![]() | ||
'Mendarat di Pulau Jeha (sebutan seperti meja)' |
Bot tiub yang kami naiki perlahan menghampiri Pulau Jeha, secebis daratan hijau yang timbul di tengah Sungai Pahang. Pulau ini sepi dan redup, seolah-olah sedang lena dalam mimpinya sendiri. Bot dilabuhkan rapat ke tebingnya yang landai, pasir kasar dan batu-batu kerikil merapat ke air.
Langkah pertama di pulau ini terasa seperti masuk ke dunia lain, sunyi, tapi tidak kosong. Burung berkicau bersahut-sahutan di rimbunan pohon. Angin di sini tidak bising, ia menyapa seperti seorang tua yang tahu menjaga rahsia.
![]() |
'Meninjau-ninjau di atas pulau' |
Aku berjalan perlahan di bawah bayang pohon ara dan rimbunan semak, sambil menguis dedaunan gugur yang berserak di lantai pulau. Ada kesan seperti pondok usang, tinggal rangka, mungkin bekas nelayan sungai, atau orang lama yang pernah menjadikan pulau ini tempat berteduh dari dunia.
Ada juga kesan tapak kaki kerbau yang banyak kedapatan. Di sini pemandangan biasa kawanan kerbau menyeberangi sungai Pahang. Dari seberang sana, kawanan melintas naik ke Pulau Jeha untuk meragut rumput, kemudian menyeberang ke seberang sini. Unik, mereka berenang
Aku duduk seketika di atas seketul batu, memandang ke arah sungai yang tenang mengalir, memeluk pulau kecil ini seperti memeluk anaknya sendiri. Terasa seperti Pulau Jeha sedang bernafas perlahan, dengan nafas yang mendalam dan penuh rahsia.
Usai berehat dan menghirup damai yang cuma ada di sini, aku kembali ke bot. Enjin kembali dihidupkan air, dan aku sambung perjalanan mudikku. Pulau Jeha perlahan hilang di belakang, tapi rasanya tinggal dalam dada.
Dan sungai terus memanggil, kerana di hulunya, masih ada cerita yang menunggu.
![]() |
'Musim panas bolehlah turun mandi kerana air sungai Pahang menjadi cetek. Kelihatan Pulau Jeha di belakang' |
2 comments:
Alhamdulillah berkesempatan mandi, berenang di air yang bersih..Di Keningau tak ada laut, sungai ada tapi bahaya dah sungai sini banyak tercemar, kecuali sungai di ulu..kena masuk hutan baru air sungai jernih dan bersih..Zaman remaja teringat Etuza selalu mandi dalam sungai,bererang dengan kawan,..
Subahanallah..masih bersih Pulau Jeha...
Post a Comment