Baca di sini Part 19
Petang itu, aku dan Pak Andak duduk di atas pangkin, di bawah rendang pohon jambu air.
Angin petang bertiup perlahan, membawa haruman tanah desa yang masih menyimpan bahang matahari. Sesekali daun-daun jambu air berdesir, seperti berbisik sesama sendiri.
Aku menarik nafas dalam-dalam, membiarkan dada terasa lapang. Tenang. Sebelum meneruskan bicara.
Di situlah aku ceritakan semuanya kepada Pak Andak, tentang perjalanan yang bakal ditempuh, tentang Samudera-Pasai seperti yang pernah aku baca dalam buku sejarah di zamanku, dan tentang keberangkatanku pada esok pagi.
Pak Andak mendengar tanpa banyak mencelah. Sesekali dia mengangguk, sesekali pandangannya dilemparkan jauh ke batas sawah.
Seri Seroja pula tidak kelihatan sejak pagi.
Seharian dia lebih banyak di dapur. Sesekali masuk ke bilik, kemudian keluar semula tanpa tujuan yang jelas. Wajahnya juga tidak seperti selalu.
Ada sesuatu yang sedang bergelut di dalam dirinya. Resah yang cuba disembunyikan di sebalik diam.
Sedang aku berbicara dengan Pak Andak, tiba-tiba Busu muncul dari belakang rumah.
Di tangannya ada sebilah keris kecil yang diperbuat daripada seludang kelapa. Dirisip halus, namun cukup kemas untuk membuatkan aku tersenyum.
Aku menghulurkan tangan, membelek keris tersebut.
“Cantik keris ni. Busu buat sendiri?”
Busu mengangguk. Wajahnya berseri-seri menahan bangga.
“Busu buat pagi tadi.”
“Wah.. pandai Busu.” ujarku memuji.
Busu tersenyum lebar. Kemudian dia memandangku agak lama sebelum bertanya,
“Abang Zahran akan berlayar esok?”
Aku mengangguk perlahan.
“Pergi jauh?”
“Jauh juga.”
“Lama?”
Aku terdiam seketika.
“Entahlah, Busu. Mungkin beberapa minggu. Mungkin lebih lama daripada itu.”
Senyuman di wajah Busu perlahan-lahan hilang.
Dia menundukkan kepala. Jarinya mengusap bilah keris seludang kelapa itu berkali-kali, sebelum akhirnya dia bersuara.
“Kalau begitu..”
Dia berhenti.
Aku menunggu.
“Jangan lupa pulang, abang.”
Entah mengapa, kata-kata yang begitu pendek itu terasa berat di dadaku.
Aku tersenyum lalu menepuk lembut bahunya.
“Insya-Allah, Busu. Abang akan usahakan untuk pulang.”
Busu mengangguk.
Kemudian dia memeluk keris kecil itu ke dadanya, seolah-olah ada sesuatu yang mahu dikatakannya lagi, tetapi tidak jadi.
Dia berlari masuk ke dalam rumah.
Aku hanya memandangnya pergi.
Dan buat pertama kalinya petang itu, aku terasa beratnya sebuah keberangkatan.
Malam yang Diam
Malam itu bulan bundar tergantung rendah, seperti sedang memerhati apa yang bakal tertulis dalam kitab takdir manusia.
Di beranda rumah Pak Andak, kami duduk berlingkar - aku, Pak Andak Musa, Mak Andak Rukiah dan Seri Seroja.
Busu, si kecil itu, sudah lama terlena di pangkuan ibunya.
Pelita minyak bergoyang-goyang ditiup angin. Cahayanya yang kekuningan jatuh samar pada wajah kami, kadang-kadang terang, kadang-kadang tenggelam dalam bayang.
Dari kejauhan, kedengaran bunyi kentung dipalu, sayup-sayup dari arah surau kampung, tanda malam semakin dewasa.
Kami berbual-bual kecil.
Hal kampung. Hal sawah. Hal harga beras dan lauk di pasar. Seolah-olah tiada apa-apa yang luar biasa akan berlaku esok.
“Datuk Hang Tuah tu nampak garang ke tidak?” tanya Mak Andak sambil membetulkan lipatan kain di lututnya.
Aku tersenyum.
“Taklah garang sangat.”
Mak Andak mengangkat kening.
“Tak garang?”
Aku menggeleng.
“Cuma.. bila dia pandang, rasa macam tak ada tempat nak sorok diri.”
Pak Andak tergelak kecil.
“Ha.. itu baru namanya pendekar.”
Aku turut ketawa.
Namun Seri Seroja hanya tersenyum nipis. Matanya tidak benar-benar bersama kami. Pandangan gadis itu jauh, seolah-olah hatinya sedang berjalan lebih laju daripada bibirnya.
Beberapa ketika kami diam.
Kemudian, tanpa memandangku, Seroja bertanya, “Samudera-Pasai tu.. jauh?”
Aku menoleh kepadanya. “Agak jauh.”
“Berapa lama?”
“Makan masa beberapa hari. Mungkin 4 hingga 5 hari jika keadaan angin bertiup dengan baik. Sekiranya angin perlahan atau laut tenang..”
Seroja mengangguk. “Kalau angin perlahan?”
“Boleh jadi 8 hari, boleh berlanjutan hingga 10 hari."
Dia kembali diam. Jarinya bermain-main dengan hujung kain. Aku memandang wajahnya, cuba membaca apa yang tersimpan di sebalik matanya.
“Kenapa tanya begitu?”
Seroja menggeleng perlahan.
“Tak ada apa-apa.” Jawapan itu terlalu cepat.
Aku hampir tersenyum.
Namun sebelum sempat berkata apa-apa, dia bertanya lagi. “Abang akan balik.. kan?”
Kali ini aku tidak terus menjawab.
Pandangan aku lontarkan ke arah halaman.
Bulan menyimbah cahaya pucat ke atas tanah. Pohon mengkudu bergoyang perlahan ditiup angin malam.
Soalan itu kecil. Namun gema yang ditinggalkannya begitu besar dalam dadaku.
Aku kembali memandangnya. “Kalau ada jalan untuk pulang..” kataku perlahan, “saya akan pulang.”
Seroja mengangkat wajah. Mata kami bertemu. Untuk beberapa saat, tiada siapa berkata apa-apa.
Mak Andak yang sejak tadi memerhati kami akhirnya bersuara kepada Pak Andak. “Bang.. marilah masuk. Sudah lewat.”
Pak Andak mengangguk.
Mak Andak bangun perlahan-lahan lalu mengangkat Busu ke dalam rumah. Pak Andak turut bangun. Sebelum melangkah masuk, dia sempat menepuk bahuku. “Tidurlah awal, Zahran. Esok panjang perjalananmu.”
Aku mengangguk. “Baik, Pak Andak.”
Seroja turut bangun. Dia berdiri beberapa langkah daripadaku, seperti mahu berkata sesuatu. Bibirnya bergerak sedikit. Namun tiada suara yang keluar. Akhirnya dia hanya menundukkan kepala lalu mengikut Pak Andak masuk ke dalam rumah.
Aku tinggal sendirian di beranda. Pelita masih menyala. Angin masih bertiup. Bunyi cengkerik dari semak-semak di halaman bersahut-sahutan, mengisi ruang malam yang semakin sunyi.
Aku memandang ke langit. Bulan masih di situ. Esok aku akan berangkat. Meninggalkan rumah ini.
Meninggalkan tanah yang telah mengajar aku tentang sebuah kehidupan yang tidak pernah aku kenali.
Dan mungkin.. tanpa aku sedari, aku juga akan meninggalkan sebahagian daripada hatiku di beranda rumah ini. Sesuatu yang mungkin tidak akan pernah dapat aku bawa pulang.
Selamanya.
Bersambung Part 21..
4 comments:
semakin suspens dan mendebarkan...
assalam ustaz moga afiat tiasa ..karya menarik ..sudah pnjg tu teruskan menulis hingga usai
Berdebar menanti detik pelayarannya...
Jaman kanak2 dulu suka baca buku cerita macam ni.
Post a Comment