Sahabat Sejati

Thursday, 25 January 2018

Kenangan masih basah: Permainan kami, pedil buluh

Bedil@pedil buluh ~ sumber

"Aduhh!"

Sebiji peluru buah palas hinggap di belakang. Perit tidak terkira. Kemudian terjongol kepala si Roslan dari sebalik rumpun senduduk sambil tersengih. Macamana saya tidak perasan dia bersembunyi di situ. Bersenang-senang saya melewati denai tersebut tanpa menyangka ada 'sesuatu' yang sedang membidik sasarannya. Ah, siapa lagi mangsa bidikan, sayalah!

Rasanya sudah merening bintat di belakang. Nyut..nyut.. berdenyut. Mujurlah saya berbaju, jika tidak tentu lebih sakit lagi. Demikian penangan bedil buluh yang berpelurukan buah palas muda.

"Tak boleh jadi, mesti balas," hati meronta-ronta penuh dendam kesumat. Walau apa pun berlaku, dendam mesti dilunas. Dendam budak-budak.

Bedil buluh

Kami lebih petah menyebutnya 'pedil'. Ada sesetengah tempat memanggilnya caplong, ada pula yang memanggil pletokan bambu. Hakikatnya ia benda yang sama.

Teruja saya menyatakan, bahawa ia adalah di antara permainan kami zaman hingusan dulu-dulu. Demikianlah, sesekali merista kisah-kisah silam, sekonyong-konyong terbit rasa bertuah. Mengapa?

Tentunya kerana boleh dikatakan semua permainan yang dimainkan bergantung dengan alam semulajadi. Malahan ia dihasilkan oleh kreativiti sendiri. Begitu juga, ia semestinya dimainkan secara berjemaah. Saling berinteraksi antara sesama manusia dan juga interaksi dengan alam.

Berbeza dengan permainan generasi zaman ini. Permainan gajet dan video yang tidak perlu si pemainnya mengenal erti persahabatan. Cukup sekadar diam bersendirian sambil memetik butang-butang papan kekunci atau memacu 'joystick'. Menghanyutkan si pemain dalam dunia sendiri.

Kadang-kadang saya cuba memikirkan, adakah permainan dulu-dulu yang dimainkan seorang diri tanpa mengendahkan apa yang berlaku di sekeliling. Entahlah, seingatnya tidak ada atau ada yang telah  terluput diingatan saya.

Kembali semula pada kisah pedil tadi. Pedil buluh terdiri daripada tiga bahagian, iaitu bahagian laras, pelantak yang kami gelar 'lesung' dan pemegang pelantak.  Bahagian laras dibuat daripada buluh yang berlubang. Panjangnya lebih kurang sekaki. Manakala bahagian pelantak (lesung) dibuat daripada buluh yang yang diraut bulat dan boleh dicucuk ke dalam laras pedil tadi. Ukuran pelantak mestilah pendek sedikit daripada laras bedil tadi. Kadang-kadang kami buat pedil yang mempunyai dua laras.

Peluru pedil terdiri daripada putik buah-buah yang banyak kedapatan di dalam belukar. Buah senduduk, buah palas, buah cenerai, putik kemunting, putik jambu air sesuai dijadikan peluru, Sekiranya tiada putik buah untuk dijadikan peluru, kertas surat khabar yang dibasahkan pun boleh dijadikan peluru. Caranya kertas tersebut digentel bulat-bulat dan muat-muat dengan lubang pedil buluh. Cuma sakitnya tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan peluru putik buah.

Dahulu, di TV selalu disiarkan cerita "combat" yang memaparkan tentera Amerika berperang dengan tentera Jerman. Terinspirasi dengan filem tersebut, kami pun sama naik menyandang pedil buluh. Teruja dan bersemangat untuk berperang persis anggota tentera. Habis lunyai semak belukar kami jarah tanpa rasa jeran dan capek.

Demikianlah di antara permainan kami dulu. Pastinya saya akan menyimpan kenangan permainan pedil buluh ini di dalam sanubari sebagai bahan sejarah peribadi buat selama-lamanya.

2 comments:

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz
Akak pun pernah rasa permainan itu ,walaupun akak perempuan..waktu itu lasak sama je dgn kanak2 llaki.
Seronok kan kita berkawan bermain.Halaman rumah sentiasa riuh bila waktu petang.Anak2 sekarang walaupun akak tinggal kawasan kg,nak tengok mereka bermain payah sekali.Semua duk main permainan dalam gajet .

Nor Azimah Ali said...

Ya Allah, kalo nak citer pasal kisah dulu2 mmg Tak habis, rasanya nak balik ke zaman tu semula. Seronok zaman budak2 dulu, budak2 kampung Kan, main getah, baling tin, baling selipar..Tak perlu berhabis duit. Main plak ramai2, gaduh2 kejap baik semula, aduhaiii...
Zaman ni nak bagi anak main Kat luar rumah pun takut, mcm2 boleh berlaku.

Post a Comment