Sahabat Sejati

Saturday, 27 March 2010

Kerana dirimu amat berharga

Sesungguhnya setiap insan adalah hamba Allah yang diamanahkan supaya memelihara rohani dan jasmaninya. Ini adalah kerana dirinya bukanlah miliknya yang mutlak. Dirinya, fizikalnya serta tubuh badannya adalah milik Allah SWT.

Tidak seharusnya bagi setiap individu muslim yang beriman kepada Allah SWT merosakkan atau mencacatkan dirinya. Apatah lagi menghilangkan nyawanya. Ini termasuk dalam mengkhianati amanah Allah SWT. Segala nikmat yang dikurniakan seumpama kehidupan, kesihatan, harta kesenangan serta kebahagiaan adalah barang pinjaman yang perlu dijaga dan disayangi. Semua ini akan dipertanggungjawab dan dipersoalkan tatkala bertemu Allah SWT di kemudian hari.

"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Al-Baqarah:195).

Agama yang menyelamatkan

Islam adalah agama yang paling lengkap dan sempurna. Islam adalah agama yang bersifat selamat dan menyelamatkan, dalam semua aspek kehidupan termasuk pemakanan dan kesihatan. Ia mewajibkan umatnya memilih makanan dan minuman yang halal dan baik. Dengannya akan memperolehi kesihatan jasmani dan keberkatan rohani.


“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari jenis yang baik-baik dari apa yang direzekikan kepada kamu.” (Al-Baqarah: 172)


“Makanlah oleh kamu dari apa sahaja yang telah Allah rezekikan kepada kamu dari (jenis) yang halal lagi baik, dan syukurilah nikmat Allah jika sekiranya hanya Dia yang kamu sembah.” (An-Nahl:114).

Dalam ayat di atas jelas sekali tegasan Allah SWT mengkehendaki manusia memakan makanan yang halal dan baik. Larangan Allah pada sesuatu yang masuk ke dalam perut sama ada memberi mudarat atau tidak berkhasiat. Termasuklah benda-benda yang keji dan busuk seumpama rokok. Sesuatu yang kerap kali kita terlepas pandang.

Nabi Muhammad saw telah mengharamkan pengambilan apa sahaja jenis benda yang memabukkan termasuklah bahan-bahan yang boleh membahayakan kesihatan sehingga membawa kepada kesengsaraan, penderitaan dan kematian, dan tidak terkecuali bahan racun seperti nikotin yang terdapat dalam rokok. Sebagaimana yang disebut:

“Sesiapa yang meminum (mengambil) racun, kemudian sehingga membunuh dirinya, maka dia akan meminumnya pula di dalam neraka Jahanam dan kekal selamanya.” (Bukhari & Muslim).
Tidak seorang pun dari kalangan pakar pemakanan yang menemui apa pun kebaikan atau zat makanan di dalam sebatang rokok. Penagih rokok seolah-olah membeli penderitaan, pemusnah kebahagiaan dan kematian dengan harga yang mahal. Mereka seolah-olah membunuh diri hanya dengan cara menyedut asap dan kimia beracun dari rokok.

Diantara bahan kimia yang merbahaya di dalam setiap batang rokok adalah:

- Tar
- Nikotin
- Karsinogen
- Benzpyrene
- Phenols
- Ko-karsinogen
- Dan lain-lain

Menurut kajian, merokok merupakan penyebab utama berlakunya serangan kanser (barah) paru-paru. Asap tembakau mengandungi sebanyak lebih kurang 4000 jenis kimia yang berlainan. Sekurang-kurangnya 43 daripada bahan kimia ini di ketahui menyebabkan kanser. Terdapat juga bukti meningkat, bahawa seorang yang sering terdedah dengan hembusan asap rokok, dan mereka yang sering berada di persekitaran orang yang merokok (terutama pasangan perokok) boleh mengidap kanser paru-paru walaupun ia tidak merokok (perokok pasif). (Bahagian Pendidikan Kesihatan, kementerian Kesihatan Malaysia).

Maka dengan demikian jelaslah pengambilan atau menghisap rokok amat bertentangan dengan suruhan Allah agar orang-orang yang beriman memilih makanan yang halal lagi baik dan bukan yang keji dan busuk seperti rokok yang amat memudaratkan.

Sumber ketenangan???

“Aku kalau tak merokok sehari buntu rasanya, tak datang ilham.”

“Hilang rasa bosan bila kena sebatang.”

Memang ada yang mendakwa dengan merokok boleh mendatangkan ilham, inspirasi, memberi ketenangan jiwa, hati jadi tenteram. Namun itulah bukanlah keyakinan yang benar, kata-kata yang tidak berpijak di bumi nyata. Sekadar bahasa penyedap kata. Ini kerana menurut kajian pakar psikologi dan juga pakar kesihatan, nikotin yang terkandung di dalam rokok boleh mengurangkan oksigen ke otak sehingga boleh menambahkan lagi kerunsingan dan ketegangan fikiran.

Bagi seorang muslim, ketenangan hati dan jiwa yang tenteram bukanlah diperolehi dengan benda-benda yang memudaratkan dan merosakkan. Sebaliknya ketenangan hanya diperolehi dengan melakukan ibadat dan zikrullah.


“Orang-orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ingatlah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Ar-Ra`d: 28)

Justeru sebagai insan yang waras, marilah kita sama-sama tekadkan diri, berikrar untuk meninggalkan perbuatan yang sia-sia, khususnya merokok. Jika difikirkan seseorang yang merokok, yang dihisap adalah asap dan yang dihembus keluar juga adalah asap. Jadi dimanakah untungnya merokok. Kasihanilah orang lain disekeliling kita terutamanya keluarga yang terpaksa sama menghidu asap rokok.

Sama-sama kita memikirkannya, kerana dirimu amat berharga.




(Petikan akhbar Sinar harian Pahang: 27 Januari 2010)

Tuesday, 23 March 2010

Itulah hati

Senangnya hatiku...
Sedihnya hatiku...
Sakitnya hatiku...

Ungkapan yang sering meluncur dari bibir sehari-hari.

Hati membentuk lahiriyah. Jika kehidupan lahiriyah baik dan menurut tuntutan Islam, maka sesungguhnya hati itu telah menerima pengaruh kebaikan. Demikianlah sebaliknya, kerana ia adalah raja.

Amat malang jika hati tidak diguna untuk merasai kebesaran Tuhan dan memahami kebenaran.

“Dan sesungguhnya Kami jadikan isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak memahami (petunjuk Allah) dengan hati itu. Dan mereka mempunyai mata, tetapi tidak mereka gunakan untuk melihat (jalan yang lurus). Dan mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mereka gunakan untuk mendengar (yang hak). Mereka umpama binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Merekalah orang-orang yang lalai (dari memahami ayat-ayat Allah). (Al-A`raaf: 179).

Sama-sama beringat...

Secebis nasihat


Sesungguhnya manusia dihadirkan ke dunia adalah semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, iaitu dengan mematuhi segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sesungguhnya itulah matlamat utama. Sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran:
“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” (Adz-Zariyat: 56).

Seseorang yang mengaku beriman dan bertaqwa hendaklah mengikhlaskan diri dalam melakukan ketaatan. Ini bermakna mentaati semua perintah Allah SWT tanpa persoalan yang remeh dan alasan yang temeh, dalam erti kata lain mencari jalan untuk melepaskan diri dari perintah syarak.
Daripada Abu Hurairah Abd al-Rahman ibn Sakhar radhiyallaahu ‘anhu, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah bersabda,

“Apa yang aku larang kamu daripadanya, hendaklah engkau jauhkan diri daripadanya. Apa yang aku perintahkan kamu terhadapnya, maka hendaklah kamu lakukan ia dengan sepenuh kemampuan kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu, mereka menjadi binasa disebabkan oleh banyak persoalan mereka, serta khilaf perselisihan terhadap Nabi-nabi mereka” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Apabila manusia berhati tulus, bersih maka ia tentu dicintai Allah SWT. Sebaliknya bilamana manusia memenuhkan dirinya dengan kesombongan serta melanggar batas-batas yang telah digariskan agama, maka ia akan menimbulkan kemurkaan Allah SWT. Lantas yang demikian itu akan menerbitkan titik-titik penyesalan di kemudian hari.

Semestinya setiap muslim dapat membezakan antara perbuatan yang baik dan tidak baik. Apakah perbuatan-perbuatan yang dapat menghadirkan bunga-bunga bahagia serta perbuatan-perbuatan yang mengundang sengsara, lalu menyesakkan dada.

“Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya serta takut dan bertaqwa kepada-Nya maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.” (An-Nuur: 52).

Firman Allah SWT seterusnya:

“Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya yang tidak nampak oleh mereka, maka bagi mereka ke ampunan dan pahala yang besar.” (Al-Mulk: 12).

Demikianlah, ganjaran bagi mereka yang mentaati dan mematuhi perintah Allah SWT. Mereka menahan diri mereka dari runtunan hawa nafsu yang sentiasa mengajak ke arah kerosakan.

Ingatlah

Namun, manusia sememangnya sentiasa lalai, alpa terhadap sesuatu yang boleh membinasakan dan memudaratkannya. Kadang-kadang tanpa sedar mereka mendekatinya.

Umpama musafir yang berjalan di dalam kegelapan tanpa suluhan cahaya, pastilah ia tidak mengetahui halangan yang merintangi di hadapan. Maka tanpa disedari ia tentu akan melanggarnya. Justeru Allah SWT menurunkan Al-Quran melalui Rasul sebagai panduan. Petunjuk Al-Quran adalah seumpama cahaya yang terang benderang. Pembeza antara yang benar dan salah, penyuluh jalan yang lurus dan menyelamatkan.

Oleh itu marilah kita kembali kepada petunjuk Al-Quran. Mudah-mudahan dengan keberkatannya yang lupa menjadi ingat, yang ingkar menjadi taat. Seterusnya kembali kepada Allah SWT dalam keadaan redha dan diredhai.

“Jika kamu berada di petang hari janganlah menunggu waktu pagi, jika kamu berada di pagi hari janganlah kamu menanti waktu petangnya. Gunakanlah waktu sihatmu untuk hari-hari sakitmu, gunakan waktu hidupmu untuk menghadapi kematianmu.” (Riwayat Bukhari).