritan dan tangisan jika ada yang tertinggal di belakang, yang pastinya ia bukan saya. Kini, alur jernih itu telah terkambus, begitu juga rumpun buluh telah pun terbongkah perdunya di tolak jentera besi. Di situ juga telah berdiri beberapa buah rumah. Maka hilanglah ‘ketakutan’ yang menjadi misteri sejak berzaman.

Di hujung alur itu juga pernah tegak berdiri sebatang pokok rambai yang menjadi tempat saya mententeramkan jiwa ketika gelisah. Saya memanjat, dan biasanya saya akan memanjat terus ke pucuk yang paling tinggi. Menghirup udara segar, melihat panorama yang cantik di kejauhan. Berbalam-balam kehijauan bukit-bukau, amat mendamaikan. Akhirnya tanpa disedari resah dan gelisah yang bersarang itu berlalu dengan sendiri.

Bahagiakah hari ini

Mengingati lembaran kisah lama adalah umpama tempat untuk saya ‘melarikan diri’ dari kerunsingan yang bersarang. Saya memang suka ‘masuk’ ke dalam lembaran nostalgia lama kerana di situ ada secebis damai diri yang hilang hari ini. Kehidupan yang tidak tercemar dengan kekabutan pemikiran manusia zaman ini, walaupun zaman itu ibarat hitam dan putih tanpa lorekan warna pelangi tetapi kedamaiannya adalah penawar yang tidak mengecewakan. Ya, nostalgia lama itu adalah sebahagian tempat saya ‘melarikan diri’ dari resah dan gelisah.

Pun begitu, adakalanya ingatan kepada memori silam menambah seksa di jiwa. Terasa bagai ada kerinduan yang amat mendalam yang sukar untuk diluahkan.

Kepulangan ke desa permai kali ini luar biasa. Ia bukan sahaja menunaikan niat saya untuk menziarahi pusara ayah dan bonda, tetapi ia juga bagai suatu imbasan sejarah. Ia umpama suatu perjalanan terowong masa untuk mencari hari-hari semalam yang semakin terluput diingatan dan kabur oleh perjalanan masa. Sedangkan jiwa memendam rasa sambil merintih merindukannya.

Adakah kita bahagia dengan kehidupan lalu, atau kita lebih bahagia pada hari ini? Setiap kita ada jawapannya...pasti.

“Zaman kanak-kanak…kita merasa kaki dengan tangan. Sampai luka-luka bila tersandung dan jatuh. Kini sudah remaja, kita merasa dengan akal dan hati pula. Sering luka-luka juga kalau tersungkur dalam perjalanan. Kelak kalau dewasa bagaimana pula.” (Petikan novel Memeluk Gerhana oleh Isa Kamari)

Secebis ingatan diri...


Dosa itu beban. Ia menimbulkan kegelapan hati dan sering meresahkan. Jiwa tidak akan pernah tenteram dengannya. Kadang-kadang keresahan itu terlukis di rona wajah.

“Daripada al-Nawwas bin Sam`aan ra; Nabi saw telah bersabda: “Kebajikan itu adalah pada kebaikan akhlaq. Manakala dosa kejahatan pula adalah apa yang mendatangkan resah pada dirimu, dan engkau tidak suka manusia lain melihat atau mengetahuinya.” (Muslim)

Sesungguhnya dosa itu membentuk noda-noda hitam di dalam hati, lalu ia tertutup kepada kebaikan. Sehinggalah noda hitam terlalu banyak, hati pun menjadi gelap dan tidak terjangkau oleh cahaya Ilahi . Diri akan terasa hina jika di selaputi dosa, malu pada orang lain dan celaan mereka bahkan terlebih malu pada Tuhan serta kemurkaan-Nya. Itu jika kita sedari.

Tuhan Maha Pengampun, maka dibukakan seluas-luasnya ruang bertaubat. Ia sentiasa terbuka sementara ajal belum bertandang. Taubat umpama sinar pagi sesudah malam yang panjang, ia juga umpama bulan purnama di malam yang gelap menyuluh jalan manusia.

وَمَن يَعْمَلْ سُوءاً أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللّهَ يَجِدِ اللّهَ غَفُوراً رَّحِيماً
“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, niscaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (an-Nisa`: 110)

Hari-hari yang dilalui, memendekkan langkah menuju kematian. Usia yang terjangkau sedang membawa kita ke liang kubur. Seringkali kita terlupa kepastian itu.

Kita mudah tertipu dengan diri sendiri. Sedangkan Hukama` sering berpesan: “Jangan tertipu dengan badan yang sihat, kerana mati bukan syarat sakit. Jangan juga tertipu dengan usia yang muda, kerana mati bukan syarat tua.”

Ada benarnya peringatan ini, mati tidak memilih sesiapa. Tua dan muda, sihat atau sakit, miskin dan kaya, semuanya menemui kematian. Apa yang penting adalah persiapan kita untuk menghadapi kematian. Tentu kita mahukan mati dalam kebaikan, maka berusahalah.

Nabi Musa pernah memberitahu malaikat supaya segera memberitahunya sebelum mencabut nyawanya. Tetapi tatkala akan diambil nyawanya, Nabi Musa bertanya kenapa malaikat itu tidak memberitahunya lebih awal. Malaikat segera menjawab, Allah telah banyak kali menghantar peringatan demi peringatan.

Di antara peringatan yang dihantar oleh Allah ialah pertukaran rambut dari hitam menjadi putih, mata bertambah kabur, pendengaran mula berkurang, kulit yang tegang mulai kendur, badan yang gagah menjadi lemah dan sebagainya.

Justeru, tidak sedikit yang telah melihat peringatan-peringatan ini, bahkan mungkin di antara kita yang telah pun mengalaminya. Bersedih? Bimbang? Jangan begitu, marilah kita memperbanyakkan amal ibadat sebagai bekalan. Sentiasa berdoa agar diterima segala amalan. Akhirnya kita mengharapkan agar 'dijemput' dengan sebaik-baiknya. Kerana permulaan yang baik itu akan menjadikan yang akhir juga baik, insya-Allah di syurga-Nya yang abadi.

Sesungguhnya peringatan ini lebih utama buat diriku!