Sahabat Sejati

Tuesday 17 September 2019

WUJUDKAH AZAB KUBUR?

Soalan: 

Ada yang berpendapat, azab kubur tiada dalam nas al-Quran, bolehkah didatangkan hujah mengenai masalah ini? 

Jawapan: 

Sebenarnya secara nas memang tidak terdapat dalam al-Quran, tetapi dari segi dalalahnya terdapat ayat-ayat yang menunjukkan adanya azab kubur. Ini dikuatkan lagi dengan tafsiran para ulama dan ahli tafsir. Antara ayat-ayat tersebut ialah: 

Pertama: Firman Allah SWT: 

فَوَقَىٰهُ ٱللَّهُ سَيِّـَٔاتِ مَا مَكَرُوا۟ ۖوَحَاقَ بِـَٔالِ فِرْعَوْنَ سُوٓءُ ٱلْعَذَابِ ﴿٤٥﴾ ٱلنَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا ۖ وَيَوْمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ أَدْخِلُوٓا۟ ءَالَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ ٱلْعَذَابِ 
Maksudnya: Dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya. Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam barzakh), dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!” (Surah Ghafir: 45-46)

Sayyid Qutub berkata: Ayat ini menyatakan bahawa mereka didedahkan kepada neraka pada waktu pagi dan petang iaitu dalam tempoh selepas mati hingga berikutnya kiamat. Mungkin azab ini ialah azab kubur kerana selepas itu al-Quran menyebut:

 وَيَوْمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ أَدْخِلُوٓا۟ ءَالَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ ٱلْعَذَابِ 
Maksudnya: Dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya! (Surah Ghafir: 46)

Ayat di atas menerangkan tentang azab sebelum hari kiamat, iaitu satu azab yang amat dahsyat. Mereka didedahkan kepada api neraka pada waktu pagi dan petang. Ketika menafsirkan ayat ini, Imam al-Qurtubi mengatakan, bahawa Mujahid, Ikrimah, Muqatil, dan Muhammad bin Ka’ab kesemua mereka mengatakan ayat ini membuktikan wujudnya azab kubur di alam dunia. 

Malahan, di dalam Takmilah Adhwa' al-Bayan oleh Syeikh Atiyyah Salim, beliau mengatakan bahawa ayat ini adalah dalil yang paling jelas daripada al-Quran menunjukkan wujudnya azab kubur.

Kedua: Firman Allah SWT: 

 يُثَبِّتُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱلْقَوْلِ ٱلثَّابِتِ فِى ٱلْحَيَو‌ٰةِ ٱلدُّنْيَا وَفِى ٱلْءَاخِرَةِ ۖ وَيُضِلُّ ٱللَّهُ ٱلظَّـٰلِمِينَ ۚ وَيَفْعَلُ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ 
Maksudnya: Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri), dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya. (Surah Ibrahim: 27)
 
Ibu Kathir ketika menafsirkan ayat ini menyebut hadis riwayat ahmad Ibn Hanbal dimana Rasulullah SAW bersabda: “Mohonlah perlindungan kepada Allah dari siksa kubur.” Al-Sabuni di dalam Sofwah al-Tafasir berkata: “Allah SWT menetapkan pendirian mereka atas kalimah tauhid لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله dan atas iman dalam kehidupan ini sehingga mereka tidak boleh dikelirukan dan diperdaya, manakala di akhirat, Allah SWT menetapkan mereka ketika disoal oleh malaikat di dalam kubur.” Abu al-Laith al-Samarqandi Rahimahullah dalam Tanbih al-Ghafilin berkata: “Ketetapan itu terjadi dalam tiga masa” iaitu:

• Ketika melihat Malaikat Maut.

• Ketika menghadapi pertanyaan Munkar dan Nakir

• Ketika menghadapi hisab pada hari kiamat.

Ketetapan ketika melihat Malaikat Maut berdasarkan kepada tiga perkara:

• Terpelihara daripada kekafiran, mendapat taufiq dan istiqamah di atas tauhid sehingga keluar rohnya dalam keadaan Islam.

• Diberi keselamatan oleh Malaikat dengan mendapat rahmat.

• Melihat tempatnya di syurga.

Ketetapan dalam kubur pula ada tiga, iaitu:

• Diberi ilham oleh Allah SWT untuk menjawab dengan jawapan yang diredhai Allah SWT.

• Hilang rasa takut dan gementar.

• Melihat tempatnya di syurga sehingga kuburnya menjadi salah satu daripada taman syurga.

Adapun ketetapan ketika hisab juga mempunyai tiga perkara:

• Allah SWT memberinya ilham sehingga dapat menjawab segala pertanyaan dengan benar.

• Hisabnya dipermudahkan dan diringankan.

• Diampunkan segala dosanya.

Ada juga yang menyatakan bahawa ketetapan itu dalam empat waktu:

• Ketika mati.

• Ketika di dalam kubur sehingga dapat menjawab pertanyaan tanpa gementar dan takut.

• Ketika hisab.

• Ketika berjalan di atas titian Sirat sehingga berjalan bagaikan sepantas kilat.

Ketiga: Firman Allah SWT: 

 سَنُعَذِّبُهُم مَّرَّتَيْنِ ثُمَّ يُرَدُّونَ إِلَىٰ عَذَابٍ عَظِيمٍ 
Maksudnya: Kami akan azabkan mereka berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar. (Surah al-Taubah: 101)

Dinukilkan disini beberapa pendapat yang disebutkan oleh Ibn Kathir: 

• Mujahid berkata: ”Ia adalah berupa pembunuhan dan penangkapan.” 

• Riwayat lain pula ia mengatakan: Ia adalah berupa kelaparan dan siksa kubur, baru kemudian mereka dikembalikan ke azab yang besar. 

• Ibnu Juraij mengatakan: Ia adalah azab dunia dan azab kubur, baru kemudian mereka dikembalikan ke azab yang besar. 

• Abdrurrahman ibn Zaid mengemukakan: ”Adapun azab di dunia itu berupa harta kekayaan dan anak.”

Sayyid Qutub berkata: “Azab keseksaan dua kali akan ditimpakan ke atas mereka di dunia. Tafsiran yang lebih dekat mengenai dua kali keseksaan ini ialah keseksaan kegelisahan dan kecemasan yang dialami mereka kerana takut terbuka tembelang mereka di dalam masyarakat Islam dan keseksaan menghadapi maut, di mana roh mereka disoal, muka dan punggung mereka dibelasah oleh malaikat. Atau itulah seksaan perasaan kecewa dan hina yang mengazabkan mereka kerana kemenangan kaum muslimin dan keseksaan perasaan takut terbuka rahsia hipokrit mereka dan takut ditindakkan dengan peperangan yang berat.”

Keempat: Firman Allah SWT: 

وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلظَّـٰلِمُونَ فِى غَمَرَ‌ٰتِ ٱلْمَوْتِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ بَاسِطُوٓا۟ أَيْدِيهِمْ أَخْرِجُوٓا۟ أَنفُسَكُمُ ۖ ٱلْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ ٱلْهُونِ بِمَا كُنتُمْ تَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ غَيْرَ ٱلْحَقِّ وَكُنتُمْ عَنْ ءَايَـٰتِهِۦ تَسْتَكْبِرُونَ 
Maksudnya: Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan “sakaratul-maut” (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri), pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keterangan-Nya. (Surah al-An’am: 93) 

Ibnu kathir mengemukakan beberapa pandangan, antara: 

• Adh-Dhahak dan Abu Solih berpendapat Para malaikat pula menghulurkan tangan mereka, bermaksud memukul. 

• Ibnu Kathir menfsirkan bahawa jika orang kafir mengalami nazak sakaratul al-maut, maka Malaikat akan membawakan kepadanya berita gembira berupa azab, belenggu, rantai, Neraka Jahim, air panas yang bergolak, dan kemurkaan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang, kerana itu nyawanya bergejolak dalam jasadnya dan enggan keluar darinya. Kemudian Malaikat memukulnya sehingga arwah mereka keluar dari jasadnya.

Dalil wujudnya azab kubur daripada ayat di atas ialah, Allah SWT memberitahu bahawa mereka akan merasakan azab yang hina pada hari tersebut. Jika sekiranya, azab yang hina tersebut merujuk kepada azab neraka, dan ditangguhkan hingga hari kiamat, nescaya tidak tepatlah firman Allah SWT dalam ayat tersebut: ”Pada hari ini kamu dibalas.” Justeru, wajar ditafsirkan dengan azab kubur.

Sayyid Qutub berkata: “Pemandangan yang dilukiskan oleh al-Quran untuk menggambarkan balasan yang diterima oleh orang-orang yang zalim atau kaum Musyrikin adalah satu pemandangan yang ngeri, menyeksa atau mencemaskan. 

Mereka sedang mengalami penderitaan sakaratul maut. Kata-kata Ghamarat (غمرات) “penderitaan” memberi bayangan tentang kesengsaraan, sedangkan para malaikat menyeksakan dengan hentaman tangan mereka dan menuntut nyawa mereka supaya keluar sambil mengecam mereka.”

Kelima: Firman Allah SWT: 

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ أَعْمَىٰ 
Maksudnya: Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. (Surah Taha: 124)

Al-Mawardi di dalam kitabnya al-Nukat wa al-U’yun Abu Said al-Khudri RA dan Ibn Mas’ud RA bahawa maksud ayat ini adalah azab kubur. Kehidupan sempit yang disebutkan dalam ayat di atas ditafsirkan sebagai azab kubur. Tafsirannya sebagai azab kubur, diambil melalui ayat selepasnya yang berbunyi:

 وَلَعَذَابُ ٱلْءَاخِرَةِ أَشَدُّ وَأَبْقَىٰٓ 
Maksudnya: Dan azab akhirat itu lebih dahsyat dan lebih berkekalan. (Surah Taha: 127)

Hal ini bererti kesempitan hidup pasti terjadi sebelum berlakunya azab akhirat. Justeru, kesempitan hidup sebelum akhirat boleh ditafsirkan sama ada sebagai kesempitan hidup di dunia, ataupun azab kubur di alam barzakh. Akan tetapi dari keduanya, manakah yang lebih tepat?

Jika ditafsirkan kesempitan itu berlaku sewaktu kehidupan dunia, maka sudah pasti setiap orang yang berpaling dari petunjuk Allah SWT akan mendapat kehidupan yang sempit. Sedangkan realiti yang berlaku menunjukkan orang-orang kafir ada yang lebih selesa dan mewah hidupnya berbanding orang beriman.

Maka, tafsiran kehidupan yang sempit dengan makna azab kubur di alam barzakh adalah tafsiran yang paling tepat. Istinbat ini disebut oleh Imam al-Tabari dalam tafsirnya. Hal ini bertepatan dengan hadith Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Adakah kamu tahu kepada siapa diturunkan ayat ini yang bermaksud: Maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Adakah kamu tahu apakah kehidupan yang sempit? Mereka menjawab: Allah dan Rasul sahaja yang lebih mengetahui. Sabda Rasulullah SAW: Azab orang kafir di dalam kubur.” Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya (no: 3122)

Keenam: Daripada Ali bin Abi Talib RA berkata: Manusia meragui tentang azab kubur sehingga diturunkan firman Allah SWT: 

﴾أَلْهَىٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ ﴿١﴾ حَتَّىٰ زُرْتُمُ ٱلْمَقَابِرَ ﴿٢﴾كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ ﴿٣﴾ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ ﴿٤ 
Maksudnya: Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! (Surah al-Takathur: 1-4)

Athar Ali bin Abi Talib ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi (no: 3355). Beliau menilainya 'gharib' dengan maksud ia hadith dhaif. Juga dinilai 'dhaif sanadnya' oleh al-Albani dalam Dhaif Sunan Tirmzi (1/438).

Al-Qurtubi berkata: “Surah ini mengandungi hal berkenaan azab kubur dan sesungguhnya kami telah menyebut di dalam kitab al-Tazkirah bahawa beriman dengannya (azab kubur) adalah wajib dan membenarkannya adalah satu kemestian. Mengikut apa yang dikhabarkan dengannya oleh yang benar, bahawa Allah SWT menghidupkan hamba yang mukallaf dalam kuburnya dengan mengembalikan kehidupan kepadanya dan menjadikannya daripada akal sama seperti sifat kehidupan yang terdahulu untuk dia berakal dan faham apa yang dipersoal dan apa yang patut dijawab dengannya. Dia akan faham apa yang didatangkan kepadanya daripada Tuhan dan apa yang disediakan baginya dalam kuburnya sama ada kemuliaan atau kehinaan. Inilah mazhab Ahli Sunnah wa al-Jamaah.” 

Ketujuh: Firman Allah SWT: 

مِّمَّا خَطِيٓـَٔـٰتِهِمْ أُغْرِقُوا۟ فَأُدْخِلُوا۟ نَارًا فَلَمْ يَجِدُوا۟ لَهُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ أَنصَارًا 
Maksudnya: Mereka ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam api. Mereka tidak mendapati penolong-penolong selain Allah. (Surah Nuh: 25)

Syed Qutb mempunyai dua pendapat, antaranya azab neraka dimaksudkan dalam ayat tersebut boleh jadi azab kubur dalam tempoh yang pendek di antara dunia dan akhirat. Imam al-Qurtubi ada menukilkan pendapat Imam al-Qusyairi yang berkata: “Ini menunjukkan bahawa adanya azab kubur.”

Dalil yang menunjukkan perkataan 'api' dalam ayat di atas merujuk kepada azab kubur, bukannya api neraka. Allah Taala mengatakan bahawa mereka dimasukkan ke dalam api sebaik sahaja mereka ditenggelamkan. Ini difahami dari lafaz fa' (ف) yang membawa erti tertib dengan jarak masa yang dekat. Jika sekiranya ditafsirkan perkataan 'api' sebagai api neraka di akhirat, maka terbatal penggunaan huruf fa' (ف) menurut ilmu Bahasa Arab.

Kelapan: Firman Allah SWT: 

وَإِنَّ لِلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ عَذَابًا دُونَ ذَ‌ٰلِكَ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ 
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa selain dari azab yang tersebut, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah al-Thur: 47)

Berhubung dengan ayat ini terdapat banyak pandangan ulama. Antara pendapat mereka ialah azab sebelum mereka mati. Pendapat Ibn Zaid pula ialah, segala musibah dunia seperti kelaparan atau kebuluran, sakit, bencana, kehilangan harta dan anak-anak.

Mujahid pula menafsirkan, maksudnya ialah kelaparan dan kesusahan selama tujuh tahun. Ibn Abbas pula diriwayatkan daripadanya dua pendapat, pertama maksudnya pembunuhan mereka waktu peperangan Badar. Pendapat kedua Ibn Abbas mengatakan ia bermaksud azab kubur. Ia disokong oleh al-Barra’ bin Azib dan Ali bin Abi Talib. 

Kesembilan: Firman Allah SWT: 

فَذَرْهُمْ حَتَّىٰ يُلَـٰقُوا۟ يَوْمَهُمُ ٱلَّذِى فِيهِ يُصْعَقُونَ 
Maksudnya: (Kalau keingkaran dan kedegilan mereka sampai begitu sekali) maka biarkanlah mereka (wahai Muhammad, dan janganlah dihiraukan) sehingga mereka menemui hari yang padanya mereka akan binasa. (Surah al-Thur: 45)

Berdasarkan kepada nas al-Quran dan hadith, kita dapati bahawa azab kubur merupakan hal yang tidak mungkin dinafikan. Bagi menguatkan lagi hujah, suka diterangkan di sini hujah dari segi logikal pula, antaranya:

• Alam yang dilalui oleh manusia adalah berlainan antara alam tidur dan alam jaga. Begitu juga alam mimpi dengan yang lain. Apatah lagi alam hidup dengan alam yang mati yang dikenali sebagai alam barzakh atau alam kubur.

• Manusia boleh mengalami perasaan yang berbeza walaupun berada pada tempat yang sama dengan sebab rohnya yang berbeza dan suasana serta situasi dalaman seseorang. Contohnya, jika seseorang tidur di satu tempat dan seorang yang lain tidur di tempat yang sama, tetapi kedua-duanya mungkin bermimpi dua perkara yang berlainan.

• Akal manusia boleh mengiyakan sesuatu peristiwa yang berlaku sama ada baik atau tidak, berdasarkan kepada akal atau rohani, bukan kepada zahir semata-mata. Hal ini amat jelas apabila kita dapati ada di kalangan manusia yang keadaannya cukup gembira, manakala yang lain berada dalam keadaan yang cukup derita.

3 comments:

norhidana said...

teringat masa belajar kat sekolah agama dulu, sangat takut bila ustaz bercerita pasal azab kubur, tentang hari akhirat...

Nor Azimah Ali said...

Saya yakin adanya azab kubur. Rasulullah pun memang sangat menganjurkan setiap dari ummahnya membaca dan menghafal surah al mulk setiap malam. Kpd yg tidak yakin adanya..pegilah mendalami ilmu.

AtieYusof said...

Takut dengan azab kubur.. terbayang suasana gelap kat dalam tu pun rasa nak nangis.. :(

Post a Comment