Sesungguhnya Allah SWT yang telah menciptakan kehidupan ini. Dia yang telah menciptakan wanita untuk lelaki. Wanita menjadi tempat lelaki menumpahkan bibit cinta dan kasih sayang, begitulah sebaliknya lelaki sebagai pelindung dan tempat bermanja kepada wanita. Demikianlah lelaki dan wanita yang berbeza peranan tetapi saling lengkap-melengkapi dan saling memerlukan.
Wanita adalah rakan setia bagi lelaki. Jika baik wanita maka baiklah lelaki yang menjadi temannya dan jika buruk (akhlaqnya), maka buruklah (akhlaq) lelaki tersebut.
Seseorang pemimpin negara, jika isterinya baik akhlaq dan berbudi bahasa, maka baiklah kepimpinannya terhadap rakyat dan negara. Tetapi jika isteri atau teman wanitanya tidak baik dan mempunyai akhlaq yang buruk, maka menjadi musibah keburukan ke atas rakyat dan kepimpinan negara tersebut.
Kata ahli hikmat: "wanita adalah penawar dan wanita juga adalah racun, maka berhati-hatilah."
Wanita yang solehah, mempunyai didikan agama Islam yang sempurna, berakhlaq mulia dan beriman maka dia adalah umpama penawar kepada suaminya, masyarakat. Sebaliknya jika seseorang wanita itu tidak beriman, mempunyai akhlaq yang buruk, maka dia adalah racun yang berbisa kepada suaminya dan akan meruntuhkan masyarakat dan juga sebuah negara.
Allah SWT berfirman:
"Allah menjadikan isteri Nuh dan isteri Luth perumpamaan bagi orang-orang yang kafir. Kedua-duanya di bawah (pimpinan dan kasih sayang) dua orang hamba dari hamba-hamba Kami yang soleh; lalu isteri-isteri itu berkhianat (menentang perintah Allah SWT) kepada kedua-dua suami mereka, maka kedua-dua suami mereka itu tidak dapat menolong mereka sedikit pun dari (siksaan) Allah; Dan dikatakan (kepada mereka): Masuklah ke dalam neraka bersama orang-orang yang masuk (neraka)." (at-Tahrim: 10)
Sabar dan hikmah
Kita mungkin pernah mendengar kisah yang dialami oleh sebahagian orang terdahulu. Menarik kisahnya dan banyak pengajaran yang boleh kita ambil. Ada kisah orang yang beriman serta memiliki ilmu agama yang baik. Tetapi dalam masa yang sama mereka memiliki isteri-isteri yang rendah akhlaqnya, lidah yang ringan, suka membanggakan kecantikan, sombong dengan warga sekeliling dan bermacam-macam lagi sifat yang jelek.
Walaupun begitu, suami-suami mereka tetap sabar dan sentiasa menunjukkan sifat yang baik. Ketika ditanya, mengapa mereka boleh bersabar dengan karenah isteri yang berperangai jelek itu?
Jika kita apakah jawapannya. Mungkin berbakul-bakul sumpah seranah. Mungkin ringan kaki dan tangan kita menghayun sebijik dua.
Mungkin meletus perang dunia ketiga, atau "you get out!!!! Bergegar `Arsy Allah.
Tetapi jawapan mereka: "Barangkali isteri saya dihadirkan oleh Allah SWT untuk ujian dan hukuman bagi saya kerana dosa yang sudah terlanjur saya lakukan. Kalau saya cerai, saya takut terhadap hukuman yang lebih keras lagi."
Sesungguhnya perkahwinan adalah proses yang telah diambil perjanjian di dalamnya. Pada saat akad nikah, si suami telah mengikat perjanjian akan melaksanakan hak-hak isteri secara sempurna dan sungguh-sungguh. Demikianlah amanah yang amat besar dari Allah SWT.
Seorang suami seharusnya bersabar dengan sikap isterinya, terutamanya ketika disergap emosi yang meluap-luap. Kita boleh mengambil pengajaran dari sirah Nabi saw, bagaimana baginda menangani persoalan-persoalan kehidupan rumahtangga. Pernah isteri-isteri baginda menuntut harta dan nafkah yang keterlaluan seta amarah isteri yang membuak-buak.
Bagaimana reaksi dan tindakan Rasulullah saw? Baginda tetap bersabar dan berlembut. Akhirnya situasi rumahtangga yang hampir dilanda badai itu tenang kembali, tanpa gelora dan tanpa gelombang.
Sabda Rasulullah saw: "Carilah jalan yang paling baik untuk (menghadapi) wanita (isteri-isteri) kamu. Sesungguhnya wanita diciptakan dari tulang rusuk bahagian atas. Jika kamu meluruskannya, akan patahlah ia dan jika kamu biarkan , ia akan tetap bengkok, maka carilah jalan yang baik untuk (menghadapi) wanita." (Muttafaq `alaihi)
Hadis di atas menjelaskan betapa sulitnya menghadapi wanita (isteri). Apabila tidak berhati-hati menghadapinya maka dibimbangi akan menimbulkan masalah dan kerosakan yang lebih besar. Oleh itu para lelaki atau suami mestilah mempunyai ilmu atau teknik yang tersendiri untuk menanganinya.
Menyelesaikannya dengan penuh hikmah dan bijaksana tanpa melukakan hati dan mencalarkan emosi mereka. Seumpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.
Diantaranya ialah dengan cara senda gurau dan bersifat romantik.
Contoh bijaksana dan bersahaja yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dalam satu peristiwa, ketika Aisyah isterinya yang tercinta menghidangkan masakan kepada Saodah madunya, tetapi Saodah menolak masakan tersebut. Hal ini menyebabkan Aisyah marah dan dilemparkan sedikit makanan itu ke arah Saodah. Lalu makanan itu mengenai wajah Saodah sehingga menjadi comot.
Melihat ketegangan itu, Rasulullah saw tidak berpihak kepada salah satunya. Baginda tersenyum lalu menyuruh Saodah untuk membalas yang setimpal kepada Aisyah.
"Lemparkan bubur itu kepada Aisyah," kata baginda.
Lalu Saodah serta-merta menceduk bubur itu sedikit dan melempar ke wajah Aisyah sehingga bercomotan seperti dirinya. Melihat itu, Rasulullah saw tertawa.
Nah! Begitulah cara Rasulullah saw menghadapi tingkah dan emosi wanita. Dengan bersahaja tetapi bijaksana dan berhikmah.
Umar al-Khattab pula berkata, hendaklah ada masa-masanya seorang suami bersikap seperti kanak-kanak terhadap isterinya, supaya terjalin KEMANJAAN dan rasa saling sayang menyayangi. Tetapi apabila keluar rumah jadilah "lelaki perkasa."
Selitkan senda gurau dalam kehidupan suami isteri untuk keadaan-keadaan tertentu agar tercipta rasa bahagia dan senang di dada keduanya, kerana rumahtangga bukanlah untuk sehari dua.
Anda mampu mengubahnya!
2 comments:
Terima kasih atas perkongsian. Sangat bermanfaat 😁
betul tu ustaz, suami isteri itu saling melengkapi... perlu ada tolak ansur sebab keduanya tak sempurna...
Post a Comment