Sibuk? |
Assalamualaikum warahmatullah.
Alhamdulillah, pujian yang sebanyaknya kepada Allah SWT kerana masih dipertemukan lagi. Lama benar rasanya tidak bertemu sahabat-sahabat. Sejujurnya, saya sentiasa menginginkan untuk bertemu setiap hari di halaman 'pondok kecil' kesayangan ini. Apakan daya, alasan yang klise "sibuk". Moga akan lebih kerap lagi bertemu di alam maya ini, insya-Allah.
Kita sudah pun berada di dalam bulan Syaaban. Bermakna kurang dari sebulan lagi kita akan memasuki bulan Ramadhan yang diberkati. Pantasnya masa, baru lagi rasanya berpisah dengan Ramadhan tahun lalu, kini ia hampir menjelma kembali.
“Rasa baru lagi berpuasa, dah nak puasa pula..” getus seorang sahabat semasa kami sama-sama dalam perjalanan pulang dari satu program. Saya mengiakan.
Teringat hadis Nabi saw, sabdanya yang bermaksudnya: "Daripada Abi Hurairah ra. Nabi bersabda: "Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga masa (zaman) pantas berlalu: Setahun seperti sebulan, sebulan seperti se-Jumaat (seminggu) se-Jumaat seperti sehari dan sehari seperti sesaat. Satu saat yang dimaksudkan adalah nyalaan api yang membakar ranting kering." (Hadis Riwayat Ahmad, 10560)
Semua keadaan yang berlaku seperti yang dinyatakan dalam hadis di atas adalah merujuk kepada cepatnya masa berlalu dalam erti kata sebenar pada akhir zaman.
Para ulama memberikan pengertian masa berlalu begitu cepat dengan maksud sangat sebentar kerana dihilangkan keberkatan waktu yang dikurniakan kepada manusia.
Begitu juga sepertimana dikeluhkan oleh sebahagian ulama kontemporari yang merasakan tidak mampu lagi melakukan atau membuat sesuatu karya yang dahulunya mereka mampu mempersembahkannya.
Semoga Allah kurniakan kita semua keberkatan masa, semoga Allah kurniakan kita rahmat!
0 comments:
Post a Comment