Sahabat Sejati

Thursday, 15 April 2010

Secebis ingatan Murabbi

Hidup ini adalah satu perjuangan dan percaturan. Kita memilih sendiri jalan yang terbentang luas di hadapan, baik membawa kita ke arah ketaqwaan atau jalan yang menyimpang. Tidak sedikit yang gagal terkandas di pertengahan jalan, tewas dalam perjuangan. Maka amat pentingnya kita mencari formula yang dapat memberi petunjuk agar jalan yang dilalui itu, mendapat keredhaan Tuhan.

Syeikh Fathi Yakan menulis di dalam bukunya “Apa Ertinya Saya Menganut Islam” yang saya kira amat penting untuk kita fikir-fikirkan bersama. Mungkin ia dapat membuka mata hati kita yang selama ini dilitupi oleh keseronokan yang melalaikan.

Di dalam kehidupan ini insan bertarung dengan dirinya sendiri. Adakalanya ia menang dan adakalanya ia kecundang atau ia tetap dalam pertarungan yang berterusan. Sememangnya pertarungan ini berterusan sehinggalah ajal maut menimpanya. Firman Allah:

“Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya) maka Allah akan mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasiqan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya itu dan sesungguhnya rugilah orang-orang yang mengotorinya.” (Asy-Syams: 7-10).
Maksud inilah yang terkandung dalam sabda yang diisyaratkan oleh baginda saw:

“Dibentangkan fitnah ke atas hati manusia seperti jalinan tikar, satu demi satu, maka mana-mana hati yang menerimanya akan dititik dengan titik hitam. Mana-mana hati yang menolaknya pula akan dititik dengan titik putih, sehingga hati itu menjadi salah satu dari dua hati tadi. Satu putih melepak seperti batu putih yang tidak dapat dicacati oleh sebarang fitnah, manakala satu lagi adalah hati yang hitam legam yang tidak lagi mengenali sebarang kebaikan dan tidak menolak sebarang kemungkaran.”
Dalam pertarungan menghadapi nafsu manusia terbahagi kepada 3 golongan:

1.Golongan yang tunduk mengikut hawa nafsu mereka

Mereka hidup dengan keseronokan di atas muka bumi ini dan ingin hidup berkekalan di dunia. Mereka adalah orang-orang yang kafir dan orang yang mengikuti jejak langkah mereka. Golongan ini melupai (kebenaran dan nikmat) Allah, lalu Allah juga membiarkan mereka. Di dalam Al-Quran Allah mengingatkan mereka sebagai orang yang mempertuhankan hawa nafsu. Firman-Nya:

“Maka pernahkah kamu melihat orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkan sesat berdasarkan ilmunya dan Allah telah mengunci mati, pendengarannya dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberikan petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat) maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran.” (Al-Jathiyah: 23).
2.Golongan yang bermujahadah dan bertarung menetang hawa nafsunya

Dalam menentang hawa nafsunya adakalanya golongan ini mencapai kemenangan dan adakalanya mereka kecundang. Apabila mereka terlibat dalam kesalahan mereka segera bertaubat. Begitu juga apabila mereka bermaksiat mereka segera sedar dan menyesal serta memohon keampunan dari Allah. Allah berfirman: 

“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (Ali-Imran: 135)
Inilah golongan yang dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya:

“Setiap anak Adam (manusia) melakukan kesalahan, sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan (dosa) ialah mereka yang bertaubat.”
Sehubungan dengan pengertian inilah diriwayatkan satu kisah oleh Wahab bin Munabbih yang menyatakan:

“Sesungguhnya Iblis pernah bertemu Nabi Allah Yahya bin Zakaria as. lalu Nabi Yahya berkata kepada Iblis: “Ceritakan kepadaku tabiat perangai manusia menurut pandangan kamu.” Lalu Iblis menjawab:

i. Golongan pertama dari manusia ialah seperti kamu ini. Mereka ini terpelihara (dari kejahatan dan dosa).

ii. Golongan yang kedua adalah mereka yang berada dalam genggaman kami sebagaimana buah bola berada di tangan anak-anak kamu. Mereka menyerah diri mereka bulat-bulat kepada kami.

iii. Golongan yang ketiga ialah golongan yang sangat sukar untuk kami kuasai mereka. Kami menemui salah seorang dari mereka dan kami berjaya memperdayakannya dan mencapai hajat kami tetapi ia segera memohon keampunan (bila ia sedar) dan dengan istighfar itu rosaklah apa yang kami dapati darinya. Maka kami tetap tidak berputus asa untuk menggodanya dan kami tidak akan mendapati hajat kami tercapai.

Dimanakah agaknya kita semua digolongkan. Maka bertanyalah pada diri masing-masing. Semoga kita sentiasa memilih yang terbaik untuk menjadi golongan yang terbaik di sisi Allah. Atau mungkin penyesalan yang tiada sudahnya di akhirat nanti.

Wednesday, 14 April 2010

Dadah Yang Satu Ini

Boikot bukanlah idea sampah.

Biar pun ramai yang sinis dengan idea boikot ini, halaman web Israeli Products . Com (http://www.israeliproducts.com/) boleh menjadi salah satu jendela untuk kita menjenguk reaksi regim Zionis terhadap kempen boikot yang berlangsung di seluruh dunia.

There is suffering and crushing poverty in much of Israel today. Self defense is expensive. Rebuilding war-ravaged lives, homes and businesses requires support. Most social services have been reduced drastically. Over 1.5 million people in Israel live below the poverty line. One in every three Israeli children is growing up poor- without enough food, without dental care, or shoes that fit. This store is our small attempt to make a difference. Our goal is to make high quality Israeli products easier to find and purchase for U.S. consumers. We urge our customers to support both America and Israel by purchasing MADE IN U.S.A. and MADE IN ISRAEL products whenever possible.

Sebelum jatuh simpati kepada gigi dan kasut anak-anak mereka, fikirkan pula apa yang sedang dihadapi oleh anak-anak saudara kita di luar tembok tinggi mereka.

Boikot jangan dipandang sampah.

SAMPAH SEBENAR

Jika mahu bercakap tentang sampah, ia boleh dirujuk kepada manusia bercita rasa haiwan ternak (al-An’aam) yang tidak pernah peduli lagi mengambil tahu tentang apa yang berlaku di sekitar mereka. Biar pun bedilan serangan pengganas Zionis menjamah 800 nyawa dalam tempoh dua minggu, di luar sana cukup ramai yang di sepanjang dua minggu ini hanya berfikir tentang penyanyi, pelawak dan pelakon yang ingin mereka menangkan.

Seakan-akan tidak ada apa-apa yang sedang berlaku di luar ‘dunia’ mereka.

‘Dunia’ yang hanya jadi begitu hasil ketagihan dadah.

Dadah yang dijamah oleh sebilangan besar masyarakat kita, bernama HEDONISMA.

Inilah dadah yang melumpukan akal fikiran dan hati nurani setiap manusia yang menjamahnya. Dadah yang merangsang pembentukan sebuah dunia lain yang tidak punya sebarang kaitan dengan dunia realiti.

Jika morfin merupakan dadah yang merangsang kesan sampingan berupa mimpi ngeri yang menyukarkan tidur penggunanya, maka hedonisma menjadi dadah yang mencipta mimpi indah yang menyukarkan jaga dan sedar penggunanya. Biar pun mata mereka celik, telinga mereka ada, dan jasad mereka bergerak biasa, mata itu hakikatnya buta, telinga menjadi tuli dan jasad menggerakkan tubuh mati tanpa jiwa dan perasaan… kesan sejenis dadah bernama HEDONISMA.

Pengedar dadah tidak menagih dadah. Pengedar dadah perlu menguruskan perniagaan besarnya yang mustahil terurus dalam keadaan dirinya menagih dadah. Penagih dadah, hanya terdiri daripada manusia bodoh yang hilang makna diri, miskin jiwa dan kabur pandangan hidup.

Penaja hedonisma juga tidak menagih hedonisma. Penaja hedonisma perlu menguruskan perniagaan besarnya yang mustahil terurus dalam keadaan dirinya menagih hedonisma. Penagih hedonisma, hanya terdiri daripada manusia bodoh yang hilang makna diri, miskin jiwa dan kabur pandangan hidup.

Penaja terbesar hedonisma adalah Hollywood.

Jika anda serius mahu memboikot produk yang menyokong regim Zionis, boikotlah produk Hollywood kerana ia bukan sahaja menyumbang kepada kekuatan ekonomi Amerika Syarikat dan Zionis, malah ia juga menjadikan setiap penjamahnya berkulit Melayu bercitarasa Yahudi. Berwajah Melayu berselera Nasrani.
Berapakah penjanaan keuntungan siaran filem-filem Hollywood di negara kita?

Dari manakah keuntungan itu diperolehi, kalau tidak dari penagih hedonisma yang berada di kiri, kanan, depan dan belakang kita!

Dadah hedonisma ada kuasa mutasi. Bermula dari transformasi mereka sebagai manusia kepada binatang ternak, berakhir dengan menjadi biawak yang mengekor biawak lain masuk ke lubangnya, tanpa berlengah-lengah lagi.

“Daripada Abu Sa’eed radhiyallaahu ‘anhu, sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Pasti benar kamu nanti akan mengikut tatacara orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan tatkala mereka itu masuk ke lubang biawak dhabb sekali pun, pasti kamu akan mengikut mereka”. Kami bertanya, “Ya Rasulullah, apakah (umat terdahulu) yang engkau maksudkan itu adalah Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab, “kalau bukan mereka, siapa lagi?” [Hadith riwayat al-Bukhari (3269) dan Muslim (2669)

Hanya penagih dadah sahaja yang memandang indah lubang biawak Yahudi dan Nasrani bernama hedonisma ini.

Sumber: Saifulislam.com

Monday, 5 April 2010

Mencari makna hidup


Tatkala melintasi deretan lembaran ilmu yang tersusun rapi di atas rak, terpana seketika. Tumpuan mata saya melirik pada satu buku yang amat menarik tajuknya. Saya meringankan tangan untuk mencapainya lalu menyelak selembar demi selembar. Secara tiba-tiba tumbuh perasaan teruja pada isinya...

Hari silih berganti dan terus berlalu. Tanpa kita sedari, kita telah berada pada satu zaman yang penuh pancaroba. Tingkah laku manusia semakin tidak keruan dan amat menyesakkan. Cara manusia memandang dirinya semakin pudar. Sudah sering berlaku dimana seseorang manusia itu terlalu mudah menganggap dirinya tidak berguna, seorang yang gagal, malah muncul perasaan mahu mengakhiri hidup kerana ada waktu-waktunya terasa hidup ini sudah tidak bermakna.

Putus asa asa menyelubungi diri. Persoalan hidup terusir jauh dari kamus kehidupan. Bagaimana mahu kembali kepada tujuan hidup, lari dari kecelaruan pemikiran umat akhir zaman.

Persoalan hidup

Apakah erti kehidupan?

Bagaimana menyuntik kekuatan diri dalam menghadapi realiti kehidupan?

Apakah erti perjuangan bagi mencari makna sebuah kehidupan?
Pastinya ada jawapan. Namun ia memerlukan pandangan yang tulus. Terbit dari hati yang penuh keikhlasan dan keinsafan. Itulah pandangan mata hati. Maka jawapan yang hakiki segera ditemui.

Perjalanan hidup tidaklah selalunya indah, tidak sebagaimana yang kita mahukan. Tidak juga sebagaimana yang kita rancangkan. Usaha menggapai impian tidak selalu diiringi langit biru cerah. Kadang-kadang perlu merentasi badai, keringat dan airmata. Oleh itu untuk memperolehi impian perlu ada usaha dan kerja keras.

Kata pepatah:

“Semasa bawang dikupas lapis demi lapis, maka setiap lapis bawang yang dikupas merangsang kita mengeluarkan air mata.”
Demikianlah impian memerlukan kesungguhan.
Kejayaan tidak akan tercapai dengan bersenang lenang.
Melainkan menuntut pengorbanan.

Justeru, Mencari Makna Hidup muncul tepat pada masanya, untuk mengajar kita erti ketabahan dan kesungguhan. Tidak mudah patah semangat. Membuang anasir-anasir negatif yang bersarang di dalam diri, menyingkap topeng yang menutupi lantas mengenali diri yang menjadi ’musuh’ kepada diri sendiri.

Mencari Makna Hidup karya Bapak Parlindungan Marpaung mengingat kita perjalanan yang sedang kita lalui ini penuh liku dan gelombang. Oleh itu persediaan yang sebaiknya perlu disiapkan. Moga kita tidak tersungkur sebelum tiba ke garisan penamat.

Kerana hidup ini sesungguhnya satu perjuangan. Tidak ada kejayaan yang dapat diraih tanpa perjuangan, tiada hasil dalam hidup tanpa keringat dan air mata. Semakin kita berjuang untuk hidup, semakin hampir kita menemukan erti kehidupan sebenar.

Ibarat seuncang teh, ia hanya mengeluarkan sarinya selepas dicelup ke dalam air panas. Demikianlah halnya dengan hidup ini, kadangjkala dengan merasai kepayahan dan pahit getir kehidupan barulah dapat memahami erti kehidupan yang sebenarnya.
‘Mencari Makna Hidup’ dibahagi kepada beberapa bahagian:-

Bahagian 1: Cermin Diri Sendiri

Bahagian 2: Pandai Bersyukur

Bahagian 3: Hidup = Perjuangan

Bahagian 4: Belajar daripada Pengalaman

Bahagian 5: Menabung Kebaikan

Setiap bahagian ini dipecahkan kepada beberapa tajuk kecil yang digarap dengan cukup baik dan disampaikan melalui kisah-kisah inspirasi dan motivasi kehidupan.

‘Mencari Makna Hidup’ sentuhan Bapak Parlindungan Marpaung yang amat istimewa. Karya besar bagi yang berjiwa besar dan dambakan perubahan. Buat yang berjiwa kecil mudah-mudahan menjadi sumber inspirasi dan kekuatan untuk meneruskan perjuangan mencari makna hidup. Seterusnya sebagai peruntuh benteng yang membelit diri. Maka bangkitlah kesedaran, keberanian dan keyakinan untuk melakukan perubahan diri ke arah yang lebih baik. Dengan itu moga tersingkaplah tujuan hidup dalam perjuangan mencari makna hidup.
“Jangan mengukur dan mengeluh betapa tingginya sebuah gunung sebelum cuba mendakinya. Kerana selepas berjaya mencapai puncaknya, pasti kita menyatakan betapa rendahnya gunung itu.”
Raikan makna hidup yang sebenar...

Judul buku : Mencari Makna Hidup
Penulis : Parlindungan Marpaung
Penerbit : PTS MILLENNIA SDN BHD (678177-A)
m/s : 246 (SM :RM16.50 / SS :RM18.50)