Sahabat Sejati

Thursday, 6 August 2026

Kayuhan bersama petang ini


 “Jom mengayuh petang ini…” ajakku lembut, memandang Ummu Ikhwan dengan senyuman yang mengajak. Angin lembut seakan turut memujuk, seolah-olah mengerti bahawa petang begini terlalu indah untuk dibiarkan berlalu tanpa sebuah kayuhan bersama.

Tanpa berbasa-basi, Ummu Ikhwan hanya mengangguk kecil, memberikan persetujuan. Senyumnya nipis, namun cukup untuk menenangkan hati. Sudah lama kami tidak mengayuh bersama pada waktu petang begini. Kesibukan kerja sering memaksa aku pulang lewat, meninggalkan senja-senja indah berlalu begitu sahaja tanpa sempat dinikmati. 

Petang itu terasa berbeza. Seakan ada ruang yang kembali terbuka, ruang yang dulu sering kami isi dengan kayuhan santai di jalan kampung. Roda basikal mula berpusing perlahan, menelusuri lorong kecil yang pernah menjadi saksi tawa dan cerita kami suatu ketika dahulu. 

Angin menyapa lembut wajah, membawa bersama harum dedaun dan segar nafas petang yang tenang berbalut cahaya senja. Burung-burung pulang ke sarang, dan langit pula perlahan-lahan berubah warna, dari biru cerah kepada jingga yang redup. 

Kami tidak banyak berbicara. Cukup sekadar sesekali berpandangan dan tersenyum. Namun dalam diam itu, terasa seolah-olah segala yang lama terpisah, kembali bersambung. Kayuhan ini bukan sekadar menggerakkan roda basikal, tetapi juga menggerakkan kembali rasa yang hampir terbiar oleh waktu.

Thursday, 30 July 2026

Titisan Darah.. menekuni sebuah naskhah perjuangan

Siapa yang tidak kenal dengan nama Zailiani Taslim? (semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya) 

Bagi generasi yang membesar dalam dekad 80-an dan 90-an, nama ini bukan sekadar sebaris tulisan pada kulit buku, tetapi sebuah kenangan yang hidup, yang pernah singgah dalam hari-hari muda yang sederhana. 

Beliau hadir sebagai sosok yang banyak menabur bakti dalam dunia kesusasteraan tanah air, khususnya melalui novel-novel remaja yang sarat dengan imaginasi dan nilai. 

Karya-karyanya merentasi pelbagai genre - daripada fiksyen sains yang mengajak kita berfikir di luar batas, kepada sejarah yang menghidupkan semula kisah silam, hinggalah kepada cerita kemasyarakatan yang dekat dengan denyut nadi kehidupan. 

Hari ini, saya kembali menekuni salah satu naskhahnya yang sekian lama diam tersimpan, namun tidak pernah benar-benar hilang dari ingatan. Pada helaian-helaian yang sudah dimamah usia itu, masih terperangkap harum kenangan, seolah-olah masa lalu perlahan-lahan bernafas semula di hujung jari. 

Titisan Darah.. karya Zailiani Taslim, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama tahun 1987. Tidak tebal, cuma 178 muka surat, tetapi beratnya terasa di dada. 

Kisah Awang Saga dan rakan-rakan, jiwa-jiwa merdeka yang bangkit melawan penjajah. Kecekalan mereka bukan sekadar cerita.. ia adalah luka, adalah pengorbanan, adalah darah yang benar-benar menitis demi tanah yang mereka cintai. 

Pejuang seperti Awang Saga  banyak sekali berkorban demi kesejahteraan dan keamanan desanya, juga mengelakkan api persengketaan yang akan menjejaskan perpaduan. Dia sanggup menerima perlantikan Daim sebagai penghulu sedangkan dia adalah pewaris yang berhak. Dia juga difitnah sebagai pembelot..

Setiap kali membaca kisah perjuangan seperti ini, ada satu perkara yang tidak pernah berubah, pengakhirannya hampir selalu diselubungi duka. Seolah-olah sejarah sendiri berbisik, kemerdekaan itu mahal, dan harga yang dibayar bukan sedikit. 

Dan entah kenapa.. setiap kali sampai ke halaman terakhir, hati terasa sepi. Bukan kerana kisah itu berakhir.. tetapi kerana kita sedar, ada pejuang yang tidak sempat melihat fajar kebebasan yang mereka perjuangkan dengan seluruh jiwa.

Zailiani Taslim (26 April 1959 - 03 Februari 2016)

Tuesday, 28 July 2026

Di celah helaian yang kekuningan

`Buku punya pasal`

Hari ini, sebenarnya hati terdetik mahu menyambung kembali siri pengembaraan masa yang sudah lama terhenti. Seolah-olah kisah itu membeku di satu simpang, menunggu langkah untuk diteruskan. Empat minggu berlalu, siri ke-18 masih kaku, sunyi daripada ilham yang biasanya hadir tanpa diundang. 

Begitulah, kadang-kadang kita hanya mampu menunggu menadah langit, berharap ada bisikan halus yang turun menyapa. Entah ada yang masih setia menunggu sambungannya, atau mungkin juga ada yang sudah jemu dengan jalan ceritanya yang makin jauh tersasar.. biasalah, cerita hati, kadang-kadang ikut rasa lebih dari arah. Haha.. 

Di celah helaian yang kekuningan 

Perlahan-lahan aku bangkit menuju rak buku, lalu tangan ini membelek deretan buku yang setia menjadi teman sejak dahulu. naskhah lama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Nipis, sedikit lusuh, namun masih setia menyimpan bau nostalgia yang sukar dilupakan. 

Satu persatu judul disentuh, seperti menyapa kenalan lama. Di celah helaian yang kekuningan itu, tiba-tiba mata saya terpaku pada satu nama yang begitu akrab di ingatan: Mohd Ismail Sarbini. 

Sejenak, waktu seakan-akan terhenti. 

Nama itu membawa saya pulang, jauh ke lorong masa yang sunyi, ke sebuah perpustakaan sekolah yang sederhana, tempat saya dulu menghabiskan waktu tanpa jemu. Di situlah saya, seorang anak kecil dengan dunia yang luas di tangan, tenggelam dalam helaian demi helaian cerita, tentang sejarah yang gagah, kembara yang mengujakan, dan penyiasatan yang menggetarkan rasa ingin tahu. 

Saya masih ingat, bagaimana buku-buku nipis itu menjadi sahabat setia. Tidak banyak halaman, namun sarat dengan makna. Setiap naskhah seolah-olah membuka jendela baharu, membawa saya merentas zaman, menjejak langkah pahlawan, dan menyelami jiwa manusia yang pelbagai. 

Nama-nama seperti Mohd Ismail Sarbini, Hamdan Raja Abdullah, Zailiani Taslim, Khadijah Hashim, Sabar Bohari, Amin Minhad, Harun Aminurrashid, Aripin Said, Arman Sani - mereka bukan sekadar penulis, tetapi pencipta dunia yang pernah saya diami dalam diam. Dunia yang kini hanya tinggal kenangan, namun masih berdenyut halus di sudut hati. 

Kini, dalam usia yang semakin dewasa, saya cuba menjejaki semula jejak-jejak lama itu. Mencari kembali buku-buku yang pernah membentuk rasa, membina imaginasi, dan menemani hari-hari yang sederhana tetapi penuh makna. 

Barangkali, saya bukan sekadar mencari buku. Saya sedang mencari diri saya yang pernah hilang di antara halaman-halaman itu.. dan berharap, di celah-celah huruf yang lama, saya akan menemuinya kembali.

Saturday, 25 July 2026

Pagi ini


Pagi ini aku memilih jalan yang sunyi. Kayuhan solo, ditemani langit yang redup, seolah-olah alam turut memperlahankan langkah dunia. 

Redupnya bukan sekadar cuaca, tetapi seperti satu pelukan lembut yang mengajak hati untuk lebih jauh mengembara. Tanpa sedar, kayuhan hari ini melangkaui kebiasaan, lebih 20 kilometer, namun terasa ringan.. seakan roda basikal ini digerakkan oleh ketenangan. 

Di kiri kanan jalan, alam membuka tirainya satu persatu. Alur air mengalir perlahan, memantulkan cahaya kelabu pagi. Rimba yang menghijau berdiri diam, namun hidup dengan bisikan angin. Kicau mergastua bersahutan, sesekali disulam kokokan ayam dari kejauhan, semuanya seperti muzik lama yang pernah kita kenal, tetapi sudah lama tidak kita dengar. 

Dalam kayuhan ini, aku tidak sekadar bergerak dari satu tempat ke satu tempat, tetapi seakan melangkah masuk ke dunia yang lain.. dunia yang lebih damai, lebih jujur, dan lebih dekat dengan diri sendiri. 

Kadang-kadang, kita tidak perlu pergi jauh untuk mencari ketenangan. Cukup sekadar mengayuh perlahan, dan membiarkan alam memimpin pulang hati yang penat.

Thursday, 2 July 2026

Pengembaraan Masa (Part 18): Bicara Laksamana, Ujian Tanpa Pedang

Baca di sini Part 17 

Laksamana Hang Tuah duduk bersila, tenang. Di sisinya, sahabat-sahabatnya memerhati tanpa suara. Pak Andak duduk di sebelahku, sedikit tegak. Tangannya memegang lutut, wajahnya penuh tumpuan. 

“Lama benar hamba tidak bertemu dengan pendekar Kampung Permatang ini.. apa khabar kamu, Andak Musa?” suara Laksamana itu tenang, namun sarat ingatan yang tidak pernah pudar. 

“Benar, Bang Tuah, lama sungguh rasanya kita tidak bersua. Kali terakhir ketika dihantar oleh Paduka Sultan untuk membanteras ancaman lanun yang berleluasa di perairan Selat Melaka dahulu,” sampuk Hang Kasturi, seolah bayang-bayang masa silam kembali berarak di matanya. 

Pak Andak Musa tersenyum kecil. Senyuman seorang yang pernah melalui badai, namun memilih untuk kembali menjadi bumi. 

“Hamba baik-baik sahaja, datuk, kini sekadar orang kampung. Bersawah, berkebun.. menyambung hidup seadanya.” 

Angin petang menyapa perlahan. 

Tiba-tiba Laksamana Hang Tuah mengalih pandangan kepadaku. Sorot matanya mesra, namun tersimpan rahsia yang tak terungkap. Bibirnya menguntum senyum halus, seakan tahu sesuatu yang belum aku mengerti. 

“Zahran..” tuturnya perlahan, selembut bayu yang menyapa remang petang. 

“Aku undang kau bukan kerana mahu tahu siapa kau.. tapi kerana aku mahu tahu, apa yang dibawa hatimu ke Melaka.” 

Belum sempat aku menjawab, Hang Kasturi mencelah, “kau anak muda yang luar biasa,” 

“Dalam diam, kau menggoncang pasar pagi. Dalam senyap, kau menyelamatkan seorang pembesar.” Hang Jebat pula menambah. 

Hang Lekir dan Hang Lekiu tersenyum, seraya mengangguk-angguk mengia. 

“Dan hari ini.. kau masuk ke rumahku bukan sebagai tetamu, tapi sebagai seseorang yang sedang ditimbang timbangannya.” Sambung Laksamana Hang Tuah. 

Aku tunduk. Jantungku berdegup kencang. 

“Aku tidak akan bertanya siapa kau sebenarnya, tapi aku mahu tahu.. apa yang paling kau jaga dalam hidupmu?” 

Aku terdiam. 

Soalan itu… menggegar dada. 

“Hamba.. jaga maruah, dan jaga amanah,” jawabku. 

“Dan hamba cuba untuk tidak menghancurkan apa yang tidak hamba fahami.” 

Laksamana Hang Tuah tersenyum. Senyum yang tidak terus terang, tapi ada pengertian. 

“Kau belajar dari tiga perguruan, bukan?” 

Aku mengangguk. 

“Langkahmu laju, tetapi tidak gelojoh. Dan semasa mengelak tikaman di pasar.. kau tidak menggunakan gerak langkah orang sini.” 

Mataku membulat. Pak Andak di sebelah menarik nafas perlahan. 

Aku cuba jawab bersahaja, “Saya belajar dari guru tua di Bentan. Ilmunya bercampur banyak gaya.” 

Hang Tuah ketawa kecil. “Ah.. gaya dari masa lain.” 

“Bentan itu luas rupanya..” 

Dia bersandar sedikit, lalu menyambung: “Orang yang datang membawa ilmu, tetapi tidak menjaja nama.. itu orang yang patut dihormati. 

Tapi orang yang terlalu banyak rahsia.. kadang-kadang, menyimpan api di dalam kain.” 

Aku tunduk dalam. 

Apakah dia tahu? Atau hanya menguji? 

Atau.. hanya mahu lihat sampai mana aku mampu berdiri tanpa runtuh. 

Tiba-tiba Hang Jebat mencelah, suaranya bergetar antara berani dan setia, “Bang Tuah, kau mahu kami uji dia di gelanggang?” 

“Iya, Bang Tuah.. hamba sedia bertarung dengannya,” sambut Hang Lekir, genggamannya pada hulu senjata seakan tidak sabar menunggu izin. 

Namun, Laksamana Hang Tuah hanya menggeleng perlahan. Matanya tidak melihat pada tubuh yang berdiri di hadapan.. tetapi seolah menembus ke dalam jiwa. 

“Tidak,” jawab Laksamana Hang Tuah perlahan. Suaranya tenang, tetapi berat dengan pengertian yang tidak semua mampu fahami. 

“Dia sedang bergelut dengan sesuatu yang lebih besar dari tombak dan pedang.” 

Angin seakan berhenti bernafas. 

Gelanggang yang tadi terasa sempit, tiba-tiba menjadi luas, seluas pergolakan dalam dada seorang insan. 

Aku menarik nafas lega. 

Kerana akhirnya aku mengerti, tidak semua pertempuran perlu dimenangi dengan kekuatan, ada yang hanya mampu disembuhkan dengan kefahaman. 

Rahsia Kian Dibuka 

Lalu Hang Tuah bangkit. Perlahan, seolah setiap geraknya memikul ingatan yang tidak pernah padam, dia melangkah ke belakang, menuju ke hujung rumah yang redup diselaputi bayang senja. 

Sebuah peti kayu dibukanya. Bunyi engselnya seperti membuka pintu masa yang telah lama terkunci. 

Di dalamnya sehelai kain putih, bersih tanpa noda, dan satu cebisan tulisan yang sudah dimamah usia.. namun masih hidup dengan rahsia. 

Dia membawanya kepadaku. 

“Ini..” suaranya rendah, seakan tidak mahu mengganggu sesuatu yang halus di antara semua yang hadir. 

“Wasiat lama dari guruku… yang aku ziarahi lebih tiga tahun lalu.” 

Sejenak dia diam. 

Matanya seperti kembali mendaki lereng sunyi, bertemu seorang insan yang tidak terikat dunia. 

“Dia guruku, seorang pertapa di Gunung Ledang.” 

“Sang Adi Putra..” bisik hatiku, teringat bayang P. Ramlee dalam filem klasik Hang Tuah yang pernah singgah di layar ingatan. 

Dan waktu itu, dalam ruang kecil yang bersuluh cahaya matahari dari ruang kisi-kisi, aku tahu.. pintu rahsia sudah mula diketuk perlahan. 

“Pesannya satu..” 

Angin seakan berhenti. 

Dunia seperti menunggu.

“Akan datang seorang tidak berkeris, tidak bertanjak, bertutur dengan bahasa yang kami fahami, tapi fikirannya seperti cermin masa.” 

Aku kaku. 

Kata-kata itu tidak sekadar didengar, ia menikam masuk ke dalam ruang yang paling sunyi dalam diriku. 

Nafas terasa terhenti, seolah tubuh ini lupa bagaimana untuk terus hidup dalam detik itu. 

Adakah.. aku? Atau hanya bayang kepada sesuatu yang belum sempurna? 

Hang Tuah melangkah mendekat. 

Matanya menatap aku lama, bukan sekadar melihat wajah, tetapi membaca sesuatu yang aku sendiri belum pernah fahami. 

“Jika bukan kau..” katanya perlahan, “mungkin bayangnya sudah datang lebih awal.” 

Sunyi. 

Dan dalam sunyi itu aku mula sedar.. 

Ada perjalanan yang tidak pernah aku pilih, tetapi entah bagaimana ia telah lama memilih aku. 

Bersambung Part 19.. 

Wednesday, 17 June 2026

Salam Maal Hijrah 1448, moga hari ini lebih baik dari semalam..


Moga hati sentiasa dalam damai.. walau dunia tidak selalu indah seperti yang kita rancang. 

Kerana hidup ini bukan tentang sempurnanya jalan, tetapi tentang kuatnya jiwa melangkah, meski penuh luka dan tanda tanya. 

Ada hari kita tersenyum, ada hari kita diuji tanpa henti. Namun di celah retak itulah, Tuhan selitkan tenang yang tidak terucap. 

Belajarlah memeluk takdir dengan sabar, kerana setiap yang terjadi bukan untuk mematahkan, tetapi untuk mendewasakan. 

Dan saat dunia terasa berat, ingatlah.. damai itu bukan pada apa yang kita miliki, tetapi pada hati yang redha menerima. 

Moga kita semua dipelihara rasa tenang itu. Tenang yang tidak bergantung pada dunia, tetapi bersandar sepenuhnya kepada-Nya.

Salam Maal Hijrah 1448.  

Tuesday, 16 June 2026

Pengembaraan Masa (Part 17): Getar Jiwa

`foto hiasan`

Baca di sini Part 16 

Matahari sudah pun condong ke arah barat. Angin dari bendang membawa suara burung ruak-ruak dan cengkerik, menyatu dengan cahaya redup yang menimpa beranda rumah Pak Andak. 

Aku sudah bersiap, mengenakan persalinan sederhana, rambut disisir rapi. Di pinggang masih tersisip keris pemberian Sultan. Gementar itu nyata, walau aku cuba tenang. 

Pak Andak muncul di muka pintu, menyarung tengkolok usangnya. 

“Jangan risau.. selagi aku ada, tiada siapa akan soal kau lebih dari yang perlu,” katanya perlahan. 

Aku senyum. Tenang sedikit dada ini. 

Sebelum melangkah, aku terlihat Seri Seroja berdiri di penjuru beranda, memeluk lengannya sendiri. Wajahnya separuh dalam bayang. 

Aku hampiri. 

“Petang ini saya ke rumah Laksamana. Mungkin malam saya pulang.” kataku perlahan. 

Dia hanya angguk. Pandangannya ke luar, tapi aku tahu dia tidak benar-benar melihat sawah atau awan. 

“Ayah ikut sekali?” tanyanya akhirnya. 

“Ya,” jawabku. “Saya.. takut kalau tersilap jawab, atau tersilap langkah.” 

Dia senyum kecil. Tapi di sudut senyuman itu.. ada sayu yang tak bisa disorok. 

Aku cuba bergurau, “Kalau saya tak balik malam ni, awak tolong simpan baju saya elok-elok, ya?” 

Dia ketawa kecil. Tapi kemudian diam panjang. 

Lalu, dia bersuara, perlahan, namun setiap patah kata seolah-olah mengikat jiwaku: “Kalau tuan tak kembali.. bukan baju yang patut disimpan.. tapi kenangan tuan dalam hati Seroja.” 

Aku terkedu. Dia pandang aku, mata berkaca. Tapi belum menitis. 

Dia menunduk. Menyeka mata. 

Kemudian dia bangkit, dan senyum, walau berat: 

“Pergilah. Laksamana menunggu. Dan jangan lupa.. kalau rindu rumah ni, cukuplah sekadar sebut nama saya dalam hati.” 

Langkahku bermula. Tapi separuh hatiku tinggal di beranda kayu itu, bersama mata seorang gadis bernama Seri Seroja. 

Bermula langkah 

`foto hiasan`

Aku dan Pak Andak melangkah perlahan menyusuri denai sunyi menuju ke Sungai Bertam. 

Dari situ, kami akan membelah arus dengan perahu kecil menuju ke Kota Melaka.. sebelum kaki ini kembali menapak, mencari jejak ke halaman rumah Datuk Laksamana Hang Tuah. 

Tidak berapa lama kami pun sampai di jeti kecil di tebing Sungai Bertam. Tanpa berlengah, aku mencebok air dari perahu, sementara Pak Andak tangkas meleraikan ikatan tali pada pancang. 

Saat aku menyisipkan pendayung ke dalam perut perahu, Pak Andak membuka bicara. 

“Zahran, aku tahu kau bukan anak kampung biasa.” 

“Bukan juga pedagang, walau kau bijak berkata.” 

“Gerak langkahmu.. bicaramu.. cara kau mengelak dari banyak perkara, semuanya seperti orang yang menyembunyikan sesuatu.” 

Aku menoleh sedikit, tapi tidak berani menatap matanya. 

“Pak Andak.. saya cuma anak perantau dari Bentan,” kataku, seperti biasa. 

Pak Andak tersenyum, tidak sinis, tidak juga puas. 

“Bentan itu besar. Tapi kau, terlalu kecil untuk sembunyi dalam nama itu saja.” 

Aku ketawa kecil, cuba mengalih topik. 

“Pak Andak.. hari ini saya degup jantung pun macam nak lawan gajah.” 

Pak Andak ikut ketawa. Tapi aku tahu.. soalannya tadi belum benar-benar mati. 

Rumah Laksamana Hang Tuah 

Akhirnya kami sampai ke tempat yangg dituju. 

Rumah Laksamana Hang Tuah terletak di hujung dusun yang luas. Tiada pagar, tapi terasa kawasan itu dijaga oleh sesuatu yang tak kelihatan. 

Rumah itu besar, tapi tidak sombong. Redup, tapi tidak gelap. Binaan kayu keras, tiang tinggi, tangga batu hitam. 

Ini bukan rumah biasa. Ini rumah perwira yang telah menempuh ribuan langkah dalam diam. 

“Masuklah..” Suara itu datang dari atas rumah. 

Suara Hang Tuah. Tegas, tenang, dan dalam. 

Aku dan Pak Andak saling berpandangan. Lalu kami melangkah naik. 

Di dalam, suasananya redup tapi damai. Dindingnya berbau kayu gaharu dan damar. Tiada emas, tiada kilauan. Cuma susunan senjata, kitab dan sulaman tenunan tergantung di dinding. 

Laksamana Hang Tuah berdiri di tengah, mengenakan busana pendekar yang ringkas. Di sisinya, empat sahabat setia—Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi. Mereka tampak bersahaja, namun auranya seperti gunung yang sedang lena. 

Senyuman mereka terhulur kepada kami.. tenang, namun sarat makna. 

Aku meneliti setiap susuk. Hang Jebat paling mencuri perhatian; wajahnya keras, matanya menyala. Pada riaknya terhimpun keberanian luar biasa—tegas, dan seakan tidak mengenal erti tunduk ketika berdepan lawan. 

“Kalian selamat sampai,” kata Hang Tuah. 

“Malam ini bukan malam ujian. Tapi malam bicara hati.." tukasnya lagi.

Aku tunduk hormat. Pak Andak juga.

Bersambung Part 18..

Sunday, 7 June 2026

Kayuhan bersama..

Petang ini, langit terbentang cerah seolah-olah mengundang jiwa yang lama terkurung untuk kembali bernafas. Dalam diam, terbit satu hasrat, ingin mengayuh semula, menghidupkan kembali kenangan lama yang hampir tenggelam ditelan rutin. 

Sudah lama benar tidak menyentuh pedal basikal. Hari-hari kebelakangan ini lebih banyak diisi dengan langkah perlahan, brisk walk bersama Ummu Ikhwan, menyulam waktu dengan bicara sederhana. Namun petang ini terasa berbeza. Ada panggilan halus dari alam, memujuk agar kembali bergerak, kembali merasa. 

Lalu aku mengajaknya Ummu Ikhwan, teman setia yang tidak pernah jemu menemani. Kami mengayuh perlahan menyusuri perdesaan yang tenang, seakan-akan masa turut memperlahankan langkahnya demi memberi ruang kepada jiwa menikmati setiap detik. 

Hijau belukar terbentang luas, mendamaikan mata yang penat melihat hiruk dunia. Aliran air yang jernih berbisik lembut, membawa pergi segala resah yang tidak terungkap. Di langit, kawanan burung berpapasan pulang ke sarang, sebuah perjalanan pulang yang mengundang rasa sayu, seolah mengingatkan bahawa setiap yang pergi, pasti akan kembali. 

Dalam kayuhan yang sederhana itu, hadir satu perasaan yang sukar digambarkan, damai, namun terselit sendu. Damai kerana diberi kesempatan menikmati keindahan ciptaan-Nya, dan sendu kerana menyedari betapa lama jiwa ini terlalai dari menghargai saat-saat begini. 

Petang semakin redup. Kayuhan kami semakin perlahan. Namun di dalam hati, terasa sesuatu telah kembali hidup, sesuatu yang lama hilang, kini kembali berdenyut dengan lembut. 

Mungkin.. inilah bahagia yang sebenar

Sunday, 3 May 2026

Di Bawah Langit yang Tertangguh


Pagi itu niat sudah terpasang rapi, kasut sukan menunggu di sisi pintu, langkah seakan sudah terasa di atas trek. Namun langit punya cerita sendiri. Hujan turun tanpa isyarat simpati, lebatnya seolah-olah mahu menahan hasrat yang baru ingin bernyawa. 

Kadang-kadang begitulah.. yang dirancang manusia, terhenti seketika oleh kehendak-Nya. 

Petang menjelma, dan bersama cahaya yang sedikit redup, peluang itu datang kembali. Tanpa banyak bicara, langkah pun dimulakan. Trek yang mengelilingi tasik itu sekitar 1.5 kilometer, menjadi saksi kepada tekad yang tidak mahu lagi ditangguhkan. 

Satu pusingan.. dua.. tiga.. hingga cukup empat. 

Tidak lebih, tidak kurang, cukup untuk membuat dada berombak, cukup untuk menghadiahkan peluh yang jatuh berjejeran seperti butir-butir syukur yang tidak terucap. 


Hari itu bukan sekadar berjalan. Hoodie jaket sauna yang menyarung tubuh menjadi teman yang “menguji”, membakar diam-diam, mengajak peluh keluar tanpa malu. Baju yang dipakai terasa berat, seakan boleh diperah, tanda tubuh sedang bekerja, tanda usaha tidak sia-sia. 

Di hujung langkah, bukan sekadar penat yang dirasa. Ada kepuasan yang halus. Ada tenang yang tidak bising. 

Dan dalam hati, terbit satu doa kecil:

“Ya Allah, panjangkanlah sihat ini… agar tubuh ini masih mampu sujud dengan sempurna, masih kuat melangkah menuju usia 5 series nanti.” 

Esok, mungkin langkah ini akan beralih ke tempat lain. Trek yang berbeza, pemandangan yang baru. Tetapi semangatnya tetap sama, menjaga amanah tubuh yang dipinjamkan. 

Kerana kita sedar, sihat itu bukan sekadar nikmat, tetapi peluang untuk terus hidup dengan makna.

Friday, 1 May 2026

Pengembaraan Masa (Part 16): Bayangan Untuk 'Pulang'

foto hiasan ~ sumber

Baca di sini Part 15 

Petang itu, di dapur, aku duduk di bangku kecil, menanti seperti biasa. Mak Andak sibuk menggulai. Seroja sedang menghiris sayur, tapi tangannya seperti tidak fokus. 

Aku cuba menegur, “Seroja, terima kasih hari tu.. sapu tangan yang awak beri, saya bawa sampai ke balairung istana."

”Dia terhenti seketika, tapi tidak menoleh. “Baguslah.. kalau begitu, bolehlah simpan.. kenangan tu.” 

Nadanya lembut, tapi ada duri halus. 

“Kenangan tu.” 

Aku terdiam. Malam itu, aku duduk di anjung, memandang langit. Seribu bintang di atas kepala, tapi hatiku kosong. 

"Apakah Seroja fikir aku akan berubah? Bahawa aku akan melupakan rumah ini? Bahawa aku akan memilih istana dan kekayaan lalu melupakan.. dia?" 

Hati kecilku luka. 

Aku mula merasakan satu konflik yang jauh lebih sukar dari menghadap Sultan atau bertemu Hang Tuah. 

Konflik hati antara kasih yang tumbuh.. dan tanggungjawab terhadap sejarah yang makin mengheretku jauh. 

Keesokan harinya, Pak Andak bersuara semasa di pondok rehat: “Perempuan bila diam.. bukan tak ada rasa. Tapi dia takut kecewa.." 

Aku pandang wajah tua itu. Ada senyum di bibirnya, tapi matanya menusuk ke dalam. 

“Kau dah jadi orang istana sekarang. Tapi jangan lupa.. rumah asalmu, bukan pada bumbung, tapi pada siapa yang menunggu kau pulang.” 

Aku cuba menjawab, tapi lidahku kelu. 

Aku berdiri bisu. Hanya daun padi yang berbisik bersamaku di permatang petang itu. 

Bagaimana mahu aku jelaskan.. bahawa dunia aku penuh cahaya lampu, bukan pelita.. penuh kereta, bukan kerbau.. penuh suara telefon, bukan seruling petang. 

Bahawa aku hadir dari satu zaman.. yang tidak mampu kau bayang pun dalam mimpimu. Dan dalam diam, aku hanya mampu menunduk dan berkata dalam hati: “Maafkan aku, Seroja, aku mencintaimu.. tapi aku bukan dari dunia yang sama. 

Surat Yang Tak Pernah Dikirim

Malam itu aku menulis di helaian daun lontar, sekadar meluah hati.. 

"Aku cinta pada gadis yang tak mungkin kumiliki.. kerana masa adalah tembok yang tak kelihatan. Aku hidup dalam zamannya, tapi bukan dari dunianya. Dan dia.. tak akan tahu siapa aku yang sebenarnya. 

Seroja.. Kau tidak faham.. dan kau tidak akan faham.. gejolak jiwaku. Aku pandang langkahmu dari belakang.. laju, seperti kau mahu lari dari aku.. atau dari rasa sendiri." 

Seroja, andai satu hari nanti aku hilang, jangan bencikan aku. Aku bukan pergi kerana sombong, tapi kerana waktu menolak aku kembali ke tempat asalku. 

Dan jika ada yang bertanya siapa aku, katakan saja, Dia lelaki yang datang seperti angin, tapi hatinya pernah menetap di sini.

Seri Seroja, Namamu akan kekal dalam sejarah kecil hatiku. Selamanya." 

-Lelaki dari masa depan, yang terlalu cintakan masa silam. 

Bersambung Part 17..

Monday, 27 April 2026

Pengembaraan Masa (Part 15): Kembali Ke Lumpur Sawah

foto hiasan ~ sumber

Baca di sini Part 14 

Sudah dua hari aku kembali dari istana. 

Segala kurnia daripada baginda Sultan - dua persalinan indah, wang emas yang berkilau, dan sebilah keris bersarung gading, aku simpan rapi dalam kotak rotan di sudut bilik. Tersusun kemas, seolah-olah bukan milik seorang yang hidupnya berbau lumpur sawah. 

Pagi-pagi berikutnya, aku kembali kepada diriku yang sebenar. 

Seluar lusuh kembali kusarung. Lengan baju kusingsing tinggi. Kaki kembali memijak bendang yang lembut, berlumpur, dan jujur. Aku membantu Pak Andak seperti biasa. Menanam, mencabut, mengikat. Seperti tiada apa yang pernah berubah. 

Namun, ada sesuatu dalam diriku yang tidak lagi sama. 

Hidupku mungkin telah kembali ke asal, tetapi jiwaku, masih tertinggal di antara dua dunia. 

Pagi itu.. 

Suatu pagi yang dingin, saat embun masih belum benar-benar hilang dari hujung daun padi, aku menghampiri pangkin di hadapan rumah. Pak Andak di situ, seperti biasa bersandar santai, memegang cawan kopi yang masih berasap. 

Tanpa banyak kata, aku letakkan persalinan istana dan uncang kecil berisi wang emas di sisinya. Dia memandang lama, kemudian beralih kepada aku. 

“Ini.. kenapa diletakkan di sini?” suaranya perlahan, berbaur hairan. 

Aku duduk di hujung pangkin. Senyumku kecil, tapi sarat dengan keputusan yang sudah lama berakar dalam hati. 

“Pak Andak simpanlah. Saya.. tak perlukan semua ini.” 

Keningnya berkerut. “Ini kurnia istana.. ini milik kamu, bukan milik Pak Andak.” 

Aku menarik nafas perlahan. Angin pagi menyapa wajah, membawa sekali bau tanah basah yang entah kenapa terasa begitu menenangkan. 

“Saya cuma mahu tinggal di sini, Pak Andak..” suaraku semakin lembut. 

“Di sawah ini.. di rumah ini.. di antara suara pasar pagi, dan gelak tawa Busu.” 

Aku memandang jauh ke bendang. 

“Semua itu.. lebih mahal daripada emas yang ada dalam uncang itu.” 

Pak Andak tidak terus menjawab. 

Dia hanya mengangguk perlahan, seolah-olah setiap kata yang keluar dariku jatuh tepat ke dalam hatinya. Tangannya yang kasar menggenggam uncang itu seketika, kemudian dilepaskan kembali. 

Matanya berkaca. 

Dan dalam diam itu, aku tahu dia faham. 

Kadang-kadang, kita tidak perlu memiliki segalanya untuk merasa cukup. Kerana ada tempat-tempat sederhana, yang diam-diam.. menjadi istana sebenar dalam jiwa kita.

Bersambung Part 16.. 

Wednesday, 22 April 2026

Kenangan Masih Basah: Desaku Yang Dulu


Masih jelas di mata hatiku, desaku yang dahulu. Tempat aku mula mengenal dunia tanpa keliru, tempat aku mula belajar erti bahagia yang paling tulus. 

Di situ, rumah-rumah kayu bertiang tinggi berdiri anggun di pinggir semak menerung. Dindingnya mungkin sudah senget ditelan usia, tapi di dalamnya penuh cinta dan tawa. Atapnya dari zink atau nipah tua, berdenting lunak kala hujan mencurah dari langit desa. 

Jalan di hadapan rumah belum bertar, belum dicat warna moden. Hanya tanah merah dan batu-batu kecil, yang licin kala hujan, berdebu kala kemarau, namun itulah laluan kita bermain tanpa resah, berkaki ayam, berbasikal cabuk, mengejar senja dan layang-layang yang tersangkut di pucuk ara. 

Sesekali kenderaan menderu, itu pun menjadi hal yang luar biasa. Anak-anak akan berhenti bermain, menjeling dengan penuh takjub, seolah-olah mendengar bunyi kereta adalah cerita dari kota kayangan. 

Desaku yang dahulu, warnanya tidak berubah, masih kehijauan bendang, masih kebiruan langit petang, masih keemasan cahaya mentari yang melimpah di atas daun kelapa. 

Di sana, manusia hidup sebagai satu keluarga. Ikatan hati kuat ibarat akar pepohon tua. Anak aku.. anak kamu, boleh ditegur, boleh dipimpin, boleh ditepuk tangan tanpa benci. Tiada dinding hati yang tinggi. Yang ada hanya kasih yang bersambung dari pintu ke pintu. 

Desaku yang dahulu, damai seperti pagi Aidilfitri, tenang seperti alunan tasbih di surau tua, harmoni seperti orkestra alam. Cengkerik bersahut, burung tukang memanggil, dan kokokan ayam jantan menjemput fajar. 

Kini semuanya tinggal kenangan. Desa itu perlahan-lahan berganti wajah, rumah kayu hilang diganti konkrit bisu, jalan diturap aspal tapi kehilangan suara kanak-kanak, semak menerung ditebas, dan ikatan hati.. kian longgar, kian sepi. 

Tapi dalam hati ini.. desa itu masih hidup, masih segar. Ia wujud di ruang rindu, tempat aku selalu pulang walau hanya dalam mimpi. Desaku yang dahulu tidak pernah mati. Ia hidup dalam setiap denyut nadi ingatanku.

Friday, 17 April 2026

Lumpur, Sabar dan Sebuah Rindu Bernama Aceh

Tiba-tiba hati berputik rindu.. rindu pada tanah Aceh. Bumi yang pernah aku jejak suatu ketika dahulu, saat ia diuji dengan banjir bandang yang merobek tenangnya kehidupan. Entah mengapa, rasa itu datang tanpa diundang, diam-diam menyelinap, lalu menetap. 

Masih segar di ruang mata, hari-hari awal di sana. Kami berteduh di sebuah masjid yang bukan sekadar tempat ibadah, tetapi menjadi rumah, tempat berlindung, tempat menguatkan hati. 

Namun masjid itu.. sangat tidak sempurna. 

Silingnya telah roboh, seakan langitnya runtuh sekali bersama ujian yang menimpa. Di bahagian luar, jubin-jubin pecah berselerakan, tenggelam dalam lumpur setinggi lima kaki, pekat, berat, dan melelahkan. Manakala di dalam masjid, lumpur setinggi tiga kaki memenuhi ruang, menenggelamkan sejadah, memadam kesan sujud yang pernah hidup di situ. 

Tanpa bekalan air bersih, tanpa tenaga elektrik, hanya bergantung pada kudrat dan sabar yang berbaki. 

Hari demi hari, kami berusaha. 

Membersihkan selut dan sampah yang hanyut entah dari mana. Kayu, kain, sisa kehidupan yang dulunya milik seseorang, kini menjadi beban yang harus kami angkat satu persatu. Setiap cebisan yang disingkirkan, terasa seperti mengangkat sedikit demi sedikit luka yang ditinggalkan bencana itu. 

Dari kosong, kami hidupkan kembali harapan, mengusahakan generator, menggali dan membina telaga tiub. Sedikit demi sedikit, kesusahan itu mula terubat, walau tidak sepenuhnya. Namun ujian tetap datang tanpa jemu. 

Ada rakan-rakan yang terkena cirit-birit akibat menggunakan air yang tidak benar-benar bersih. Air yang keruh, yang kami terpaksa gunakan kerana tiada pilihan. Dalam serba kekurangan, kesihatan pun menjadi taruhan. 

Makan pun bercatu, apa yang ada dikongsi bersama. Siang hari ditemani terik dan lalat yang tidak pernah jemu mengerumuni, seolah-olah turut menjadi saksi perjuangan kami. Malam pula, sunyi yang tidak pernah benar-benar sunyi.. ditemani nyamuk yang menggigit tanpa belas, meninggalkan bintat-bintat kecil sebagai kenangan pada tubuh. 

Perit, ya, memang perit untuk dilalui. Namun anehnya, setiap detik itu kini terasa manis untuk dikenang. 

Dalam diam, aku menyimpan satu hasrat, untuk kembali semula ke sana. Bertemu wajah-wajah yang pernah aku santuni, yang pernah berkongsi susah dan senang tanpa banyak bicara. 

Aku jatuh cinta pada warganya yang sederhana tetapi kaya dengan jiwa. Yang diuji dengan kehilangan, namun tetap mampu menghadiahkan senyuman. Yang hidup dalam serba kekurangan, tetapi tidak pernah lokek dengan kasih dan kemanusiaan. 

Aceh, kau bukan sekadar tempat yang pernah aku singgahi. Kau telah menjadi sebahagian daripada cerita hidupku yang setiap kali dikenang, menghadirkan rasa syukur, dan sedikit sayu yang mendewasakan.

Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan teladan(jika ada). Mohon maaf sekiranya timbul salah tafsir di pihak pembaca.

Wednesday, 15 April 2026

Pengembaraan Masa (Part 14): Sentuhan Laksamana

foto hiasan ~ sumber

Baca di sini Part 13 

Istiadat itu berlangsung dengan megah, penuh adab dan kehalusan istana. Selesai persembahan oleh anak-anak istana, Paduka Sultan berdiri lalu memerintahkan pemberian anugerah. 

“Sebagai tanda penghargaan beta.. diberi kepada anak muda ini beberapa persalinan, wang emas, wangi-wangian dari Tanah Arab, dan..” 

Baginda memandang ke arah seorang pembesar yang segera menghulurkan sesuatu. 

“..sebilah keris berhulu dan bersarung gading, warisan kecil dari simpanan istana. Moga menjadi pelindung dan penyambung keberanianmu.” 

Aku menunduk dalam-dalam. Rasa syukur dan gementar bertaut dalam dada. 

Selesai segalanya, aku melangkah keluar dari balairung, diiringi dua pengawal. Angin petang menyapu lembut wajahku, seakan menyambut aku kembali ke dunia nyata. 

Tapi belum sempat aku melepasi anjung istana.. bahuku disentuh dari belakang. 

Aku berpaling, dan hampir tidak percaya dengan apa yang kulihat. 

Datuk Laksamana Hang Tuah sendiri berdiri di belakangku, diiringi oleh empat sahabat setianya: Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi. Bersama mereka, Datuk Bendahara Tun Perak turut berdiri, senyum tenang di bibir. 

“Anak muda..” suara Hang Tuah dalam dan bersahaja. 

Aku segera tunduk hormat, mulut terasa kelu. 

“Tuanku..” hanya itu yang sempat keluar dari bibirku. 

Laksamana Hang Tuah tertawa kecil. “Bukan tuanku. Aku bukan raja. Aku.. cuma perwira yang setia.” 

Tun Perak menyambung, “Kami tertarik akan gerak langkahmu. Dan asalmu’’ dari Bentan, katanya?” 

Aku mengangguk. “Benar, Datuk.” 

Hang Tuah memandangku lama. Wajahnya tidak garang, tapi tajam dan tajamnya berisi hikmah. 

“Kau tahu, Bentan itu dekat di hati kami. Ada sejarah panjang di sana, dan banyak yang tersembunyi dari mata dunia. Tidak hairan jika dari situ juga lahir orang muda yang luar biasa.” 

Aku menelan air liur. Tak tahu bagaimana mahu membalas pujian dari wira agung bangsa. 

Tiba-tiba, Hang Tuah berkata: “Datanglah ke rumahku, malam Jumaat yang dekat ini jika sudi. Aku mahu mengenalimu lebih dekat. Apatah lagi.. bila hati kecilku seperti berkata, kau ini bukan sekadar pengembara biasa.” 

Mataku membulat. Jantungku berdegup lebih laju. 

“Apa maksudnya? Adakah dia tahu? Atau sekadar firasat seorang laksamana yang hatinya celik?” 

Tapi aku hanya mengangguk perlahan. “Hamba.. sangat berbesar hati menerima undangan itu.” 

Hang Tuah tersenyum. “Bagus. Dan jangan gusar.. aku bukan pencari aib. Aku hanya mencari kebenaran.” 

Tun Perak menyambung, “Dan kita perlukan orang muda seperti kamu yang membawa pandangan luar dari biasa.” 

Mereka berlalu perlahan, meninggalkan aku yang masih berdiri kaku di tangga istana, memegang anugerah diraja, dan sebuah undangan yang mungkin akan mengubah takdir. 

Bersambung Part 15.. 

Saturday, 11 April 2026

Pengembaraan Masa (Part 13): Langkah ke Istana, Bayang ke Takdir

foto hiasan ~ sumber

Baca di sini part 12 

Langit cerah dan sang mentari hampir tegak segalah, menyapu awan dengan warna cerah yang terang. Aku menunggang di belakang utusan istana, diapit dua pengiring berkuda. Kali ini tanpa Pak Andak, Mak Andak, Seri Seroja mahupun Alang. Mereka hanya mampu menghantar pandangan dari kaki laman. 

Pakaian yang aku sarung, hadiah tak terduga daripada Alang, beralun lembut dalam bayu lembut. Tak pernah aku rasa segagah ini. Tapi jauh di dalam hati, ada satu rasa gentar yang belum pernah aku kenal. 

Aku kini sendirian. 

Kuda melaju tenang di jalan tanah merah. Berdetak-detak tapak ladam memukul laluan.  Pohon-pohon tua di kiri kanan menggoyangkan daun, seolah-olah turut berbisik: "Kau menuju ke mana, anak zaman lain?" 

Gementar? Ya. 

Takut? Juga ya. 

Bukan kerana Sultan itu menakutkan, tetapi kerana aku tak tahu siapa aku di mata mereka. 

Dan dalam sepi itu, fikiranku ligat berputar. “Bagaimana kalau Sultan bertanya.. dari mana aku datang?” 

Jawapan sebenar itu mustahil. Mana mungkin aku menjawab: “Patik dari abad ke -21, tuanku. Di mana manusia hidup bersama mesin dan cahaya di dalam kotak kecil. Patik sampai ke sini melalui satu putaran masa yang tak dapat dijelaskan.” 

Nescaya aku dianggap gila.. atau lebih teruk, pengintip dari negeri asing. 

Aku menggenggam hujung kain persalinan pinjaman Alang, dan saat itulah satu ilham menyelinap masuk. 

“Patik berasal dari Pulau Bentan, Tuanku. Patik dengar, negeri Melaka sangat masyhur, aman damai dan kaya raya serta rajanya yang adil dan bijaksana. Maka patik datang untuk melihat sendiri kemasyhurannya.” 

Ya. Itulah jawapan yang akan aku berikan. Terpaksa berbohong.. demi kesejahteraan orang kampung yang sudah menerima aku, dan demi kelangsungan diriku sendiri. 

Sesampainya di kota Melaka, jantungku semakin kencang. Kota ini, tidak seperti yang pernah aku bayangkan. Ia hidup, bernafas dengan suara tukang besi, pekik budak kecil yang bermain gasing dicelah lorong batu, serta para saudagar berbahasa pelbagai. Bau rempah dan asap dupa memenuhi udara. Bendera negeri berkibar di menara batu tinggi.

Di hadapan istana, pintu gerbang megah terbuka. Pengawal bersenjata memberi laluan. 

Aku melangkah masuk. 

Langkah-langkahku berbunyi perlahan atas lantai kayu cengal. Di kiri dan kanan, para bangsawan, hulubalang dan pembesar memerhati. Aku tahu, mereka bertanya dalam hati: "Siapakah anak muda yang tidak dikenal ini?" 

Balairung istana terbentang luas, dihiasi langsir kuning diraja dan tiang-tiang kayu berukir halus. Di hujung balai, duduknya Paduka Sultan Mansur Shah, gagah, berwibawa, tapi tenang wajahnya. 

Aku sembah hormat, seperti yang pak Andak ajarkan. Tapi hatiku seakan berdetik laju.. antara kenyataan dan mimpi.

“Bangunlah, anak muda,” titah baginda, suara bagai ombak yang tenang tapi berkuasa. 

Dengan lutut menggigil, aku mengangkat kepala perlahan. Dan buat seketika, mata kami bertemu.

 "Beta telah dengar cerita tentangmu. Keberanianmu di pasar tempohari bukan sekadar menyelamat Penghulu Bendahari, tapi menyelamatkan maruah negeri."

Baginda diam sejenak. Lalu bangun berdiri. 

“Siapa geranganmu? Dari mana asal usulmu?” soal baginda, tepat seperti yang aku jangka. 

Inilah masanya. 

Aku tunduk sedikit dan menjawab perlahan: “Ampun tuanku, patik berasal dari Pulau Bentan, tuanku.. 

Patik dengar negeri Melaka ini sangat masyhur, aman damai dan kaya raya serta rajanya yang adil dan bijaksana. Maka patik datang untuk melihat sendiri kemasyhuran dan kemakmurannya. Ternyata memang benarlah cakap-cakap yang patik dengar itu tuanku” 

Baginda tersenyum. “Pulau Bentan.. tempat yang tak asing bagi beta. Ramai pedagang dan perantau datang dari sana.” 

Aku menarik nafas perlahan. Syukur. Jawapan itu diterima. 

Degupan jantungku bertukar rentak. Tidak seperti mula-mula tadi. 

Mataku menjelajah balairung. Suasananya terlalu gah, melebihi apa yang pernah aku lihat di muzium atau pembacaan hikayat. 

Tiang-tiang kayu cengal sebesar pelukan lelaki dewasa, dihias ukiran awan larat dan bunga pecah lapan, termasuk juga ukiran pucuk rebung. Langit-langit berwarna emas disulam dengan manik berkilau. Di dinding tergantung senjata pusaka — lembing bermata dua, tombak perak, keris-keris berlok tujuh dan sembilan. Langkah para dayang seperti irama, dan suara gamelan halus-halus mengisi ruang. 

Aku terkesima. 

Ini bukan set drama, bukan rekonstruksi sejarah. Ini dunia sebenar.. ini Melaka abad ke-15. 

foto hiasan: sumber tourism melaka official

 Bertemu Laksamana 

Tiba-tiba, dari belakang balairung, aku terdengar bunyi langkah yang berirama dan penuh wibawa. 

Lima sosok lelaki melangkah masuk. 

Seorang di hadapan, tubuhnya tegap, tinggi, pakaian perwira biru gelap bersulam benang perak. Di pinggangnya tergantung sebilah keris panjang, sarungnya bertatah batu. Empat yang lain mengekor, juga berpakaian pendekar. 

Sosok itu berjalan terlalu kemas. 

Langkahnya bergaya, karismanya seperti mengisi ruang. 

Tapi raut wajahnya tidak sombong. Tenang. Bijaksana. 

Dan yang lebih menggetarkan, semua hadirin, pembesar, hulubalang, dayang, malah para pengawal menunduk hormat saat dia melintasi. 

Hatiku bergetar. 

"Siapa gerangan insan ini..?" getusku dalam hati. 

Sebaik sampai di hadapan Sultan Mansur Shah, dia menyembah dengan tenang dan rendah diri. 

Dan saat itu, baginda bersuara: 

“Silakan, Datuk Laksamana Hang Tuah.. apakah perkhabaran hari ini?”

Jantungku berhenti seketika. 

Nama itu.. Hang Tuah?! 

Datuk Laksamana Hang Tuah?! 

Tubuhku kaku. Nafasku terasa hilang sejenak. 

Aku berdiri di dalam balairung, hanya beberapa langkah dari sosok yang selama ini hanya hidup dalam buku sejarah dan hikayat lama. 

Dialah.. yang disebut sebagai wira agung, penjunjung maruah bangsa, lambang kesetiaan yang tak tergoyah. Dialah.. Hang Tuah! 

Aku hampir tak percaya. 

Ingin rasanya aku mendekat, menyapa, bertanya, "Benarkah tuan wira Hang Tuah? Benarkah aku benar-benar melihatmu, bukan sekadar mimpi atau bayang sejarah..?" 

Tapi aku kekal diam. Kerana di hadapan Sultan, dan di tengah sejarah yang sedang berdetak hidup, aku hanyalah seorang anak dari masa depan yang tidak seharusnya terlalu menonjol. 

Namun satu yang aku tahu, detik itu akan tertulis di dalam ingatan aku selamanya. 

Bersambung Part 14.. 

Wednesday, 8 April 2026

Hari ini

"Genap 47 tahun ayahanda berkelana di alam abadi… rindu ini tidak pernah pudar, hanya diam berteduh dalam doa yang tak pernah putus..." 

Ayahanda, Bicara ini sentiasa dengan kalimah redha-Nya. Setiap yang ditaqdirkan pasti ada hikmah kebaikan. Namun, tidak mampu anakanda sembunyikan rindu yang terbenam. Mudah-mudahan dapat jua wajah ayahanda ditatapi depan mata, di akhirat nanti dengan izin-Nya... 

Ayahanda, Sejahtera buatmu di kelana alam barzakh. Moga doa yang dititipkan menemanimu di sana. Daripada anak-anak yang mengasihimu... 

Sunday, 22 March 2026

Salam Aidil Fitri 1447H

Ramadhan telah pun melabuhkan tirainya. Berlalu meninggalkan kita semua tanpa menoleh ke belakang dan akan kembali lagi pada tahun seterusnya dengan izin-Nya. Namun yang pastinya apakah kita masih diberi peluang untuk mendakap Ramadhan yang akan datang? Allah jua yang mengetahui. 

Tibanya hari raya yang mulia yang disyariatkan untuk kita menyambutnya. 

Justeru, dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua sahabat khususnya pengunjung pondok kecil abuikhwan yang sangat saya muliakan. Dengan hamparan setulus hati, saya memohon ampun dan maaf andai ada gurisan hati disebabkan perbuatan, perkataan maupun tulisan. 

Akhir kalam, Eid Mubarak Minal Aidil Wal Faizin Taqabbal Allahu Minna Wa Minkum solehul a`mal, Minna Wa Minkum Taqabbal Ya Karim. Kullu 'am wa antum bi Alf al-Khair... 

Sunday, 8 March 2026

Jangan kita sia-siakan peluang..

foto hiasan ~ sumber

Hari-hari di dalam Ramadan berlalu dengan begitu diam. Tidak berbunyi, tidak juga terasa derap langkahnya. Tiba-tiba sahaja kita tersedar.. hari ini Ramadan telah pun memasuki hari yang ke-18. 

Seakan baru semalam kita menyambut kedatangannya dengan rasa syukur dan harapan. Namun masa tidak pernah berhenti. Ia terus berjalan, membawa bersama hari-hari yang semakin berkurang daripada bulan yang penuh keberkatan ini. 

Mudah-mudahan Allah SWT masih memanjangkan usia kita untuk meniti baki Ramadan yang masih tersisa. Mudah-mudahan setiap amal yang kecil, setiap doa yang kita titipkan di hujung malam, setiap istighfar yang terbit dari hati yang penuh kekurangan, diterima oleh-Nya sebagai bekalan yang berharga. 

Namun di celah-celah keheningan Ramadan ini, hati kadangkala tersentuh mengenang mereka yang telah pergi lebih dahulu. 

Ada yang meninggalkan dunia ini sebelum sempat menyapa Ramadan kali ini. Ada juga yang melalui Ramadan yang lalu tanpa pernah menyangka bahawa itulah Ramadan terakhir dalam hidup mereka. 

Tahun lalu mereka masih bersama kita, duduk di saf yang sama ketika tarawih, berbuka di meja yang sama, atau sekadar bertanya khabar di penghujung petang. 

Hari ini, mereka sudah berada di alam yang berbeza. 

Hanya doa yang mampu kita kirimkan. Mudah-mudahan Allah SWT melimpahkan rahmat dan keampunan-Nya kepada mereka, melapangkan kubur mereka, dan menempatkan mereka dalam reda serta kasih sayang-Nya. 

Dan kita yang masih diberi kesempatan ini.. perlahan-lahan bertanya kepada diri sendiri. 

Bagaimana dengan kita? 

Siapa yang dapat memastikan bahawa kita akan sempat sampai ke penghujung Ramadan ini? Siapa juga yang mampu menjamin bahawa Ramadan tahun hadapan masih menjadi milik kita? 

Mungkin Ramadan kali ini adalah yang terakhir buat kita.. tanpa kita sedari. 

Atau mungkin juga kita tidak sempat menghabiskannya, kerana ajal terlebih dahulu menjemput sebelum bulan yang mulia ini melabuhkan tirainya. 

Sebab itu, selagi nafas masih di dada.. selagi malam-malam Ramadan masih terbentang.. selagi pintu rahmat dan keampunan masih terbuka.. 

Jangan kita sia-siakan peluang yang sedang Allah hamparkan ini. 

Kerana mungkin.. di antara Ramadan yang pernah kita lalui sepanjang hidup ini, inilah yang terakhir.

Friday, 27 February 2026

Tubuh Yang Tewas, Jiwa Yang Terjaga

05 Ramadan 1447H - Melepek. Bukan melepak.

Hari ini aku melepek di perbaringan. Demam urat, batuk dan selsema datang menziarah tanpa jemputan. 

Kebelakangan ini, setiap kali pulang dari misi seberang laut, beginilah jadinya. Tubuh ini seperti menuntut haknya. Seakan berkata, “Aku bukan lagi seperti dahulu.” Akur. Usia tidak pernah menipu. Kudrat tidak lagi sama seumpama dulu. 

Namun dalam lemah itu, ada satu rasa yang tidak pernah lemah, iaitu rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk berkhidmat. 

Aku sedar, misi kemanusiaan bukan tentang menjadi kuat sepanjang masa. Ia tentang memberi walau dalam keterbatasan. Tentang hadir walau diri sendiri belum sempurna. Dan mungkin inilah pelajaran terbesar Ramadan kali ini, bahawa kekuatan sebenar bukan pada tubuh yang tidak pernah sakit, tetapi pada hati yang tidak pernah jemu untuk peduli. 

'Masjid Desa Pante Beureune, di Kecamatan Meurah Dua, Kabupaten Pidie Jaya yang dijadikan posko agihan sembako dan uang tunai kepada setiap keluarga. Puing-puing banjir masih kelihatan' 

Jika suatu hari nanti kaki ini tidak lagi mampu melangkah jauh, biarlah doa tetap mampu terbang lebih jauh daripada pesawat yang pernah aku naiki. Kerana akhirnya, yang kekal bukan perjalanan, bukan pujian, bukan gambar-gambar yang sempat dirakam, tetapi kesan kecil yang kita tinggalkan dalam hidup orang lain. 

Dan andai tubuh ini semakin menua, biarlah jiwa terus muda dalam berbuat baik.. 

Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan pengajaran(jika ada). Mohon maaf sekiranya timbul salah tafsir di pihak pembaca.

Tuesday, 24 February 2026

Pulang Dengan Jiwa Yang Tidak Lagi Sama

04 Ramadan 1447H

Alhamdulillah. Kaki ini akhirnya menjejak kembali bumi 'Malaya' yang bertuah. Menamatkan musafir ke tanah jiran serumpun. 

Bermula di Aceh Tamiang, kemudian pulang seketika melepas rindu pada keluarga, kemudian terbang kembali menyambung tugas di Aceh, tetapi lokasinya di Pidie Jaya pula. Ia bukan perjalanan yang dekat. Bukan juga perjalanan yang ringan. Ia jauh dari segi jarak, dan lebih jauh lagi dari segi rasa. 

'Sebuah rumah yang telah dibuang lumpur sekelilingnya, tetapi tatkala hujan ia digenangi air pula. Lihat paras lumpur pada dindingnya'

Aku sempat menyambut Ramadan beberapa hari di bumi Aceh. Berpuasa di tanah yang baru saja diuji. Berbuka dengan wajah-wajah yang masih menyimpan luka. Ada perbedaan budaya yang aku raikan iaitu cara mereka menyambut Ramadan, berterawih dan sebagainya. Namun di sebalik semua perbezaan itu, satu perkara terasa sama: iman yang bertahan walau dunia runtuh seketika. 

Ramadan di sana mengajarku sesuatu, bahawa lapar itu bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi memahami perut-perut yang kosong bukan kerana pilihan, tetapi kerana keadaan. 

'Seorang bocah dihadapan rumahnya. Perhatikan lumpur yang hampir mencecah bumbung dan sudah pun mengeras'

Berbagai pengalaman terpahat di hati. Bau lumpur yang masih teringat, suara kanak-kanak yang tetap ketawa walau rumahnya hilang, wajah-wajah tua yang tidak pernah berhenti mengucap “Alhamdulillah”. Semua itu tidak akan hilang. Ia sudah menjadi sebahagian daripada aku.