Sahabat Sejati

Saturday 5 March 2022

Sambung kuarantin..


Pagi semalam saya diberitahu oleh isteri, beliau disahkan positif Covid-19 setelah melakukan ujian kendiri. Memang sebelum ini, isteri saya ada mengalami beberapa simptom seperti demam selsema dan batuk. Ini bermakna saya dan anak-anak secara automatik adalah kontak rapat pertama.   

Setelah mengemaskini maklumat di aplikasi my Sejahtera, maka secara rasminya kami diarahkan menyambung kembali kuarantin sehingga 10 haribulan. Maknanya 'terpenjara' lagi kami sekeluarga di dalam rumah. Aku tengok kamu, kamu tengok aku.

Sebelum memulakan kuarantin, saya telah pun menyiapkan bekalan keperluan asas untuk selama tempoh tersebut. Tempoh kuarantin sudah tidak boleh keluar, jadi siap awal-awal. Maklumlah sudah ada pengalaman tiga kali menjalani kuarantin sebelum ini. Masuk yang ini sudah kali yang keempat.

Alhamdulillah, saya berada dalam kejiranan yang baik. Pengalaman kuarantin sebelum ini, sentiasa ada jiran yang menghantar barangan atau pun juadah makanan. Baik barang keperluan asas seperti beras, gula, susu dan lain-lain, ada juga yang menghantar sarapan pagi, makan tengahari serta kudapan petang. Saya percaya di kawasan lain pun sama keadaannya. 

Teringat zaman budak-budak dahulu dalam dekad 80-an, keseronokan dan keindahan hidup berjiran menjadi satu perkara yang sangat penting. Boleh dikatakan kemesraan antara jiran tetangga amat erat. Jika ada kenduri atau kematian, pasti berduyun-duyun orang kampung akan hadir bergotong-royong membantu apa yang patut.

Namun, pada zaman ini, adab dan kemesraan dalam berjiran tidak sama seperti dahulu, malah kian pudar. Mungkin sekarang ini konsep berjiran sudah tidak membawa sebarang makna atau sudah ketinggalan zaman, Semangat hidup berjiran yang kita warisi sejak turun temurun, kini jelas semakin terpinggir. Tetapi tidaklah semua tempat, masih ada lagi yang mengekalkan tradisi kejiranan.

Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan semangat kejiranan semakin luntur, antaranya perubahan gaya hidup masyarakat yang terlalu sibuk dengan hal sendiri serta sibuk mencari rezeki masing-masing. 

Boleh jadi, kerana kesibukan juga menyebabkan masyarakat tiada masa untuk berbual atau saling tegur menegur antara satu sama lain. Malah ada yang tidak kenal dengan jiran sebelah walaupun sudah tinggal di kawasan perumahan yang sama sejak 10 tahun!

2 comments:

Syazni Rahim said...

Semoga sihat dan baik2 sahaja semuanya

paridah said...

Assalam moga ustaz n fmili sht sjhtra selamat semua...kak n fmili kuarantin juga ni..nampaknya norma hidup baru santuni sop n kuarantin ja kan

Post a Comment