Pesawat yang akan kami naiki dijadualkan berlepas jam 8.30 pagi. Semalam, kami menginap di pejabat HQ YAM di Labohan Dagang, ruang yang sederhana, tetapi penuh dengan niat yang besar. Lantai keras menjadi alas tidur, dan doa menjadi selimut yang paling hangat.
Seawal jam 6.00 pagi, kami sudah berada di KLIA. Langit masih kelabu, mata masih berat, namun hati sudah melangkah jauh meninggalkan tanah sendiri, menuju tanah orang yang sedang diuji. Harapannya satu, moga penerbangan ini tidak tertangguh, moga segala urusan dipermudahkan.
Kami tidak terus ke Aceh. Destinasi awal kami ialah Bandara Kualanamu, Medan. Dari situ, perjalanan darat menanti. Mungkin tiga hingga empat jam, mungkin lebih, bergantung kepada keadaan jalan dan takdir di sepanjang laluan.
Keputusan ini bukan tanpa sebab. Pada awal bencana, pemerintah Indonesia tidak membenarkan kemasukan bantuan daripada relawan luar (sekarang telah dibenarkan). Maka kami memilih jalan yang lebih sunyi, turun sebagai pelancong di Medan, kemudian menyambung ke Tamiang Aceh, menyimpan niat sebagai hamba. Bukan untuk menipu, tetapi untuk memastikan bantuan sampai. Kerana dalam keadaan darurat, yang lebih penting bukan siapa kita, tetapi apa yang kita bawa, dan kepada siapa ia ditujukan.
![]() |
| Bandara Kualanamu, telah menunggu kenderaan yang akan membawa kami ke Tamiang |
Sepanjang penerbangan, doa tidak putus dari bibir. Di antara dengungan enjin dan awan yang berarak perlahan, fikiran saya melayang ke Tamiang Aceh. Bagaimana keadaan mereka di sana? Apakah air sudah surut, atau masih mengurung rumah dan kenangan? Apakah anak-anak masih mampu tersenyum, atau senyum itu sudah lama hanyut bersama arus banjir?
Perjalanan ini bukan sekadar perpindahan jasad dari satu negara ke negara lain. Ia adalah perjalanan hati, dari selesa kepada peduli, dari tenang kepada tanggungjawab.
Dan saya tahu, di hujung jalan yang panjang ini, ada manusia yang sedang menunggu, bukan kami, tetapi harapan.
Bersambung Part 2..
Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan pengajaran(jika ada). Mohon maaf sekiranya timbul salah tafsir di pihak pembaca.


11 comments:
kak ana doakan perjalanan misi kemanusiaan ustaz dan team sentiasa di dalam redha Allah swt.. aamiin
Alhamdulillah, saya dan tim dah pun pulang dan diganti dengan tim seterusnya. entry ini ditulis setelah saya pulang
terima kasih kerana ada untuk mereka..Alhamdulillah
assalam ustaz afiat tiasa hendaknya alhamdulillah berkongsi pengalaman melaksana misi bantuan di Aceh...moga saudara2 di sana beransur lega kesusahannya
Subahanallah, misi Ustaz dan team sejuah ini. Semoga urusan lancar ya..dan tertarik baca Penafian..inshaAllah yang faham akan hargai dan sanjung misi ini..kita sentiasa positif..Terbaik..Kiranya Duta Misi Malaysia..
Alhamdulilah...ada yang membantu mereka. Saya suka post yang ini. Moga ramai lagi memberi bantuan. Pemerintah Indonesia pada mulanya bagi saya ego tapi rakyat mereka menderita kan. Bila tengok youtube terbit rasa simpati.
Baguslah dapat pergi salurkan bantuan. Moga merahmati saudara dan rakan-rakan.
Semoga dipermudahkan urusan ya Ustaz 🤲🏻
Keep on sharing, benda baik dan positif begini Ustaz. Tak dapat sumbang tenaga @ wang ringgit dapat juga kami kirimkan doa
Saya menangis baca ini ustad 😭😭😭😭. Saudara Jiran lebih peduli drpd pemerintah yg berkuasa skr terhadap musibah di Aceh dan Sumatera Utara 😭.
Saya kebetulan pernah tinggal lama di Aceh ustad, 20 tahun, di Lhokseumawe, Aceh Utara. Jadi saya punya banyak teman2 relawan yg skr ini ada di sana. Dan dari mereka saya tahu, kondisi Aceh blm beres hingga skr ini.
Tapi ntah kenapa, presiden selaku diberitahu oleh antek2nya, pasca bencana fine, semua terkendali dan Kata2 manis lain 😭.
Ntahlah, saya dah speechless dengan pemimpin negara saya. Sayapun memilih utk membantu teman2 yg berjuang di sana dari segi finansial.
Percuma saja kalau mengharapakan bantuan pemerintah 😔.
Alhamdulillah, moga dipermudahkan sepanjang berada di sana ustaz. Moga bantuan ini dpt sedikit sebanyak membantu saudara kita di Aceh
Semoga Allah permudahkan urusan.
Teruskan berkongsi pengalaman dan menyampaikan kisah mereka yang kurang bernasib baik berbanding kita. Banyak hal yang dapat dipelajari.
Post a Comment