'Terkurung' |
Cuaca hari ini dingin sekali. Hujan yang turun sejak waktu subuh berdetak menimpa atap anjung rumah saya. Sesekali angin yang bertiup menambah rasa dingin. Sebenarnya sudah dua tiga hari hujan turun di tempat saya. Sudah pun mula memasuki musim tengkujuh barangkali.
Saya yang 'terkurung' di dalam bilik bacaan, sesekali menjenguk keluar jendela. Sepasang anak mata memerhatikan rintik-rintik hujan yang menimpa aspal hitam di hadapan rumah. Baru semalam lorong-lorong di taman perumahan saya diturap semula batuan tar. Seingat saya lebih sepuluh tahun jalan ini telah digunakan. Habis semua lubang dan lopak ditambun. Sekarang semuanya tampak baru. Ah, nikmat pembangunan.
Hujan masih lagi turun. Suasana yang mendung sebegini seringkali menghadirkan perasaan yang berbaur. Adakalanya perasaan itu sukar untuk difahami. Terasa ada kerinduan yang terlalu sulit mahu diungkapkan dengan kata-kata. Kadang-kadang ia menusuk sehingga menyesakkan dada. Sukar untuk saya gambarkan. Sejujurnya saya rindukan ayahanda dan bonda yang telah lama mendahului ke alam abadi.
“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa kedua ibu bapaku, dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil. Tempatkanlah mereka bersama orang-orang yang mendapat limpahan redha-Mu. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang melimpahkan nikmat kasih sayang...Amin.”
Insya-Allah hari ini saya akan melakukan ujian swab untuk kali yang kedua. Moga keputusannya kekal negatif sebagaiman ujian yang pertama dulu. Syukur juga hari ini tiada kematian di negeri Pahang akibat pandemik Covid 19 ini. Mudah-mudahan semakin hari keadaan semakin baik.
Doakan.
3 comments:
Asalam..rasa sebak baca..banyakkan bersabar..ada yang kata kala hujan doa makbul ya
Ass alam moga ustaz n fmili sht sjhtera..hujan yg megundag rindu xberkesudahan ..dingin mengiring doa pada yg tiada amiin
Amin ustaz..
Post a Comment