Sahabat Sejati

Tuesday, 29 July 2025

Sungai Pahang - Bersama angin, bersama arus yang sabar.

Dengan sebuah bot tiup sederhana (inflatable boat), aku dan dua rakan mudik perlahan ke hulu Sungai Pahang, sungai tua yang menyimpan rahsia negeri dan cerita bangsa. Airnya keruh keemasan, tidak deras, tetapi tetap punya arah dan cita. Sesekali angin menyapa pipi, menyiram wajah dengan titis halus air yang terpercik dari birai bot yang melanggar arus. 

Di kiri dan kanan, rumah-rumah kayu berdiri setia di tebing, seperti penjaga waktu. Ada yang masih kukuh, beratap zink yang berkarat manja; ada juga yang condong, namun tetap tabah berdiri, mengingatkan aku kepada nenek tua yang sabar menunggu cucu pulang dari perantauan. 

Anak-anak kampung melambai dari pangkin, ada yang menjerit girang melihat botku, seperti melihat sesuatu dari luar dunia mereka. Ayam berkokok, lembu menguak, burung ruak-ruak terbang berkawan di celah semak bakung. Dan jauh di hutan seberang, bunyi seruling alam, mungkin dari burung tukang atau dari masa lalu yang bersiul pada kenangan. 


Aku terus mudik. Dalam diam, aku dengar denyut jantung sungai ini. Ia bukan sekadar sungai. Ia seperti urat nadi orang Pahang, membawa kisah pahlawan, nelayan, petani, dan anak-anak kecil yang membesar dengan mimpi di dalam pelita malam. 

Tiada kota, tiada deruan kenderaan bersimpang-siur. Hanya tenang yang menyapa jiwa, dan alam yang berbicara dengan bahasa sunyi. Di sungai ini, aku tidak mencari ke mana aku mahu pergi. Tapi aku sedang mengingat siapa aku pernah jadi.

Sunday, 27 July 2025

Tahniah abang pupu koi.. Maulana Che Wan Helmi al-Hafiz

 

Tahniah dan syabas diucapkan kepada YH Maulana Dato’ Haji Cik Wan Helmi bin Wan Mohamed, atas penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) yang membawa gelaran Dato’, oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang. 

Sesungguhnya penganugerahan ini merupakan pengiktirafan yang amat bermakna atas jasa dan sumbangan besar YH Dato’ dalam medan dakwah, pendidikan dan pembangunan umat Islam. 

Barakallah Fikum.

Tuesday, 22 July 2025

Di Hadapan Deretan Buku..


Aku merenung rak buku yang kian padat. Deretan naskhah tersusun rapat, ada yang sudah lama tidak disentuh, ada yang masih berbalut plastik sejak dibeli. Anggaranku, mungkin mencecah ribuan judul. 

Dari buku-buku agama yang menenangkan jiwa, novel yang membawa terbang ke dunia fiksi, catatan travelog yang mengembara tanpa bergerak, motivasi yang membakar semangat, kisah mistik dan horror yang sering kutatap tika lewat malam, hinggalah ke genre sejarah yang paling banyak menghuni rak, penuh kisah silam yang menjadi cermin masa depan. 

Sejarah... itulah cinta pertama yang aku kenali sejak kecil. Ketika rakan-rakan sebaya bermain di halaman, aku sudah tekun membelek buku teks abang dan kakak. Tiada siapa memaksa, tiada hadiah yang dijanjikan. Cuma rasa ingin tahu yang bergelora dalam dada seorang anak kecil. 

Dek kerana terlalu obses dengan buku dan membaca, setiap bulan, aku pastikan ada sekurang-kurangnya satu buku baharu menghuni ruang rak, bagaikan hadiah kecil untuk jiwa yang dahagakan ilmu. 


Namun, masa kini semakin laju berlari. Usia makin bertambah, tetapi masa untuk membaca makin menipis. Kesibukan kerja, tanggungjawab yang menimbun, keletihan tubuh yang tidak lagi sekuat dahulu, semuanya menjadi alasan yang membatasi aku dari berdamai dengan minat lamaku ini. 

Sesekali, aku duduk membelek kembali helaian lama. Bau kertas yang pudar masih menggamit kenangan. Ada catatan tangan yang pernah kutulis di tepi margin. Ada cebisan kenangan bersama setiap buku, seolah-olah aku pernah hidup dalam setiap halaman itu. 

Buku-buku itu seperti sahabat lama. Mereka menunggu aku tanpa merungut. Dan aku... masih percaya, satu hari nanti aku akan kembali duduk diam bersama mereka. Kerana cinta yang sebenar tak pernah padam, ia cuma berehat sebentar, menunggu masa yang tepat untuk kembali menyala.

Monday, 21 July 2025

Damai

Dalam dakapan alam, aku belajar apa itu tenang.
Burung bernyanyi, angin menyapa, hujan bernada.
Segalanya sederhana… tapi cukup membahagiakan.

`Bukit Panorama, Sungai Lembing`

Saturday, 19 July 2025

Selamat hari lahir untuk diri sendiri, antara gembira dan hening rasa..


 
Hari ini, ulang tahun kelahiran saya. Maka banyaklah ucapan yang saya terima daripada rakan-rakan di media sosial. Keluarga saya terlebih dahulu meraikannya, dengan pelukan, doa dan senyuman. Dari satu sudut, saya merasa amat gembira. Terharu pun ada. Namun, dari satu sudut yang lain, saya tertanya-tanya, apakah perasaan sebenar saya? Apakah benar-benar saya merasa gembira?

Setiap kali menjelang tarikh seperti ini, saya seolah-olah berdiri di persimpangan rasa. Ucapan-ucapan yang datang bak gerimis kata, satu persatu menyentuh hati, namun jauh di sudut paling dalam, saya tahu, tarikh ini bukan sekadar untuk dirai. Ia juga adalah peringatan. Bahawa setahun lagi telah bertambah janji untuk menghampiri kematian.

Ucapan demi ucapan selamat hari lahir… rupanya seumpama memendekkan masa lalu, dan mendekatkan langkah kaki menghampiri liang lahad.

Apakah makna sebuah hari lahir, jika bukan untuk mengingati nikmat masa yang masih dipinjamkan? Apakah erti bertambah usia, jika tidak bersedia menambah amal sebagai bekal pulang ke negeri abadi?

Hari ini saya tersenyum, namun dalam hati ada hening yang tidak terlihat. Bukan kerana tidak bersyukur, bukan kerana tidak bahagia… tetapi kerana saya sedar, hidup ini hanyalah persinggahan, dan setiap ulang tahun adalah isyarat halus bahawa masa terus berjalan… dan ajal kian hampir.

Maka saya mohon kepada Tuhan, agar usia yang tinggal ini menjadi kesempatan untuk lebih tunduk, lebih insaf, lebih kembali.

Selamat hari lahir untuk diri sendiri. Semoga setiap hela nafas yang masih diizinkan, adalah nafas yang mengingatkan, bukan melalaikan.

Thursday, 17 July 2025

Mutiara Al-Quran dari Lombok - Sebuah pertemuan dengan Hafidz Cilik Indonesia, Naja Hudia yang luarbiasa

'Bersama Naja dan bapanya di rumah datuknya'
 
Dalam perjalanan menelusuri bumi Mataram, Lombok, tanah yang memeluk damai dan kesederhanaan, saya dipertemukan dengan sosok kecil yang luar biasa: adik Muhammad Naja Hudia Afiffurohman, atau lebih akrab disapa Naja. Kisahnya pernah tular semasa program Hafidz Cilik Indonesia 2019

Pertemuan kami bukan sekadar kebetulan biasa. Ia adalah sebuah takdir yang membungkus hikmah, menyapa jiwa dalam diam. Di rumah datuknya yang sederhana, saya melihat sinar istimewa dalam raut wajah Naja , wajah yang tidak lelah dengan ujian, namun sarat dengan keikhlasan dan cahaya iman.

Naja, seorang anak kecil yang diuji sejak bayi dengan penyakit lumpuh otak (cerebral palsy). Tubuhnya kaku, sulit bergerak, apalagi berdiri atau berjalan seperti anak-anak lain. Namun Allah menggantikan kekurangannya dengan anugerah luar biasa: kemampuan menghafal seluruh 30 juzuk al-Quran pada usia 9 tahun. Bukan itu sahaja, adik Naja juga telah menghafal rerjemahan al-Quran, mampu mengingat muka surat, nombor ayat dan sebagainya. Subhanallah, luarbiasa!

'Di hadapan rumah datuknya'

Bayangkan... dalam keadaan tidak mampu menulis, tidak mampu bermain bebas, bahkan tidak mampu menjaga dirinya tanpa bantuan orang lain, Naja tetap mampu menakluk mukjizat Kalamullah. Setiap huruf di bibirnya adalah bukti bahawa kekuatan bukan pada tubuh, tetapi pada hati yang bersandar kepada Ilahi.

Saya terdiam panjang saat mendengarkan bacaan ayat-ayat suci dari bibir kecilnya. Lancar, fasih, dan menyentuh kalbu. Jiwanya seakan hidup dalam alunan wahyu, mengingatkan saya bahawa kecacatan fizikal bukan alasan untuk berhenti menjadi insan luar biasa.

'Program Hafiz Cilik Indonesia 2019' ~ sumber foto
 

Adik Naja bukan sekadar Hafidz. Dia adalah cahaya. Sebuah pelita kecil yang menyalakan harapan pada kita yang sering lupa mensyukuri nikmat sempurna.

Dan saya pulang dari pertemuan itu bukan dengan tangan yang penuh oleh-oleh, tapi dengan jiwa yang penuh keinsafan dan semangat baru.

Kerana dari Naja, saya belajar satu perkara penting. Bila Al-Quran menjadi pelita dalam gelap hidupmu, maka tiada cacat yang dapat menghalangimu untuk bersinar.

Monday, 14 July 2025

Kenangan Masa Kecil di Kampung – Suatu waktu yang tidak akan kembali

'Desaku yang semakin berubah citra wajahnya'
 

Waktu kecil, kampung bukan sekadar tempat tinggal. Ia adalah seluruh dunia. Rumah kayu beratap zink, lantainya berkeriut bila dipijak, menjadi istana dalam khayalan kami. Di halaman, kami berlari tak kenal letih, mengejar ayam, menyorok di balik pohon pisang, bermain lumpur di tepi parit.

Bunyi cengkerik mula bersahutan kala senja menjelang. Dari dapur, bau nasi panas dan ikan kering goreng menguar, ibu memanggil dengan suara yang hanya seorang anak boleh kenal. Dan hati akan segera tenang, walau hujan tiba-tiba turun mencurah.

Kampung adalah tempat segalanya bermula. Tempat di mana luka di lutut dirawat dengan ludah kasih seorang ibu, dan duka di hati anak kecil dibaiki hanya dengan sebutir gula-gula.

Hari ini, semuanya mungkin telah tiada. Halaman rumah tempat aku dan rakan-rakan mengejar sebiji bola semakin sempit,  Pohon jambu air yang kami panjat, rebah. Parit kecil tempat kami mandi hujan, kering. Rumpun buluh tempat aku mengikuti ibu menggali rebung, lenyap ditolak jentera besi. Namun kenangan itu, tetap hidup di satu sudut jiwa, yang tak pernah tumbuh tua.

A-Fatihah kepada semua yang telah pergi mendahului..  

Thursday, 10 July 2025

Kenangan masih basah: Bila dahan pokok tak setia

foto hiasan ~ sumber

Langit tak selalunya cerah. Dan budak yang selalu panjat pokok pun ada harinya jatuh tergolek macam nangka busuk. 

Hari tu aku ingat lagi. Pokok jambu air belakang rumah. Daun dia lebat, buah dia merah meranum, aku tak fikir panjang, terus panjat macam biasa. Langkah yakin, genggaman kuat, siap menyanyi lagu ciptaan sendiri. Tapi dahan yang aku sangka gagah rupanya tua dan rapuh… dan krakkkk! 

Tak sempat fikir apa-apa, dunia berputar. Langit bertukar tanah. Aku jatuh. Bunyi taklah kuat sangat, tapi egoku pecah berkeping-keping. Lutut calar, siku luka, pipi comot dengan tanah. Tapi itu semua bukan masalah besar. Yang paling sakit, mak aku nampak.

“HAH! Dah kena! Dah cakap dahhh.. panjat lagi panjat! Nanti patah baru tahu!” Itu dialog mak sambil tangan capai minyak gamat. Pedihnya bukan main. Tapi aku tahan, sambil sengih dan minta ampun. 

Petangnya, aku duduk termenung bawah pokok. Merenung ke atas macam seorang pendekar kalah perang. Tapi jauh di hati, aku tahu, esok aku akan panjat lagi. Cuma mungkin.. pelan-pelan dan tengok dulu dahan mana yang setia. 

Itulah aku. Budak kampung yang percaya pokok adalah sahabat, Dan setiap calar luka adalah medal keberanian zaman kanak-kanak.

Wednesday, 9 July 2025

Kenangan masih basah: Di pucuk pokok

foto hiasan ~sumber

Masa kecil dulu, dunia aku tak besar mana. Tapi setiap kali nampak pokok, tak kira pokok jambu air, rambai, atau kuini, hati aku jadi tak sabar. Ada satu saja misi: panjat sampai ke pucuk yang paling tinggi. Kononnya, dari situ aku boleh tengok dunia.. atau paling tidak pun, jadi raja segala ranting. 

Kadang-kadang aku menjerit sekuat hati dari atas dahan, “Burung-burung! Bawa aku terbang sama!” Burung-burung itu tak pernah jawab. Tapi aku tetap berharap, mungkin satu hari nanti, sayap akan tumbuh di belakangku. Budak-budak, naif, tapi bahagia. 

Ada masanya, aku menyanyi sendirian. Lagu tak tentu arah, tapi penuh perasaan. Aku goyangkan dahan kiri kanan ikut rentak sendiri. Dahan bergoyang, daun bergesel, bunyinya macam iringan orkestra alam. Awan pun kadang berhenti sekejap, mendengar suara sumbangku dengan sabar. 

Bawah pokok tu, dunia terus sibuk. Tapi di atas sana, aku rasa bebas. Tiada siapa suruh aku diam. Tiada kerja sekolah. Tiada perasaan takut. Yang ada cuma angin, langit, dan khayalan kecil seorang budak yang percaya apa saja boleh berlaku. 

Indahnya zaman itu. Zaman di mana pucuk pokok menjadi tempat berangan. Tempat aku belajar tentang tinggi dan jatuh. Tentang sunyi dan gembira. Tentang menjadi diri sendiri, sebelum dunia ajar aku jadi ‘dewasa’.

Hiking di Bukit Pelindung – Bila Lutut Terkejut

`Trek tar yang agak mudah berbanding trek denai` (sumber foto)

Tak tahu angin apa pagi tu, tiba-tiba aku semangat nak mendaki Bukit Pelindung. Mungkin sebab malam sebelumnya makan nasi lemak dua bungkus, rasa bersalah tu kuat. Atau mungkin juga sebab anak-anak ajak dengan ayat keramat: “Jomlah abi, santai je.. lama dah tak naik, tak tinggi mana pun.” (Ha. yelah tu)

`Masa ni along Ikhwan dan angah Irsalina dah jauh ke depan😅`

Langkah mula-mula steady je, macam hero dalam filem aksi. Tapi lepas 15 minit, peluh dah macam air longkang musim tengkujuh. Nafas pun dah bukan satu-satu, dah jadi setengah setengah. Mujur trek Bukit Pelindung ni dah bertar. (trek denai pun ada tapi sentiasa tidak menjadi pilihan)

 
(sumber foto)

Sedikit info mengenai Bukit Pelindung dari laman web Jabatan Hutan Pahang:  Keluasan Pembangunan lebih kurang 10 hektar. Kedudukan 5km dari Bandar Kuantan melalui jalan Beserah atau Jalan Sisek. Ketinggian lebih kurang lebih 200 meter. Trek tar ada yang agak curam

Keadaan Hutan yang nyaman dengan pelbagai flora dan fauna serta permandangan Laut China Selatan di sebelah barat tentunya melapangkan fikiran. Kawasan yang paling sesuai dengan aktiviti senaman, pendakian serta penjelajahan hutan. 


Tapi bagi aku yang bestnya, suasana hutan tu tenang. Bau daun, bunyi unggas, dan angin sejuk buat aku rasa macam balik kampung. Teringat dulu panjat pokok jambu, sekarang panjat bukit, bezanya cuma lutut dah mula merengek, “Kenapa kita buat semua ni?” 

Sampai kat puncak, masyaAllah, pemandangan terus buat aku lupa semua derita tadi. Laut luas, langit cerah, angin lembut sapu muka. Rasa damai sangat. Aku duduk sekejap, hirup udara dalam-dalam, macam nak simpan dalam botol buat kenangan. 

`Puncak tertinggi di hadapan pagar pencawang Telekom` 

Lepas tu turun punyalah hati-hati, sebab kaki dah serupa mi goreng tak cukup keras. (maklumlah dah tua hehe)

Nak ajak orang hiking? Gunakan ayat ni: Bukit Pelindung – tempat di mana semangat naik, tapi lutut cepat mengalah😅.

Thursday, 3 July 2025

Misi Korban di Lombok 2025- Bahagian 4: Setelah Daging Dibahagi, Kini Tiba Giliran Hati Dicuci

Subuh menjelma di bumi Lombok dengan dingin yang menggigit lembut. Angin dari gunung turun menyapu wajah, membawa harum tanah yang baru saja disirami darah korban semalam. 

Azan berkumandang dari masjid berdekatan yang sebaris dengan rumah penduduk. Suaran muazzin bersahut-sahutan seperti suara seorang ayah yang lama tak memanggil anaknya pulang. 

Aku bangun, menyarungkan kain pelikat dan menyusuri aspal jalan bersama beberapa warga yang sama menuju ke rumah Allah. Di sejadah lusuh, aku sujud. panjang. Dan untuk pertama kalinya dalam waktu yang lama, air mataku jatuh tanpa perlu sebab yang jelas. Mungkin kerana rasa syukur. Mungkin kerana aku tahu, semalam aku telah melepaskan sesuatu, bukan sekadar haiwan korban, tetapi cebisan diriku yang terlalu lama terikat pada dunia. 


Selepas Subuh, kami bersarapan bersama beberapa warga desa. Juadahnya ringkas. Oh ya aku hampir terlupa, di sini mereka biasa bersarapan dengan nasi, Tidak dengan kuih-muih seperti di Malaysia. Nasi hangat, sambal tomat lombok dan gulai daging??  Tidak lupa kopi Lombok yang pahitnya menyegarkan. 

Tiada protokol. Tiada jarak. Antara aku dan mereka. Kami semua sama di pagi ini: hamba yang sedang belajar redha dan memberi. 

Aku sempat duduk bersama seorang pak tua, janggutnya putih, matanya tajam tapi penuh lembut. Katanya perlahan: “Korban yang sebenar… bukan pada darah dan daging. Tapi pada ego yang jatuh, pada keikhlasan yang bangkit. Kamu datang dari jauh, tapi pulang nanti jangan dengan tangan kosong, bawalah hati yang baru.” 

Kata-katanya mengendap ke dalam fikiranku, membekas. 

Tengahari itu, aku mengemas. Pagi ini ada sahabat dari Rinjani datang menjemput ke resort miliknya. Namanya Ustaz Zamroni, pemilik resort Taman Syurga Rinjani, pernah tinggal di Malaysia, menjadi tenaga pengajar di sebuah Maahad Tahfiz.

Beberapa penduduk mengiringi kami dengan bual dan tawa. Bapak Najmuddin memegang tanganku dan berkata, “Harap dapat datang lagi tahun depan… kami tetap doa setiap malam.” 

Aku tersenyum, hampir tewas di situ. 

'Seorang sahabat menjemput wisata ke resort milik beliau'

Hari korban sudah berlalu… tapi getarnya masih tinggal. Bersama bau tanah, bersama wajah-wajah yang tidak akan kulupa. 

Dan aku tahu, aku tidak akan pernah kembali menjadi ‘aku’ yang dulu. Bumi Lombok ini telah mengajar erti sebenar penyembelihan, bukan hanya pada leher haiwan, tetapi pada kebekuan hati yang selama ini terlalu mencintai diri sendiri.