Sahabat Sejati

Wednesday 7 July 2021

Pada seekor kambing

Foto hiasan

Jabir bin Abdillah meriwayatkan, suatu hari Rasulullah saw bersama para sahabat memetik buah di Marru Zahran iaitu kawasan lembah sekitar 8 kilometer dari Makkah, arah ke Madinah. 

Buah yang dipetik dikenali sebagai buah kabath (كباث). Rupanya seperti buah tin. Ia adalah makanan untuk unta dan kambing. Tetapi tika terdesak, manusia pun makan juga buah ini. 

Dikatakan peristiwa ini berlaku pada zaman awal dakwah baginda. Umat Islam ditindas dan ditekan. Hidup susah. Maka buah kabath ini jadi makanan kepada mereka. 

Sambil para sahabat memetik buah berkenaan, Rasulullah saw bersuara,

 عليكم بالأسْوَدِ منه؛ فإنَّه أَطْيَبُهُ 

"Petiklah buah yang berwarna hitam kerana itulah yang paling baik." 

Para sahabat kehairanan, bagaimana baginda tahu tentang buah itu mana yg baik mana yang kurang. Biasanya buah ini hanya dikenali oleh pengembala kambing dan penghuni padang pasir sahaja. 

Lalu mereka bertanya," Ya Rasulullah adakah tuan pernah memelihara kambing?" 

Baginda lantas menjawab:

 وهلْ مِن نَبِيٍّ إلَّا وقدْ رَعَاهَا 

"Tiadalah seorang nabipun melainkan semuanya membela kambing." 

Dalam riwayat Abu Hurairah, baginda bersabda:

 ما بَعَثَ اللَّهُ نَبِيًّا إلَّا رَعَى الغَنَمَ، فقالَ أصْحابُهُ: وأَنْتَ؟ فقالَ: نَعَمْ، كُنْتُ أرْعاها علَى قَرارِيطَ لأهْلِ مَكَّةَ. 

"Tiadalah Allah mengutus seseorang sebagai nabi melainkan dia memelihara kambing." 

Sahabat bertanya, "Tuan juga?" 

Baginda menjawab, "Ya. Aku juga pernah memeliharanya dengan mengambil upah dari penduduk Makkah." 

Hadis ini menjelaskan bahawa kesemua nabi yang diutuskan Allah pasti melalui pengalaman memelihara kambing. 

Kalau sudah semuanya, menunjukkan ia bukan satu kebetulan. Bukan sekadar hobi. 

Tetapi ia adalah tarbiyah ilahiyah untuk melatih mereka dengan suatu aktiviti mencabar dan bermanfaat untuk menghadapi cabaran dakwah. 

Pasti ada suatu yang istimewa pada kambing. 

Beberapa kurun sebelum itu, moyang baginda telah mencatat sejarah menunaikan korban dengan menyembelih kambing atau kibasy di Mina. 

Nabi Ibrahim alaihissalam dianugerahkan binatang sembelihan itu setelah lulus ujian dan terbukti ketaatannya menunaikan perintah Allah supaya menyembelih anaknya Ismail. 

Lebih awal daripada itu sejarah mencatatkan manusia pertama yang mengorbankan kambing ialah anakanda Nabi Adam alaihissalam iaitu Habil. 

Dia dan abangnya Qabil, diperintahkan Allah supaya berkorban untuk menentukan siapa yang diterima  korbannya. 

Qabil hanya memberikan hasil tanamannya berupa sayur (gandum) yang tidak berkualiti. 

Sedangkan Habil memilih ternakannya yang paling gemuk berupa seekor kambing untuk dipersembahkan kepada Allah. 

Ternyata korban kambing dari Habil diterima Allah.

Firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 27 bermaksud, “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.”.

Semoga musim korban yang bakal tiba seminggu dua lagi, tidaklah ada di antara kita yang korbankan sayur kangkung dan bayam sahaja.

2 comments:

Hans Hanis said...

alhamdulillah
menarik kisah ini
bertambah ilmu :)

paridah said...

assalam moga ustaz n famili sht sjhtera...rupanya kambing banyak rahsia hanya Pencipta maha mengetahui

Post a Comment