Sahabat Sejati

Friday 9 October 2020

Belasungkawa atas pemergian sahabat akrabku


Hujan lebat yang turun menyimbah malam tadi menghadirkan suasana dingin pagi ini. Terselit rasa syukur dengan limpahan hujan rahmat Ilahi. Cuaca yang sebegini seringkali menghadirkan perasaan sayu dihati. Ada sesuatu yang meruntun jiwa. Entah mengapa begitu sentimental jiwa seorang lelaki di pagi yang damai ini.

Perasaan sayu dan sebak tersebut semakin menyesak tatkala menerima berita pemergian sahabat akrabku pada pagi Jumaat yang mulia ini. Aku terkedu, waktu bagaikan berhenti berputar seketika. Lantas satu persatu kenangan bersama almarhum bermain-main di ruangan minda. 

Almarhum Ustaz Suhaimi Hassan, sahabatku yang bertugas di LHDN, juga seorang sosok akrab di dalam Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang. Banyak kenangan suka dan duka bersamanya dalam melayari jalan dakwah dan kebajikan. 

Seorang sahabat yang sangat baik. Kehadirannya menyenangkan hati, ketiadaannya terasa dihati, tutur bahasanya melekat dihati.

Tiada kata yang mengiringimu melainkan bahasa doa yang dipanjatkan semoga Allah SWT mengampuni semua kesalahanmu dan menerima semua amal kebaikanmu.

Ya Allah, kami bersaksi atas kebaikannya..

4 comments:

Warisan Petani said...

AL-Fatihah
Semoga rohnya dicucuri rahmat

Normala Saad said...

Salam takziah. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Nor Azimah Ali said...

Salam takziah. Semoga rohnya dicucuri rahmat, digolongkan bersama para kekasih Allah.

saniahibrahim said...

Assalam ustaz...salam takziah .Memang sedih apabila kehilangan orang yg rapat dengan kita.Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang beriman.Aaminn.

Post a Comment